Wednesday, January 23, 2008

Al Fatihah Buat Salleh

"Assalamualaikum Saizol, ada kat rumah ke? Akak nak minta tolong sikit", bertalu pertanyaan sebaik aku menjawab telefon sahabatku Wan. Aku masih belum menggunakan telefon bimbit di saat sahabat-sahabat lain sudah galak bermain SMS.

Pada ketika itu, memang antara waktu-waktu sukar untuk aku berhubung. Hanya telefon bimbit teman-teman menjadi rujukan andai berlaku hal-hal kecemasan.

"Waalaikumsalam, Yea.. Ada. InsyaAllah, nak minta tolong apa tuh Kak N?", aku menyatakan kesudian.

"Nie, kawan akak nak tumpangkan adik dia kat rumah Saizol, akak ada kat Masjid Al-Hidayah ni" Sambung Kak N sebaik aku menyatakan persetujuan.

Aku segera keluar dari rumah menuju ke masjid yang hanya 300 meter dari rumahku- Baitul Muhajidin. Ntah apa maksudnya namun nama tersebut terus melekat gara-gara sahabatku Li tersilap tulis di Tabung Kerajaan di rumah sewa kami. Tabung yang menerima semua aset perbendaharaan syiling yang bertaburan di lantai dan bucu-bucu rumah sewa.

Melewati pintu masjid, aku melihat beberapa susuk tubuh yang sedia menanti. Kelihatan sahabat Kak N yang berpurdah serta adiknya yang tersengih di sisi. Tidak lama pertemuan kami, Kak N sekadar menyatakan hajat serta perkenalan ringkas.

Kami berjabat salam, terasa sedikit keganjilan dengan lelaki yang baru aku kenali ini.

Kak N memperkenalkan kawannya sebagai Kak A, dan bakal tetamu kami... SALLEH

"Akak dah takde kawan laki yang nak minta tolong, takkan nak bawak adiknya kat rumah muslimat pula" Kak N memberi penjelasan sambil menagih pertolongan dariku.

"Abe, ada rokok?" Permintaan pertama Salleh kepada aku.

Aku mula dapat membaca keadaan dirinya. Sebentar terasa lain dalam diri..

"Huh.. ini bukan calang-calang tetamu" Bisik hatiku.

"Takde apa, nanti saya akan sampaikan pesan akak tuh kepada rakan-rakan serumah" aku cuba menenangkan Kak N dan Kak A yang agak risau setelah aku menyatakan persetujuan untuk membantu.

Pertemuan kami tamat disitu, kini Amanah terpikul dibahuku untuk menjaga insan sebayaku bernama SALLEH.


TETAMU BERTANDANG


Aku melangkah dalam lemah, bukan kerana kekesalan menyatakan persetujuan. Namun kerana aku membuat persetujuan tanpa berbincang dengan rakan serumah.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama aku tidak meminta persetujuan teman serumah. Sebelum ini sememangnya keputusan-keputusan kecil dibuatku tanpa sebarang makluman memandangkan temanku semua adalah kategori tak kisah dan 'tok cagho' bak kata orang Kelantan. Namun aku risau, kerana orang yang dibawa ini mungkin akan memberi 'sedikit' kesan keadaan rumahku. Mungkin ini 'keputusan besar' pertama tanpa makluman.

Aku mempersila Salleh masuk, beberapa sahabatku memang dengan rutin harian- menonton CD andai tiada kerja-kerja nak dibuat.

Mereka menghulur tangan menyambut tetamu baru kami.

"Rokok ado be'?", pertanyaan yang sama oleh Salleh kepada sahabatku.

Aku perasan wajah teman serumah yang agak berlainan sebaik bersalam dan menjawab pertanyaan. Biang-biang prasangka mula bermain dalam riak wajah, namun masing-masing bijak menyembunyi perasaan.

"Hish... dok sini tak boleh merokok", aku mula mengeluarkan kata-kata tegas. Teringat lagi pesan Kak N agar tidak 'memanjakan' Salleh.

Salleh terdiam.. sesekejap tersengih kemudian merenung tajam muka sahabat-sahabatku.

Melihat renungan dan senyuman Salleh menyebabkan temanku Li mula menyatakan rasa gerunnya kepadaku.

Aku cuba bertenang walau aku juga agak gusar dan takut dengan keadaan sebegini. Bukan apa, aku juga tidak pernah mengendali orang-orang senasibnya. Ilmu pun masih kurang andai ada apa-apa berlaku.

Malam menjelang, selepas menunaikan Solat Maghrib aku mula mengumpulkan sahabat. Jarang kami berbincang kecuali hal-hal penting. Hatta sewa rumah pun, sekadar notis amaran yang dinaikkan.

"Dia sebenarnya nak menumpang kat rumah kita, sementara keluarganya berusaha untuk memulihkannya" aku memberi penjelasan kepada sahabat-sahabat.

Aku memperkenalkan sahabat-sahabatku dengan taaruf ringkas kami- Jegha, Ame, Li, Wan, Adi, Liklau, Mat, dan Zahid. Aku yakin kekuatan yang ada sudah cukup untuk menjadi mengawal Salleh.

Semua membahasakan diri ”Abg” walau masih terdapat yang lebih muda agar mendatangkan rasa hormat. Walhal sesi taaruf dan istilah hormat masih belum pasti memberi makna kepada Salleh.

Masing-masing terdiam, rasa takut mula ditelan bila jiwa simpati mula berpalit.

"Nak kena jaga ni, jangan terlalu serius sangat dan jangan bagi muka sangat.. Sekali sekala kena marah, takut tak dengar cakap pulak", tambah aku.

"Ok, aku jadi SERIUS" Ame mula menawarkan diri dengan peribadi yang berbeza dengan dirinya.

"Takpo.. Bab-bab maroh ni serah kat kawe", Rosli menambah.

"Aku nok jadi... emmm" Jegha memandang dinding, berfikir watak yang sesuai dengan dirinya.


Aku diam sahaja. Terpulanglah macam mana, janji diri Salleh dapat dikawal.

Rasa lega setelah sahabat-sahabat sudi untuk sama-sama memikul amanah yang diberi.

Tiba-tiba Salleh merebahkan kepalanya di pahaku. Cukup syahdu bila jiwa ini cuba menghayati batinnya yang cukup tersiksa. Sambil-sambil mengusap rambutnya aku berborak dengan teman-teman tentang perancangan kami untuk menjaga Salleh. Sesekali Salleh tersenyum dan mengerling diriku.

Perasaanku bercampur-campur antara KASIHAN,SEDIH,RESAH,RISAU dan SERAM.


KEHIDUPAN BARU


Agenda sebaik pulang dari kelas sudah berubah, tidak pantas untuk kami terus melabuhkan tubuh tanpa mengetahui keadaan Salleh. Memang Ame adalah khadam penjaga utama rumah di saat itu. Andai tidak, CC menjadi rumah keduanya.

Habis report dari Ame aku mula mendapatkan Salleh.

"Abe.. lapar", Salleh mula mengadu kelaparan.

"Takpa.. Tunggu Abe Li balik, nanti kita makan sama-sama", aku memujuk Salleh bagai memujuk adik kecil.

Sesekali Salleh menyanyikan lagu Ingeris.

"This three word.. That could change my life forever".. lantang suara beliau boleh didengari dari luar rumah.

"Macam pernah dengar lirik... tapi kenapa lain pula lagunya?", aku bertanya Ame sambil hatiku melayan lagu-lagu yang dinyanyikan Salleh. Aku terus menunggu sahabatku Li pulang.

"Tuh lagu Celine Dion laa Jo, lagu I Love You tuh.. Satu lagi tuh Lagu Complicated- Avril Lavigne tuh" Ame memberikan jawapan. Kami sama-sama tergelak dalam hiba. Gelak kerana terkadang terhibur. Namun masih hiba melihat Salleh yang sebegitu.

Sebentar Li pulang membawa makanan tengahari. Nasi yang mula diletak dalam talam dihadap bersama.

Salleh merasmikan sesi makan tengah hari kami, lapar benar gayanya.

Sebentar melihat dirinya yang asyik melayan sesuatu.

Patutlah, ada gambar perempuan... Salleh!!! Makan nasi tuh..” Aku mula mengherdik sebaik Salleh terleka melihat gambar perempuan dari akhbar yang menjadi hamparan talam kami.

"Alhamdulillah", Salleh mula kekeyangan.

Salleh menyambung aktivitinya menyanyi. Puas menyanyi, beliau mula mengaji.

"Sedap suara Leh.." Li mula memuji. Salleh mula menunjukkan kehebatannya mengaji bila dirinya kian dipuji.

"Abe.. Bbadi gagoh be’?”.. Salleh mencabar Jegha. Jegha yang keletihan cuba menolak.

Pondan.. Abe’ Pondan...” Kata-kata yang menggugat kelakian Jegha. Di tambah Li yang mengapi-apikan dengan membenarkan kata-kata Salleh. Cabaran disahut. Mana mungkin panggilan maruah diri tercalar angkara enggan menyahut cabaran- walau dari Salleh. Jegha terkial-kial berusaha mengalahkan Salleh. Kegagahannya tidak sepadan dengan susuk tubuhnya yang kurus kering. Jegha berpura-pura kalah. Kekalahan yang menimbulkan keriangan di hati Salleh.

Abe Ya, maghi lawe’ kito..” Salleh mula mencabar Ame.

Aii.. bilo maso namo aku Abe Ya.. Sukahati laa Salleh” Ame yang terkejut sebaik gelaran baru diberi oleh Salleh kepadanya. Salleh bersemangat sebaik ’memenangi’ pertandingan pertamanya


"Leh.. Ceritalaa sikit pasal keluarga Salleh", aku mula mengorek rahsia. Sesambil menghulur pen dan buku kosong untuk diconteng. Kegemarannya yang mula aku sedari darinya- MENULIS.

Mana tahu ada 'rahsia' yang dapat kami temui disebalik tulisannya. Kami berusaha mencari sebarang petunjuk.

Satu persatu nama keluarganya ditulis. Cantik tulisannya...Sesekali terbaca lirik-lirik lagu yang sering dinyanyikan olehnya.

Sehari bersama Salleh mula membenih bibit-bibit kemesraan antara kami.


DUGAAN BERMULA

Aku memulakan rutin bagai lagak seorang abang. Memandikan.. menyabun dan membilas badan 'adik' baru kami. Andai diharap mandi sendiri, alamatnya beratur panjang kami untuk ke kelas.

Selesai memandikan, melihat baju-bajunya yang bergulung didalam plastik. Yang kotor terus dicampak ke dalam mesin basuh.

Aku pelik kerana bajunya yang beraroma lain dari biasa. Yea... seakan-akan ada bau minyak.

Beberapa hari selepas itu, Salleh berlari-lari ke tandas. Sebentar aku terhidu bau yang mula menusuk.

"Ya Allah... Kenapa tak buang air dalam tandas?" Aku mula marah setelah melihat najisnya yang mula memenuhi ruang bilik air. Segera paip dipasang sambil aku menarik nafas panjang, cuba mencipta rekod membersihkan tandas dalam satu nafas.

Kemudian mengintai-intai sisa di bahagian luar, risau juga andai terdapat baki-baki yang terlepas pandang.

Itu perkara kecil walau terkadang menjentik kesabaran diri.

"Oii gang.. Ada nampak handphone aku tak?" Adi mula bertanya-tanya setelah handphone yang biasa berada di sisinya ketika tidur tidak ditemui sebaik menunaikan solat subuh hari seterusnya.

Kami tidak mengesyaki apa-apa. Salleh mula disoal siasat... Mesti ada diletaknya di mana-mana.

"Assalamualaikum, nie handphone adik", jiran belakang rumah datang memberikan handphone. Adi menerima dalam berat melihat telefon bimbitnya yang telahpun bertukar kepada komponen-komponen kecil yang mustahil untuk terus digunakan.

"Dia ada tegur saya awal pagi tadi masa saya bangun untuk memasak, bila saya tak jawab dia ambil handphone dan baling ke arah saya" penjelasan jiran memberikan kisah yang sebenar.

Keesokan hari, sebiji lagi handphone menjadi mangsa dibasuh oleh Salleh.

Teman-teman mula meningkatkan tahap kewaspadaan dan keselamatan handphone masing-masing melihat pengajaran yang berlaku didepan mata.

Keesokan hari aku dikejutkan bila Salleh dikatakan hilang. Risau juga apabila amanah diberi, sedang beliau membawa diri.

Puas dicari, rupanya Salleh membawa diri di rumah budak-budak bujang sebelah rumah kami. Mungkin kerana budak-budak sebelah dapat memenuhi tuntutannya yang biasa- "Abe, rokok ada?"

Sekarang bertambah lagi masalah, bukan sahaja kepada kami namun melibatkan jiran pula.

Kami mula kepeningan, tambah lagi melihatnya yang makin tidak terkawal.

Hari yang mendatang membawa pengalaman yang berbeza kepada kami, pernah kami terkejut apabila gas dapur dibiarkan menyala sebaik masing-masing sedar di awal pagi.

"Tak boleh jadi ni, dia tak tidur malam rupanya", aku mula risau. Barang-barang tajam mula kami sorokkan agar tiada perkara pelik berlaku.

Watak-watak awal yang dicipta harus dilakanakan sekarang.

Ame mula menjalankan watak SERIUSnya, dipaksanya Salleh untuk duduk diam. Tidak bergerak ke mana-mana. Andai bergerak, jawabnya batang penyapu dihala dan amaran diberi. Salleh akur.

Rosli mula mengeluarkan aura GARANGnya. Andai kesalahan melampau dilihat. Ditengking dengan suaranya yang lantang. Salleh tunduk.

Sahabat-sahabat lain masih dengan personaliti asal- Melayan-layan Salleh.

Beberapa hari, Salleh mula kalis dengan tindakan tersebut. Penyapu yang digunakan Ame mula dirampas, sebaliknya Ame pula yang dikejarnya dengan batang penyapu itu.

Li yang sering menengking dibalasnya dengan amaran pedas walaupun dalam keadaan sedemikian. Terkejut bila beliau membalas "Mentang-mentang aku menumpang, mung main tengking-tengking aja aku ni". Terkejut juga bila ayat sebegitu terpacul dari mulutnya. Kami terdiam, mula bersikap berjaga-jaga agar tiada perkara yang mengguris hatinya.

Aku terkadang terpaksa menggunakan pendekatan psikologi dan terkadang menggunakan kekuatan fizikal. Angin egonya cukup kuat walau dalam keadaan sebegitu. Tidak sanggup tewas kepada sesiapa.

Pernah aku menolaknya ke dinding dan memukul kuat dinding ditepi telinganya apabila dia mula tidak mendengar kata-kata. Aksi sebegitu tidak seeloknya dilakukan berulang, hanya disaat kritikal. Bimbang-bimbang andai Salleh mula kalis sebagaimana kalis dengan pendekatan dua temanku sebelum ini.

Kami mengagih-agih tugas menjaga Salleh, berjaga waktu malam. Risau andai Salleh bertindak liar diwaktu kami enak dibuai mimpi. Berbagai aktiviti dilakukan disiang hari agar beliau keletihan dan dapat tidur dimalam hari.

Taktik kami menjadi, namun Salleh hanya nyenyak buat sementara waktu. Beliau mula berjaga selepas beberapa jam, kami pula yang keletihan. Syifnya di mana.. Sallehnya di mana...


MASA UNTUK BERUBAH

Kehadiran Salleh tidak menakutkan teman-teman lain untuk terus singgah ke rumah kami. Sebaliknya, sahabat-sahabat lain datang untuk berhibur bersama Salleh. Sesekali adik-adik usrah tetap datang bertandang ke rumah kami. Masing-masing telah kenal siapa Salleh.

Dirinya mula banyak berbicara, tidak sebagaimana awal kehadiran. Namun bicaranya yang terkadang mematikan akal manusia biasa. Dengan pengalamannya sebagai Pemegang Kunci Perpustakaan, menyukarkan mereka yang fobia dengan pintu perpustakaan untuk terus berdebat dengannya.

Pernah suatu ketika beliau menyatakan persetujuan dengan tindakan Yahudi yang membunuh orang-orang Palestine. Aku sendiri kurang pasti bagaimana perkara ini timbul. Namun, melihat hujahnya yang bagaikan berada pada tahap akal manusia yang waras, aku cuba menguji.

"Dah nasib orang-orang Islam tuh, memang dah Allah TAKDIRkan untuk kena bunuh begitu" beliau menyatakan hujah.

Hari tuh aku tidak ke kedai membeli makanan bagi membalas hujahnya.

"Abe.. lapar nie.. Abe tak beli makanan ke?" Salleh mula bersuara.

Huh.. hujah hikmah aku mula mengena.

"Abe diTAKDIRkan untuk tak beli nasi hari ni", aku membalas. Sekadar melepaskan apa yang terbuku walaupun tindakan kami agak tidak relevan buatnya dalam keadaan sedar.

Lebih seminggu terkurung, Salleh mula memberanikan diri untuk keluar rumah. Kami sedar, tidak seharusnya dirinya yang sebegitu terus dibiarkan terkongkong.

Sebaik selesai kuliah, Mat mula mengajak Salleh.

"Jom Leh.. kita g kedai" pelawa Mat.

Bagaikan anak kecil, Salleh berlari dan dihenjut-henjut pemijak pembonceng. Kami tergelak melihat Mat yang lebih kecil terkial-kial bersusah payah menggagahkan diri.. mengelak motor yang hampir terbalik diperlakukan Salleh.

Dipeluknya Mat sekuat hati sebaik motor bergerak. Mulutnya yang tersengih menenangkan hati kami.

"Moga-moga kau bahagia Leh",.. hati kecil terus berdoa.

MASA UNTUK BERUBAT

Malam itu sebaik menunaikan Solat Isya', aku mendapatkan Ust yang memberi kuliah di Masjid Al-Hidayah pada malam tersebut.

"Ust, ana ada hajat sikit.. Minta ustaz tolong tengok-tengokkan sahabat kat rumah saya, dia terkena buatan orang" aku memberi penjelasan.

"Takpe ust, nanti kami akan hantar ustaz balik", aku menyatakan persetujuan setelah salah seorang kariah yang ditugaskan menghantar ustaz menghampiri kami.

Bukan seorang dua ustaz yang menjadi 'tetamu' kami. Ustaz Uda Kassim, Naqib aku Ustaz Rizal turut bertandang. Apa sahaja ustaz yang kami rasakan berkelayakan. Pasti segera dijemput ke rumah.

Salleh tersengih-sengih sebaik ustaz Ghazali cuba memeriksanya. Ustaz baca.. dia turut membaca.. ustaz tiup... dia turut tiup.

"Gini... dia ni saya tak boleh buat sendirian, kena panggil rakan saya sekali kalau nak ubatinya, dia kat Batu Kurau" ustaz memberi penjelasan sebaik beliau mula memeriksa Salleh.

Kami berbincang. Hakim dan Li menyatakan persetujuan untuk mengambil Ustazah yang dikatakan rakan tadi.

Kami bertolak menghantar ustaz pulang. Hakim sememangnya terkenal dengan gaya pemanduan pelumba litar menjadi pemandu malam itu. Sebaik kembali ke rumah, Hakim dan Li terus bergesas ke destinasi yang disepakati... - PERAK.

Perjalanan dan pencarian ustazah tersebut tidak menjadi kesulitan kerana Hakim anak negeri Perak, tambahan rumah kenalan ustaz tidaklah jauh dari kediaman keluarganya.

Seawal jam 10 pagi, Hakim sudah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Rumah sewa Kak A dijadikan lokasi perubatan.

Kami dirumah menanti. Sebentar Hakim sampai... Salleh segera di bawa ke sana.

Proses perubatan dijalankan. Aku mula merasai kelainan.

Sahabat dari kampus induk mula mendapatkan aku.

"Ana rasa lain macam aja cara perbuatan ustaz nie", sahabatku mula menyatakan isi hati.

Aku diam. TUNGGU dan LIHAT... Namun jauh di sudut hati bagai bersetuju dengan kenyataan tersebut.

Sesi itu tidak mengambil masa yang lama. Namun Ustazah harus dihantar kembali ke Perak. Kali ini aku menemani Hakim yang masih belum hilang letihnya.

Perjalanan diteruskan, aku yang pada asalnya bertindak sebagai pembantu mula bercakap dalam separa sedar sebaik musafir kami menjangkau separuh perjalanan. Terasa berat benar mata untuk bertahan. Sesekali tersedar melihat Hakim yang masih menggagahkan diri tanpa menyuarakan rasa penatnya.

"Kalau nta dah letih, biarlah ana ganti", aku menawarkan diri sebagai pengganti walau mata masih terasa berat.

"Takpa, ana ok lagi...", Hakim cuba bertahan walau kadang-kadang aku dapat merasakan kereta yang dipandu sekejap ke kiri dan ke kanan. Memang dah masak dengan perangainya, jarang benar dia berehat andai kakinya memijak pedal minyak.


SAAT PERPISAHAN


Peperiksaan hampir menjelang, Kak N mula menelefon. Menyatakan Salleh akan dihantar ke suatu tempat di Klang untuk perubatan di sana. Alhamdulillah, tempat penginapan turut disediakan. Satu persatu Salleh mendapatkan teman serumahku. Kelihatan wajah sugul dengan pemergian Salleh yang meninggalkan 1001 kenangan dirumah kami. Masing-masing bersalaman sambil berdoa dan memberi semangat kepada Salleh. Salleh tetap senyumannya.

Aku ditemani Li membawa Salleh ke sana, lokasi ditemui setelah beberapa kali berpusing mencari dan bertanya. Memang ada kelainan tempat itu, rata-rata yang menghuni adalah mereka yang mempunyai nasib yang seakan Salleh sebelum ini. Namun, setelah sembuh mereka terlalu cintakan tempat tersebut dan meneruskan khidmat di sana. Membantu dan berkhidmat dengan Tok Guru yang merawat mereka. Malah ada yang bahagia dan bertemu jodoh dan meneruskan kehidupan dalam pondok-pondok buruk di sana.

Aku meninggalkan Salleh dengan seribu satu harapan. Meninggalkan sedikit pesanan, hanya itu yang aku mampu berikan.



SALLEH SUDAH PULIH


Seminggu di tempat baru, aku mendapat khabar dari Kak N yang Salleh makin pulih. Tapi niat kami untuk menziarahi terpaksa ditangguhkan kerana masing-masing sibuk dengan peperiksaan. Hanya catatan-catatan Salleh sebelum ini yang masih terdapat dirumah menjadi kenangan, terkadang kami sama-sama tergelak bila kehadiran Salleh menjadi topik sembang diwaktu lapang kami.

Sebaik demam peperiksaan tamat, kami segera ke tempat Salleh. Alhamdulillah, perubahan yang ketara dapat dilihat.

Salleh dikataan 80% pulih.

"Haa.. Abe kito kenal" kata Salleh sebaik aku sampai.

"Ni Abe Jo.. Ni Abe Li", Salleh mula menyebut nama-nama kami sambil menyentuh bahuku.

Terasa gembira bila melihatnya sebegitu. Namun pelik juga, dia ingat semua yang berlaku di rumah kami...

"Macam mana Salleh boleh ingat Abe Jo?", aku bertanya.

"Kak A yang bagitau, tuh kito ingat balik", Salleh menjawab.

Aku mula berbincang dengan Kak A dan Kak N.

"Gedebuuk..", satu pukulan singgah dibelakangku.

Bunyi agak kuat walau aku tidak sakit. Namun cukup untuk mengejutkan mereka yang ada bersama.

Aku berpura bergeliat kesakitan, andai tak dibuat sakit nanti dituduh 'control' depan muslimat pula. Alhamdulillah, bekal-bekal ilmu yang ada menjadikan aku kalis dengan pukulan sebegitu.

Aku membalas.. dipegang tangan Salleh dan dipusing ke belakang lagak polis menangkap pesalah. Gagahnya bukan main.

Kak A dan Kak N membiarkan aku bermain-main dengan Salleh. Sememangnya aku antara yang mendapat lesen untuk berbuat sebegitu kepada Salleh.

Sebentar kami diajak berjumpa dengan Tok Guru. Berbincang mengenai keadaan Salleh dan peranan penjaga.

Sebaik ingin pulang, Salleh menyuarakan keinginan untuk mengikutku.

Huh.. mungkin ini keputusan terbesar ke-2 yang harus dilakukan. Bercampur perasaan risau andai kehadiran Salleh buat kali ke-2 mungkin membawa kesan yang sama kepada teman serumah. Namun perasaan ditangkis setelah menyedari SIAPA TAK KENAL SALLEH.

Kami kembali meminta persetujuan, Salleh dibenarkan pulang. Melihat riak wajah Kak N, aku pasti dia masih risau andai tindakan itu membebankan kami lagi. Mungkin Kak A juga begitu walau riaknya terselindung disebalik purdah.

Aku membawa Salleh pulang. Namun dengan harapan yang menggunung. Untuk berbincang-bincang dengannya sebagai seorang lelaki dan bukan sebagai 'adik'. Saat yang aku tunggu, kerana sebelum ini pertanyaan kami hanya dijawab dengan jawapan yang tak pasti dan kadang-kadang dijawab dengan tersengih.


KEPULANGAN SALLEH

Salleh bertandang lagi.

Masing-masing terkejut sebaik pulang ke rumah melihat Salleh yang ada kembali. Tapi kali ini Salleh lebih beradab, sebaik sahabat melangkah masuk.. Salleh menghulurkan tangan sambil memberi salam.

Kami gembira melayan tetamu baru ini.

"Abe,.. saya nak g British Council", Salleh menyatakan hasratnya setelah beberapa hari kehidupan normal di rumah kami.

"Buat apa?".. Aku mula bertanya.

"Kito nak belajar bahasa Inggeris, lepas tuh G oversea.. Menikoh dengan orang putih" Salleh mula menyatakan isi hati.

Aku terdiam. Hebat jugak 'demand' kau Salleh.

Aku menganggap itu sekadar angan-angan kosong beliau. Biarlah berlalu begitu sahaja. Dengan keadaannya yang masih lagi begitu.

Namun hasrat sama turut dibuat kepada sahabat-sahabatku yang lain.

"Takpolaa.. nanti tunggu Salleh OK.. bulehlaa" aku memujuk.

Selang beberapa hari Salleh dijemput dari rumahku. Kak A berkata untuk menumpangkan di rumah sahabat-sahabat di kampus induk. Mungkin rawatan akan terus diberikan kepada Salleh. Kadang-kadang rumah sahabatku turut menjadi rumah ke dua Salleh untuk menumpang.

BERITA KEHILANGAN


Aku dikejutkan dengan berita kehilangan Salleh dari teman induk.

"Dah banyak hari dia keluar", temanku memberitahu.

Berita kehilangan Salleh mengejutkan kami serumah.

"Salleh.. Salleh.. ke mana mu pegi nie?, ke mung betul-betul ke British Council?", aku membuat telahan yang tak logik setelah permintaan Salleh sebelum ini tidak dipenuhi.

Berita kehilangan Salleh diam begitu sahaja. Aku dan teman meneruskan aktiviti harian kami seperti biasa.

Sudah seminggu berita kehilangan Salleh belum mendapat jawapan.

ENGKAU PERGI JUA

Malam rabu, genap seminggu Salleh menghilang. Aku meneruskan aktivitiku dengan adik-adik di kolej. Sebaik selesai berusrah, aku bersembang-sembang dengan adik-adik yang lain.

Sebentar anak usrahku menghulur telefonnya kepadaku sebaik berdering.

"Untuk abang".. Anak usrahku menghulurkan telefon.

"Assalamualaikum Jo.." Sahabat serumahku memberi salam.

"Waalaikum Salam Li, ado apo tuh?", aku menjawab dalam loghat kalate.

"Nie.. nak bagitau demo. Salleh takdok doh", Li memberitahu..

Aku terdiam. Tersirap darah sementara.

Anak usrah mulai perasan riak wajahku yang tiba-tiba berubah.

"Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Rojiuun", bila tuh? Sapo bagitau? Pahtuh guano nie?". Aku merangkum semua pertanyaan.

"Banyok aghi doh, Loni mayat dekat Hospital Seremban, balik dulu laa", Li memberi arahan.

Aku segera pulang. Anak usrah meminta izin untuk pergi bersama kerana dia turut mengenali arwah.

Kami bergesas dan memecut laju sebaik bunga kereta menjejak jalan lebuhraya.

Sebaik meminjam kenderaan, kami serumah bergesas ke Hospital Seremban. Sampai di hospital aku terus mendapatkan Kak N dan Kak A. Sebaik mendapatkan berita sebenar, kami memasuki ruang dimana jenazah dimandikan.
Aku menyentuh Arwah, amat sejuk jasadnya memandangkan arwah sudah beberapa hari di dalam peti mayat. Perasaanku mula tersentuh, hati mulai pilu.. sedih..
Kami serumah mengelilingi Arwah Salleh, memerhati susuk fizikalnya yang kurus. Tambah kurus setelah dadanya kosong sebaik post morterm dijalankan.
"Begini perjalanan kau Salleh... Sungguh terseksa dirimu. Moga kematianmu menamatkan penderitaan yang kau tanggung sebelum ini" hati kecil aku menangis.

Melihat keadaan fizikalnya, aku rasakan Arwah telah beberapa hari meninggal.
Melihat keadaan fizikalnya juga.. aku merasakan Arwah cukup tersiksa semasa meninggal. Bukan tersiksa kerana kesilapannya. Tersiksa menanggung kesakitan fizikal.


"Arwah dijumpai Sabtu lepas, dekat Nilai. Memandangkan tiada dokumen pengenalan. Kami terpaksa membuat pemeriksaan cap jari kemudian menghubungi keluarganya di kampung" aku diberi penjelasan.

Aku sekadar mengangguk. Rasa sebak masih menusuk bercampur dengan bau kapur barus. Menjadi pewangi Arwah.

Tiada lagi bau bedak yang diusap ke seluruh badan.. Tiada lagi bau-bau minyak dari bajunya yang dahulu.

Kenangan bersama Arwah mula bermain-main difikiran. Lirik dan lagunya mula berputar, kepalanya yang dulu dibelai kini terkulai. Tangannya dulu yang suka mencabar untuk gusti lengan bagai tidak putus asa untuk terus mencabar pegawai hospital yang memandikannya.

Aku keluar sementara menunggu jenazah siap dikafankan.

Setelah siap, kami dipanggil masuk. Aku mengimamkan Solat kepada Arwah bermakmumkan rakan-rakan serumah.

Jenazah harus dihantar pulang dengan segera malam itu. Aku memohon maaf kerana tidak dapat mengiringi Jenazah Arwah. Hanya setakat itu yang dapat kami temani Arwah.

Sebaik van jenazah meluncur laju. Kami turut bergerak semakin jauh dari jasad Arwah didunia ini. Memohon kerahmatan buat Arwah dari Ilahi.

Jam melewati 4 pagi sebaik kami tiba di rumah. Masing-masing termenung seketika melihat baju Arwah yang masih berlipat dalam plastik diruang tamu.

Memasuki bilik tidur dalam keadaan mengantuk menyebabkan kami terus terlena, meneruskan mimpi-mimpi kami bagai kenangan dengan Arwah Salleh yang tidak pernah dilupa.

Ya Allah.. Cucurilah Rahmat kepadanya.

Alfatihah Buat Salleh..

1 comments:

zahid said...

kenangan berharga,lucu,cemas dan menguji diri...beruntunglah pada mereka yang berjaya sabar semasa arwah bersama kita dulu