Tuesday, October 21, 2008

Perkahwinan - Iktibar Taqdir Ilahi

“Seingat abang, kalau tahun lepas.. masa nie kita tengah taaruf” saya menghantar mesej kepada isteri.

Mesejnya menemani saya sepanjang perjalanan pulang sebaik selesai majlis akad dan urusan pendaftaran perkahwinan kami.

Bukan saya pulang bersendirian, tapi adinda yang menemani sekadar menunggu soalan saya untuk memulakan percakapan kami sepanjang perjalanan. Bonda mengarahkan adik saya menjadi teman perjalanan kami yang melayakkan istilah bermusafir dipakai. Perjalanan dari Pusat Bandar Serambi Mekah ke Hulu negeri yang masih menghijau, kampung halaman kami.


Bonda cukup risau, beberapa hari sebelum hari raya saya terlelap semasa memandu. Kasih Allah kepada hambaNya cukup besar, takdir saya terlelap semasa tiada sebarang kenderaan di jalan bertentangan yang dimasuki kenderaan yang dipandu. Saya memberhentikan kenderaan sebentar, mengucap panjang sambil mengucap syukur kepada Ilahi yang menyelamatkan kami dalam suasana jalan yang sememangnya diketahui umum cukup sesak di negeri kami sebaik lebaran menjelang.

“Memang indah memikirkan kenangan lama, tapi kenderaan mesti dipandu berhati-hati” isteri memberi peringatan. Risaunya setelah mengetahui peristiwa yang berlaku beberapa hari lepas.

Saya akur.. memberi tumpuan kepada kenderaan dipandu. Lesen yang dipegang walaupun menjangkau 10 tahun belum tentu menjamin keselamatan andai hal-hal diluar kawalan masih wujud.

Namun, kepala saya masih tetap berputar. Merenung kembali sejarah… menemani saya sepanjang perjalanan pulang. Adik masih berdiam, terkadang dirinya menyapa. Letih benar setelah menunggu saya yang agak lama menyiapkan proses pendaftaran tadi.

“Nta tolong carikanlaa” itu jawapan yang saya berikan setiap kali teman-teman berseloroh kepada saya mengenai jodoh. Walau hati saya bersedia atau tidak.. jawapan sama yang saya berikan. Hati saya bercampur antara gurauan dan harapan. Gurauan memandangkan diri yang masih belum bersedia dengan komitmen yang pelbagai, harapan memandangkan fitnah-fitnah wanita yang kian hebat mencengkam saya.

“Macam mana nta boleh kenal nie?” seorang teman menyakat semasa menghadiri majlis kami. Soalan yang sama turut dituju kepada isteri oleh teman-teman.

“Kebetulan” saya menjawab biasa.
“Taqdir” teman memberi teguran.
Ya.. TAQDIR yang menemukan kami.


TAQDIR YANG MENEMUKAN

“Minta gambar nta” seorang sahabat lama yang pertama kali saya tegur melalui online conference meminta gambar saya. Saya memberi tanpa banyak soal.

“Ok.. nie ada muslimat dok tegur-tegur ana nie. Nta nak kenal dia?” soalnya kembali.

“Tapi ana call tak jawab pula” teman saya tidak berminat menaip mula merungut.

“Dia malu laa tuh” saya menjawab ringkas. Kami sempat berbual ringkas, cukup untuk mengetahui maklumat umum.

Itu muqaddimah perkenalan saya.. 4 Ramadhan 1428H sebelum ini..

Saya mengenali melalui gambar-gambar yang masih kabur. Mengambil keberkatan Ramadhan, saya menyoal hati sambil berserah kepada Ilahi.

“Nta buatlah keputusan.. ana serahkan kepada nta sahaja” saya mendapat maklumbalas sebaik jiwa saya mula bersedia selepas beberapa hari.

Permintaan terakhir saya, hanya sekeping gambar yang lebih jelas untuk mengenali dirinya dan keizinan untuk saya bercakap sebentar melalui telefon mendengar suara empunya diri. Hanya itu sahaja gambaran terhadap sandaran saya dalam menentukan keputusan yang harus saya ambil. Keputusan yang bakal saya tanggung seumur hidup kami. Andai taqdir Allah baik dengan muqaddimah tersebut, saya tidak mahu memanjangkan hubungan tanpa sebarang ikatan.

“Ok, nta boleh call tapi awal taaruf nanti, ana nak dengar tazkirah nta” permintaan sulungnya seawal taaruf kami. Mungkin ingin menilai dan meneliti insan yang mungkin memimpinnya. Saya memenuhi permintaan untuk beberapa minit terawal.

HAKIKAT ISTIKHARAH

“Ya Allah, andai keputusan ini baik buatku. Engkau berilah petunjuk kepadaku. Engkau bukakan segala jalan dalam menjayakan keputusan ini. Engkau permudahkan urusan-urusan dalam usahaku ini. Jauhkan dari sebarang gangguan-gangguan yang menyekat dan menghalangnya Ya Allah. Namun andai keputusan ini adalah bukan yang terbaik buatku. Engkau campakkan hikmahMu atas keputusan ini. Berikan kekuatan kepadaku untuk taat kepada ketentuan hati ini. Engkau tutupkan segala lubang-lubang dan ruang-ruang fitnah terhadap keputusan ini, bimbinglah hati ini Ya Allah” saya menyerahkan ketentuan hati kepadaNya.

Saya meletakkan kepasrahan kepada Ilahi.

“Nta nampak ke dia dalam mimpi,” pertanyaan yang sering saya terima dari sahabat.

“Adakah perlu nampak dalam mimpi untuk menentukan keputusan itu yang terbaik buat kita?” saya menyoal kembali.

“Hati saya mulai cenderung untuk meneruskan dan terima dirinya, itulah keputusannya,” saya menjawab.

Merenung persoalan dari teman tadi, jiwa saya mula diasak dengan salahfaham masyarakat mengenai persoalan ini.

Kefahaman yang jauh mula terpesong.

Bagaimana tidak.

“Lepas solat istikharah tuh, tidur.. nanti Allah bagi petunjuk dalam mimpi, mungkin akan dikhabarkan dalam mimpi. Diseru.. timbul namanya atau terpampang wajahnya,” kaedah yang saya tidak pasti di mana dikutipnya.

Tidur dan mimpi sudah menjadi SYARAT SAH istikharah pula.

Itulah kecelaruan mereka yang jahil, namun bagi yang alim masih tidak terlepas dari kesalahfahaman mengenai istikharah yang disalahtafsir dan dikhaskan untuk beberapa hal tertentu sahaja.

Istikharah mula sinonim sebagai pendekatan dalam penentuan jodoh semata-mata. Maka beristikharahlah mereka-mereka yang mencintai Islam agar jodoh yang dipilih melalui istikharah adalah ciri-ciri yang diredhai Allah. Muslimin mungkin menganggap calon wanita tersebut adalah wanita solehah. Muslimat mula mengimpikan lelaki soleh dari istikharah yang dibuat.

“Ok.. lepas ini masing-masing balik dan solat istikharah” tegas seorang ustaz dalam kebiasaan usaha menyatukan jodoh. Tiada sebarang usaha awal, masing-masing masih tidak mengenali insan yang ingin ‘diistikharah’nya.

“Takpelah.. istikharah sahajalah” bukankah ini pun sudah menepati pendekatan Islam.

Saya tidak menafikan peranan istikharah tersebut, namun pernahkah ‘ustaz’ atau yang seumpama dengannya itu, menjelaskan dan memberi faham atas tindakan yang harus dilakukan.

“Ana ada buat, ana ‘nampak’ nta” saya terkejut setelah hal tersebut dinyatakan dalam sejarah silam saya. Takkan saya hendak menjawab "saya tidak ‘nampak’ nte pula". Adakah Allah memberi ‘petunjuk’ kepada dia dan tidak kepada saya. Saya cuba memujuk hati untuk memberi masa, mungkin Allah terlambat membuka hati saya. Mungkin selepas beberapa hari Allah membuka hati saya, atau mungkin beberapa minggu.. setelah tempoh melangkau bulan dan tahun jiwa saya mula berhenti memujuk. Bagi saya, perjalanan masa yang diambil memeritkan jiwa mereka yang berkeputusan ‘positif’ dan melahirkan rasa bersalah bagi yang berkeputusan sebaliknya. Hal tersebut menyebabkan saya menjauhi sistem taaruf yang sebegitu.

Lama saya fobia dengan pendekatan tersebut sehingga saya mula meminta pandangan beberapa sahabat dan mengambil jalan tengah terhadap keputusan yang diambil. Saya mengambil pendekatan yang lebih selamat. Saya nekad, biarlah nanti saya yang memulakan kehendak diri berbanding keputusan yang harus dilakukan serentak. Alhamdulillah, saya berasa selesa setelah keputusan diletakkan sepenuhnya kepada saya. Namun, harapan tidak seharusnya diletak menggunung moga tidak terguris hati saat hasrat diri tidak kesampaian. Itu hal mustahak yang harus difaham. Saya cukup risau memikirkan dengan kurangnya penekanan ini dalam proses Baitul Muslim yang dilaksanakan. Penekanan kepada pengharapan dan penyerahan kepada Allah. Maklumlah, dengan jiwa yang baru melonjak-lonjak, masing-masing berfikir proses taaruf bagaikan satu KEMESTIAN dan suatu yang harus direalisasikan dengan satu ikatan.

“Istikharah tidak semata-mata untuk membuat pilihan, namun juga sebagai ikhtiar moga Allah memudahkan urusan kita” sempat saya mencelah dalam musafir pemuda ke walimah sahabat kami.

Dunia adalah alam ikhtiar, alam yang Allah memberikan daya ikhtiar kepada makhluk manusia. Berdepan dengan membuka mata sehingga menutupnya kembali. Apa istikharah kita dengan bergeraknya jemari, apa pilihan kita saat melangkahnya kaki. Bagaimana berdetik hati saat diri mula berterabur mencari rezeki kurniaan Allah. Itulah istikharah.

Namun, Itulah salahfaham yang memang tertanam dalam pemikiran kebanyakan kita. Salahfaham istikharah sebagai bermatlamat dalam menentukan pilihan terbaik dari pilihan-pilihan yang ada semata-mata. Andai tiada pilihan, tiadalah istikharah.

Saya tidak menafikan peranan tersebut.

Namun lebih cantik andai pemahaman tersebut ditambah dengan sedikit kebergantungan kepada Allah. Memudahkan segala lorong-lorong perancangan dan ikhtiar.

Cantik andai manusia menjadikan Allah sebagai penentu arah..
Cantik andai manusia meletakkan Allah sebagai sandaran atas sebarang tindakan.

Siapa kita untuk berdabik dada dengan segala perancangan yang hebat.
Siapa kita untuk mengatakan harta yang ada mampu menjamin segala hajat..
Siapa kita yang mampu menjamin segala hasrat..

“Dah cukup ke duit tuh, kena simpan-simpan laa. Dah tak lama nie” soalan favourite bonda setiap kali saya menelefon bertanya khabar. Soalan yang terus timbul sehingga detik-detik terakhir menjelang perkahwinan saya.

“InsyaAllah, Joe minta mek tolong doakan sahaja. InsyaAllah adalah rezeki tuh,” saya menenangkan bonda. Jiwa saya terkadang dijentik kerisauan dalam usaha dan tawakkal saya.

Seminggu sebelum pernikahan, poket saya masih kosong.

Jiwa saya mula gundah.

“En Saizol, nie ada cek dari persatuan. Nak datang ambil ke?” saya mendapat panggilan.

“Awak set-off dengan mana-mana outstanding yuran persatuan saya,” saya menjawab dalam acuh tidak acuh. Mungkin amaunnya tidak seberapa untuk memenuhi hajat saya. Paling banyak mungkin beberapa ratus sahaja.

“Banyak nie, tak nak ke?” soalnya kembali.

Saya mula memberikan perhatian.

Perancangan Allah yang cukup cantik menggenapkan jumlah yang masih menjadi kepeningan saya. Mencukupkan maskahwin (Kelantan dikira sekali maskahwin dan hantaran) saya.

Kos kenduri nie nak kutip kat mana??

“Ya Allah, aku berserah kepadaMu..” saya memanjatkan doa setelah habis segala ikhtiar saya.

Pagi terakhir di pejabat, saya menerima sekeping cek. Namun masih belum mencukupi.

“En Saizol, saya nak buat bayaran macam mana nie? Akaun personal ke syarikat?” panggilan yang akhirnya menenangkan jiwa saya petang terakhir saya dipejabat.

Saya bersyukur panjang.

Kerdil terasa diri.

“Ya Allah.. Bijak diriMu bermain dengan perasaanku ini,” ..



AbeJoes@abejoes.blogspot.com

1 comments:

kembarasalik said...

Salam ya akhi... Jzk berkunjung ke blog ana. Selamat pengantin baru... semoga Allah memberkati