Sunday, March 30, 2008

Air Mata Seorang Naqib

Assalamu'alaikum...Hanya sekadar luahan isi hati dari seorang manusia bergelar NAQIB.. moga ikhwah akhawat dapat pengajaran.


(maaf.. ianya agak panjang).

AIRMATA SEORANG NAQIB….

Kita sama-sama masih teringat ketika kita mula-mula bertemu. Tidak ada yang lebih berbahagia di dalam hati ini selain melihat wajah-wajah ceria pelajar-pelajar baru yang begitu bersih dapat menjejakkan kaki ke sebuah pusat pengajian Islam. Memang ayah bonda menginginkan suatu yang terbaik buat mu. Mahukan engkau menjadi orang yang terpelajar dan berguna kepada mereka, kepada agama dan kepada negara.

Ketika hari pendaftaran, kami sama-sama menjengah diri melihat muka-muka kalian. Kalian adalah ibarat rahmat kepada kami kerana dari kaliannya kami mendapat ketenangan dan kesejukan hati. Bagaimana..? akan kami ceritakan segala-galanya nanti!

Kemudiannya kalian di heret ke sana kemari dengan minggu pengenalan. Kalian didedahkan dengan apa yang ada ditempat belajar yang baru ini. Moga kalian dapat berta’aruf dengan cepat di alam baru ini. Kalian bersolat jamaah dan berma’thurat sama-sama. Kalian didudukkan di dalam LDK dan kalian akhirnya menjejakkan kaki ke malam terakhir pengenalan.

Kami masih mengintai-ngintai kalian. Bukan wajah dan gaya… tetapi watak dan budi. Manakah di antara kalian yang akan bersama kami? Manakah di kalangan kalian yang akan mewarisi jejak kami?

Memang kami mengetahui dan menyedari.. kalian datang dengan keinginan yang berbeza. Ada yang ingin mendapat segulung sijil yang nantinya akan dipersembahkan kepada ibu dan ayah. Ada yang tertolak kerana ayah dan ibu menghendaki demikian. Kami faham itu semua… dan itu semua tidak langsung penting bagi kami.

Kalian didudukkan di dalam usrah-usrah akhirnya. Kita sama-sama saling mengenal, mendengar dan memberi. Bercerita dan membaca. Berbincang dan bermesra. Bukankah itu satu titik permulaan yang indah dalam pengalaman hidup kita?

Kita kemudian bertemu lagi dalam tamrin dan dauroh.

Duduk dan mendengar.. makan dalam dulang bertemu kepala.

Kemudiannya tidur diatas lantar tanpahamparan.

Kesemuanya menjadi detik manis dan kenangan yang mungkin sukar dilupakan.

Dari situlah kesemuanya bermula… Kami memerhati dan cuba mengenal. Siapakah dari kalangan kalian yang sudi untuk bersama lebih memahami apa yang sedang kami fikirkan?

Kami hanya ingin mengongsi beban yang sedang kami cuba pikulkan selama ini. Kami faham ianya begitu berat dan tidak mampu ditanggung oleh hanya dua tiga kerat manusia yang lemah seperti kami. Bebannya berat dan perjalanannya panjang. Hasilnya belum tentu diperolehi di masa terdekat.

Kami berfikir dan berfikir … bagaimanakah cara terbaik untuk mengenali siapa dari kalian yang berminat. Kami adakan usrah… kami adakah tamrin dan kami adakan dauroh.. kami adakan mukhayyam… dan entah apa lagi.

Semuanya adalah kerana cuba mengenali kalian..

disamping untuk memberi sedikit sebanyak kesedaran dan ilmu.

Akhirnya …

Kami telah dikurniakan Allah dengan kalian. Kalian menampilkan diri dengan semangat dan kesediaan untuk bersama. Kami begitu gembira. Kami tidak meminta kalian berbuat demikian. Sedikitpun tidak ingin memaksa. Kami hanya membuka jalan dan peluang setelah memberi kesedaran sedikit sebanyak. Alhamdulillah atas segala nikmat dan rahmatNya kepada kita.

kita masih ingat kita mula menjejakkan kaki ke alam baru.. fikrah baru dan ikatan baru. Kalian telah berjaya memujuk hati kalian untuk bersama dalam gerombolan ini. Gerombolan yang ingin untuk melihat dunia berubah ke arah Islam. Kita mula tangkas melayari perjalanan yang sengit ini. Kita cuba menumpaskan nafsu yang kadangkala mengganggu dengan cerita indahnya hidup relaks dan seronok. Tapi kalian telah berjaya menolak itu semua.

Walaupun kawan dan teman lain telah lama dibuai mimpi, kalian kadangkala masih termangu di hadapan kami.. menadah buku dan sedikit risalah. Segalanya hanya untuk memahami Islam yang masih banyak yang perlu dipelajari. Kadangkala teman seronok dihadapan cerita TV dan VCD, tetapi kita menolaknya itu semua.. kerana masa amat berharga bagi kita untuk dibazirkan pada itu semua.

Kadangkala kawan-kawan enak tidur ditilam empuk asrama, tetapi kita terpaksa berjaga malam di mukhayyam hanya semata-mata untuk melatih diri bagaimana indahnya dapat berkorban untuk sahabat yang sedang tidur di lantai bumi.

Betapa banyaknya pengalaman yang kalian telah lalui bersama kami !

Kami cuba memberi apa yang kami terdaya. Segala-galanya adalah untuk menjadikan kalian orang yang bermanfaat untuk Islam. Kami merasa kasihan kepada Islam yang masih menagih cinta dan pengorbanan dari penganutnya. Islam masih terumbang ambing dicampak dan diheret oleh manusia liar. Islam yang sepatutnya tinggi masih digilis-gilis dan dipijak ganas untuk manusia zalim. Siapa yang ingin membelanya? Siapa yang akan meletakkannya ke tempat paling tinggi yang sepatutnya.

Inilah yang kami cuba lakukan. Alhamdulillah, kalian mula sedikit demi sedikit memahami apa yang kami ingin kongsikan. Walaupun kami kadangkala tidak dapat berehat sebagaimana orang lain… tetapi ketenangan mula menjenguk.. ketika melihat kalian mula faham dan mula melangkah. Denyut nadi perjuangan kalian yang mula bergerak-gerak sudah cukup menggembirakan kami… lebih gembira dari sang musafir yang terjumpa kembali untanya yang hilang di padang pasir !

Tentu kalian masih ingat itu semua. Kalian bagi kami adalah lebih mahal dari dunia dan isinya. Kalianlah sumber pahala kami di zaman ketandusan pahala dan bermaharajanya dosa dan maksiat. Bukankah ‘Allah memberi petunjuk seorang manusia dengan hasil usahamu adalah lebih baik dari dunia dan isinya’?. Kerana itu kalian semua lebih mahal bagi kami dari segala harta. Mungkin dari situlah kalian dapat faham, bagaimana susahnya kami kerana menjaga kalian. Betapa banyaknya harta yang kami curahkan kerana kalian. Betapa kami terpaksa melupakan masa rehat dan hujung minggu untuk kalian. Betapa kami sudah tidak mempunyai apa-apa lagi yang dapat kami berikan kepada kalian semua… semuanya telah diberikan. Mungkin sekarang kalian telah dapat fahami. Kerana kalian lebih berharga dari dunia dan isinya

Sukar kami menceritakan ini semua… terpaksa dan semoga ianya menjadi pedoman untuk kalian juga. Bahawa hidup seorang yang tahu di mana Islam berada sekarang tidak memungkinkannya sempat membina istana dan mahligai. Tidak memungkinkannya bergembira di setiap hujung minggu dengan anak isteri. Tidak mungkin berpeluang untuk menikmati hari-hari perlancongan dan santai tanpa matlamat dakwah. Tidak mungkin berenak dengan kenderaan besar dan mewah. Bagaimana ia boleh berbuat demikian sedangkan Islam masih menunggu pendokong yang akan menyelamatkannya?

Kerana memahami itu semua, kami wakafkan diri kami untuk kalian. Biarlah manusia lain dengan dunianya.. namum kita tenang dan gembira dalam alam kita sendiri. Walaupun orang lain melihat kita dalam kesukaran dan kesusahan hidup, namum itulah kebahagian kita !

Matlamat kami.. melahirkan kader-kader yang akan bekerja untuk Islam. Keinginan kami.. apabila kalian telah melangkah keluar dari sini.. kalian telah menjadi manusia muslim baru yang membawa bersama-sama obor yang akan menyuluh tempat-tempat yang masih gelap di pelusuk sana. Itulah sahaja matlamat dan cita-cita kami.

Kami tidak mampu memberi kalian kerja yang bergaji mahal. Kami tidak sanggup menjanjikan jawatan selepas kalian keluar. Itu semua adalah suatu yang kerdil bagi kami. Ianya mampu dicari oleh sesiapa walau bagaimana keadaannya sekalipun. Yang lebih penting dari itu semua alah kami tidak mahu kalian tenggelam di dalam kancah dunia yang sedang bergelumang dengan materialisma yang tidak mampu diharungi oleh manusia biasa. Kerana itulah kami cuba bekalkan kepada kalian dengan kekuatan dan kefahaman. Lebih dari itu, kami mahukan kalian menjadi manusia yang akan membawa manusia lain untuk bersama-sama dalam perjuangan kita yang masih panjang.

Kami cuba sedaya upaya untuk mengajak kalian memahami bahawa apa yang kita buat ini bukan kerana tempat belajar kita. Bukan kerana wajib atau ingin menjaga hubungan dengan pensyarah. Bukan kerana markah atau prestasi. Kami cuba memotong tali-tali yang mengikat kalian dengan itu semua. Kami membawa kalian ke luar sana… berjumpa dengan mereka yang telah mendahului kita di atas jalan ini. Melangkah ke luar negara.. berjumpa dan mengambil pengalaman mereka. Mereka semua adalah se jalan dengan kita.. berjuang menegakkan fikrah yang sama!

