Wednesday, October 15, 2008

Perkahwinan- Rahsia Kasih Ilahi


“Salam abang, bawak kereta elok2, moga selamat sampai”

Jiwa saya terharu. Kalimah ‘nta’ yang dulu diguna buat pengganti diri mula bertukar sebaik satu ikatan termatri.

“Terima kasih, so nak abang panggil apa pula nie? Sayang.. darling .. ke dinda? Saya membalas kembali. Masih tertanya-tanya kalimah sesuai buat insan baru dalam hidup ini.



“Alahai.. sayanglah ek. Baru manja sikit. Hehehe..” isteri mula membalas ringkas.


Mesej-mesej SMS sulung sebaik diijabkabul masih mekar dalam fikiran saya. Terpaksa saya deletekan jua buat memberi sedikit laluan kepada mesej-mesej lain untuk turut menumpang dalam handphone yang tak seberapa.

Saya sedar dirinya cukup gembira sebagaimana gembira diri ini.

Diri terasa tenang…
Hati terasa lapang…
Jiwa mula dibuai-buai dengan rasa tenteram..

Saya memberhentikan kereta sebentar. Dulu mungkin membalas saat kereta dipandu, sekarang fikiran harus diletak dihadapan.

Saya diam seketika. Berfikir sedalam mungkin hal-hal yang telah lama berputar disetiap sudut kepala. Menarik nafas dalam menterjemah segala rasa yang lama terpendam.

Rasa hati mula saya luahkan.

“Dulu pernah org pertikai kerna diriku bertegas agar kalimah ini hanya disimpan utk siapa yg bergelar isteriku shj.Maka dengan ini abg mulakan lafaz S.A.Y.A.N.G. buatmu yang bergelar isteriku”

Muqaddimah awal panggilan saya buat isteri. Tiada sebarang kad istimewa yang saya coretkan dalam kesibukan majlis kami, tiada bungkusan hadiah-hadiah mahal yang mampu saya hadiahkan sempena majlis kami. Yang menjadi bekal dalam diri saya hanya kalimah tersebut. Kalimah yang sekian lama saya simpan erat moga tidak ditaip dan dilafaz kepada mana-mana insan selain kepada insan yang bergelar isteri. Isteri saya mula berkongsi dengan adik-adik, memberi semangat moga masing-masing berusaha mewujudkan nilai-nilai dalam perhubungan yang mungkin akan turut dijalani mereka.

Saya puas…
Menjaga mulut dari melafaz..
Menjaga tangan dari menaip…
Menjaga hati dari terlintas..

Melafazkannya bagai melepaskan beban yang lama terpikul. Bagai menyerahkan hadiah bernilai yang lama di bawa dalam diri. Bagai mengalirkan air-air yang sekian lama bertahan. Akhirnya kalimah tersebut mampu saya lafazkan kepada insan yang sepatutnya. Moga-moga kalimah tersebut menjadi nilai sebagaimana beratnya saya menjaga, mengawal dan mempertahankan kesuciannya.

Sebentar.. isteri membalas. Susun ayatnya menggambarkan suatu yang sememangnya dinanti.

HIDUP YANG TERARAH

Melengkapi kehidupan dengan menjejaki alam baru. Memulakan dengan niat yang penting agar hidup lebih terarah. Kerana itu, saya memerhatikan istilah yang paling sesuai dalam membuat jemputan online baru-baru ini-MIHRABSUNNAH.

Mungkin menyangka taipan saya ini lantaran jiwa masih lagi dalam semangat gembira dengan alam baru..

Mungkin ada yang rasa pelik semacam dengan garapan ayat yang bagaikan manusia yang kerek dengan hati jiwangnya..

Saya sedar, cuma bagaimana keadaan kita dalam merentasi sempadan baru ini. Menyambut kegembiraan yang tidak henti bertali arus dengan semangat yang kian kuat..
Menjalani hidup-hidup dalam melengkapi musafir hidup, melangkah ke mihrab perkahwinan dalam meniti sunnah Junjungan.

HAKIKAT CINTA DAN KASIH SAYANG.

Meniti hari seterusnya dengan gelaran yang baru bersama insan baru dalam hidup memerlukan satu kefahaman sulung yang harus disemat.

Kesempatan jemaah subuh yang pertama kali didirikan bersama cuba digunakan sepenuhnya. Selesai berdoa saya memusingkan susuk tubuh, memegang erat tangan isteri sambil merenung tepat ke dalam kedua matanya. Dia menundukkan pandangannya, rasa malunya masih menebal kala matanya bertentangan, cuma terkadang dia memberanikan diri untuk memerhati riak wajah dan gerak bibir insan yang masih baru dalam hidupnya.

Muqaddimah saya menekankan kepada tiga perkara utama yang harus ditanam dan difahami bersama.

Pertama : Kasih Sayang dari Allah

“Sayang.. betul kita rasa nikmat bila dicampak rasa cinta dan kasih walaupun hijab kasih dan sayang ini baru sehari dua ini dibuka oleh Pemberi yang asal. Selama ini kita memendam semua, maka sebaik dibuka maka membuak-buaklah aliran kasih keluar. Indah rasa bila kasih sayang dicampakkan Allah, Cuma jarang manusia sedar hakikat kasih sayang sebenarnya datang dari Dia” saya mula bersuara.

Benar, ramai manusia berasa hebat lantaran kasih sayang yang dicurahkan kepada pasangannya. Ramai manusia berbangga kerana mampu mencurahkan kasih sayang yang bagi dirinya adalah kerana kelebihan sifat cinta dalam dirinya, kerana romantik dan sifatnya yang penuh prihatin. Ramai manusia dia berbangga apabila dipuji mampu memberikan kasih sayang yang hebat kepada pasangan hidup. Isteri memuji hebatnya suami yang jiwanya penuh dengan kasih sayang… suami pula memuji isteri yang hatinya sarat dengan cinta dan rindu. Tapi sandaran mereka hanya bersandar kepada diri, tiada langsung memerhati curahan asal adalah anugerah Ilahi.

Allah.. Dia Yang Maha Kaya. DisisiNya segala khazanah yang tersimpan termasuk rasa kasih sayang. Dari manusia yang tidak pernah jumpa, tidak terlintas untuk bersua. Dia jalankan sedikit perancanganNya disamping menitiskan sedikit rasa kasih antara kedua makhlukNya. Maka, melompat-lompat dua insan ini menyelami hakikat kasih. Tapi manusia masih terlupa, hakikat sebenarnya adalah dariNya.

Andai dengan sedikit pemberian kasih tersebut jiwa kita sudah lapang. Bagaimana kasih Allah kepada kita sendiri. Bila Allah mencampakkan rasa kasih seorang isteri kepada suami.. maknanya disisiNya siap tersimpan rasa kasih Allah kepada isteri dan suami tersebut melebihi perasaan kasih dan cinta yang berputik dari jiwa-jiwa tersebut. Bila kerinduan yang terbit dalam sanubari suami.. dari mana kalau bukan suatu yang hakikat kerinduan yang dicampakkan Ilahi. Tapi manusia masih lalai.. jarang benar berasa bersyukur dan menganggap kelebihan adalah dari susuk tubuhnya sendiri.

Berapa ramai artis-artis yang mendapat gelaran pasangan secocok.. pasangan sejoli.. pasangan bahagia. Dengan wedding of the year, namun bagaimana berakhir perkahwinan. Tiada jawapan yang lebih tepat kerana sandaran sifat kasih sayang dan cinta tersebut disandar pada individu itu sendiri. Masih belum berbicara mengenai hal-hal keberkatan dalam perkahwinan.

“abang ini romantiklaa”
“Sayang nie bagus.. pandai ambil hati”
“abang ini pemaaf.. ambil berat… peramah…”
“sayang seorang memahami jiwa dan citarasa abang..”

Skrip-skrip yang terkadang terputus dan dituju kepada susuk tubuh insan dihadapannya semata-mata.

Allah sebenarnya lebih lagi memahami hakikat tersebut.

Seorang suami hakikatnya tiada sebarang bekal kasih yang tertanam dalam diri. Maka Allah tuangkan sedikit rasa kasih dalam jiwanya untuk diberikan sedikit kepada insan yang bergelar isteri.

Seorang isteri sebelum ini tidak pernah terbit rasa rindunya. Maka disiram benih-benih rindu yang mula membuak kepada seorang lelaki bergelar suami.

Andai untuk membahagiakan keduanya Allah memberi sedikit rasa dari kasih sayangNya. Bagaimana besarnya kasih sayang Allah kepada kedua-duanya melebihi hakikat kasih sayang antara mereka. Tapi kita masih tidak memahami.

Berjalan kita.. tidur bangun kita.. makan pakai kita.. sebelum ini. Banyak yang dilakukan namun dengan hal-hal yang bertentangan dengan kehendak Allah. Namun kasih sayang Allah lebih besar.

Dimaafnya kita…
Terus diberi peluang..
Terus memberi nikmat dalam maksiat saban hari..
Tiada dikurangkan rezeki walau membelakanginya setiap hari..

Hal-hal ini berlaku setiap hari.. berlaku semenjak dari manusia itu baligh sehingga menemui ajalnya. Namun Allah masih tetap dengan kasih sayangNya.

Mampukah seorang suami bersifat sebegitu apabila isteri melakukan kesilapan?
Mampukah seorang isteri memaafkan suami dengan kesalahan yang berulang?

Merenung dan memahami sedalam-dalamnya. Sedarlah kita hakikat kasih sayang bukan milik dan hasil cetusan hati kita sendiri. Namun adalah pemberian Ilahi sebagaimana Dia memberikan rezeki, menurunkan nikmat makan minum dan sebagainya. Cuma peranan manusia yang tiada daya dan langsung bekalan MODAL asal kasih sayang, pandai-pandailah kita bersyukur atas pemberian tersebut. Maka formulanya, bukan kerana terlebihnya kasih sayang yang dicurahkan pada awal,

“yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah. Allah telah memilihnya dan menunjukinya kepada jalan yang lurus”
An Nahl:121

Maka bersyukurlah dan gunakan sebaiknya nikmat pemberian Allah, kerana nikmat yang dianugerahkan andai tidak disyukuri maka semuanya akan dituntut. Dilihat ke mana saluran dicurahkan kasih sayang. Jangan sesekali membelakangi dan menyalahinya.

"Biarlah mereka mengingkari nikmat yang telah Kami berikan kepada mereka; maka bersenang-senanglah kamu. Kelak kamu akan mengetahui (akibatnya)."
An Nahl:55

Jarang dan sukar untuk memahami hakikat nikmat. Ramai manusia hanyut dari mendongak syukur saat nikmat kasih sayang diberikan olehNya. Namun mula menagih dan meraih saat ianya dicabut kembali.

“Dan apabila Kami memberikan nikmat kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri; tetapi apabila ia ditimpa malapetaka, maka ia banyak berdoa”
Fussilat:41

Kedua : Hirarki Kecintaan

“Sayang.. hebat macam mana pun kasih sayang abang. Abang kena letakkan Allah dan Rasul di puncak. Sekerap manapun abang berdamping dengan sayang, abang tak boleh melupakan tanggungjawab sebagai seorang anak,” jiwa saya mula tersentuh sebaik menyatakan hal ini.

Perkara ke dua ini, tidak mungkin dapat dirasai dan dihayati andai kita gagal memahami hakikat yang pertama. Mana mungkin meletakkan Allah ditangga teratas andai gagal memahami hakikat kasih sayang adalah dariNya.

Saya bukan ulama, saya juga bukan ustaz. Saya hanya insan biasa yang mohon Allah meletakkan kecintaan dalam diri.

“Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Ali Imran:31

Adat orang ‘mengikut’ kena lalui semua. Andai yang membawa jalan tuh menaiki bukit. Bukit jugalah harus dipanjat. Andai lama perjalannya, selama itulah harus diturut.
Kalau sampai sekerat, rasa letih dan nak pusing kembali. Itu bukan namanya ikut, itu sekerat jalan namanya. Manusia yang bermusafir sendiripun, kalau sekerat jalan sahaja ikut tapi ada hati nak sampai ke tempat orang yang diikut, itu perkara mustahil. “ Saya nak sampai ke tempat sama, tapi nak turut sekerat sahajalaa… kalau berat naik bukit saya ikut kat bawah-bawah nie sahajalah. Kalau jauh perjalanan, saya lalu shortcut sahajalah”

Mana boleh macam ini!!

Kalau musafir begitupun kita kena teliti betul untuk ikut, lihat Dia bagi signal kiri.. kita cepat-cepat bagi signal kiri takut terlepas. Nampak Dia masuk lorong kanan, kita pong bersedia untuk masuk lorong kanan supaya tak tersesat.

Andai musafir begitu pun kita kena berjurus benar ikut. Apatah lagi musafir kita ke matlamat utama yang menjadi idaman setiap manusia. Dengan yang menjadi penunjuk jalan itu Rasulullah.

Sedari hakikat tersebut. Kita sedar ikutan dan kecintaan yang sebenar yang harus diberikan. Kita sering tersalah dalam memahami penyusunan kecintaan. Meletakkan hakikat cinta dan kasih pada kedudukan yang sama. Itu adalah salah.

Kecintaan harus dibina dalam susunan hirarki, keutamaan dan sandaran asal. Saya percaya semua jelas mengenai perkara ini. Cuma hal ini harus dijelaskan kembali. Saya pernah menulis hakikat ini dalam penulisan sebelum ini.

Limpahan kasih sayang yang Allah campakkan terkadang hebat mendodoi sehingga manusia sudah meletakkan ketepi Allah dan Rasul. Merasakan kehidupan dan kebahgiaan adalah milik mereka berdua. Mereka mula meneruskan hidup dengan alam fantasinya.

Kasih sayang yang dibina haruslah dengan kecintaan Allah. Andai dibina secara mendatar. Sebelah kanan sayang Allah, sebelah kiri tetap juga sayang isteri.
Sebelah kanan nak Rasulullah.. sebelah kiri tidak mahu tinggal harta dan anak-anak.

Bila kasih sayang tidak dibentuk secara hirarki, maka sandaran keutamaan mula hilang. Maka, saat pertembungan berlaku, pertimbangan akan cenderung kepada jiwa yang lebih condong pada ketika itu.

Hari ini imannya naik.. maka Allah jadi keutamaan. Solatnya awal.. ibadatnya dijaga..
Esok imannya turun.. maka Allah mula diletak ditempat ke dua.

“Allah tunggu dahulu.. nak layan kehendak isteri sebentar. Nak shopping sekejap. Lepas aku puaskan kehendak dan naluri isteri yang tiada putus nie, aku akan sembah kamu”

Memang dia tidak melafazkan. Tapi itulah skrip yang ditutur melalui tindakannya.

Semua hal ini lantaran kecelaruan manusia dalam menentukan hirarki tersebut. Yang natijahnya melahirkan tindakan yang kelam kabut.

Binalah hirarki sementara jiwa masih membara, disaat hati yang masih riang namun masih meletakkan keutamaan dalam menyandar segala tindakan kepadaNya. Pasaklah sekuat mungkin moga keutamaan kepadaNya tidak berganjak.

“Mek, orang yang Zol bawak balik nie harapnya mek setujulah. Harap mek redha dan doa-doalah. Kalau ada benda tak kena, yang mek rasa sangkut tuh mek bagitahulah,” saya meluahkan rasa hati selepas jemaah maghrib bersama isteri dan bonda. Risau andai ada hal yang masih tidak saya perasan.

Saya mengambil kesempatan menjelaskan kembali hirarki dihadapan bonda. Risau andai dirinya terasa andai tidak dijelaskan sebaik insan baru mula hadir dalam hidup saya. Risau andai dirinya terasa terpinggir dan bersaing kasih antara dua wanita yang menjadi keutamaan hidup saya.

Ketiga: Menjadi Pelengkap Bukan Bahan Uji

“Sayang, tolong berdoa semoga kita menjadi pelengkap kepada satu sama lain” dahi saya mula berkerut. Kerisauan saya memuncak bila bercakap mengenai perkara ini.

Tangan isteri terus saya ramas mesra. Wajahnya tidak lekang dari terus direnung saya. Dia cuba memahami.

Berapa ramai pasangan yang Allah takdirkan. Suaminya adalah ujian kepada isterinya..
Malah lebih ramai yang dijumpai, isteri adalah ujian bagi suami..

Kita tidak sedar, apakah hal yang terselindung disebalik ikatan yang sudah terlaksana. Bagaimana takdir yang Allah gariskan dalam kehidupan yang mendatang.

Ramai menyangkakan dengan perkahwinan adalah segalanya selesai.
Aku miliknya.. dia pula milikku.
Terus melayari kehidupan tanpa sebarang perkara halus yang diperhati iaitu adakah pasangan kita UJIAN yang berterusan dalam hidup yang dihadirkan Allah atau PELENGKAP dalam melayari kehidupan yang kian terarah. Lagi merisaukan andai kita sebenarnya adalah bahan ujian kepadanya.

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?”
Al-Ankabuut :2

Barang ujian adalah barang yang tiada nilai.. barang yang hanya bernilai dan berguna sebelum proses ujian itu berlaku. Sebaik proses ujian selesai, barang yang digunakan tersebut tempatnya di tempat pembuangan sampah. Apa yang diperhatikan seterusnya, bagaimana hasil ujian tersebut. Andai berjaya, mencapai matlamat yang dihendaki.

Kehidupan baru juga harus disemat dengan rasa begitu, bila disemat dengan rasa begitu baru melahirkan tindakan yang berhati-hati moga dirinya tidak dicampakkan dalam kategori bahan ujian. Si isteri menjaga maruahnya risau-risau andai perlakuannya adalah ujian dan fitnah kepada suaminya. Si isteri menjaga auratnya, pergaulannya, tutur katanya moga-moga hal tersebut tidak mendatangkan suatu kesilapan dalam menjadi modal dan asbab eksperimen Allah kepada suaminya.

Suami mula menyiapkan diri dengan ilmu agama, bersedia memimpin keluarga. Menjaga dan mendidik rakyat barunya dengan didikan terbaik. Risau andai kesilapan diri menjerumuskan seluruh ahli keluarga ke liang neraka. Nauzubillah.

Hal ini harus sentiasa disemat dan menjadi pengimbang agar dirinya tidak tersasar jauh.

Peringatan ini harus diberi kepada semua. Bukan kerana hebatnya suami sehingga dalam mengetahui dan perasan ujian-ujian dari Allah. Bukan juga solehahnya isteri sehingga menyedari ujian-ujian yang bakal bertandang. Andai sehebat Rasulullah, Baginda juga boleh tidak menyedari dan perasan hakikat ujian saat fitnah melanda Saidatina Aisyah sehingga mengguriskan sedikit jiwa mulia Baginda. Bagaimana kita yang hidup jauh dari bimbinganNya.

Maka saat tersilap, ia menegur dengan teguran terbaik. Saat terguris dia menimbus dan menampal dengan tampalan kasih sayang. Maka jadilah masing-masing pelengkap antara satu sama lain. Menyuburkan benih-benih perjuangan, saling ingat-mengingatkan memberi pesan dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang.

“Kemudian, orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.”
Al Balad : 17



Tulisan sulung setelah bergelar seorang suami..
Tazkirah Khas buat Isteri tersayang- Siti Nurhajartum Akmal Binti Mohammad

AbeJoes@abejoes.blogspot.com

3 comments:

Anonymous said...

Salam,

Good article Abe Joe..menyentak kesedaran buat yang terlena..keep up ur good work..

Anonymous said...

Salam Abe joe,

Tahniah di atas ikatan ini. Juga untuk artikel yang sangat bagus. Ikhlas saya akui, artikel-artikel abe joe banyak menyedarkan dan memberi peringatan buat saya. mungkin ditulis ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam.. =)

Saya ingin bertanya satu persoalan. saya tidak pasti jika ini ruangan yang sebetulnya. saya ada seorang sahabat sejemaah. dia telah 'setel' ml BM semasa di kampus. saya lihat dia seperti tidak menjaga perhubungan tersebut. contohnya, dia sangat kerap bersms dgn 'pasangan' BM nya itu. tersangat kerap.kdg2 call. kerap juga mereka saling kejut mengejut untuk bangun bertahajud dan solat subuh. saya jadi keliru kerana sefaham saya itu adalah terlarang. namun, saya masih mencongak2 untuk menegur beliau kerana penampilan luaran beliau lebih islamik dari saya (mungkin).. =)

Soalan saya, bagaimanakah cara terbaik saya untuk menegur perbuatan sahabat saya itu..ataupun membiarkan sahaja kerana perhubungan mereka itu adalah cinta islamik?

Maaf, jika mengganggu masa abe joe..

Anonymous said...

Salam akhi ghulam bangi :),

Jazakallah atas komentar akhi. Suntikan kesedaran dari Allah, ana cuba yang terbaik atas Ilham yang diberikan olehNya.

InsyaAllah ana cuba mengupas sedikit persoalan akhi artikel-artikel ana akan datang.

Salam taaruf.