Saturday, January 26, 2008

Ucapan Sulung T.G. Nik Abdul Aziz setelah dilantik MB

Hari ini merupakan hari yang pertama ambo bertemu dengan adik kakak di Dewan Zulkifli sebagai seorang menteri besar di sebuah negeri yang diberi nama Kelantan Darul Naim atau nama jolokannya Serambi Makkah. Ambo hendak sebut sepatah dua di sini, walaupun benda yang sama telah ambo sebut di Masjid Pulau Melaka malam kelmarin. Pertamanya, ambo ucap ribuan syukur kepada Allah S.W.T. di alas kuasa-Nya yang tidak boleh ditolak oleh sesiapapun, dalam memenangkan perjuangan Islam yang dipimpin oleh Parti Islam se-Malaysia atau disebut PAS.

Keduanya, syukur juga bahawa menteri besar negeri ini sudah mula berubah, daripada orang yang tidak disebut tok guru, kepada orang yang disebut-sebut tok guru. Siapa dia tok guru tidak menjadi masalah, yang pentingnya satu perubahan pemikiran sudah berlaku. Selama ini - hingga sudah terlekat di kepala kita - bila disebut tok guru ialah orang yang mengepalai ratib, orang yang membaca doa sahaja. Usahkan hendak sebut tok guru sebagai menteri besar, hendak sebut tok guru sebagai tok penghulu pun berasa tidak begitu kena, berasa tidak serasi, berasa tidak boleh duduk setempat. Lagi tidak sedap kalau tok guru disebut sebagai tok penggawa ke, sebagai DO. ke. Alhamdulillah mulai daripada sekarang kesilapan kita dalam memahami penyelewengan yang berlaku mengenai perkara tersebut, dapat dihapuskan sedikit demi sedikit. Kita berdoa supaya pemikiran yang betul ini dapat diteruskan dan ditolong oleh Allah seterusnya untuk masa-masa akan datang.

Ketiganya, semua bangsa di muka dunia yang beragama hatta agama ciptaan bumi sekalipun, bila dia berdepan dengan orang yang dikira pandai dalam agama, dia beri satu perkataan khas. Cara dia berbahasa pun ada cara tertentu, sebagai curahan isi hati memberi hormat. Oleh yang demikian kepada kawan-kawan ambo - jenis tok-tok guru, jenis tok-tok lebai, jenis ustaz-ustaz yang belum lagi menjadi menteri besar, tolong teruskan character ataupun watak demo sebagai tok guru supaya orang kampung boleh berasa kalau hendak tengok akhlak Nabi Muhammad, tengok dia inilah. Kalau hendak dengar ajaran Nabi Muhammad, dengar ajaran dia inilah. Hendak tengok peel perangai Nabi Muhammad, tengok peel perangai demo inilah.

Ini satu hal yang cukup payah, yang cukup penat bagi seseorang tok guru untuk menjaga statusnya sebagai seorang pewaris anbiya. Pertamanya, sangat sedikit ilmu kita mengenai diri Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Dalil sedikitnya, pengajian kita selama ini tidak banyak ditumpukan untuk mengenali syakhsiah identiti Nabi s.a.w .. Apa yang kita kenal mengenai Nabi sedikit sebanyaknya diperolehi dari kitab-kitab fikah, sedangkan kitab-kitab fikah ini hanya menumpu kepada bahagian-bahagian ibadat sahaja. Itu kaedah ilmu, kerana tiap-tiap ilmu ada keistimewaan masing-masing, fikah ada keistimewaan cara dia, tauhid ada keistimewaan cara dia, dan sejarah ada keistimewaan cara dia. Pada umumnya di tempat kita ini, pengajian fikah sungguh tinggi dan seiring dengan itu kita mengaji ilmu nahu dan ilmu soraf. Alasannya, kedua-dua ilmu ini boleh membantu kita memahami sungguh-sungguh ilmu Hadis dan Quran. Tetapi dukacitanya, bila sepuluh tahun dihabiskan untuk mengaji ilmu-ilmu alat, zaman pemikiran subur untuk menerima ilmu pun habis. Tamatlah pengajian kita dan masing-masing balik - ke kampung, berumahtangga - tidak sempat sampai ke peringkat mempelajari ilmu Quran dan Hadis.