Perit letih kami tidak sia-sia. Kalian mula melangkah ke garisan-garisan akhir bersama kami dengan sabar dan tekun. Kalian langsung tidak menunjukkan rasa jemu dan bosan. Walaupun telah ada dikalangan kalian yang telah kecundang setelah beberapa lama, namum kalian masih

thabat teguh. Kalian mula faham bahawa kerja kita perlukan disiplin yang tinggi. Kerja kita perlukan jamaah dan ketaatan. Kerja kita perlukan syura dan perbincangan dengan naqib/naqibah yang telah begitu lama memimpin tangan kita sejak kita masih bertatih-tatih di permulaan perjalanan. Kerja kita memerlukan kita tidak putus dan bersama dengan jamaah di mana saja kita berada.

Di saat berpisah, itulah harapan kami. Gembiranya hati kami melepaskan kalian menuju ke destinasi masing-masing. Betapa inginnya hati kami untuk mendengar deringan telefon dari kalian.. menceritakan pengalaman baru kalian di kampung dan kawasan masing-masing.. setelah mendapat title baru bergelar ‘DA’I’. Betapa tak sabarnya kami ingin menatap tulisan dari kalian .. bercerita bagaimana kalian telah mula mengumpul mad’u-mad’u baru ditempat kalian. Betapa gembiranya kami nantinya mendengar kalian mula ke sana-kemari mengikuti program bersama ikhwah dan akhawat di tempat baru kalian. Kami tidak dapat bayangkan bagaimana gembiranya hati kami bila mendengar naqib/naqibah baru kalian begitu memuji kesungguhan dan semangat yang kalian tunjukkan. Ketika itulah kami akan mengurut dada gembira… airmata kami berlinangan kegembiraan.. betapa tanaman kami telah menghasilkan buah. Usaha kami selama 3 tahun kalian bersama tidak sia-sia !

Hari berganti hari.. kami di sini terus dengan kesibukkan melayan adik-adik kalian yang terus tiba semester demi semester dan cuba untuk menjadi pelapis kepada kalian. Mereka bersemangat untuk meneruskan apa yang telah dilakukan oleh kalian. Mereka masih ingat ketika kalian bersama-sama mereka di usrah, tamrin, dauroh dan mukhayyam. Mereka masih ingat.. kalianlah yang mendidik mereka dan mengasuh mereka sedikit sebanyak. Kami terus membantu mereka sekadar kemampuan kami ini.. agar mereka menjadi seperti kakak-kakak dan abang yang telah tamat belajar.

Hari terus berganti… kami masih menunggu sepucuk warkah atau sedering telefon… atau sepatah salam dari musafir yang pulang. Namum bayangan masih kelam. Hari berganti minggu dan minggu berganti bulan. Hati kami mula bimbang. Apakah yang telah terjadi kepada anak-anak kami yang telah pergi? Kami mula bertanya kepada musafir yang lalu… atau kepada ikhwah dan akhawat yang berjiran.. dimana anak-anak kami.. pernah terdengar ke si anu dan si anu? Jawapan negatif membimbangkan kami tentunya.

Kini beberapa bulan berlalu sepi tanpa berita. Bagi kami.. cukuplah tempoh yang bernama bulan untuk menghancurkan sedikit semangat dan pegangan kita. Hati kita sentiasa di intai syaitan. Tidak ada manusia yang boleh mendakwa dia akan kuat tanpa jamaah. Tidak akan ada kambing yang tidak keseorangan yang tidak di makan serigala bila keseorangan.. kerana memang serigala ada di mana-mana. Paling kurang kita akan mula hilang ketajaman sensitif terhadap matlamat kita. Kita sudah boleh mulai lupa tujuan dan halatuju hidup dan perjuangan kita. Suatu yang begitu membara di dalam hati kita ketika kita bersama dulu mula pudar dan tinggal dingin.

Satu demi satu berita kami terima mengenai hal kalian… jika ketika berpisah kami menjangkakan kami akan menitiskan airmata kegembiraan mendengar ketangkasan dan keaktifan kalian… tetapi … titisan sebaliknya mula mengalir..

Apa yang telah terjadi kepada kalian? Apa yang telah kalian lakukan? Kami mula sebak… ketika huruf-huruf ini disusun, kami tidak dapat menahan air mata lagi. Bersama baris-baris yang keluar… kami iringi dengan cucuran yang tidak dapat ditahan..! Ianya bukan satu buatan. Ianya bukan rekaan satu cerita dan cerpen. Ia adalah satu kenyataan yang telah berlaku beberapa ketika lalu dan… air mata ini masih panas. Ianya adalah perasaan sayu kami bila harapan telah mulai berkecai. Satu demi satu harapan bangunan yang kami bina dan kami atur batu bata negara Islam dan khalifah yang kami inginkan berantapan jatuh di hadapan kami. Kalau dahulu kami harapkan kalian akan menjadi tangan-tangan yang akan bersama-sama mengangkat batu batu yang lebih berat dan menjadi pembina bangunan ini… kini segalanya hampa.

Tanpa kami sedari, ada di kalangan kalian yang mungkin terasa amat gembira terlepas dari alam kita. Ada yang merasakan dunia dakwah suatu yang menghimpitnya.. suatu yang mengurungnya. Barulah kami sedari rupanya selama ini, itu semua adalah sebuah lakunan. Ada antara kalian rupanya sudah tidak ingin lagi bertemu muka dengan kami. Rupanya dulu kami adalah penyibuk yang mengganggu hidupnya. Sekarang dia telah bebas.

Kami mula kecewa… kami mula berfikir.. apakah dosa kami. Kami hanya menghulurkan tangan untuk memimpin kalian mengenal sedikit tanggungjawab kita semua.. tanggungjawab dakwah dan amal Islam. Kami gembira kerana sebelum kalian keluar.. kalian telah memahami itu semua.. tetapi sekarang kenapa ini semua tiba-tiba berlaku?

Kalian datang ke sini… tetapi muka kamilah orang yang paling tidak ingin di lihat dan ditemui. Apakah kalian telah mencampakkan kasih sayang yang telah kami berikan selama ini. Apakah muka kami begitu buruk untuk dilihat? Apakah suara kami begitu menyakitkan untuk disapa?. Jika kalian datang dari jauh kerana sesuatu subjek dan untuk mengutip markah bagi sekeping sijil, apakah pelajaran-pelajaran yang sama-sama kita pelajari di usrah dan dauroh sudah tidak bernilai dan tidak berharga? Atau apakah kalian telah melayakkan diri untuk dipanggil anak derhaka? Kalian segera berlepas pulang. Kami hanya mendengar si anu telah datang. Tanpa sepatah salam kami terima, mungkin ia terlalu mahal untuk dikirim. Tiada helaian kertas ditinggalkan.. mungkin dakwat pena terlalu berharga untuk dicoretkan.. Kami hanya mendengar dengan hiba dan air mata mengalir lagi.

Masa berlalu… dan kami mula berfikir sendirian. Mereka terlalu sibuk. Mereka ada urusan sendiri. Mereka sedang masuk ke alam kerja. Walau ada di kalangan mereka kami bantu untuk meneruskan kehidupan mereka… mencarikan mereka kerja dan tempat pengalaman. Namun setelah berjaya .. sepatah perkataan pun tidak didengari. Mungkin terlalu sibuk dengan pekerjaan. Alhamdulillah. Kami sekali lagi menjadi hampas yang dicampakkan ke tong sampah!

Kami tidak inginkan pembalasan. Kami tidak pahala dari kalian. Cukuplah Allah sebaik-baik pembalas. Apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan kekal. Kami akan tetap begini hingga ke akhir hayat.. selagi Allah masih memberikan kekuatan. Kerja kami ialah mengumpul tenaga-tenaga orang seperti kalian, memberi sedikit sebanyak ilmu dan kefahaman, mendidik apa yang terdaya agar ada tenaga baru untuk Islam. Kami tidak inginkan harta kalian, tidak perlu kepada pujian dan sanjungan kalian. Tidak berhajat ingatan dari kalian, tetapi kami hanya mahu mendengar kalian telah menyambung dan menjadikan kerja Islam sebagai sebesar-besar tugas. Kami hanya mahukan dari kalian menghidupkan jiwa-jiwa manusia yang telah mati. Itulah tanda kesetiaan kalian terhadap kami. Sebenarnya itu adalah janji kalian kepada Allah bila kalian berjanji untuk bersama kami. Allahlah yang akan menuntut janjiNya dari kalian.

Ketika kami mendengar ada di antara kalian mula terlupa atau melupai tugas ini, maka kamilah orang yang mula-mula menangis. Kalian tentu faham bahawa tanda awal ialah bila kalian tidak lagi bersambung dengan jamaah. Bila ada antara kalian yang merasakan kalian mampu hidup sendiri, kalian sebenarnya kalian telah silap. Hidup sehari tanpa jamaah dan tanpa kerja Islam bermakna kalian telah meranapkan harapan kerja besar kita. Dan tanda awal putusnya kalian dengan jamaah ialah bila kalian sudah tidak mempunyai naqib dan usrah. Tanda awalnya apabila kalian telah mula membelakangkan naqib/naqibah dalam membuat keputusan dalam hidup kalian. Apakah kalian merelakan diri kalian untuk menjadi peranap kepada cita-cita Islam kita.? Apakah kalian tidak takut kepada balasan Allah bagi mereka yang meninggalkan tugas ini?

Biarlah kami berhempas pulas di sini.. berhujan berpanas dan berembun. Mengorbankan masa rehat dan wang ringgit kami demi melahirkan orang seperti kalian. Biarlah kami terus begini… walaupun kami tahu mereka semua juga mungkin akan menjadi seperti kalian.

Biarlah kami terus berusaha .. melahirkan anak-anak yang akan menderhakai dakwah dan tanggungjawab Islam! Ingatlah.. kerja ini bukan hanya dengan angan-angan dan azam semata. Cukuplah kalian layak dipanggil anak derhaka bila dakwah dan amal Islam hanya menjadi angan
dan azam. Betapa ramainya orang yang mampu berangan dan berazam seperti kalian ! Tapi dimana usaha dan curahan tenaga? Siapa yang akan ke medan, menarik tangan-tangan manusia yang sedang hanyut jika semua hanya berangan dan berazam untuk menarik? Alangkah mudah berangan dan berazam!

Bebanan perasaan yang kami pikul sebenarnya lebih berat dari bebanan tugas ke sana ke mari mengendali program dan mendidik kalian. Apa sangat berat berjaga malam, membelanjakan ringgit dan berceramah dan mendengar masalah kalian jika hati kami gembira melihat hasilnya. Apa sangat itu semua jika hati bahagia melihat kalian menjadi orang yang akan mewarisi kerja yang telah kami buat. Kesemua berat dan beban hilang dan tak mungkin terasa setelah melihat kalian telah menerangkan bumi yang gelap seluruh pelusuk bumi.

TETAPI… sekarang kami telah kehilangan segala-galanya.

Ketenangan yang kami ingin cari melalui pengorbanan ini telah juga hancur. Bahkan ianya lebih berat dari bebanan fizikal dan material. Kami telah melalui beberapa generasi kalian. Pengalaman akhirnya menyimpulkan kepada kami bahawa kami hanyalah manusia tak berguna dan pengganggu dalam hidup kalian.

Ketenangan hati yang kami ingin hirup dari usaha mentarbiyyah kalian hanya menambah luka yang telah ada… Apakah kalian sedar?

Kami iringi kalian dengan doa dan airmata. Pergilah kalian dengan sijil yang telah diperolehi dari sini untuk menjenguk dunia yang tiada bertepi. Harungilah hidup demi mencari ketenangan dan kebahagiaan melalui jalan yang kalian pilih sendiri. Kami tetap memilih ketenangan dan kebahagian melalui jalan kami sendiri.

Walaupun kalian telah melukai hati kami… kami hanya akan menyalahkan diri kami sendiri. Mungkin kamilah yang menyebabkan kalian jadi begitu. Mungkin kami belum memberikan yang terbaik untuk kalian. Mungkin kami belum mengorbankan apa yang sepatutnya kami korbankan. Mungkin.. kami lah yang bersalah.!

Kini segalanya hanya tinggal kenangan. Kami tidak mengharapkan kepada kalian lagi. Jika kalian mahu terus hidup sebagaimana manusia lain… teruskanlah. Bahkan jika kalian mahu menjadi manusia yang jauh berlainan dari kami… teruskan. Moga Allah mengampunkan kami dan kalian. TAPI ingat ! Dakwah tidak memerlukan kalian untuk hidup. Dakwah adalah satu yang kuat dan kukuh kerana ia berhubung dengan Allah Yang Maha Perkasa. Kitalah yang memerlukan dakwah. Dakwah boleh bersama orang lain jika kita enggan. Tetapi apa ertinya hidup kita tanpa dakwah? Dakwah adalah nyawa dan roh kita. Jika kita berpisah darinya…. Kita sebenarnya telah mati ! Kita akan terkulai layu ibarat bunga yang telah dipetik dari pokoknya !

Tinggalkanlah kami menangisi anak-anak yang telah pergi. Anak-anak yang telah mencampakkan kasih sayang yang cuba kami hulurkan. Mungkin cinta kami tidak seindah dunia yang menunggu diluar sana. Biarlah cinta itu dikutip oleh manusia lain yang tahu menilainya.

Apakah kalian tidak mengerti ini semua… apakah cinta kami tidak bermakna untuk kalian. Adakah ianya terlalu murah. Kami berkorban untuk kalian lebih dari anak dan saudara kami sendiri, kerana bagi kami tali akidah dan fikrah lebih kukuh dan erat dari tali kekeluargaan.

Kalian lebih kami sayangi dari saudara sedarah daging dengan kami. Kami berikan apa yang terbaik apa yang kami ada. Kerana kami tahu.. kalian adalah penerus generasi da’I yang hampir pupus. Apakah kalian tidak merasainya?

Memang kami tidak memberikan makanan yang mahal-mahal untuk kalian. Kami tidak membelikan pakaian indah untuk kalian. Tetapi apa erti makanan dan pakaian jika kalian hanyut di alam sesat jahiliyyah..?

Hayatilah kata-kata Imam al-Syafie: "manusia sebenarnya ialah yang merasai kecintaan yang diberikan kepadanya walaupun sebentar". Berapa lamakah kecintaan yang telah kami berikan kepada kalian… apakah kalian tidak merasainya?

Kalian melihat kami tersenyum… ye.. senyuman yang kami buat-buat untuk mengubat rindu kepada kedamaian semalam yang telah tiada lagi. Senyuman untuk menandakan kami masih mampu berlakun dengan hati yang telah disiat-siat. Berilah senyuman kepada kami, hulurkan tangan kalian untuk kami salami…. Tetapi hati ini tidak mungkin terubat tanpa penghayatan dan penunaian janji yang telah sama-sama kita buat semasa kita di sini!

Cukuplah… kami hanya akan bersama dengan yang memahami dan merasai cinta kami. Bagi mereka yang mempunyai kekasih lain… pergilah.. semoga kekasihnya akan memberi kebahagian dan ketenangan untuknya. Bagi kami… di jalan dakwahlah kasih awal dan akhir kami.

Jika kami sendiri futur akibat apa yang telah kalian lakukan, maka bersedia kalian untuk menerima sahamnya. Kalian telah mengecewakan kami sedikit sebanyak. Kalian telah menyebabkan kami tidak percaya lagi kepada manusia… hingga sampai satu ketika.. kami merasakan sudah tidak wujud lagi harapan di dunia ini. Apa tidaknya.. keseluruhan anak-anak kami tidak dapat meneruskan usaha kami? Jika itu yang berlaku kepada yang awal… maka bukankah sama pada yang akhirnya?

Tolong … jangan jadikan kami futur.. berilah harapan.

Moga adik-adik kita di sini dan di luar sana dapat menghirup sedikit dari limpahan cahaya Ilahi yang kita sama-sama tidak ingin padam.

Wassalamu’alaikum.

CATATAN SEORANG NAQIB YANG HINA

Artikel ini adalah sekadar petikan. Bukan karangan asal penulis. Harap Maklum

"Read More..."

Sunday, March 16, 2008

Tarbiyyah.. biarlah dengan hati..

"Abg Jo, nanti jangan lupa ingat-ingatkan ana ye kalau ana semakin jauh dengan Jemaah" Pesan salah seorang peserta tamrin sebaik tamat menjalani tarbiyyah yang pernah diadakan di Pahang.

"Sepatutnya antum semua juga lebih patut saling ingat mengingati, jangan harapkan abang sahaja yea" balas saya. Bukan menafikan tanggungjawab dan melepaskan adik-adik, namun jauh di sudut hati berharap semoga konsep ingat mengingati dapat diamalkan sesama mereka. Alhamdulillah, sedikit kesedaran terpahat di sanubari adik-adik setelah teman-teman memohon agar penekanan kepada isu- Kegelinciran Dalam Jemaah dalam kebanyakan sesi yang kami lakukan.

Sememangnya semasa program di Pahang itu, saya dan sahabat  memang diundang sebagai urusetia dalam pengkaderan adik-adik baru. Pada program tersebut, saya dan Li diberi amanah untuk slot disiplin. Memang harus tegas dan berhati-hati, kerana niat datang untuk mendidik bukan menghukum.

Juga secara tak sengaja setelah beberapa rakan melihat saya  'syok' memberi penjelasan untuk slot awal tamrin mengenai aqidah, perkara yang amat suka disentuh setiap kali saya memberi sedikit pengisian.

"Jo, nta tolong backup fasi... pegi setelkan budak tuh" bisik seorang sahabat.

Saya yakin, mungkin terdapat permasalahan yang wujud. Telahan saya ternyata benar setelah melihat peserta tamrin yang hebat berbahas dengan fasi setelah diminta untuk melakukan aksi yang pada fikirannya tidak munasabah dilaksanakan.

"Ish diorang ni, ada ke nak main-main gini masa tamrin" bisik hati saya.

Walaupun tak bersetuju dengan tindakan tersebut, atas dasar terpaksa menjaga nama baik fasi kelompok 'pendidik' ini. Terpaksa berhujah sehingga tindakan yang dilakukan nampak relevan. Satu tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan. Namun boleh dilaksanakan selagi hal tersebut tidak melampaui batas dan melanggar prinsip tarbiyyah, tapi bukan suatu yang tidak dalam perancangan asal.

"Huh.. harap-harap lepas ini tak berulang lagi" saya berdoa.

Inilah dilema.. melihat golongan pentarbiyyah bagaikan maksum dari sebarang kesilapan. Niatnya alhamdulillah bagus, untuk mematikan ego peserta yang rata-rata datang bukan dengan ilmu yang kosong. Penting mematikan ego peserta agar mereka akur dengan kesilapan, namun dugaan akan kembali kepada fasi sendiri- Ego kerna berjaya mematikan hujah mereka sehingga dengan relahati menerima hukuman.

"Astaqfirullah... astaqfirullah.." saya beritiqfar berkali-kali, memohon ampun dari tindakan dan hujah sehingga peserta akhirnya akur menerima hukuman membersihkan tandas kerana ketandusan hujjah.

Sememangnya, apabila mengendali program-program sebegini. Adik-adik akan memandang tinggi fasi apabila hujah-hujah dimatikan. "Wah.. hebatnya abang ini"..."Tingginya ilmu dia".. "Macam mana agaknya aku akan jadi begini".. tuh skrip-skrip yang akan terlintas bila menjadi peserta. Melihat para fasi yang jarak bagai bumi dengan langit dengan kita.

Saya pernah mengalami perasaan sama, pernah memandang tinggi fasi semasa dikaderkan di peringkat Matrik. Hatta, ayat yang biasa boleh jadi agal janggal bila melalui proses ini. Namun sekarang giliran saya pula.

Malam itu, slot kemuncak sebagaimana dirancang. Kebarangkalian pelbagai denda yang akan dikenakan. Group pertama datang setelah confirm dijatuhi 'hukuman'.

Adik habis kuyup disimbah beberapa baldi air oleh sahabat saya Li. Air yang tidak pasti tahap kesuciannya.

Saya menghampiri, perlahan dibisik ditelinga.. "Istiqfar Li, doa-doakan kita simbah air kerana Allah. Jangan ada rasa walau sedikit ego dan bangga diri dapat memperlakukan adik-adik sebegini. Kalau hati kita elok, insyaAllah ada kesannya".

Saya memandang, amat penting juga perkara sebegini dilakukan berdua, sekurang-kurangnya salah seorang dapat mengingatkan sahabat lain agar tindakan tidak terbabas dalam niat sebenar mendidik adik-adik. Kerna saat menyimpah dengan rasa hebat tanpa teman memberi ingat, risau-risau itulah peluang untuk syaitan menjolok hati - mempamer kehebatan diri.

Alhamdulillah, adik-adik dapat menerima hukuman tersebut dan mengakui kesilapan diri walau luarnya kelihatan aksi menyimbah yang luaran dilihat tidak menyenangkan hati. Syukur, impak bukan sekadar kepada peserta namun sebenarnya diharap kepada diri sendiri. Mungkin adik diisi dengan ilmu, namun lebih penting bagi si'pentarbiyyah' dalam mendidik jiwa. Begitulah, bagi aku cukup sekadar itu aku jadikan 'benchmark' dalam kejayaan program tarbiyyah kami.

TARBIYYAH BIARLAH DENGAN HATI

Dalam mendidik jiwa, biarlah dengan hati. Guru-guru yang mursyid kesemuanya memberi peringatan dengan hati. Walau perlakuan dan tindakan berbeza, namun roh dalam hati tetap terjaga.

Peringatan ini bukan suatu yang patut dipandang remeh, apatah terus diabaikan. Usah berbangga dengan modul yang hebat dan dirasakan berkesan andai nun jauh dicelah-celah hati masih tidak terpalit rasa keikhlasan dalam menyelamatkan roh-roh yang lain.

Namun harus diingat, keikhlasan dalam amalan tetap dilapik dengan ujian. Allah terkadang menjadikan para madu' memandang tinggi kepada mereka yang pernah mendidik mereka sebelum ini. Aura keikhlasan yang terpancar membuahkan pujian-pujian yang terkadang boleh melekakan kembali kita. Dimuliakan memang tidak menjadi kesalahan, namun bagaimana mengawal diri sebaik diri dimuliakan adik-adik.

"Sedaplah nta baca doa".."ada orang cakap, best pengisian yang nta bagi"... "ana panggil anta pun atas permintaan orang ramai" .. tuh antara ayat-ayat yang terkadang cukup menjadikan para daie mula terbuai-buai dengan fantasi sendiri. Mula merasakan diri dimuliakan... mula membuat muka-muka tawadhu'.. mula bercakap dengan lemah lembut.. mula tersenyum manis memperlihatkan muka-muka 'bersih'.. mula menyusun langkah yang cukup tertib. Mula seronok dan gemar bila insan-insan lain bercakap mengenai dirinya. Kalimah-kalimah tersebut mula disemat sebagai inspirasi. Hati mula terdetik, "andai aku tidak ikhlas.. mana mungkin bicaraku boleh menjentik hati-hati lain".. "andai bacaanku dan doaku tidak bagus.. mana mungkin teman-teman memuliakanku menjadi imam".

Itu sekadar gambaran, bagaimana talbis iblis yang hebat menyerang golongan daie. Dulu dirinya tidak diperhatikan mata-mata umum lantaran diri yang sentiasa diselaputi dosa. Sekarang dirinya 'dimuliakan' bila terlibat dengan kerja-kerja Islam. saat itu, kita mula memandang jijik dengan diri yang dahulu dan berbangga dengan diri yang sekarang. Tidak salah memandang jijik dosa-dosa... namun lebih merisaukan bila berterusan merasakan diri yang bagai maksum sebaik diri berhijrah.

Baru-baru ini agak kecoh dalam group memperkatakan pendekatan Syadid (Keras ) dalam hal-hal pentarbiyyahan khususnya Tamrin. Tiada panjang yang ingin dijelaskan kecuali mengingatkan kembali kepada hal hati ini. Isu Pendekatan Tarbiyyah Syadid(Keras) atau lembut usah dijadikan perkara pokok untuk dibahaskan yang dilaksanakan. Sebenarnya tiada perkara pertama yang harus disandar dalam tarbiyyah melainkan menjaga hati. Pendekatan lembut atau keras hanya suatu kaedah sahaja, andai faktor utama diabaikan. Pendekatan Syadid boleh bertukar menjadi medan membalas dendam dan kena mengena, manakala pendekatan lembut boleh menjadi medan bergurau senda dan bermain-main.


AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Wednesday, March 5, 2008

Masa Untuk Berubah

Photobucket

"Read More..."

Tuesday, March 4, 2008

Derita Diri Mula Menyaksi Perjuangan

Aku selsema lagi... baru 2 minggu rasanya diri terasa ringan untuk menghirup udara segar. Kini batuk-batuk kecil mula menyapa diri. Risau ingin menelefon bonda di kampung, takut-takut dimarahi atas salah tafsir terhadapku yang membiarkan diri terus menderita. Tiap kali khabar rindu ditanya, tiap kalilah bebelan kasih bonda membasahi corong telinga.

Bukan tidak bena dengan kesihatan diri, alhamdulillah kekuatan untuk terus berjuang melawan puak-puak munafik masih menebal. Hujan bukan sengaja ditadah, namun tidak harus takut untuk diredah moga menjadi saksi atas perjuangan ini.

"Alamak.. hujan pulak nie syeikh, baju hujan takdak nie" Temanku berbisik sebaik motosikal kami berhenti disimpang isyarat. Tugas kami hari ini menjaga keselamatan calon yang bertanding. Lagak bagai marshal walau CC motor kami 6..7.. kali kurang kuasa berbanding kuda putih yang sentiasa digeruni. Namun dengan kudrat singkat itulah juga kami teruskan dalam menjaga keselamatan. Kelebihan sumber material, bukan pengukur lemah atau kuat perjuangan. Terkadang rasa malu saat konvoi kami berhenti dipersimpangan. 3 buah motor, sebuah kereta milik calon serta sebuah storm yang setia ke sana ke mari, berkempen untuk kemenangan Islam. Sedang disebelah, jentera biru yang hebat bergaya yang dilitupi bendera.

"Takpa tuan, InsyaAllah titis-titis hujan menjadi saksi perjuangan kita," aku memujuk diri dan sahabat. Teman kembali bersemangat. Gerombolan kami menderu pantas sebaik lampu hijau menyala. Semput-semput enjin motor tidak menyemputkan jiwa kami. Alhamdulillah, konvoi kami berlalu dengan cukup beradab walau awal-awal berlaku sedikit kesilapan. Teman yang mengepalai menahan kereta lain walau isyarat disebelah kami masih lagi merah. Nyaris-nyaris berlaku kemalangan akibat kecuaian yang dilakukan sendiri. Terus aku memberi teguran sebaik konvoi berlabuh bertemu kaum india dan cina yang sedia menanti kami.

"Jangan langgar lampu merah tuan, biar orang BN jaa buat macam tuh.. kita jangan tiru. Tok Guru pun beri hak kepada pengguna lain.." aku memberi sedikit teguran. Di sandarkan terus hujjah dengan perlakuan Tok Guru. Tips yang senang agar kata-kata tidak hanya dari diri sendiri. Kata-kata terus dipegang sahabat.

Mula-mula diamanahkan, agak kecewa. Maklumlah... semasa hari penamaan aku ditugaskan memandu storm mengiringi calon. "Baru orang gerun sikit... ingat pejuang Islam hanya layak pakai motor aja kaa".. hati berbisik setiap kali kenderaan kami berselisih dengan penyokong musuh politik. Badan ditegakkan menunjukkan keseriusan kami menundukkan pandangan sang musuh.

"Takpe.. time-time nie kita boleh berlagak dengan mereka tuh, jangan tunjuk lembik. Tegappp.. tegap.. " gurauan serius aku kepada teman-teman yang bersama.

Rasa sedikit kecewa bila ditugaskan untuk mengiringi calon menggunakan motor kapcai sendiri. Musnah harapan yang dipasang awal sejak bertolak dari rumah.

Apa sangat kalau memandu motor nie.. kalau nak dibandingkan dengan memandu storm. Bergaya.. gah... sampai pon orang tengok walau storm tuh bukan milik kita.. Berebut kami ingin menjadi pemandu, apatah lagi aku yang sememangnya sudah 90% confirm.. datang-datang orang lain ditugaskan. Bukan pasal apa, malas melakukan yang lain kerana lebih meletihkan.

Sesambil memakai kasut aku mula memujuk diri. PERJUANGAN BUKAN MELAKUKAN SESUATU YANG KITA SENANGI, SELESA DAN DIRASAKAN SERASI DENGAN DIRI SAHAJA, NAMUN TURUT MELIBATKAN HAL-HAL DALAM PERKARA YANG TIDAK DIGEMARI APATAH LAGI ITU ADALAH ARAHAN.

"Allah ingin menguji aku rupanya, Dia takdirkan aku untuk menjaga diri dari menjadi orang-orang yang ingin berjuang secara 'berseronok'. Alhamdulillah, temanku lebih layak.. dia yang lebih layak.. mungkin dia dapat menjaga hatinya tidak seperti aku," hati berbisik.

Alhamdulillah, dibuka pintu hati agar menyedari ujian halus sebegini.. jiwa sebegini tidak harus bertapak dalam diri semasa berjuang.

Jiwa sebentar termenung, hati aku cuba merenung.. apakah kebaikan untuk menunjuk-nunjuk selain bukan untuk kepentingan agama. Menunjuk-nunjuk untuk kepuasan dan pujian orang terhadap diri. Ria' sekali pandang mempunyai pertalian dengan munafik. Apa tidak munafiknya... andai seseorang menunjuk-nunjuk atas perlakuan Solat, bererti dia secara tidak langsung mengakui nilai solat, mengakui bahawa andai Solat didirikan baik.. maka pujian manusia kepadanya.. andai solat dilakukan sempurna, kehormatan manusia kepada dirinya.. Walhal solat adalah dari Allah, dan wujudnya 'nilai untuk manusia menunjuk-nunjuk kerana nilai solat itu'. Andai solat tiada nilai, untuk apa manusia menunjuk-nunjuk dalam melakukan hal sebegitu. Cuma sandarannya yang silap... sandarannya kepada manusia bukan kepada Allah. Bagai lagak aku yang cuba memandu kenderaan tadi, walau kenderaan bukan milik diri, menagih mata manusia untuk menyaksi..

Astaqfirullah...

"Read More..."