Sunday, October 24, 2010

Meniti Jalan-jalan Mujahadah


“Ana amat risau dengan keadaan diri. Time OK, rasa berdosa sangat dan bertaubat. Selang beberapa hari, time pergi kelas ke... time bergaul ke. Masih ulang lagi silap sama,” adik jemaah saya meluah rasa.

Usrah kami hampir selesai, masing-masing silih berkongsi cerita.

”Ana juga pernah mengalami masalah sama. Tapi Alhamdulillah sekarang dah ok. Ana rasalah siapa yang ada masalah macam ni harus kahwin, selesaaiii segala masalah!!” teman seangkatannya menambah, cuba menawarkan jalan.

Namun masa sama bergurau dan mengosok-gosok gelora jiwa muda. Bayu harmoni rumahtangganya membuai cemburu teman lain.

Masalah tenggelam dalam meriah usrah berselang usikan.

JALAN MENUJU MUJAHADAH

”Ana pernah tanya seorang ustaz dengan masalah diri ana, dia kata kat ana supaya ana terus bermujahadah” anak usrah saya bercerita.

Dia mendapat jawapan, namun masih merabai jalan. Dirinya terus kabur untuk mengambil langkah seterusnya menelusuri jalan mujahadah tersebut. Bagai menemui jalan mati atas persoalan yang dibangkitkan.

Jawapan sebegitu, jua bagi soalan yang sebegitu. Adalah suatu yang sudah diagak akan dihidangkan kepada mereka.

Mereka dan sesiapa sahaja dalam kondisi ini memerlukan jalan yang jelas untuk mereka lalui. Bukan satu kesimpulan yang hakikatnya membangkitkan persoalan. Tapi terpaksa berhenti sebaik disandarkan pada jawapan penyudah dengan istilah mujahadah yang sering disalah faham oleh sang murabbi.

Ghalibnya, soalan sebegitu akan berkesudahan dengan 2 skema jawapan yang bagi saya sudah sedia berada di kotak pemikiran mereka.

MUJAHADAH, atau JALAN MUDAH.

”Sahabat kita nie dah wajib kahwin dah abe joe” seloroh seorang adik pula. Kecenderongan kata dan gurau yang diangguk satu kesimpulan teman sekeliling.

Menjenguk kepala dari kerusi belakang, menunggu reaksi saya. Kereta buruk saya sendat dengan adik-adik. Kami mengambil masa makan minum bersama seusai berusrah.

”Takdok Pil Ajaib dalam hidup ini.. ” balas saya.

”Maksud abe?” saya disoal kembali.

”Yealah, antum ingat kahwin tuh boleh jadi Pil Ajaib untuk semua masalah yang antum alami selama ni?” saya memberi jawapan. Jua persoalan.

Masing-masing terdiam.

Sengaja saya berhenti di sini, jua kebetulan mereka terpaksa turun memandang malam yang kian larut.

KAHWIN yang dipandang sebagai PIL AJAIB yang mampu menghilangkan ’sakit-pening’ mereka. Namun, mereka terlupa dan tidak pasti berapa lama mujarabnya.

Jua..

Jalan MUJAHADAH yang kabur.

Hal itu, bagi saya bagai memaksa Si Penyanyi Rock Kapak yang sudah sebati dengan ’KeRock Kapakan’ dalam hidupnya. Mujahadah sebegitu bagai mencabut irama rock yang sebati dengan darah dagingnya, yang telah membina reaksi spontan henjut kaki dan hayun badan bila terdengar muzik-muzik rock. Untuk ditukar dalam sehari dua kepada irama dangdut agar mengambil alih untuk sebati.

Kesannya, mereka terus mendaki tangga-tangga mujadah yang dibina sendiri. Tanpa diperkenalkan lumut-lumut licin yang bakal menjatuhkan mereka kembali. Juga karat-karat besi yang masih tebal tempat mereka berpaut.

Mengubah tabiat bukan ibarat mencabut kemuncup yang melekat di kaki seluar.
Jua mujahadah bukan bermaksud melawan nafsumu, andai masih kabur siapa menjadi sebenar musuhmu..