Oleh yang demikian pengenalan kita terhadap syakhsiah Nabi Muhammad tidak berapa jelas; dari segi tutur katanya, dari segi tingkah lakunya, dari segi pentadbirannya, dari segi senyum simpulnya, marah sukanya, perang damainya. Jadi bila ilmu-ilmu begitu tidak banyak kita ketahui, maka payahlah kita hendak meniru Nabi. Ini dicampur dengan suasana yang ada di sekitar kita, payah benar bagi kita hendak mengikuti contoh Nabi Muhammad s.a.w .. Yang mudah bagi kitanya ialah menurut benda-benda yang orang Eropah bawa - melalui suratkhabar, melalui majalah. melalui radio, melalui tv kerana benda-benda inilah yang terdedah di depan kita setiap hari. Apabila kita baca suratkhabar di dalamnya ada gambar-gambar tertentu. ada makalah-makalah tertentu. Bila kita buka tv dalam siarannya ada gambar-gambar tertentu. ada lakonan-lakonan tertentu. Begitu juga apabila kita membaca majalah-majalah dunia. Boleh dikatakan media massa sedunia ini selaras belaka dalam membawa manusia hanyut semakin jauh hubungan dengan Nabi Muhammad S.A.W.. Ini fakta penting.

Oleh yang demikian, sekiranya kita sebagai pejuang Islam sungguh-sungguh ikhlas untuk berpatah balik semula kepada pengkalan Nabi Muhammad s.a.w., maka tidak ada cara lain selain daripada mengaji semula ilmu-ilmu yang boleh membawa kita mengenali syakhsiah baginda. Bagi memudahkan kita mengenali syakhsiah Nabi. kita boleh baca sejarah hidupnya. yang sekarang ini dikenali dengan perkataan sirah. Bukan setakat sirah Nabi sahaja. bahkan sejarah anak-anak murid Nabi - pelajar-pelajar yang berlaga lutut duduk dengan Nabi - yang kita panggil sahabat-sahabat Nabi. Sebab itulah apabila kita selawat kepada Nabi, kita tidak selawat kepada Nabi seorang tetapi kita kait tiga sekali gus: Hei Tuhan! Aku minta pada Kamu selawat kepada Nabi Muhammad, dan keluarga Nabi Muhammad dan juga sahabat-sahabat Nabi. Apabila kita menghargai usaha dan perjuangan Nabi s.a.w., kita juga mesti menghargai usaha yang dilakukan oleh keluarga Rasulullah s.a.w. - yang di sini dipanggil tok sayed - dan juga usaha yang dibuat oleh sahabat-sahabat Nabi, yang kebetulan orang Melayu pun panggil sahabat. Tidak boleh lari dari tiga unsur ini kerana perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. ini sambung-menyambung seperti mata rantai. Kalau tidak ada mata rantai perjuangan begini, perjuangan Nabi akan putus dan sudah tentu tidak akan sampai kepada kita hari ini.

Kalau di Kelantan negeri yang dikira sebagai lubuk ilmu, pun kurang mengaji ilmu-ilmu begini, maka di negeri-negeri lain sudah tentu lagi kurang. Lebih-Iebih lagi mengikut sejarahnya negeri-negeri lain di Tanah Melayu zaman hari itu, menumpang tuah ilmu Islam daripada Kelantan. Kelantan sendiri menumpang tuah daripada tok-tok guru di Patani. seperti Tok Sheikh Daud dan sebagainya .. Jadi satu hal yang perlu kita kena fikir sekarang ialah bagaimana cara hendak memperluaskan ke kampung-kampung pengajian ilmu sirah Nabi Muhammad, sejarah ahli-ahli keluarga dan sejarah sahabat-sahabat baginda. Kepada ustaz-ustaz dan cikgu-cikgu yang Allah taala beri kepada mereka semangat agama dan mempunyai lidah untuk bercakap agama, tolong tanam semangat supaya masyarakat di kampung jangan hanya berasa padan setakat mengaji fikah dan mengaji tauhid sahaja. Jangan sampai dia tidak herasa apa-apa kalau tidak mengaji sirah. Ini tidak betul!! Tauhid ada tumpuannya, fikah ada tumpuannya dan sirah juga ada tumpuannya.

