Thursday, July 30, 2009

Serupa atau Sepadan..

“Owh, inilah abangnya..” teman sepejabat isteri saya menyapa.

Lama dia memendam soal, semenjak awal kedatangan sehingga sembang kami mula larut.

Bonus baginya, bagus juga bertandang lewat ke majlis, yang pasti 2 keuntungan yang akan diperoleh berbanding tetamu lain. Pertama, mungkin dilayan sendiri untuk menikmati saki baki nasi minyak oleh sang raja sendiri. Keduanya, masa dan peluang lama untuk menjolok cerita sang pengantin.

”Ana ingatkan abang (kandung) tadi, nampak serupa jer”, sambungnya lagi.

Kami masih malu-malu pengantin untuk berseloroh panjang.


“Orang kata wajah hampir sama nie jodohnya panjang,” teman berseloroh dalam berkongsi petua.

Saya sekadar mengaminkan.

SERUPA ATAU SEPADAN

“Kawe rasa demo nie memang betul-betul song (sesuai) dengan zaujah demo tuh,” bicara teman seawal pernikahan kami dahulu.

Saya sedar, dia jua cukup teruja dengan kehidupan baru saya.

“Rasanya nie dah masuk empat kali demo ulang ayat yang sama,” saya menambah dalam semangat yang masih ceria.

Teman saya tersenyum. Mungkin terlupa tuturnya yang sama setiap kali kami bertemu.

Saya teringat seawal perkahwinan, masing-masing dalam proses mengenali hati budi apatah minat pasangan sehidup semati yang masih baru mengisi hati.

”Nanti berhenti kalau ada jumpa kedai keropok kat tepi-tepi jalan,” isteri saya memberi ingatan. Hakikatnya, suatu yang tidak perlu diingatkan. Saya turut mempunyai kegemaran yang sama.

Semasa kami hampir-hampir melangsungkan perkahwinan, isteri saya ditimba dugaan dengan kehilangan motosikalnya.

”Ana nie lesen kereta jer ada, motor tuh ada tapi takde lesen. Road tax pun tak renew,” saya menerima mesej sebaik mencari alternatif perhubungan. Juga persamaan yang mungkin kebetulan antara kami.

................


Isteri saya mula menjeling sebaik kami membuat penemuan baru..

Ya.. Kami menghitung satu persatu…
Mungkin wajah…
Mungkin serba sedikit perwatakan..
Kegemaran..
Lauk kegemaran kami.... makan.. minum..

Hatta kami ketawa sebaik menemui rahsia disebalik celah batang gigi kami...

Hampir setahun ’berkenalan’, kami mula perlahan-lahan mencari dan menghitung persamaan tersebut.

Sehinggalah beberapa bulan lepas saya pula yang tersenyum dengan kisah teman yang mula membangkitkan cerita serta hal-hal sebegini. Cerita berselang senyum sebaik satu persatu persamaannya dengan bakal isteri dikhabarkan kepada saya.

Saya tersenyum.

Namun masih mencari-cari, apa nilai sebenar sebenar disebalik persamaan yang dicari.
Apa hakikat persamaan yang sebenarnya diseru Ilahi..


AbeJoes@http://abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Tuesday, July 28, 2009

Usrah.. Tunjang yang Kian Terabai


Kebiasaannya, saya pulang lewat setiap kali tamat berusrah pemuda sebelum ini.

Adalah cukup awal sekiranya saya pulang ke rumah mencecah jam 12.30 malam. Ghalibnya, sekitar 1.30 pagi.. mungkin menjangkau sehingga 2.00 pagi. Itu rutin mingguan kami. Masih boleh dianggap awal berbanding komitmen teman-teman lain. Cukup sedikit masa berbanding mereka yang benar-benar memberi sepenuh jiwa raga mereka dalam jalan dakwah. Motor saya sudah kuyup dibasahi embun tatkala saya menunggangnya pulang. Terkadang saya berasa sayu sendiri, jiwa saya sering tersentuh lantaran tidak sempat ‘membelai’ dan membalas khidmatnya yang tidak ternilai. Enjinnya tidak merungut walau saya sering menunggang terus tanpa memberi masa untuknya bersedia.


USRAH ITULAH TUNJANG

“Lamanya… apa yang banyak sangat diceritakan,” isteri saya bertanya sebaik kami berkongsi cerita dan pengalaman dalam usrah kami.

Memang lama diukur masa.. tapi tempoh berusrah sekitar 3-4 jam tersebut bagai seketika bagi kami.

Saya masih teringat, seawal penyertaan saya di Wangsa Maju. Suasananya cukup berbeza, kehadiran sehingga mencecah 7- 8 orang adalah suatu yang amat membanggakan.

Alhamdulillah… kini meningkat sehingga 4 kali ganda.

Saya tidak mahu membicarakan hal-hal teknikal dalam perkara ini.
Persoalan tempoh masa..
Jumlah kehadiran yang praktikal bagi sesebuah usrah.
Semua itu, tidak dinafikan penting, tapi bukan keutamaan bagi saya.

KEPOMPONG YANG MENGOKONG

Usrah bukan medan menadah kitab semata-mata..
Bukan juga medan di mana seorang ustaz hebat menabur ilmunya..
Membiarkan para ahli hadir menadah telinga dan ternganga..

Usrah adalah suatu medan diskusi..
Medan mencari solusi terhadap permasalahan para ahli..
Medan menanam kefahaman dan motivasi,
Menyelaraskan tindakan terhadap arahan-arahan terkini..
Lapang sasar dalam mengenalpasti ahli dan mencungkil potensi…

Itulah Usrah bagi saya.

Usrah bukan sekadar tulang belakang kepada tarbiyyah jemaah. Namun jiwa yang menentukan arah tindak ahlinya.

Apakah pendekatan yang lain mampu kita cari sebagai wadah utama tarbiyyah selain usrah dan tamrin yang jarang-jarang diadakan. Ceramah umum?? Forum?? Itu petikan dari persoalan dari Abi, murabbi saya yang lama di alam tarbiyyah.

Saya cukup terharu setelah menghadiri konvensyen nuqaba’ di Wilayah Persekutuan beberapa bulan lepas. Dari 100 lebih penyertaan, hanya belasan sahaja ( mungkin ramai yang terlibat namun tidak mampu hadir) yang mengaku menyertai dan terlibat dengan usrah secara berterusan. Itu sudah dikira pesertanya di kalangan YDP, Setiausaha dan Tarbiyyah kawasan. Bagaimana gamak dengan mereka yang langsung tidak mengenal tarbiyyah.

Bagaimana sebuah jemaah yang mempunyai keahlian yang cukup ramai. Namun teras perjuangan hanya disahut sekitar sekitar 2-3 peratus sahaja. Itu bukan fakta, namun atas anggaran luaran yang mampu dikutip.

Ada apa dengan RUKUN ‘TA’ ?

“Nta kat mana sekarang? Di kampung ke di KL?” mesej awal sebelum teman menagih komitmen saya dengan kerja jemaah.

Sebelum ini, saya menerima arahan terus, namun tidak lagi pada masa sekarang.

Teman saya sedia maklum. Tiada yang berani bertanyakan alasan sekiranya saya memberi jawapan ‘TIDAK’ sebaik makluman program diterima. Seawal saya bertukar title sebagai seorang suami. Perkara pertama yang saya tekankan adalah hal-hal TAFAHUM.

Saya merenung dalam, cuba menghirup segar rasa penghayatan dan praktikal terhadap rukun ini. Kefahaman mengenai tafahhum harus dipraktikkan secara terus, bukan sekadar mengenal diri melepasi tahap taaruf.

Namun tafahum adalah memahami kondisi individu kerana asas dan matlamat kepada Tafahum bagi saya adalah syarat kepada bermulanya proses untuk penentuan amanah itu sendiri. Memahami keadaan seseorang agar amanah yang sesuai mampu diberikan, malah memastikan tahap-tahap penglibatan yang mampu diberikan oleh seseorang dengan limitasi yang dimiliki olehnya.

Tafahum adalah satu keperluan dalam jemaah,

Kegagalan untuk MEMBERI FAHAM dan MEMAHAMI akan mengundang hal-hal yang tidak diingini malah lebih teruk akan mengundang fitnah kepada individu itu sendiri. Ada insan yang terlalu merahsiakan hal-hal dirinya, memandang remeh rutin diri untuk diceritakan dan dirasakan terlalu biasa dan tiada kepentingan kepada jemaah. Namun dia tanpa sedar, kegagalan untuk menjelaskan keadaan dirinya sebenarnya memberi kesan kepada pergerakan jemaah itu sendiri. Bimbang andai saat suatu amanah ditetapkan… maka ketika itulah baru diungkit keluar berjela-jela penjelasan dalam mengkhabarkan batasan diri.


Lebih teruk lagi, penolakan pada ketika itu mungkin disalahertikan sebagai penolakan dan alasan semata-mata. Saya tertarik dengan pendekatan murabbi saya suatu ketika dalam usrahnya, terkadang semasa mengendalikan usrah, saya memerhati beliau meminta teman-teman untuk memberi maklumat yang lain berbanding hal-hal sebelumnya.

“Nta kan pernah berusrah dulu, kenapa nta keluar dari usrah sebelum ini?” sahabat saya mencungkil sejarah teman yang kini lihat makin rapat dan berjaya memberi komitmen dengan usrah kami.

“Ana tak dapat apa-apa dalam usrah tersebut.” Teman membalas.

Saya berhenti menyoal. Namun mengapa hatinya tawar bila terlibat dengan usrah.

………….

MENERUSKAN ATAU MEMBATALKAN

“Apa pandangan saudara-saudara sekelian, adakah saya harus meneruskan usrah tersebut,” abi melontar soal dalam konvensyen yang sama.

Puncanya mudah, setelah tugasan diberi dan sesi bacaan dan tasmi’ ayat-ayat al-Quran yang bagaikan satu kegerunan bagi ahli usrahnya. Kehadiran mula merundum mendadak.

“Ana tidak nampak soal kegerunan dengan silibus, tapi masalah KEPERCAYAAN dan IKATAN antara ahli usrah,”
saya memberi pandangan.

Dalam usrah kami, terdapat ahli yang amat hebat bacaannya, ada ustaz-ustaz tahfiz, ada imam rawatib ada juga ahli yang masih bertatih dengan bacaannya.

Asas KEBERANIAN tersebut adalah;

Yang lemah FAHAM bahawa dirinya lemah, dan FAHAM saudara seusrahnya adalah insan terhampir yang akan membetulkan dirinya.

Yang lemah tetap berusaha dengan bacaannya yang merangkak-rangkak, kerana sedar adik-beradik seusrahnya FAHAM situasinya dan tidak akan menceritakan kelemahan yang dimilikinya kepada insan lain.

………

Nta berdua tolong pasang banner yea,” teman kami menerima arahan tanpa banyak soal.

Kerja-kerja tersebut mungkin kecil pada pandangan insan biasa. Namun saya cukup terharu tatkala melihat kesungguhan teman-teman yang baru berjinak-jinak dengan jemaah melakukan kerja-kerja yang tidak sanggup dilakukan oleh manusia-manusia ’suci’.

Mereka terus meredah kegelapan dan kedinginan malam sebaik usrah tamat. Memanjat pokok-pokok dan tiang-tiang kotor.
Mencari ’port-port’ yang sesuai untuk melakukan tugasan yang diamanahkan.
Mereka melakukan tanpa perlu teman-teman yang ramai di sisi.
Namun mereka berasakan semangat teman-teman yang turut bersama.
Keperitan dan pengalaman tersebut sebaiknya cuba dirakam untuk diceritakan kembali.
Cerita dikejar anjinglah diingati mereka..
Sengsara terjatuh pokok menjadi jenaka...

Apa yang tersemat dalam perasaan mereka..

“Memang aku tiada ilmu yang mampu dikongsi… namun inilah cerita-cerita menarik yang pemuas hati melihat senyuman teman seusrah nanti,”


abejoes@ http://abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Thursday, July 2, 2009

MEMANDU AKAL, MEMIMPIN JIWA

“Ana nak tanya, kenapa sampah kena diletak tempat tak elok. Tempat-tempat busuk Bukankah kita perlu hormat sampah tuh, dia pun makhluk Allah?” Teman saya menyoal.

Saya serba salah samada ingin melayan atau tidak sebaik diasak soalan sebegitu. Dalam benar hatinya menyelami. Hatta baginya tidak sanggup melihat sampah yang seharusnya ‘dilayan’ begitu.

“Hmm.. kalau begitu. Ana rasa elok kita tak payah buang pasir-pasir dalam masjid yea. Mereka pun nak iktikaf juga,” saya cuba menjawab dan memberi saranan, mungkin tidak menjawab.



Saya berjalan pulang sambil merenung kembali. Saya tidak salahkan diri teman yang mula berubah corak pemikiran dan penghayatannya. Cuma risau-risau, terkadang, manusia terasa kagum dengan dalamnya dirinya menjiwai sesuatu. Apatah menjiwai hal-hal ketuhanan yang terkadang bermula tanpa satu asas yang membuat penilaian akalnya.

ANTARA AKAL DAN JIWA

Saya jarang melayari blog-blog yang meletakkan isu politik yang bersadur analisa dan hipotisis akalan sebagai perbincangan teras. Bukan saya kurang berminat dengan penulisan tersebut, namun berasa kurang selesa dengan dugaan melampau golongan cerdik pandai sebegini. Saya juga tidak berminat untuk menjadi manusia hebat dengan menganalisis terhadap sebarang hidden agenda yang bermain di sebalik politik. Saya lebih selesa menjenguk laman-laman ilmu dan dakwah yang menyelit sama peranan jiwa dalam memberi keseimbangan akal dalam menulis namun tetap menjentik akal untuk turut berfikir.

Bukan saya menafikan pandangan bijak pandai dan para penganalisis tersebut. Tapi kerisauan makin memuncak melihat peranan akal mempengaruhi penulisan-penulisan golongan sebegini. Lantas menafikan peranan dan pergantungan Ilahi dalam membetulkan tindakan.

Sesetengah golongan mengutamakan jiwa dalam penulisannya tanpa menghidupkan peranan akal. Ada manusia yang hebat menyanjung kebijaksanaan diri lantaran apa yang diutarakan adalah suatu yang tidak mampu dicapai pemikiran insan lain seterusnya menenggelamkan unsur jiwa dalam penulisannya.

Itulah realiti yang wujud.

Namun itu adalah penyakit yang cukup bahaya bagi manusia yang beragama.

IKUT JIWA BINASA..

“Iman tidak terbina dengan pergantungan akal semata-mata. Juga tidak semata-mata kita bergantung dengan jiwa. Namun adalah gabungan kedua-duanya. Mengambil salah satu dari keduanya sebagai prasyarat dalam menilai kesahihan iman akan menjerumuskan kita dalam kebinasaan,” itu yang mampu saya simpulkan

Saya ingin membawa satu contoh kepada saudara sekelian dengan hal sebegini.

Cuba antum bayangkan, dari kecil antum dibesarkan di sebuah rumah. Antum bermain di sekeliling rumah tersebut, menjalani kehidupan senang susah di situ sehingga besar. Sehingga di situ terkumpul segala kenangan dan nostalgia dalam diri. Sampailah pada suatu hari, ada arahan mengarahkan rumah yang antum diami dirobohkan. Maka, bila melihat rumah yang selama ini cukup rapat dengan jiwa antum yang musnah bersama 1001 kenangan yang selama ini disimpan. Andai pada ketika itu antum tengok tiada satupun yang boleh antum selamatkan kecuali satu keping bata sebagai tanda ingatan antum terhadap nilai nostalgia tuh. Antum rasa akan terima atau tidak untuk simpanan buat kenangan diri??,”

Mungkin mereka yang menggunakan akal akan menolak. Tapi tidak bagi yang berjiwa. Kerana jiwa itu tempat bersarangnya segala rasa. Lubuk kepada cinta.

Rasa yang tidak didasari pemikiran inilah yang akhirnya pada suatu masa dipandang tidak salah akhirnya membawa manusia kepada penyimpangan yang jauh.

Hebatnya rasa jiwa, cinta dan kerinduan yang bermain di lubuk hati menyebabkan semua nostalgia hidup mampu dikumpul dalam sekeping bata tersebut yang masih berbaki.

Bagi generasi pertama.. atas rasa cinta dan kecenderungan melayan jiwa. Mereka mungkin masih mampu bergelak ketawa dan tersenyum mendengar cerita sebaik memandang sekeping bata tadi.

Generasi ke dua.. nostalgia tadi mula samar kerna mereka tidak pernah menuai kasih di rumah tersebut. Bagaimana mungkin untuk terus menghayati cerita dan berkongsi kisah-kisah dengan memandang sekeping bata.

Generasi ke tiga.. langsung tidak mengetahui apa cerita di sebalik bata. Maka bertukarlah peranan bata tersebut dari niat asalnya. Tengok batu kena senyum dan gelak.

Apa punca?? Kerana jiwa yang tidak disalut akal.

Kerana itu, manusia tidak akan rasa bersalah sebaik mereka terlibat dengan ajaran-ajaran serta tarekat-tarekat yang sesat.. Apa tapisan yang mereka gunakan? – Mereka hanya menapis dengan JIWA. Hasil jiwa mereka selesa dengan perbuatan mereka Dan bagi mereka SELESA itulah KEBENARAN.

Begitulah bagaimana jiwa memandu kesesatan.

AKAL YANG TIDAK MENGENAL RENDAH

Ada golongan yang tidak menerima peranan jiwa dan hati.

“Buat apa kamu sembahyang, kalau kamu masih melanggar lampu merah,”
“Tidak perlu untuk kamu memeluk Islam, asalkan kamu terus menjadi manusia yang baik,”

Saya terkedu mendengar kata-kata insan sebegini. Bagaimana imannya membezakan antara syariat dan akhlak. Mereka menafsirkan persoalan iman, syariat dan akhlak dengan kepala mereka sendiri.

Bagi mereka golongan yang mengutamakan hati adalah golongan yang terlalu lemah. Tidak berfikir dan golongan yang mudah dicucuk hidungnya.

Maka mereka berlumba-lumba mencari bukti. Mereka tidak menerima sesuatu tanpa disahkan oleh mata dan kepala mereka. Bagi mereka, iman adalah suatu yang harus dibenarkan terlebih dahulu oleh fikiran mereka. Mereka berusaha terus meneroka dan meneroka. Mereka melupai hakikat iman itu juga adalah suatu yang seharusnya ditanam dalam hati mereka dan tidak mampu dipandang dan dianalisa oleh mata dan akal bijak mereka.

Mereka menolak bahkan mencabar saat timbul hal iman itu tidak selari dengan akal mereka. Mereka mula bongkak dan taajub dengan idea-idea dan pemikiran mereka yang sekadar bermain dengan sangka. Mereka mula mencabar ayat Allah dan Hadis yang janggal dari pemikiran normal manusia. Mereka tidak memandu hasil-hasil pandangan mata dan akal mereka untuk disimpan dalam hati mereka seterusnya menzahirkan kerdilnya diri. Mereka terus menggeledah dan mencari dengan rakus. Membuktikan kepada insan sekeliling kehebatan dan kemampuan batasan akalnya berfikir. Semakin sasau insan-insan lain kepeningan untuk memahami hujjah dan kata-kata mereka, maka mereka tersenyum sinis bersulam kesombongan yang dibina.

Golongan inilah, manusia yang turut cenderung untuk kufur kepada Penciptanya, makin tebal angkuh yang tertanam. Mereka adalah golongan yang jelas menolak sembahan-sembahan berhala, kerna jelas tidak diterima oleh akal-akal mereka. Namun mereka adalah kufur biadab dengan Tuhannya lantaran mereka adalah pemuja-pemuja akal. Mereka berasa malu untuk meletakkan akalnya yang disanjung ke tempat yang paling rendah, serendah kakinya berpijak. Risau andai berkurangnya pintar dan cerdik yang dirasakan milik sendiri.

…………

“Dah buku tulis macam tuh, awak baca sahajalah,”

Saya tersenyum puas setelah pensyarah gagal memuaskan hati saya setelah kami bermain ayat. Satu perbuatan paling bodoh yang saya pernah rasakan lantaran akal yang tidak terurus. Saya memohon ampun atas keterlanjuran tersebut.

Pernah suatu ketika saya bertemu dengan kaunselor lantaran perasaan RISAU sudah mula hilang dari sanubari saya. Saya mampu untuk membiarkan diri sehingga tidak melahirkan sebarang usaha lantaran akal yang terlalu yakin. Juga gara-gara akal yang tidak dididik.

Suatu ketika… saya bertanyakan teman-teman persoalan diri. Namun akhirnya saya sendiri memberi penyelesaian setelah jawapan dari teman-teman kurang memuaskan. Juga satu kebiadaban akal yang tidak meraikan akhlak.

………………..

MEMANDU AKAL, MEMIMPIN JIWA

Saya sudah serik dengan akal menjadi manusia yang terkadang biadab dan bongkak dengan akal yang tidak terdidik. Sehingga saya menyedari hakikat diri;

“Sesungguhnya malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tidaklah merasa enggan menyembah Allah dan mereka mentasbihkan-Nya dan hanya kepada-Nya-lah mereka bersujud”
Al-A’araf:206

Jiwa.. suatu yang cukup berseni dan terselit halus. Kerna itu, ia disimpan ditempat yang paling terceruk dalam susuk manusia. Seni dan halusnya sehingga seluruh tubuh mampu mengalah saat jiwa menguasai diri. Kekuatan jiwa, adalah kehebatannya membeli pancaindera lain tanpa sebarang paksa. Sedih.. pilu.. rindu.. cinta.. puja..semuanya sifat-sifat yang tidak mungkin difahami kecuali oleh pemilik-pemilik jiwa dan Pencipta.

Akal.. anugerah Allah yang dimuliakan dengan diletakkan di sudut paling tinggi dalam tubuh manusia. Kerna itulah, sekerdil mana manusia… akan terasa tinggi dengan tingginya akal. Sebesar manusia manusia, akan terasa kerdil andai kerdilnya akal. Lantaran itu, padanlah dengan sifatnya yang sombong.. meninggi andai tidak terurus… sombongnya melebihi ketinggian empunya diri. Melangkaui sempadan bumi… kerana tingginya jangkauan yang mampu diterokainya.. kerna itu sampai ketika ketinggiannya menjelajah hingga menguji dan mencabar kuasa Ilahi. Kerna itu, ajarlah akalmu untuk tahu adabnya merendah diri kala berhadapan dengan Pencipta. Sehebat mana pemikiranmu, pastikan akalmu tahu saat diri harus menyembah hina.

Jiwa dan Akal harus dipandu… Pemandunya adalah Ilmu. Tiang ikatnya adalah iman. Mempunyai jiwa yang halus tanpa iman jadahnya kesesatan. Mengagungkan Akal tanpa sempadan iman bahananya kekufuran dan keengkaran. Hasilnya tetap ke destinasi yang sama, neraka Allah (nauzubillah) Berjaya memandu dan menguruskan kedua anugerah Tuhan ini, membawa kepada pengabdian dan pengagungan Rabbi yang tidak bertepi.



AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."