Saya bukan mengenepikan makna sebenar Mujahadah adalah suatu usaha yang berselit kesungguhan dalam melawan satu tabiat. Namun saya mempertikaikan kefahaman bermujahadah yang membabi buta tanpa mengenal musuh tradisi yang menghuni dalam dan serta mempengaruhi luar bagi diri seorang manusia.

Persoalan demi persoalan yang saya terima dan dengar dari perbualan bersama teman dan adik-adik usrah masih bermain pada skop yang sama. Mencari satu pendekatan untuk memperoleh kekuatan untuk bertindak. Kerana yang kamu lawan adalah apa yang ke sana ke mari bersama diri kita. Bukan suatu yang terpisah dan mampu kamu berselindung dan lari darinya.

Sebelum melangkah tangga-tangga mujahadah. Fahami dahulu hakikat diri, nafsu dan tabiat yang mencengkam diri kita. Kefahaman yang sebenar itulah akan melahirkan satu kuasa penolak yang sentiasa diharapkan oleh setiap manusia yang ingin berubah. Namun itu adalah dengan kekuatan dari Allah jua.

MUJAHADAH TOK KENALI

”Tok Kenali pernah terganggu oleh nafsu sendiri pasal teringat makan sampai tidak khusyuk untuk beribadat. Bagi selasaikan gangguan tuh beliau menjamu ’dirinya’ sehingga nafsunya naik muak untuk terus makan” teman saya menghadirkan kisah.


”Pernah satu ketika Jamaluddin al Afghani mengalami masalah yang hampir sama. Lalu dia ambil pasir dan suap ke mulut. Bila tahu tanah pasir tuh tak sedap. Maka tawar nafsunya dari terus nak menggoda,”

Dua kisah dihadapkan seterusnya kepada saya.

Teman saya cuba untuk membawa gambaran nafsu dalam bentuk yang berasingan dan bagaimana melayannya. Beliau berpendapat nafsu diri harus diajar begitu agar bersifat jinak.

Beliau agak kritikal dalam berbicara hal-hal sebegini. Berusaha untuk melihat nafsu sebagai suatu yang asing, dan melayan sepatutnya.

”Ya, itu maqam mereka. Mereka kenal diri dan siapa itu nafsu. Kita kalau buat macam tu selang 2 hari nak lagi” saya membalas.

Dia mengangguk kepala.

”Cuba bayangkan kita keluar ke sebuah bandar, bersama-sama kita ada seorang budak bodoh yang terpaksa dipimpin tangannya ke sana-sini. Terkadang sampai di tempat orang ramai dia tarik tangan kita untuk ke sana. Bukan kerana apa seronok tengok orang ramai berkumpul. Orang bijak dia sedar yang dipimpinnya adalah budak bodoh yang memang tabiatnya hendak suka-suka. Namun sebenarnya tanpa kita sedar, kita ikut perangai budak bodoh itu. Kemudian kita berjalan, tiba-tiba nampak budak perempuan, dia bersiul-siul dan ajak kita bersiul sama mengurat budak. Kalau kita nie jenis yang tahu malu kita jentik pulas telinga dia ajar adab, kalau kita jenis yang lemah.. kita yang sama-sama bersiul ikut budak bodoh tuh. Sebenarnya nafsu kitapun begitulah. Yang jadi masalah sekarang, adakah dia yang tarik dan tunggang tengkuk kita atau kita yang jentik telinga dia”

Itu gambaran yang pernah saya kutip dari seorang teman.

Benar, kita sedar banyak yang silap. Jua banyak yang kita turuti kehendaknya.

Kerna itu lontaran yang ingin saya bangkitkan, atas dasar apa anda yang berjaya tinggalkan keburukan dalam diri??

Ada manusia berbangga kerana dia mampu menjadi manusia soleh. Mampu mengikut ajaran Allah dan mengamal sunnah Rasulullah. Tapi adakah dia dalam keadaan sedemikian setelah dirinya diuji, atau Allah melorongkan kemudahan buat dirinya.

Cuba renungkan,

Ada insan yang rasa lega kerana sepanjang hidupnya, sepanjang hitungannya tiada dosa-dosa besar yang dia terjebak dan terpijak. Sedang Allah yang menjauhkan dirinya dari perkara-perkara tersebut lantaran mungkin dia tidak mampu melawan andai setitis nafsu buruk bergelumang dalam dirinya. Tapi dia tidak pernah bersyukur bahkan terkadang tertipu dengan merasakan segala kebaikan diri dan kesolehannya adalah dari ikhtiarnya.

Kerana itu, bersyukurlah tika Allah memperlihatkan segala kebaikan di mata dan hati kamu serta Allah gagahkan diri kamu untuk mengikuti jalan tersebut.

Itulah REZEKI yang cukup besar buat seorang mukmin.

Jua bersyukurlah saat Allah menzahirkan perkara buruk di mata dan hati kamu, serta dengan itu Allah campakkan kekuatan buat kamu melawan dan menjauhinya.

Kerna itu jua REZEKI yang cukup besar buat seorang muttaqin.


اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه


AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Saturday, March 20, 2010

Usah Kecewa Kerna Hidayah Menyapa..


Andai dirimu pernah merungut lantaran diuji derita, hingga terabai tanggungjawab kepada Yang Esa,
Ingatlah, dulu pernah ada hamba cekal bernama Ayyub, cekal menempuh ujian yang sama.

Andai pernah mengeluh dihimpit tugas yang menyibukkan, hingga tergadai amanah Tuhan.
Ingatlah, dulu pernah ada hamba bersyukur bernama Sulaiman. Mentadbir dunia dengan penuh ketundukan.

Andai lemahmu lantaran nikmat Tuhan yang melimpah, hingga tergadai maruah dan harga diri.
Ingatlah, dulu pernah ada hamba bijak bernama Yusuf, tampannya yang tidak perlu memujuk, menggoda. Dikelilingi manusia yang bergelora serakah.


Jua andai resahmu lantaran penentangan dari anak dan isteri, bagai takdir Ilahi tidak adil buat kamu Ingatlah dulu pernah ada hamba yang penuh cekal bernama Nuh. Seruan Tuhan dinafi anak isteri. Memujuk zuriat hingga ajal memisahkan mereka.

Mungkin kecewamu hingga rasa tiada makna untuk hidup, memilih jalan sepi yang ’mati di dalam mati’. Ingatlah, dulu pernah ada insan yang amat mulia bernama Muhammad. Menitis air matanya saat roh sucinya mahu dijemput. Bukan mencintai kehidupan, namun tiada yang terlintas difikiran selain kerisauan terhadap ummatnya ..

”Ummati..ummatii”

HADIAH YANG SAMA..

”Kek hari jadi ini untuk siapa?” tanya seorang kawan.

”Owh.. ini untuk Tok Mad. Dah lama meninggal, tapi kami sekeluarga masih merinduinya, pekertinya diingati kami sehingga sekarang. Terasa benar kerinduan walau tidak dapat menatap wajahnya” balas kembali.

”Kamu pula, tempah kek untuk siapa?” soal balas.

”Untuk Tok Mad juga, gaya cakap kamu tuh macam kita beli kek untuk orang yang sama aja,”

Tergamam...

”MasyaAllah, rupanya kita bersaudara.”

Itu sekadar dialog saya. Bukan cerita sebenar namun mengambil contoh yang benar.

Berselawat bersama, berarak bersama... namun pulang bagai mereka disebelah dan ditepi adalah orang asing bagi kita.

DIA YANG KUCINTA

Dulu suatu ketika, Junjungan Mulia pernah berdoa moga-moga Allah memberikan hidayah kepada bapa saudara baginda yang tercinta. Logik akal kita, sePATUTnya Abu Talib yang banyak membantu dakwah baginda LAYAK untuk menerima nikmat tidak terhingga tersebut, namun keegoan menafikan.

Allah tidak memilih Abu Talib untuk mendapat nikmat tersebut, tapi memilih Aku dan Kamu!!

Siapa Aku dan Kamu untuk layak menerima hadiah berupa hidayah daripada Allah.?

Nilai ini tidak akan terasa saat Aku dan Kamu tidak merasakan kita yang terpilih.

Bagaimana besar harapan Baginda saat bapa saudara tenat di sisi. Tidak mungkin tiada sebarang cetusan hati dalam sanubari baginda.

”Ya Allah, berilah hidayah kepada bapa saudaraku Abu Talib. Bukalah pintu hatinya, tunjukanlah kepadanya jalanMu yang sebenar” mungkin lebih dari itu doa Junjungan kita.

Tapi ingat, doa Baginda adalah doa mustajab. Doa yang pasti Allah tidak tolak tanpa sebab.

Namun bagaimana doa manusia setulus dan semulia baginda Allah tidak perkenankan.

Bila lagi kita mahu bersyukur? Adakah menunggu Allah sendiri menyatakan;

”Aku tak MAHU bagi hidayah pada Abu Talib, kerana nanti akan ada hamba aku bernama Saizol yang lahir di Malaysia, 1400 tahun lagi. Dia tak mulia, dia kat ceruk kampung hulu, dia tak hebat, dia tuh banyak dosa, mungkin dia dari keturunan orang yang sembah berhala-berhala sekarang. Tapi Aku pilih dia untuk menerima Hidayah dariKu”

Saya merenung,

Alhamdulillah, kita terselamat dari diciptakan sebagai makhluk terkutuk untuk menggoda adam dan hawa suatu ketika dahulu. Yang pasti neraka sedang menyeru menanti kehadiran atas mulanya derhaka.

Alhamdulillah, kita jua terselamat dari menjadi kelompok umat hud yang diazabkan Allah dengan azab pedih..

Alhamdulillah, Allah tidak menjadikan kita benih-benih zuriat dari perut ibu-ibu penentang untuk ditenggelam lantaran menolak dakwah Nuh dalam banjir besarnya. Mungkin sekarang sedang menderita perit dibalik lumpur keras menerima azab Tuhan.

Alhamdulillah, kita tidak disenaraikan Allah dari golongan kaum Luth yang mati terseksa diterbalikkan kampung lantaran laknat Tuhan. Renunglah susuk derhaka yang sekarang kaku bagaikan batu.

Syukur, kita tidak ditaqdirkan menjadi para tentera Firaun yang kelemasan menjadi tontonan manusia sehingga sekarang.


Juga kita bukan tentera-tentera musuh yang berperang melawan dakwah Rasulullah suatu ketika dahulu. Menerima libasan mata pedang para syuhada’ dan malaikat yang membantu.


Lebih-lebih bersyukur, kita tiada dalam check list untuk tenggelam dan menjadi mayat-mayat berseluar dalam mati kembung lagi terapung tidak terurus bersama bergunung sampah di bawa arus tsunami, menjadi tontonan manusia lain di seluruh dunia (takziah buat yang soleh). Jua tidak tersenarai dalam mangsa kemurkaan gempa Chile.

Lebih bersyukur, menjadi manusia yang masih hidup dan mampu terus bersujud.

Rapatilah telingamu dikubur dan bertanyalah si mati,

”Aku masih bersyukur walau telah mati, kerna matiku dalam Islam yang diredhai. Kerna masih ramai yang hidup didunia sekarang, namun hidup namun dalam menderhakai Tuhan”

Maka, atas alasan apa lagi kamu memilih untuk terus kecewa?

”maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?”


Syukur Ya Allah, terima kasih Ya Rasulullah..


abejoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Thursday, February 18, 2010

Nasyid Perjuangan - Rabitah Hati

Sama-sama hayati..

"Read More..."

Monday, February 1, 2010

Teman, Usahlah Bermain Alasan

gambar hiasan. photonet

“ Assalamulaikum ustaz, free ke sekarang?? Kalau boleh nak minta bagi pengisian sikit kat adik-adik,”
saya menerima panggilan.

Saya memandang jam didinding.

9.15 malam.

”InsyaAllah, tapi dalam pukul 10.00 ana sampailah,” balas saya ringkas.
Bingkas bangun dan bersiap. Anak masih cerah mata bermain-main dengan saya.

”Sapa nta jemput malam nie asalnya?” saya bertanya sebaik tiba.

”Tak jemput sapa pun, memang plan nak panggil ustaz,” balas kembali. Seolah tidak memahami apa yang saya maksudkan.

Saya cuba bersabar.

Prinsip saya, itu ketentuan Allah buat saya. Andai tidak menghadiri majlis Ilmu, moga-moga jemputan sebagaimana tersebut adalah rezeki dari Allah buat saya betulkan diri dari lafaz yang saya ucap buat muhasabah sendiri.

MERANCANG UNTUK TIDAK SIBUK

”Dia tuh memang aktif, susah nak cari masa tak sibuk,” bicara seorang kepada temannya.

Saya tidak sehebat itu.

Saya akui, ramai yang benar-benar merancang dan sememangnya dia seorang yang benar-benar sibuk. Tapi ramai juga gagal merancang yang akhirnya menunjukkan dia seolah-olah sibuk.

”Kalau boleh tolong confirmkan awal ye, senang ana nak plan jadual ana,” saya memberi ingatan dengan ayat yang sebaik mungkin. Moga-moga ada yang perasan dengan mesej ’tegas’ disebaliknya.

Hakikatnya saya tidak sesibuk mana. Namun untuk meluangkan masa menjangkau 2 ke 3 hari untuk satu slot sekitar 1 jam benar-benar merugikan bagi saya walaupun terubat dengan kepuasan hati. Saya cuba mengoptimumkan setiap detik masa andai tiap kali berkesempatan turun ke KL.

Februari dan Mac, insyaAllah menagih komitmen yang lebih berbanding sebelum ini. Meninggalkan isteri dengan anak yang masih kecil, ketiadaan saya harus dicari pengganti. Samada saya terpaksa menjemput bonda di kampung menemani, mahupun meninggalkan isteri untuk menetap bersama keluarga sehingga saya menjenguk pulang.

”Owh.. ponteng meeting yea.” saya mendapat mesej menerusi YM sebaik menyedari ke’available’an saya.

”Maaflah, harap-harap meeting lepas nie tak ubah,” saya membalas.

Hampir setiap mesyuarat yang dijadualkan gagal untuk saya hadiri.Hasrat asal untuk ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat, di samping menjenguk pejabat sebulan sekali. Lantas saya cuba menempah tiket seawal mungkin. Namun, kebiasaannya berkesudahan dengan penagguhan mesyuarat ke tarikh lain di saat-saat akhir memenuhi keuzuran rakan-rakan senior yang lain.

"Owh En Saizol, maaflah mesyuarat ditangguh ke minggu depan. En Saizol dapat hadir ke?? Seorang pegawai kerajaan tanpa rasa bersalah memaklumkan sebaik saya menjejak kaki memasuki ruang pejabat. Terkejar-kejar dari Kelantan untuk urusan tersebut.

"Notis penagguhan saya tak terima pun" saya membalas.
Jiwa memendam sedikit rasa.

"Emm.. saya baru nak fakskan" balasnya bersahaja.

"Allahu Akbar..." darah saya tersirap.

Tidak cuba memanjang-jelakan lagi bicara kami. Walau terkadang saya cukup terkilan dengan lantaran hancur luluh hati saya dengan situasi tersebut.

USAH BERMAIN ALASAN

"Ana masih 50-50 lagi, insyaAllah cuba hadir" saya menjawab. Full Stop.

"UMNO.. UMNO..." saya disindir teman dalam gurauan.

"InsyaAllah, 49-51.. " masih mampu melayan gurauan.

Pelajaran baru saya tahun ini. Moga saya tidak banyak bermain alasan atas sebarang keuzuran. Walau hakikat saya dapat mengemukakan hujahan atas keuzuran tersebut.



Cuba menahan rasa hati, baru-baru ini saya seolah-olah ditegur olehNya, seminggu saya terlihat, terbaca dan terdengar kisah mengenai sahabat- Kaab Bin Malik dari pengkisahan perang tabuk dari pelbagai sumber. Bukan tidak pernah mendengar kisahannya. Namun asakan dari email yang TERinbox, akhbar yang TERbaca, tazkirah yang TERdengar, TERlihat promosi teaternya bagai suatu mesej buat saya. Mesej yang diterima dari pelbagai olahan benar-benar menjentik jiwa saya.

Disentak dengan kemuliaan jiwa seorang sahabat, beliau mampu memberikan pelbagai alasan atas keuzuran menyertai peperangan tersebut. Dinasihati kaumnya lantaran hujjah yang kuat dan mungkin mampu diterima dan dimaafkan Rasulullah, namun beliau memilih untuk meletakkan kesalahan ke atas diri. Sedang golongan munafiq hebat bermain alasan membebas diri.

Melepaskan amanah dan tanggungjawab dengan dipalit alasan adalah manusia yang meniti ditebing-tebing kemunafikan. Dia mungkin terasa bahagia sebaik hujah melepaskan diri, namun tidak sedar jiwa-jiwa disekelilingnya sedang mencebik meluat dengan alasan rapuh yang cuba dikuatkan. Alasan mati yang susah payah cuba dihidupkan.

Menahan untuk tidak memberi alasan cukup berat. Menanggung beban rasa untuk membela diri. Namun, itu bukan sifat sebenar mereka yang cintakan kebenaran.

Bermanfaat buat bekalan perjuangan moga Allah memelihara saya dari menjadi manusia munafiq yang suka bermain alasan. Alhamdulillah, saya terasa sahabat lebih memahami dengan jawapan yang lebih pendek.

Jua bermanfaat buat perniagaan saya moga berani mengaku salah atas kesilapan diri dengan amanah dari client. Alhamdulillah, client juga gembira atas ketelusan yang diberi.

Alhamdulillah Ya Allah..

AbeJoes@Abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Friday, January 29, 2010

Solat Hajat Tuntutan Royalti Minyak Kelate

Pandangan sisi stadium (maaf HP murah, gambar pun kualiti murah)
Pandangan dari padang stadium

Puluhan ribu jemaah yang hadir untuk solat hajat



Gambaran Sebelum Ceramah



Keberangkatan Tiba YM Ku Li, YB Husam & VIP lain. Diarak naik beca

"Read More..."

Monday, January 25, 2010

Ikhtiar Bertebing Syariat

http://photo.net/gallery

Sufiyyah jarang menangis dan merengek kerana sukar untuk tidur.

Namun saya dan isteri perasan, setiap kali kami menerima kehadiran tetamu ataupun isteri terpaksa bermesyuarat sehingga larut malam. Kami harus menanti risiko tersebut.

Anak yang jarang merengek, sekali feelnya menjadi, pening juga ibunya.
Habis ikhtiar dan usaha memujuk.

Basuh kepala.. henti sebentar.
Dilap badan... kembali meraung sebaik kering lembabnya.
Menyusu.. tak mahu walau lidah meliut lapar.
Kipas atas.. bawah.. masih merengek bagai tiada sebarang angin menyapa.

Tidak mudah isteri saya melabuhkan usaha.



”Ambil lada hitamlah abang,” isteri memberi cadangan.

Namun saya perasan apa yang bersarang dikepalanya yang tidak diluahkan. Mungkin ada asbab sufiyyah berkelakuan sebegitu.

”Tak perlulah pakai lada hitam,” saya cuba menolak. Saya tidak salahkan isteri. Ikhtiarnya mula berpenghujung.

Dalam menolak saya teringat janji Ilahi, dan saya bersyukur kerana saat-saat genting sebegini dia masih memberi ilham untuk saya mengadu kepadaNya.

Saya amat-amat yakin.
Islam tidak hadir menolak kebatilan tanpa menawarkan kebenaran.
Hadir bukan datang tegas mencantas nafsu yang membuas, tanpa lembut membelai memberi jalan syariat.
Hatta, tidak rakus mencabut tangkal, tanpa bekal doa dan tawakkal.

Dalam ikhtiar, saya cuba bangun berwuduk dan mengambil segelas air. Menunaikan solat dalam suasana cukup berharap, raungan sufiy menjadikan pengharapan kepadaNya lebih jitu berbanding biasa.

”Ya Allah, Aku tidak tahu apa yang terjadi kepada anakku. Tapi aku yakin diriMu wali menjaga jiwa aku dan jiwanya. Ya Allah, Andai asbab berubah perangainya pada malam ini lantaran ada makhluk-makhlukMu yang tidak sepatutnya mengganggu kami. Maka aku serahkan kepadaMu menjaga kami dan mententeramkan rumah kami. Andai menangisnya lantaran dirinya.. sakit perut ke.. tidak selesa tubuhnya ke. Engkau sembuhkan Ya Allah. Esok kami nak bangun solat subuh lagi... Isteriku nak kerja, tolonglah Ya Allah. Tenteramkan kami dari sebarang gangguan”

Sekadar itu yang saya pohon dalam kepala yang juga berat.

Saya merindui bicara sebegitu. Dan semangnya itu yang terbuku.
Bicara dalam terdesak, tidak memerlukan bahasa yang letih diperah untuk ditutur.
Tenang dan puas.

”Alhamdulillah, dah tertidur ya,” saya menyapa isteri sebaik bilik kamar diselak.
Isteri mula tidur-tidur ayam, sedang Sufiy kelihatan cukup nyenyak di sisi.

..............

SYARIAT DI HUJUNG IKHTIAR

”Abang tak salahkan sayang, memang dalam terdesak kita akan memilih pelbagai cara. Namun sebaik-baik usaha, memilih ikhtiar yang tak putus bergantung harap kepadaNya,” sedikit perkongsian selepas subuh dalam mata yang masih mengantuk.

Bagi saya, berhati-hati dengan tipudaya iblis adalah perkara utama dalam kehidupan. Jiwa yang terdesak antara tika yang paling mudah diserang hasutan.

Mohon maaf, bagi saya tiada apa lebihnya andai hanya beberapa biji lada hitam diletakkan di bawah bantal buat penghalau iblis dan syaitan yang menggangu. Apa kelebihannya sehingga iblis dan syaitan semudah itu mengaku kalah.

Saya bukan menyindir, jua tidak perlu mohon maaf andai itu kebenarannya. Namun mungkin ada kegunaan sebagai wasilah dalam perubatan Islam. Tapi sandaran utama adalah pergantungan kepada Allah bukan pergantungan kepada biji-biji kecil itu sahaja.

Ingat, tapis baik-baik segala adat yang mencondongkan jiwa kepada kebergantungan kepada benda. Menjerumuskan hati yang akhirnya akur dengan suatu yang hakikatnya tiada makna. Memang tidak berupa tangkal dan azimat yang disangkut di leher. Namun natijahnya tetap sama.

”Eh.. memang betul-betul jadi la. So, guano?” seorang kenalan baru bergelar ustaz menyelit kata.

Mungkin dia sedikit tersinggung sebaik killer product yang dipromosi mereka serta diyakini mampu memberi manfaat yang pelbagai namun turut ditegur saya agar bersandar kepada Ilahi.

”Emm.. mungkin pada kita lada hitam nie tiada apa-apa Joe. Tapi mungkin bagi hantu dan setan benda ini ibarat bebola api bagi puak-puak mereka,” kawan saya cuba melogikkan hujjah.

”Betul, mungkin menjadi pada zahir. Tapi menjadi kerana apa??” saya membalas

Awalan, kita berpransangka sang syaitan takut dan mungkin tercirit-birit lari sebaik usaha tersebut membuahkan hasil. Kita tenang, namun syaitan senang.

Hei.. sedarkah sebenarnya mereka itu mungkin beredar sambil menari dalam senyuman lantaran kita mula terjerumus dalam perangkapnya sedang kita menyangka itu yang terbaik.

Dia.. menunggu saat jiwa kita kembali lemah dan berusaha menyerang dan mengharapkan kita memilih ikhtiar sama. Dia terus berlakon dan beredar dalam senyum yang kian meleret.

Hingga saat nanti biji dan tangkal bagai permainan buatnya. Sedang kita telah meletakkan pergantungan yang cukup tinggi. Saat itulah dia meninggalkan kamu dengan ketawa yang berdekah-dekah lantaran satu adat yang mula menjadi pegangan kita.

Saat jiwa yang rapuh itu. Tiada lagi Allah sebagai sumber pengharapan dalam hati kamu. Itu matlamat yang mereka mahu.

Itu baru hal-hal sekecil dalam nyenyak tidur kita dan anak. Namun godaan syaitan bukan perkara remeh dan kecil sebegitu. Mereka berusaha dalam segenap keterpaksaan hidup kita. Dalam hal-hal makan minum kita, dalam muamalat yang hakikatnya penuh dengan situasi-situasi yang terdesak.

Terhimpit dengan situasi dan keadaan,
Terdesak lantaran tanggungjawab.
Desakan yang terus menggelapkan mata untuk melihat jalan kebenaran,
Desakan yang menenggelamkan hati dari memohon petunjuk ilahi.

Moga Allah mampu menghadirkan waspada dalam segenap keadaan.

MENGADULAH DENGAN IKHTIAR SEORANG HAMBA

Saya mengangkat tangan.

” Bismillah, Ya Allah, macam biasa-biasalah, Aamiin”

”Hahaha.. ada jugak ’macam biasa-biasalah’..” teman terasa lucu. Ketawa melihat lakonan ringkas saya.

Benar, doa sebegitu diterima sebagai suatu yang pelik

Tapi tidakkah kita berasa pelik, bila kita hanya menyedari rupanya kita sedang berdoa saat berada di penghujung. Hanya sedar SEDANG BERDOA dan SEMEMANGNYA BERDOA saat tersentak dengan lafaz ’walhamdulillahi Robbil ’Aalamiin’ pak imam. Doanya panjang terucap, namun terhijab dalam minda yang tidak sedar. Ya.. kita harus akui. Melayari doa dan berlabuh dipenghujung tanpa disedari.

”Ya Allah, Terima kasih Ya Allah pasal mung izin aku untuk sujud kepadaMu pagi ni. Aku bangun pagi nie.. Pahnie aku nak berkemas pula Ya Allah. Nak gi kijo.. nak cari makey minum kat anak isteri aku... Mintak-minta Mung tolong laa jaga aku. Jangan bagi jatuh dalam benda-benda haram dan benda-benda lalai..”

Doa yang lahir dari hati..

Sebaik menuruni tangga rumah, memulakan kerja dan bergaul.
Pasti tidak terlepas ditengking boss yang pemarah, terkadang meletak salah orang lain ke atas tubuh badan kita. Betapa kecewanya hati. Kepada siapa kita adukan kecuali membawa luka ke rumah untuk dilepaskan kepada anak isteri. Namun apa kita doakan menjelang zohor..?

”Ya Allah, aku tak buat silap Ya Allah.. yang salah si mamat tuh. Tapi aku kena marah. Aku sedih Ya Allah, boss aku kutuk aku depan staf-staf lain. Aku malu sangat-sangat Ya Allah. Bukan salah aku, tapi nak buat macam mana, aku takdok upaya apo-apo”
Mata berkelip-kelip mengharap ada yang memahami.

Jiwa tenang, meluahkan segala rasa hati kepada ’counselor’ yang setia mendengar.

Sambung kerja... namun pastinya masih banyak perkara yang meruntun jiwa sebelum asar menjelang tiba. Memerlukan pengaduan dan pengharapan kepada yang setia mendengar. Bukankah kamu ada masa untuk mengadu saat waktu yang tiba.

Cantik.. andai Allah dijadikan tumpuan aduan sebegitu rupa.
Tenang, andai hanya Allah jualah kita mencurah segala rasa.

Pagi bangun dengan doa-doa harapan..
Siang berdoa dengan keluh resah jiwa dengan segala kerenah manusia..
Malam, merintih merenung segala dosa dan noda.

Andai sehari-hari Allah menjadi matlamat pengaduan ummat.
Bagaimana agaknya hubungan yang kemas terikat.
Bagaimana agak andai berhari, berterusan minggu, menempuh bulan dan melangkau tahun.

Terkadang saya berfikir.
Di mana janggal bila seorang hamba menjadikan Allah sebagai teman mengadunya.
Menceritakan segala keluh kesah dalam hati saat jutaan manusia lain yang bersimpati namun ketandusan usaha.
Sedang jiwanya sarat dengan segala mehnah yang berat untuk dikongsi bersama.
Hanya mampu dicerita, dan terus dicerita tanda lemahnya usaha seorang hamba.
Terkadang matanya menitis lantaran beratnya memikul amanah,
Ditambah dengan kejahilan manusia yang berasa kenyang dengan menghirup zat-zat fitnah.

Benarlah janji Allah..

الله الصمد

Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu [112:2]


AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."