Friday, January 29, 2010

Solat Hajat Tuntutan Royalti Minyak Kelate

Pandangan sisi stadium (maaf HP murah, gambar pun kualiti murah)
Pandangan dari padang stadium

Puluhan ribu jemaah yang hadir untuk solat hajat



Gambaran Sebelum Ceramah



Keberangkatan Tiba YM Ku Li, YB Husam & VIP lain. Diarak naik beca

"Read More..."

Monday, January 25, 2010

Ikhtiar Bertebing Syariat

http://photo.net/gallery

Sufiyyah jarang menangis dan merengek kerana sukar untuk tidur.

Namun saya dan isteri perasan, setiap kali kami menerima kehadiran tetamu ataupun isteri terpaksa bermesyuarat sehingga larut malam. Kami harus menanti risiko tersebut.

Anak yang jarang merengek, sekali feelnya menjadi, pening juga ibunya.
Habis ikhtiar dan usaha memujuk.

Basuh kepala.. henti sebentar.
Dilap badan... kembali meraung sebaik kering lembabnya.
Menyusu.. tak mahu walau lidah meliut lapar.
Kipas atas.. bawah.. masih merengek bagai tiada sebarang angin menyapa.

Tidak mudah isteri saya melabuhkan usaha.



”Ambil lada hitamlah abang,” isteri memberi cadangan.

Namun saya perasan apa yang bersarang dikepalanya yang tidak diluahkan. Mungkin ada asbab sufiyyah berkelakuan sebegitu.

”Tak perlulah pakai lada hitam,” saya cuba menolak. Saya tidak salahkan isteri. Ikhtiarnya mula berpenghujung.

Dalam menolak saya teringat janji Ilahi, dan saya bersyukur kerana saat-saat genting sebegini dia masih memberi ilham untuk saya mengadu kepadaNya.

Saya amat-amat yakin.
Islam tidak hadir menolak kebatilan tanpa menawarkan kebenaran.
Hadir bukan datang tegas mencantas nafsu yang membuas, tanpa lembut membelai memberi jalan syariat.
Hatta, tidak rakus mencabut tangkal, tanpa bekal doa dan tawakkal.

Dalam ikhtiar, saya cuba bangun berwuduk dan mengambil segelas air. Menunaikan solat dalam suasana cukup berharap, raungan sufiy menjadikan pengharapan kepadaNya lebih jitu berbanding biasa.

”Ya Allah, Aku tidak tahu apa yang terjadi kepada anakku. Tapi aku yakin diriMu wali menjaga jiwa aku dan jiwanya. Ya Allah, Andai asbab berubah perangainya pada malam ini lantaran ada makhluk-makhlukMu yang tidak sepatutnya mengganggu kami. Maka aku serahkan kepadaMu menjaga kami dan mententeramkan rumah kami. Andai menangisnya lantaran dirinya.. sakit perut ke.. tidak selesa tubuhnya ke. Engkau sembuhkan Ya Allah. Esok kami nak bangun solat subuh lagi... Isteriku nak kerja, tolonglah Ya Allah. Tenteramkan kami dari sebarang gangguan”

Sekadar itu yang saya pohon dalam kepala yang juga berat.

Saya merindui bicara sebegitu. Dan semangnya itu yang terbuku.
Bicara dalam terdesak, tidak memerlukan bahasa yang letih diperah untuk ditutur.
Tenang dan puas.

”Alhamdulillah, dah tertidur ya,” saya menyapa isteri sebaik bilik kamar diselak.
Isteri mula tidur-tidur ayam, sedang Sufiy kelihatan cukup nyenyak di sisi.

..............

SYARIAT DI HUJUNG IKHTIAR

”Abang tak salahkan sayang, memang dalam terdesak kita akan memilih pelbagai cara. Namun sebaik-baik usaha, memilih ikhtiar yang tak putus bergantung harap kepadaNya,” sedikit perkongsian selepas subuh dalam mata yang masih mengantuk.

Bagi saya, berhati-hati dengan tipudaya iblis adalah perkara utama dalam kehidupan. Jiwa yang terdesak antara tika yang paling mudah diserang hasutan.

Mohon maaf, bagi saya tiada apa lebihnya andai hanya beberapa biji lada hitam diletakkan di bawah bantal buat penghalau iblis dan syaitan yang menggangu. Apa kelebihannya sehingga iblis dan syaitan semudah itu mengaku kalah.

Saya bukan menyindir, jua tidak perlu mohon maaf andai itu kebenarannya. Namun mungkin ada kegunaan sebagai wasilah dalam perubatan Islam. Tapi sandaran utama adalah pergantungan kepada Allah bukan pergantungan kepada biji-biji kecil itu sahaja.

Ingat, tapis baik-baik segala adat yang mencondongkan jiwa kepada kebergantungan kepada benda. Menjerumuskan hati yang akhirnya akur dengan suatu yang hakikatnya tiada makna. Memang tidak berupa tangkal dan azimat yang disangkut di leher. Namun natijahnya tetap sama.

”Eh.. memang betul-betul jadi la. So, guano?” seorang kenalan baru bergelar ustaz menyelit kata.

Mungkin dia sedikit tersinggung sebaik killer product yang dipromosi mereka serta diyakini mampu memberi manfaat yang pelbagai namun turut ditegur saya agar bersandar kepada Ilahi.

”Emm.. mungkin pada kita lada hitam nie tiada apa-apa Joe. Tapi mungkin bagi hantu dan setan benda ini ibarat bebola api bagi puak-puak mereka,” kawan saya cuba melogikkan hujjah.

”Betul, mungkin menjadi pada zahir. Tapi menjadi kerana apa??” saya membalas

Awalan, kita berpransangka sang syaitan takut dan mungkin tercirit-birit lari sebaik usaha tersebut membuahkan hasil. Kita tenang, namun syaitan senang.

Hei.. sedarkah sebenarnya mereka itu mungkin beredar sambil menari dalam senyuman lantaran kita mula terjerumus dalam perangkapnya sedang kita menyangka itu yang terbaik.

Dia.. menunggu saat jiwa kita kembali lemah dan berusaha menyerang dan mengharapkan kita memilih ikhtiar sama. Dia terus berlakon dan beredar dalam senyum yang kian meleret.

Hingga saat nanti biji dan tangkal bagai permainan buatnya. Sedang kita telah meletakkan pergantungan yang cukup tinggi. Saat itulah dia meninggalkan kamu dengan ketawa yang berdekah-dekah lantaran satu adat yang mula menjadi pegangan kita.

Saat jiwa yang rapuh itu. Tiada lagi Allah sebagai sumber pengharapan dalam hati kamu. Itu matlamat yang mereka mahu.

Itu baru hal-hal sekecil dalam nyenyak tidur kita dan anak. Namun godaan syaitan bukan perkara remeh dan kecil sebegitu. Mereka berusaha dalam segenap keterpaksaan hidup kita. Dalam hal-hal makan minum kita, dalam muamalat yang hakikatnya penuh dengan situasi-situasi yang terdesak.

Terhimpit dengan situasi dan keadaan,
Terdesak lantaran tanggungjawab.
Desakan yang terus menggelapkan mata untuk melihat jalan kebenaran,
Desakan yang menenggelamkan hati dari memohon petunjuk ilahi.

Moga Allah mampu menghadirkan waspada dalam segenap keadaan.

MENGADULAH DENGAN IKHTIAR SEORANG HAMBA

Saya mengangkat tangan.

” Bismillah, Ya Allah, macam biasa-biasalah, Aamiin”

”Hahaha.. ada jugak ’macam biasa-biasalah’..” teman terasa lucu. Ketawa melihat lakonan ringkas saya.

Benar, doa sebegitu diterima sebagai suatu yang pelik

Tapi tidakkah kita berasa pelik, bila kita hanya menyedari rupanya kita sedang berdoa saat berada di penghujung. Hanya sedar SEDANG BERDOA dan SEMEMANGNYA BERDOA saat tersentak dengan lafaz ’walhamdulillahi Robbil ’Aalamiin’ pak imam. Doanya panjang terucap, namun terhijab dalam minda yang tidak sedar. Ya.. kita harus akui. Melayari doa dan berlabuh dipenghujung tanpa disedari.

”Ya Allah, Terima kasih Ya Allah pasal mung izin aku untuk sujud kepadaMu pagi ni. Aku bangun pagi nie.. Pahnie aku nak berkemas pula Ya Allah. Nak gi kijo.. nak cari makey minum kat anak isteri aku... Mintak-minta Mung tolong laa jaga aku. Jangan bagi jatuh dalam benda-benda haram dan benda-benda lalai..”

Doa yang lahir dari hati..

Sebaik menuruni tangga rumah, memulakan kerja dan bergaul.
Pasti tidak terlepas ditengking boss yang pemarah, terkadang meletak salah orang lain ke atas tubuh badan kita. Betapa kecewanya hati. Kepada siapa kita adukan kecuali membawa luka ke rumah untuk dilepaskan kepada anak isteri. Namun apa kita doakan menjelang zohor..?

”Ya Allah, aku tak buat silap Ya Allah.. yang salah si mamat tuh. Tapi aku kena marah. Aku sedih Ya Allah, boss aku kutuk aku depan staf-staf lain. Aku malu sangat-sangat Ya Allah. Bukan salah aku, tapi nak buat macam mana, aku takdok upaya apo-apo”
Mata berkelip-kelip mengharap ada yang memahami.

Jiwa tenang, meluahkan segala rasa hati kepada ’counselor’ yang setia mendengar.

Sambung kerja... namun pastinya masih banyak perkara yang meruntun jiwa sebelum asar menjelang tiba. Memerlukan pengaduan dan pengharapan kepada yang setia mendengar. Bukankah kamu ada masa untuk mengadu saat waktu yang tiba.

Cantik.. andai Allah dijadikan tumpuan aduan sebegitu rupa.
Tenang, andai hanya Allah jualah kita mencurah segala rasa.

Pagi bangun dengan doa-doa harapan..
Siang berdoa dengan keluh resah jiwa dengan segala kerenah manusia..
Malam, merintih merenung segala dosa dan noda.

Andai sehari-hari Allah menjadi matlamat pengaduan ummat.
Bagaimana agaknya hubungan yang kemas terikat.
Bagaimana agak andai berhari, berterusan minggu, menempuh bulan dan melangkau tahun.

Terkadang saya berfikir.
Di mana janggal bila seorang hamba menjadikan Allah sebagai teman mengadunya.
Menceritakan segala keluh kesah dalam hati saat jutaan manusia lain yang bersimpati namun ketandusan usaha.
Sedang jiwanya sarat dengan segala mehnah yang berat untuk dikongsi bersama.
Hanya mampu dicerita, dan terus dicerita tanda lemahnya usaha seorang hamba.
Terkadang matanya menitis lantaran beratnya memikul amanah,
Ditambah dengan kejahilan manusia yang berasa kenyang dengan menghirup zat-zat fitnah.

Benarlah janji Allah..

الله الصمد

Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu [112:2]


AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."