Saturday, January 26, 2008

Jiwa menagih hijrah

Sampai ke pejabat seawal jam 7.00, suatu yang agak mustahil suatu ketika dulu. Bermula dengan seawal 12 tengahari, seterusnya kepada normal jam 10 bagi tempoh yang agak lama.

Alhamdulillah, perbincangan dengan rakan-rakan dalam kumpulan syarikat membuahkan hasil dengan masa yang seawal 9 tercatat dalam minit kami setelah ada yang merasakan terlalu awal untuk mewajibkan partners untuk menjejak pejabat seawal 8.

BUAT DALAM FAHAM

Aku teringat apabila pertanyaan bertulis aku kepada Pakar Motivasi terkenal Datuk MFK bagaimana mengeluarkan potensi dan disiplin diri yang terpendam tanpa menggunakan pendekatan PAKSAAN MENDATANGKAN KEBIASAAN. Sambil menganalisi diri aku melalui tulisan (kenali diri melalui tulisan antara topik yang sering di bawa oleh beliau), satu patah perkataan diberi dalam menjawab persoalan tersebut- FAHAM.

Aku termenung juga menganalisis ilmu tersebut, memang ada kebenarannya. Sepintas aku teringat rukun baiah pertama yang diletakkan oleh As Syahid Hasan Albanna daripada sepuluh rukun tersebut adalah FAHAM yang daripadanya lahir usul 20.

AKU MASIH TAK FAHAM


Aku cuba menghayati dan mendalami maksud tersebut. Tapi kenapa masih tiada kekuatan dalam melakukan tindakan. Sedangkan aku rasa aku sudah cukup 'faham' dengan apa yang harus dilakukan.

Sebenarnya, apa yang ingin dikaitkan adalah dengan apa yang berlaku terhadapku dan saudara muslimku yang lain. Kita yang dikatakan 'cukup faham' kenapa perlu beribadat serta menjadi pejuang-pejuang agama Allah. Andai diri FAHAM kenapa masih lagi ada lompong-lompong dalam perkara-perkara yang kita lakukan. Ini bermakna kita sebenarnya masih menanti dan mencari erti KEFAHAMAN yang sebenar untuk dihayati.

Aku cuba mencari istilah dan pendekatan sendiri dalam menghayati perkara ini.

PAKSAAN SEBAGAI PELUANG

Terkadang aku terfikir bagaimana menjadikan diri yang cukup istiqamah. Sebenarnya kedatangan awal ini masih bukan suatu catatan kefahaman dalam diri lagi. Tidak lain kerana terpaksa menghantar adindaku untuk ke tempat kerjanya lebih awal. Namun alhamdulillah, aku jadikan paksaan ini sebagai suatu peluang sebagai modul disiplin dalam memberi kefahaman kepada diri.

Bila diri digelar mukmin, seharusnya segala peluang wujud harus disandarkan kepada Deen Islam terlebih dahulu. Paksaan untuk ke pejabat lebih awal, adalah peluang untuk kita beribadat Subuh lebih awal atau yang lebih manis andai berpeluang berjemaah di masjid.

Paksaan untuk berpindah, peluang untuk mencari ketenangan hidup dan berhijrah ke tempat yang lebih diredhai (Seeloknya berjiranlah dengan Rumah Allah).

CARILAH TUNJANG PERUBAHAN DIRI


Andai diteliti kembali bagaimana tarbiyyah Rasulullah kepada pengikut dan umat-umatnya adalah mempunyai unsur-unsur yang sama.

Kerana itu terdapat ulama yang menyatakan (mohon maaf terlupa nama),
"Bagi kebaikan itu terdapat saudaranya dan bagi kejahatan itu terdapat saudaranya".

Bagaimana Rasulullah mendidik manusia yang berjiwa liar dengan disunatkan berpuasa.

Sememangnya kita maklum bahawa puasa dapat mendidik dan mengekang nafsu liar manusia secara hikmah dan barakahnya. Namun, andai diperhati dari satu aspek lain kita boleh melihat bagaimana perkara-perkara tersebut terhindar apabila 'paksaan dalam menjaga syarat sah' secara tidak langsung menjadi suatu tunjang dalam menghindarkan diri dari terus melakukan keburukan.

Contoh lain bagaimana Rasulullah sendiri didatangi oleh seorang lelaki yang tidak dapat membuang tabiat zinanya. Namun setelah Baginda Rasulullah S.A.W memperincikan dan memberi kefahaman dan sandaran dengan andaian yang disandarkan kepada ibunya(lelaki tersebut),isterinya dan anaknya. Alhamdulillah, tabiat buruk tersebut berjaya dihindar. Di manakah tunjang yang memaksa untuk beliau berpegang dan berubah? Tidak lain kerana sifat kasih lelaki tersebut kepada keluarganya. Kekuatan kasih tersebut menjadi tunjang untuk perubahan diri beliau. Namun cuba kita letakkan perumpamaan dan dibaca hadis yang sama kepada mereka yang bergelar haruan ini. TUNJANG KASIH sudah tidak wujud dalam dirinya. Bahkan dalam hatinya mungkin terdetik "Apa yang nak risau, anak aku pong aku yang bedal"..

CARILAH TUNJANG YANG HAKIKI.

Hakikatnya, tunjang tersebut adalah tunjang ciptaan kita semata-mata. Tunjang yang lahir dari kecenderungan sifat yang Allah anugerahkan dalam diri. Andai telah sedia kuat, usah cuba kita goncang-goncangkan. Namun harus diingat, itu masih bukan tunjang yang hakiki. Kerana wujud dari hati dan bersemai dalam diri sebagai suatu sifat yang mungkin berubah suatu hari nanti.

Berapa lama andai harus melompat dari satu sifat ke satu sifat lain yang masih kuat dan berbaki dalam diri?

Berapa lama anda yakin bahawa akal manusia yang selalu digoda syaitan itu dapat berpegang kepada formula sebegitu untuk mengubah diri?

Berapa lama anda pasti itulah caranya anda gunakan sehingga akhir hayat nanti?

Carilah tunjang hakiki bernama IMAN, namun memerlukan suatu usaha yang amat kental bernama MUJAHADAH.

Wassalam..

0 comments: