Monday, February 16, 2009

Perkahwinan- Zuriat Yang Dinanti..

“Dah boleh ambil sijil rasanya, dah 4 bulan nie,” isteri saya sekadar memaklumkan. 


Hakikatnya, isteri saya juga yang terpaksa berurusan dengan Majlis Agama menguruskan sijil kahwin kami memandangkan kepulangan rutin saya biasanya pada hujung minggu.

“Rupanya dah 4 bulan kita kahwin yea bang,” isteri senyap mencongak.

“Kerajaan baru ada juga buat penilaian selepas 100 hari mentadbir,” sengaja saya berseloroh.

Diam menghitung. Tidak sampai separuh dari masa tersebut mampu untuk kami tempuh bersama. Namun bersyukur, saya masih mempunyai kesempatan dan rezeki untuk pulang setiap 2 minggu sekali menjenguk isteri berbanding pasangan 'PJJ' lain, terkadang menahan rindu berbulan lama. Jumaat kerja, saya bercuti… ahad cuti.. saya terus bercuti.
………………….

“Dah agak panjang kuku nie,” saya menahan rimas. Teman ditepi tersenyum.

Bukan saya tidak mempunyai pengetip kuku di rumah, bukan juga tiada masa serta terlepas hari-hari sunnah. Namun saya sengaja membiarkan kuku saya sedikit panjang sebelum pulang 1..2.. hari lagi, sebagai modal pahala buat isteri yang setia menanti. Bukan kerana selesa walau lantaran bagai bos besar sekadar menghulur jari, tidak mungkin seronok kerana mata saya terkadang tertutup rapat lantaran ngilu sebaik mata pengetip dipegang isteri mencium hujung jemari. Saya menilik lama jari sendiri sebaik selesai. Saya berusaha menjadikannya sebagai kebiasaan sehingga isteri saya mengenal bagaimana untuk mengetip setiap batang jemari saya. Patutlah saya sentiasa merindui sengsara ngilu tersebut…

Saya teringat pesan sendiri;

“Walaupun perkahwinan kita nie masih baru. Tapi jadikan benda-benda yang elok sebagai kebiasaan. Risau nanti, satu yang kita inginkan buat pada masa hadapan tidak mampu untuk kita kecapi dan malu kerana kita tidak membiasakannya pada peringkat awal perkahwinan,”

Kami berusaha untuk mengorek sunnah.
4 bulan masih baru. Apatah lagi bagi kami yang jarang bertemu. Namun, kepulangan saya yang terkini ini benar-benar satu makna dalam jiwa yang masih bermimpi..

SELAMAT DATANG ZURIAT SULUNGKU

“Tahniah ya abang, ana juga tak tahu macam mana lagi,” adinda sejemaah saya sedikit mengeluh, lebih setahun dia mendahului diri saya dan isteri.

Terkadang kesian, sebelum kahwin didera dengan persoalan teman dan saudara bertanyakan detik menamatkan zaman bujang.

Namun lebih terseksa, sebaik bertukar taraf. Seluruh mata mengerling bertanya zuriat. 
Sebulan.. tiada dibicara..
Dua bulan .. masih tiada masalah
Tiga bulan.. masih mampu tersenyum..
Empat bulan…mungkin belum habis berbulan madu..
Setahun… mula gelisah untuk menjawab tanya. Hanya tinggal jiwa-jiwa yang tabah terus cekal bermunajat.

Namun, jiwa berbeza. Pertanyaan terus dilontar bagi yang tidak memahami… bagai tidak menyedari peritnya untuk empunya badan mengiakan rezeki Tuhan.

………

“Kebanyakan orang jemaah biasanya lewat dikurnia zuriat,” saya masih ingat teori yang diasaskan kami.

Sengaja kami ‘melogikkan’ situasi dengan contoh yang banyak disekeliling.
Saya mempunyai beberapa teman yang 4..5.. tahun baru dikurniakan zuriat.
Usah bicara bagi yang masih setahun jagung seperti kami. Mungkin Allah ingin menebalkan jiwa sabar mereka. Atau mungkin menunggu ‘musim sejuk’ dalam jemaah kembali panas lantaran memasuki alam baru. Menunggu panas kembali sebelum didatangi ‘musim sejuk’ seterusnya dengan kehadiran cahaya mata. Risau mereka terus ‘sejuk’ andai kedua musim tersebut amat dekat dilalui.

Itu sekadar gurauan kami.

Segalanya dalam taqdir Ilahi.

Kami terpaksa ke klinik saat kami singgah sebentar di rumah kekanda saya. Saya gelisah dengan anak saudara yang terpaksa bersekolah keesokan hari, sedangkan jam hampir 11 malam. Malah, perjalanan kami baru separuh ditempuh.
Kami terpaksa, memandangkan berkali kami menangguhkan hajat lantaran masa yang terlalu suntuk untuk kami penuhi setiap kali saya pulang. Membahagikan masa antara rumah bonda saya dan keluarga isteri dalam dengan jarak yang melayakkan kami bermusafir dan berkejaran pulang kembali sebaik bermalam sehari.

“ Sudah 2 bulan setengah nie abang,” isteri saya terkejut bercampur gembira. Di tangannya, 2 keping kertas bercetak gambaran zuriat kami yang tersimpan rahim sucinya. Jiwa saya turut teruja, namun dibatasi malu dikhalayak pengunjung klinik yang lain.

“Ini jantungnya.. ini kakinya..” isteri saya mengulangi apa yang dikhabarkan doktor.

Saya memendam rasa yang mendalam. Memuji syukur atas benih kurnia yang bakal dianugerahkan kepada kami. Kami sama-sama terkejut, kerana sangka yang bermain di kepala, hanya mungkin isteri sekadar lingkungan sebulan. Tambahan, pregnancy test yang dibeli kerap menipu kami.

Beberapa hari sebelum PRK Kuala Terengganu, saya dan isteri ‘diserang’ demam malam serentak. Namun, saya berlarutan demam dan batuk sehingga membangkitkan keresahan keluarga.

“Rupanya suami yang sakit nie mudah sensitif,” saya sekadar memaklumkan isteri.

Sengaja saya cuba bermanja walau mustahil dipicit diurut isteri, namun rasa hati saya luahkan setelah agak lama kami tidak bersua.

……….

“Ajar lasak sikit.. biar dia pun nanti lasak jugak,” Nasihat saya.
Terkadang saya bicara begitu… tika jiwa dakwah menyadur hati.

“Kena ingat juga, kalau program 4..5.. bulan lagi jangan main terima belaka,”
Terkadang bicara suami terlafaz. Bagai ada percanggahan dengan pesan sebelumnya. Saya faham dengan perangai isteri, berat lidahnya menafi saat beban amanah kian ditambah.

“Maaflah ye sayang, faham-fahamlah. Jangan pening bila dah macam nie, ada masa abang cakap sebagai suami.. ada masa bagi motivasi tiup semangat,” saya cuba membetul faham.

Saya juga sedikit pelik, walau lafaz saya tidak silap pada pandangan isteri. Tapi hati saya menafikan lantaran sedikit emosi yang terlapik dalam lembut bicara. Risau andai saya dikata penghalang saat semangat masih menebal. Hak saya sebagai suami?? Cukuplah bagi saya tika diri bertandang pulang. Saya menyintai jemaah… saya risau andai saya menjadi musuh jemaah dengan merampas segalanya setelah isteri menjadi milik saya.

……………..

“Ada benda yang terpaksa tempuh dalam keadaan nie. Pening, loya.. alah dengan bau perkara yang patut dilalui. Tapi, mohon sangat-sangat kepada Allah, jangan sampai berlebihan, jangan sampai datang lintasan yang mengarut dan nak kena tunaikan atas alasan mengidam. Minta sangat-sangat jauh dari perkara tersebut,”
saya memberi nasihat dalam memberi ingat. Memberi faham lumrah berbanding mengidam yang diada-adakan.

Itu sahaja yang mampu saya sampaikan. Dalam ketandusan pengalaman, bergantung harap dengan pautan petunjuk daripada Allah. Mendengar pelbagai cerita perihal perangai.. hal-hal mengidam .. dan kisah-kisah pelik dari teman. Dalam kerisauan saya terus memanjat doa. Moga semua dipermudahkan olehNya.

Ada teman saya terpaksa berpisah jauh dengan isteri saat tidurnya lantaran isteri alah dengan bau suami.
“Aku dah mandi banyak kali.. dah puas sabun. Dia kata aku busuk lagi,” dia sedikit merungut setelah habis ikhtiarnya atas alahan isteri. Bukan saya berbicara menafikan, namun risau andai tindakan melampau yang merobek hati suami. Bukan dia tidak mampu menerima keadaan tersebut. Namun kesedihan terzahir di wajah suami dengan tindakan dan bahasa isteri. Terus berdiam mengalah lantaran isterinya yang berbadan dua. Tidurlah suami sendiri dalam jiwa yang penuh sedih dan resah. Sedangkan itulah amaran utama Junjungan Mulia agar hal sebegini dapat dipelihara.

Alhamdulillah.. Allah permudahkan.

Tiada yang melampau setakat ini kecuali fitrah yang digariskan,
Tiada yang mengada-nganda sehingga menyusahkan suami..
Sehingga saya sendiri yang terkadang terlebih selera kemudian dikongsi isteri..

Risau saya.. sudahlah kami jarang bersua. Pulang tersenyum.. dihidu loya.







AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Thursday, February 12, 2009

Boikot-Tahanlah Titis Liurmu

 “Nescafe lah ya… panas atau sejuk?”

Saya dipelawa dalam pertemuan ringkas dengan pelanggan di rumahnya.

Saya yang tidak sempat menafi, tetap minum dalam berat. Risau bertandang dan memberi arahan bermacam kepada tuan rumah.

Namun, saya sempat memilih yang panas walau hampir sejam saya berpanas dalam keterikan mentari.


TAHANLAH TITIS LIURMU..

“Dia pening jugak, sebab dia wajib menghirup Nescafe setiap hari, paling kurang 2 gelas sehari”
Bicara teman karib, lama kami tidak berkongsi khabar.

Rupanya ada teman kami yang tidak senang duduk, baginya tiada pengganti lain untuk menghilangkan dahaga yang sekian lama beralas ketagihan.

“Kawe pon dah lama tak minum neslo” saya membalas.

Selera saya memang diketahui umum teman-teman pemuda. Campuran dua jenama boikot itu benar-benar memberi kepuasan kepada saya dalam setiap titik hirup.

Kini.. mula bertukar Radix atau Sawda.

Terkadang kopi yang jarang sekali saya teguk menjadi order andai tiada pilihan. Namun tidak mungkin bagi kopi janda.(gurau je)

…….

“Milo tuh barangan Malaysia,” bonda saya bermain sangka. Saya tidak berani menyalahkan ibu yang lama mengenali produk berbanding pengeluarnya.

Mungkin jenama tersebut sebati dengan diri. Mungkin tidak menjumpai pengganti dihujung desa yang tidak memberi pilihan yang banyak. Hanya ketika kepulangan saya baru ibu dapat menambahkan kekurangan bahan diceruk dapurnya.

“Lepas nie beli Oligolah, sedap jugak tuh,” isteri saya memujuk sambil memberi alternatif.

“Nie produk nestle, pasal tuh kena boikot” saya menyambung penjelasan sambil menunjuk trademark agar dikenali. Bonda seakan bersetuju.

……

“Ada seorang ustaz nie, memang susah benar nak berhenti rokok. Dah habis nasihat diberi dia masih tak dapat berhenti. Cakap laa gapo pun tak berenti. Tapi loni, dia tak boleh hisap. Tiap kali letak rokok kat mulut, dia akan terbayang anak-anak Palestin yang sakit, tak jadi nak hisap rokok,” isteri saya bercerita.

Biasanya saya gemar untuk bertanyakan sebarang perkembangan politik dan program-program di Kelantan. Kebetulan isteri saya terlibat secara langsung di bawah Urusetia Kerajaan Negeri di bawah lantikan politik.

Itu yang berlaku di sekitar serta mampu saya kutip. Mungkin ramai insan lain yang senasib menahan ketagihan diri lantaran usaha untuk memboikot produk-produk Israel.

Namun itu yang sebaiknya. Membantah biarlah memberi kesan kepada jiwa, baru terasa arus penentangan.

Saya pelik memikirkan…

...Seorang yang hebat memboikot produk-produk Israel dalam demonstrasi. Namun sempat menghirup sedalam mungkin setiap hisapan rokok buat penyegar diri saat beradu rehat dari terik mentari.

...Seorang suri yang hebat mengecam sang perokok, namun terus membeli barangan wajib dengan alasan sudah menjadi kebiasaan keluarga. Walhal tersedia alternatif keluaran saudara seagama.

Saya tidak mahu mengulas dari perspektif makro yang sedia maklum sehingga lahirnya seruan ini. Tujuan yang sedia dimaklumi oleh semua, berjaya boikot memberi bahana ekonomi kepada Amerika dan Israel.

Namun, saya berusaha mengajak untuk melihat pertembungan antara kehendak diri dalam persoalan ini.

Andai begitu, di mana gamak untuk kita menyemai nilai mujahadah sekiranya memboikot perkara yang langsung tidak berkait dengan diri. Saya bukan menafikan peranan, tapi berfikir ketulusan insan yang bersama berjuang. Sang Perokok berkokok hebat melaungkan boikot terhadap makanan segera yang dia sendiri tidak pernah menjejak kakinya. Adakah dia berkokok hebat untuk melaungkan sama memboikot teman bibirnya.?? Begitu juga untuk contoh yang lain. Jangan tersenyum bila perokok sahaja dibidas ya.. Ingat juga ya buat penggemar alat mekap dan hiasan diri??

Saya bukan ingin berfatwa, kerna jelas kurangnya ilmu saya. Saya menganggap tindakan mereka-mereka yang disebutkan di atas ibarat saya membuat sepanduk dan flyers mengedarkan kepada orang ramai dengan tulisan ARAK ITU HARAM. Adakah saya terasa penentangan dalam diri?? Tidak.. kerana sememangnya sejak kecil saya memahami yang hakikatnya arak itu haram dan tindakan saya itu adalah lebih kepada untuk meMAKLUMkan kepada orang ramai sahaja serta ‘sedikit’ ingatan buat saya yang memang tidak pernah menyentuh minuman tersebut. Bukan saya memBOIKOT apa yang sebati dalam diri.

Boikot lebih dalam dari itu, boikot bersamanya MAKLUMan dan dilapikkan keSEDARan.

"Sepatutnya yang aku nak telan nie halal, tapi aku tidak menyentuhnya kerana Allah.."
"Benda yang aku nak guna nie bermanfaat juga, tapi aku pilih jalan yang lagi sukar kerana ukhwah Islamiyyah"
"Hakikatnya yang aku nak pakai nie boleh.. tapi aku tinggalkan kerana aku bermusuh dengan musuh Allah."

Itulah penghayatan boikot bagi saya.

SALAHFAHAM TERHADAP BOIKOT

Ada yang memandang boikot adalah suatu tindakan yang lahir dari tindakan dan permasalahan politik serta menafikan sandaran kepada syarak. Baginya andai satu tindakan syarak sudah pasti ia diganjari pahala dan meninggalkan adalah dosa.

Saya turut terkejut apabila ada golongan bijak pandai yang menyatakan kerisauan terhadap ekonomi sekiranya hal ini dilakukan.

Sedangkan seruan untuk mempertahankan persaudaraan Islam jelas, serta mengumpulkan masyarakat Islam menjadi satu keluarga yang besar adalah saranan yang dinyatakan dalam Al-Quran;

“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Daku”
Al-Anbiya:92

Hadis nabi sebagaimana Riwayat al Imam Bukhari serta sebahagian ahl sunan;

“Bandingan orang mukmin dalam kasih sayang, kasih belas dan simpati mereka sesama mereka adalah seperti sebatang tubuh, apabila satu anggota dari tubuh itu mengadu kesakitan makan sekalian anggota tubuh yang lain turut merasa kesakitan dengan berjaga malam dan panan badan(demam)”

Kita tiada wang untuk tambang penerbangan ke sana memeluk dan memujuk sabar saudara di sana…

Kita adalah penakut hatta untuk menyentuh senjata mempertahankan kesucian Islam di sana..

Kita telah lama dibelai tilam-tilam empuk, mungkinkah kita mampu untuk tidur bersama di bawah runtuhan bangunan sebagaimana mereka..

Kita pasti gatal-gatal tubuh andai tidak mandi walau sehari, mampukah kita bersabar menadah paip yang menitik dan perigi yang kosong di sana…

Kita sudah gelisah andai tidak mampu tidur kekenyangan.. bagaimana mampu bersabar dengan catuan makanan yang terkadang belum tentu di sana..

Ingat!! Andai tidak mampu membantu Saudara seIslam, jangan pula berpaling tadah menjadi penyokong Musuh!!!

Berfikir tidak salah… namun terlalu dalam fikir hingga tidak melahirkan tindakan itu yang salah..

Andai Sayyidina Abu Bakr menggunakan logik akalnya, sudah tentu beliau tidak memerangi golongan riddah yang enggan membayar zakat. Adakah beliau tidak sedar tindakannya memerangi golongan tersebut akan memberi kesan ekonomi lantaran golongan tersebut pasti makin ‘keras’ untuk tidak membayar zakat.

Andai Nabi Musa menggunakan logik baginda, saat seruan memukul laut. Alangkah baik tongkatnya digunakan untuk memukul muka firaun. Sekurangnya lebam juga muka musuh. Memukul laut paling kurang memercikkan air ke muka sendiri..

Allah menyembunyikan pertolongan disebalik penyatuan hati hambaNya. Kerna doa itulah satu-satunya doa Junjungan Besar yang tertolak, memohon Allah tidak mengazab ummat lantaran perpecahan.

Memang musuh tidak takut dengan tindakan ekonomi yang dilancarkan, namun mereka akan gerun dengan ikatan ukhwah yang dizahirkan.

Andai masih ingin meneruskan hajat… teruskanlah. Hiruplah sepuas mungkin buat mengganti titis darah syuhada’ kita di Palestin..

Pakailah jenama-jenama mereka buat mengganti kafan saudara kita di sana.

Saya bukan beromong kosong, tapi kesan dari ini pernah terbukti di kawasan kami.
Lebih kurang 2 tahun lepas, pemuda dan kawasan pernah melancarkan demonstrasi dan boikot 7Eleven di Taman Melati lantaran menjual arak di kawasan yang majority Islam. Akhirnya premis tersebut terpaksa tunduk akur dan mengeluarkan produk tersebut atas desakan masyarakat setelah beberapa hari.


BUANGLAH NALURI DIRI.. MASUK KEHENDAK ILAHI..

“Cuba bayangkan, seorang yang hidup semenjak kecil. Diasuh dan cenderung dengan Balada yang mendayu jiwa. Hendak kita cabut rasa hati dia dan pasak lagu Rock yang menggegarkan!!,’saya membuat bidalan.

Ada yang tersenyum dengan contoh tersebut. Masing-masing mengiling kepada melihat beratnya dan sukarnya.

Itulah nilai boikot bagi saya..

Mengaitkan terus tindakan dengan mujahadah diri. Berusaha melawan naluri yang lama sebati. Apatah lagi hal tersebut memberi kesan kepada ummat Islam.

Kerna itu baru berhasil dan melihat nilai iman yang bersandar pada bidalan yang sama.
Membuang pertimbangan dalam diri… menceduk kembali acuan Ilahi. Itu baru boikot luar… boikot makan.. boikot minum… boikot pakai.. yang kita sendiri mampu lihat. Namun, perhati dan telusuri kembali dalam diri, berapa hebat kita memboikot perilaku yang banyak bertentangan serta bercampur aduk dalam keimanan kepada Allah.

Orang yang beriman,

Bila jiwanya memandang mulia dengan hebat berpakaian yang dijahit musuh Allah, Neraca Allah mengatakan hina. Dia memboikot rasa tersebut dan mengambil acuan Allah..
Bila jiwanya memandang rugi dan memberi kesan kepada ekonomi, Allah mengatakan itulah keuntungan sebenar. Dia memboikot dan mengambil acuan Allah.
Bila dirinya berasa bahaya saat penentangan dan perjuangan bersama menentang musuh-musuh Allah, tapi Allah menjelaskan itu yang harus kita hadapi. Dia menelan segala kepahitan penentangan dan kembali mengambil acuan Allah.

“Shibghah (Celupan/Acuan) Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya dari pada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah,”
Al-Baqarah : 138

Bersyukurlah bagi mereka yang terselamat sebelum ini.. kerna terselamat dari ujian naluri..
Memeriksa dan menyaring hidup.. rupanya terselamat dari unsur-unsur yang membantu musuh.
Berusahalah bagi yang hariannya masih bergantung sehingga NALURI SEBATI MENJADI DARURAT saat mendengar tangisan ummat. Kerna itu mungkin setitis ujian buat diri kamu.




AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Tuesday, February 3, 2009

Palestine- Setitis Nilai Persaudaraan

Saya pulang ke Kelantan menaiki kancil milik teman. Tiket ke pantai timur, andai tidak dibeli awal alamatnya melepaslah. Carilah alternatif lain untuk memastikan diri memijak tanah negeri yang dicintai.

Saya sebenarnya ada pengalaman yang amat ngeri dengan kancil, hampir 4 tahun lepas saya menerima kecelakaan semasa memandu kenderaan yang dicop jenama tersebut. Perjalanan kami dari KL ke KB berkesudahan dengan kancil dipandu saya terbalik dengan ke empat-empat tayar di atas.


Alhamdulillah, Allah memberi kesejahteraan kepada kami. Berkali-kali saya memohon maaf kepada teman, risau hatinya remuk seremuk bumbung dan bonet keretanya. Saya berkeras ingin menyaman pemaju jalan yang cuai untuk meletakkan sebarang tanda keselamatan. Saya mangsa ke 4 setelah 3 hari jalan tersebut dibaiki, mangsa ke 5 berlaku didepan mata kami semua saat saya sibuk mempertahankan kesilapan bukan sekadar kelalaian diri. Selang sehari, saya mendapat khabar ada kemalangan maut di lokasi tersebut. Moga-moga menjadi iktibar buat para pemandu dan kontraktor jalan raya.

……..

“Bayangkan kalu kita yang tengah letih, boleh berhenti di mana-mana rumah kat tepi jalan nie. Pahtuh, kita hanya dengan sebut saya saudara awak dalam Islam. Maka tuan rumah terus layan kita, jamu kita makan dan layan kita macam saudaranya yang biasa”


Kami turut menyertai kelompok kenderaan yang bergerak perlahan. Sesekali saya cuba memandang kenderaan yang mengepalai kesesakan musafir kami. Namun tetap sayup tidak kelihatan.

Kawan saya tersenyum. Antara bersetuju atau tidak dengan contoh yang saya hidangkan.
Kami sengaja mencambah idea, mencari tips terbaik menjadikan kembara separuh hari kami bagai perjalananan santai.

Nampak diluar batas, tapi itulah hakikatnya.

Walau contoh saya berikan agak kurang rasionalnya. Tapi untuk menjentik kekuatan persaudaraan yang masih gagal dan pastinya pada masa sekarang berada pada hirarki yang terakhir sebaik ukhwah itu disandar pada hal aqidah.

“Islam hadir dengan ciri-cirinya yang tersendiri. Maka, apa sahaja yang disandarkan kepada Islam seharusnya mewarisi sifat yang dimiliki oleh Islam itu sendiri” lontaran kefahaman yang cuba saya tanamkan dalam kuliah dasar tamrin beberapa hari lepas.

Sudah lama tidak bersama-sama terlibat dengan tamrin adik-adik universiti semenjak saya meninggalkan alam tersebut. Menghirup udara segar dalam tarbiyyah, bercakap dengan kelompok pendengar yang mudah 'jeligha' dengan bahasa yang saya gunakan.

“Memahami Kalimah Syahadah sebagai Kalimah Toyyibah, Kalimatul Haq, Kalimah Tsabitah .. maka ukhwah yang disandarkan kepada kalimah tersebut harus terbina dan memiliki ciri yang sama. Ukhwah yang Toyyibah, Ukhwatul Haq.. Ukhwah yang Tsabitah” saya menambah.

Ada mengangguk faham, ada mengangguk mengantuk,

TEMAN.. SAUDARA KITA MENDERITA DI SANA

“Siapa yang tiada langsung merasai simpati dan boleh berasa tenteram di sini. Boleh seronok bersama anak isteri. Memenuhi hujung minggu dengan riadah dan rekreasi. Tanpa ambil masa sedikitpun untuk merenung kesedihan ummat di Palestin, itu tanda hatinya telah mati
” Saya terpaksa melafazkan kalimah sebegitu.

Sedih bila melihat umat yang tidak bena dengan nasib saudara seagamanya.

…………………


“Saya sokong apa yang kamu buat. Saya kata bukan kerana agama, tapi atas dasar humanity”
Itu bicara seorang singh.

Jiwanya tersentak sebaik menerima risalah boikot yang dilancarkan pemuda. Gambar menyayat hati anak palestin yang menjadi korban sengaja ditunjukkan bersebelahan sebaik risalah bertukar tangan.

“Pizza Hut macam mana? Boleh makan?” Soal seorang gadis free hair. Hajatnya untuk parking mengisi perut dicantas rasa bersalah sebaik menerima risalah kami.

“Hmm… kira adik beradik mereka laa tuh” sahabat pemuda memberi penjelasan. Namun penjelasan secara lisan berjaya memesongkan matlamat asal gadis tersebut.
Di lokasi lain, sepasang kekasih terpaksa membatalkan hasrat untuk melanjutkan temu janji di McD sebaik teman wanita enggan memasuki restoran segera tersebut. Lama mereka tarik menarik di pintu masuk. Kesudahannya, keduanya kembali menaiki kereta dan berubah lokasi.

“You dah mengganggu customer, you ganggu lalulintas. Ganggu mereka yang makan, sekarang mereka dah tak selesa untuk makan di sini” Teman kami diherdik seorang wanita melayu separuh abad yang mengurus salah sebuah restoran sasaran tersebut. Tangannya dihala ke arah pelanggan cina yang kebetulan melepasi kami. Namun, dia mula tidak senang duduk sebaik pelanggan tersebut menafikan mereka terganggu.

“what would you do if you at my place?” lagaknya mula mencanak.

“If I at you place.. I will QUIT!!” teman membalas dalam loghat yang tidak kurang hebat. Tak tahan dirinya makin dipandang rendah dengan kain pelikat dan serban.

Itu kisah.. sedikit penentangan kami terima namun jauh berbanding mereka yang berjuang dengan darah dan air mata mereka di bumi Palestin.

KOBARKAN SEMANGAT MEREKA

“Cukup jauh untuk bandingkan diri kita dengan mereka ustaz,” seorang teman berbicara sebaik saya bertandang menjamu selera setelah saya selesai memenuhi undangan kuliah sebuah sebuah surau di Rawang semalam. Berulang kali beliau mengulangi kata-kata tersebut. Berkongsi pengalaman sebaik pulang dari Palestin untuk menyampaikan dana-dana sumbangan kepada pimpinan Hamas. Riaknya mempamer kekaguman dengan semangat dan izzah yang lahir dari para pejuang di sana.

Saya sekadar menadah telinga. Biar beliau menghabiskan ceritanya.

Semangat mereka cukup kental, keberanian mereka tidak sebagaimana kita yang masih teragak-agak dalam perjuangan. Keyakinan mereka kepada Allah amat jauh untuk dibandingkan dengan kita. Kerana itulah, bersyukurlah Allah meletakkan ‘jiwa-jiwa penakut’ seperti kita untuk sekadar berjuang di bumi Malaysia. Berjuang dengan harta dan doa buat mereka. Usah mengharap untuk berada dalam barisan dan bersama dalam kelompok mereka andai nafsu-nafsu diri masih belum tertewas.

Rezeki mereka… Allah hadirkan dengan seorang tua yang tugasnya semata-mata memasak dan menghantar makanan kepada pimpinan Hamas. Jalan yang dilaluinya setiap pagi dan petang adalah ditengah-tengah ribut peluru. Namun Allah Maha Memelihara. Dia senang berjalan dengan penuh keberanian ditengah medan tersebut.

Berhadapan dengan situasi ini, mengundang jiwa yang bercampur baur. Sedih.. marah.. gembira.

Sedih melihat susuk tubuh anak-anak kecil bagai saudara dikampung sendiri. Terbayang anak-anak saudara yang memanjat belakang, bermain-main di sekeliling. Mungkin raungan kita lebih dari ibu-ibu di Palestin andai anak-anak diperlakukan begitu. Malah mungkin jauh tersasar dengan menyalahkan takdir dan ujian Ilahi. Rapuhnya jiwa kita.

Gembira dengan suatu janji yang telah ditempuh dan dilalui oleh mereka. Kita?? Jauh sekali.. mungkin bercita-cita untuk mati sakit tua di atas katil. Begitu cita-cita kita??? Usah bercita-cita untuk syahid andai sudah riuh sekampung dengan luka yang sedikit.. dengan tangan kaki dan tangan yang patah kemalangan. Manja dan lembiknya hati kita. Saudara kita di sana, siapa yang menyapu ubat-ubat merawat luka anak-anak yang kehilangan ibu bapanya.
Apa rezeki yang bakal mengisi perut mereka setelah bapa tidak pulang-pulang sebaik keluar mencari gandum..
Siapa yang akan mengusap air mata ibu-ibu janda yang kesedihan berpisah cinta dengan suaminya..
Bayi-bayi yang dilahir terjajah.. siapa yang bakal menyusui mereka mengganti dada-dada ibunya yang syahid.

Kejamnya kita..
Kita masih mampu bersenang untuk tertawa dan bergurau senda dengan anak isteri..
Seronok mengisi malam menonton rancangan hiburan dan jenaka..
Ketawalah sehingga terbahak-bahak dirimu..
Andai itu menjadi pilihan kamu..

Teman…

Kita kat sini, dahlah cukup kecil bantuan yang mampu diberikan. Jangan ditambahkan kekecewaan mereka dengan sikap kita. Lebih dalam kesedihan mereka andai perjuangan mereka di sana dicemuh oleh mereka yang seagama. Anak kita ke.. adik kita ke.. yang mana lebih memberi kesan kepada jiwa mereka. Adakah penghinaan yang diterima oleh orang luar atau cercaan oleh ahli keluarganya sendiri.

Menderma jauh kurangnya… boikot pun masih curi-curi untuk terus membeli produk yang terlarang. Asap rokoknya tidak kurang buat penyumbang dana zionis dan penyebab sakit anak isteri.

Teman..
Apakah yang menyebabkan kita terus gagal untuk merasai luka-luka tembakan yang menembusi susuk tubuh saudara kita di sana..?
Ya.. kerana nafsu kita telah lama dibajai dengan selera dan kehidupan musuh-musuh Islam.
Usah mengharapkan Allah untuk memandang kita dengan pandangan RahmatNya, andai tika saudara bermain darah di sana.. tiada setitispun air mata kita menitis mengiringi doa buat mereka.
Usah bermimpi sama-sama mencium aroma syuhada’ mereka andai hati kita jauh sekali lintasan untuk berjihad dalam barisan yang sama.








AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."