Seterusnya, ambo hendak sebut bila kita memegang jawatan, tentulah ada gaji, ada upah.Sistem upah berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi kerana kita dibolehkan mengambil upah dari tiap-tiap kerja yang halal. Banyak mana upahnya? Alhamdulillah Islam tidak menetapkan, terletaklah di atas budi bicara masing-masing. Imam Syafie di dalam syairnya memberi panduan kepada masyarakat mengenai gaji untuk tok-tok guru yang mengajar. Dia berkata: Sesungguhnya berhak diberi upah 1000 dirham bagi sepatah ajaran. Tok guru ajar alif kena beri upah 1000 rial, ba kena beri upah 1000 rial. Jadi Imam Syafie meminta masyarakat memberi gaji kepada guru ini - sama ada kita hendak panggil tok guru ke, cikgu ke. ustaz ke. asalkan dia mengajar ilmu yang memberi guna dunia akhirat - tiap-tiap sepatah perkataan 1000 dirham. Oleh yang demikian, ambo tentulah ada gaji sebagai menteri besar, ambo sendiri tidak bertanya khabar pun berapa banyak gaji ambo. Cuma ambo hendak beritahu dua perkara. pertamanya, adab semua wakil rakyat Pas di Kelantan dan juga di luar negeri, kita memotong 20% daripada elaun yang diberi. Dengan erti dalam serial kita potong 20 sen. Jadi kalau elaun wakil rakyat 2,000, maka dia kena potong 400 kepada parti. Biarlah ambo sendirinya potong 40%. Jadi dalam 1000 rial ambo hendak potong 400, tinggal 600 rial. Keduanya, ambo hendak masukkan balik 5% ke dalam khazanah negeri untuk pembangunan. Ambo beri 5% sebagai satu simbolik, mudah-mudahan menteri besar Pas selepas ambo boleh potong banyak lagi. Kalau ambo potong banyak mungkin yang akan datang tidak boleh hendak tambah, sedangkan kita hendak kepada peningkatan. Ertinya kalau hendak buat jalan raya pitis ambo terlibal, hendak buat sekolah pitis ambo terlibat, hendak buat apa pun di dalam Kelantan ini, insya-Allah pitis ambo terlibat. Dengan cara ini orang Melayu boleh rasa, orang Cina boleh rasa, orang Umno boleh rasa, orang Pas pun boleh rasa. Di akhirat kelak insya-Allah banyaklah saksi yang akan menolong ambo: Hei Tuhan! Aku terima manfaat daripada orang sekian bin sekian.

Ini semua hendak beritahu kepada masyarakat yang sibuk sangat menyangka bahawa Islam ini ganas, Islam ini pecah belah, Islam ini karut, Islam ini huru-hara, bahawa Islam sebenarnya tidak begitu. Dalilnya., ketua kerajaan negeri Kelantan daripada parti Pas beri pitis dia untuk dimasukkan ke dalam khazanah negeri, untuk dirasai oleh semua rakyat; tanpa kira Pas tidak Pas, Umno tidak Umno, Siam, Boyan, China., Jepun, Dayak, atau orang Asli di dalam hutan. Ertinya semua penyokong Pas tidak boleh tidak, kena berderma juga. Maknanya tidaklah kata bila Kelantan dikuasai oleh Pas, derma tidak diperlukan lagi. Derma ini kita ken a beri terus-menerus, kerana ambo tidak suka tengok kita berpilihan raya menggunakan duit yang tidak halal, belanja dengan duit rasuah. Ambo tidak mahu duit pilihan raya di negeri Kelantan di masa-masa akan datang diperolehi dari duit yang tidak bersih. Kalau kita start berpilihan raya dengan tidak molek, kerajaan yang dihasilkan tidak molek juga. Serupa kita meletak asas untuk tapak rumah. Jika di waktu meletak tapak itu senget, maka rumah yang terbina nanti akan senget juga.

Dalam masa pilihan raya baru-baru ini, banyak orang bertanya macam mana kalau kita guna duit interest. Interest ini barang tidak baik tetapi dengan sebab bank beri juga maka kita terpaksa ambil. Ambo pun suruh orang ambil duit interest jangan dibiarkan dalam bank begitu sahaja. Kita ambil duit interest tetapi kita belanjakan untuk kepentingan ramai. Biasanya kita beli tanah empat lima lori ke, pasir empat lima lori ke, tambun di tempat-tempat yang dikira lecah kemudiannya pakat jijak ramai-ramai. Itu benda-benda yang boleh kita buat. Alhamdulillah, orang-orang pejuang Islam tahu mengenai perkara ini. Jadi dalam masa pilihan raya barn ini banyak orang bertanya: Bagaimana kalau kita guna duit interest untuk beli minyak kereta ke, buat pos pilihan raya ke? Ambo kata jangan! Minta maaf, jangan! Setakat ada duit halal, kita berpilihan raya dengan duit halal. Kalau tidak ada, apa boleh buat, biar Tuhan tahu kita sudah kehabisan pitis, sudah kehabisan ikhtiar. Ketika itu jangan berputus asa. Bila Tuhan tahu di pihak kita sudah kehabisan ikhtiar, Tuhan tidak akan tinggalkan kita dalam keadaan begitu. Mesti ada spare turun dari langit.

Ambo berasa hasil pilihan raya baru ini, macam ada persefahaman di antara malaikat di langit dengan pengundi-pengundi di muka bumi ini. Kalau tidak bagaimana boleh jadi serupa baru-baru ini? Ambo tanya kerani-kerani ambo di bilik gerakan, satu pun tidak serupa pendapat padahal orang Pas sudah buat cula kira-kira setahun dahulu. Bila padu cula dengan apa yang berlaku dalam pilihan raya lebih tinggi berlipat ganda dari jangkaan bilik gerakan. Ambo rasa bilik gerakan pihak lawan kita pun begitu juga., tidak sangka benda ini berlaku. Benda seperti ini tidak susah hendak kata., selain daripada mesti ada bantuan secara langsung daripada Allah S.W.t.. Selama ini kita mengempen juga, merayu juga, berdoa juga tetapi tidak menjadi sebagaimana tahun ini. Tahun ini di samping kita mengempen dan berdoa, kita bersembahyang hajat dan berqunut nazilah. Ambo tidak berhenti-henti membaca qunut ini sejak dari peristiwa pembunuhan Memali (di Kedah, pada 19 November 1985), kecuali terlupa sekali dua. Ambo minta Allah taala tonjolkan perjuangan Islam dan minta Allah taala leburkan perjuangan-perjuangan yang tidak Islam dengan cara mana sekalipun.

Setakat ini benih pertama telah ditanam. InsyaAllah benih ini bernas, berjumpa dengan tanah yang subur dan kita pakat memagarinya daripada serangan musuh. InsyaAllah benih ini akan tumbuh dengan selamat dan akan membuahkan hasil yang baik untuk semua masyarakat di seluruh negeri dan negara. Itulah benda yang ambo hendak sebut sepatah dua., insya-Allah kita sama-sarna berdoa meminta kerajaan ini berpanjangan, berdoa supaya ambo kukuh iman, tidak kelabu mata dengan pitis, tidak kelabu mata dengan pangkat.


- Dipetik dari Tafsir Surah Hud m/s :60-63 – Edited by Abe Joe

0 comments: