Monday, January 21, 2008

DAKWAH KITA.. BAGAIMANA??

Usrah semalam bermula dengan Tafsir Surah Nuh, hampir sebulan berusrah juga untuk menghabis Tafsir surah Makiyyah tersebut. Alhamdulillah cukup banyak pengajaran yang diperoleh.

Secara ringkas, Kisah Nabi Nuh a.s sememangnya banyak disebut dalam Al-Quranul Karim. Kekuatan dan sikap tidak putus asa baginda yang dibawa oleh Allah S.W.T mendodoi jiwa-jiwa pejuang yang terkadang terputus harap dari mengharap pertolongan Allah.

Aku turut membawa tafsir Surah Hud yang ditulis dari Kuliah Jumaat Tn Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, seawal ayat 28 dari surah Hud telah diceritakan kisah-kisah Nabi Nuh, dialog baginda dengan umatnya yang ingkar, seterusnya kepada perintah untuk membina kapal sehinggalah kepada ayat 40 yang mula menceritakan kejadian banjir besar.

"Cukup detail tafsir dan cerita yang di ceritakan oleh Tok Guru dalam kitab ni" aku mula mempromote Tafsir tersebut setelah memberi kupasan penutup kepada Surah Nuh. Cukuplah memberitahu sekadar yang patut dan manfaat yang diambil.

AMBIL PENGAJARAN

Allah memberikan cerita bukan sekadar hiburan dan dodoian jiwa para pejuang agamaNya. Namun lebih dari itu sebagai persiapan kepada para pendaulat agama dalam menghadapi golongan-golongan sebegini. Golongan yang menolak agama Allah samada secara sedar atau tidak. Hanya watak yang dipegang oleh boneka-boneka yang berlainan, dengan warna kulit yang lain, dengan tempat yang lain, dengan pakaian pelakon-pelakon utama dan watak tambahan yang berlainan, dengan bahasa berlainan namun dengan SKRIP YANG SAMA.

Andai sebegitu hebat tentangan yang ditempuh baginda, adakah orang yang mengikut jalannya tidak perlu menempuh jalan sebegitu. Semestinya tidak..

DI MANA KEDUDUKAN KITA??

Di mana kedudukan kita?? Apa hakikat kita di sisi Allah. Bukan tujuan untuk mendahului takdir Allah. Namun sekadar renungan bersama. Orang yang memperjuangkan Deen Allah didatangi dengan ujian pelbagai, namun andai dilihat pada kondisi diri kita. Aku sekadar memberikan kepada skop ujian dalam diri bergelar manusia dan insan ini sendiri.

Sebagaimana Baginda diuji dengan manusia, kita juga diuji dengan manusia. Yang diuji itu, maka Allah meletakkan nilai kepadanya, yang menguji itu bagai barang sementara yang terbuang setelah 'eksperimen Allah' tamat. Cuba kita selongkari diri, adakah kita Allah jadikan ujian kepada orang lain?? Adakah kita Allah jadikan ujian kepada Jemaah, Allah terkadang menguji jemaah dengan sikap seorang yang terkadang menjentik kesabaran ahli jemaah yang lain. Memang hakikat kita bersama kelompok jemaah, namun sebagai bahan eksperimen untuk menguatkan jemaah. 'Tong Sampah' manakah kita (Nauzubillah) akan dicampakkan setelah eksperimen tersebut berjaya.

Sebagaimana kisah Nabi Nuh tadi, bahan-bahan eksperimen baginda adalah manusia-manusia sekitarnya termasuk Ahlinya sendiri yang terdiri dari isteri dan anaknya. Kita sendiri bagaimana? adakah kita ujian kepada isteri/suami kita? Berbangga dengan title rumahtangga muslim sedang hakikat salah satu dicipta sebagai ujian kepada pasangannya. Namun, kita terus terlena dengan khayalan asyik tanpa memerhati dan muhasabah diri. Kita tidak terasa kerna ayat yang Allah letakkan dalam surah Al-Munafiqun diterjemah isteri dan anak yang menjadi ujian atau keutamaan (ilah) dalam diri kita. Tidak mungkinkah kita(para suami) sendiri menjadi ujian kepada isteri?? Bersama fikirkan. Oleh itu, seeloknya kita berdoa agar moga menjadi pelengkap kepada pasangan, agar masing-masing menjadi tunjang kekuatan dalam membantu memperjuang agama Allah.

DAKWAH KITA MASIH KURANG

Menutup cerita ringkas, aku sekadar ingin menyatakan dakwah kita masih kurang. Apatah lagi hendak dibuat perbandingan dengan mereka yang terdahulu. Namun, inilah ruang dan jalan singkat namun penuh liku yang boleh menagih keredhaan Allah. Bercerita mengenai perkara ini, aku terlintas dengan sebuah cerita omputih - PAY IT FORWARD yang boleh dijadikan iktibar. Sebenarnya aku menonton hasil rasa keboringan melampau dan menagih santapan jiwa. Alhamdulillah, Allah mengerakkan hati untuk menonton cerita ini disebalik timbunan CD hiburan dari luar negara. Cerita yang berkisah bagaimana seorang budak yang berjaya mengubah ruang pengaruhnya hasil dari teori PAY IT FORWARD yang dipraktikalkan yang asasnya adalah konsep DAKWAH FARDHIYYAH itu sendiri. Yang turut dilaksanakan dalam sistem MLM sekarang ini. Menjadikan nenek dan cikgu sendiri antara madu' utama beliau sehingga berjaya. So, bolehlah tengok dia punya trailer dia kat slot IKLAN disebelah, cuma mungkin ada sikit aksi dalam 3..4.. saat yang terpaksa diFORWARD namun masih tidak melampau dalam kacamata orang melayu. Tapi kalau anda orang yang menjaga tsiqah dan tak boleh tengok orang pakai skirt walau dalam filem.. Tak perlulah kotorkan hati anda. Wassalam.

0 comments: