Sunday, July 20, 2008

Tasawwur Tabiat 2

Lutut dan betis mulai lenguh. Lama benar tidak berjalan.

XPDC Kasih kali ke-3 yang dijalankan DPPWM memaksa kudrat yang amat. Mana tidaknya, kami menggenapkan pusingan tasik titiwangsa, berjalan ke segenap jalan-jalan simen. Memijak rumput-rumput dalam cahaya yang samar. Alhamdulillah, muda mudi yang berseronok dan berdua-duaan mulai perlahan-lahan meninggalkan lokasi mereka sebaik menyedari susuk tubuh yang berserban dan berkain pelikat.

“Apa nie, pakai baju terang-terang, mestilah diorang nampak..” tegur salah seorang pengunjung malam di tasik tersebut. Tidak menyedari memang niat kami agar kehadiran kami diketahui. Kami tiada kuasa, hanya ‘sangkaan’ mereka sahaja menjadi kad kuasa kami. Memang kami tidak menangkap, namun ‘aura’ yang dizahirkan menghalau mereka secara sukarela.

Selesai XPDC kami meneruskan ke lokasi yang lebih kritikal, avanza dipandu teman diberhentikan betul-betul berhadapan The Zouk. Tindakan kami membangkitkan keresahan mereka yang berhampiran. Beberapa minit kami melalui zon kritikal, dipenuhi anak-anak muda. Arak dijamu berleluasa, gerombolan kami turut dalam kesesakan kereta-kereta pengunjung. Jiwa saya mula dituntun kesedihan melihat anak-anak muda Islam yang menjadi pelengkap majlis-majlis tersebut.

Sebelum pulang, kami sempat menjenguk sebentar situasi di belakang pejabat agung. Hati dibangkit gelisah melihat susuk-susuk tubuh lembut disebalik sinar suram di celah-celah dan ditangga bangunan. Ada yang menutup dada-dada 'lelaki' mereka sebaik memandang kami. Moga perlakuan mereka lahir dari nurani yang tulus, dengan sifat malu dari saki baki iman mereka.

“Alhamdulillah…,” hati memuji atas Nur Islam saya meminta teman segera pulang. Risau juga andai terlalu lama, lain pula jadinya.

DENGARLAH ISI HATINYA

"Rasa nak berubah juga, nak juga keluar dari dunia ini... hendak hidup sebagai orang normal. Tapi nak buat macam mana, tidak ada orang yang sudi membimbing saya"

"Saya tahu perbuatan ini adalah dilaknat Allah, tapi saya tidak mampu untuk melawannya"

"Allah sudah takdirkan saya sebegini, apa yang saya boleh buat lagi"

Terkadang sesetengah orang memandang jijik dengan alasan manusia sebegini. Ada yang membalas dengan kata-kata yang kasar. Namun pernahkah anda menjalani derita hidup seorang PENAGIH maksiat sebegitu sebelum mengungkapkan kata-kata tersebut? Andai pernah, persoalan kedua.. berapakah tahap KETAGIHAN anda?

Mungkin jawapan yang diberi adalah benar, mungkin juga untuk tidak mahu menengakkan benang basah mengatakan yang salah sebagai benar, mungkin juga menjawab sebagai seorang yang inginkan menagih keinsafan dalam ketandusan iman.

KETAGIHAN adalah implikasi dari tabiat. Cuma KETAGIHAN sering dikaitkan dengan hal-hal buruk, hina, jijik dan label-label lain yang seumpama dengannya. Cuma yang ingin saya persoalkan sekali lagi. Pernahkah anda KETAGIH?

Kita biasa mendengar..

Seorang Mat Rempit KETAGIH dengan pil khayal
Seorang Banduan KETAGIH dadah
Seorang Mak Nyah KETAGIH dengan hubungan songsang

"Itulah tidak mahu dengar ayat-ayat Allah"
"Kan Allah sudah bagi amaran"
"Kenapa tidak mengambil iktibar dari Azab yang Allah turunkan?"

Persoalan yang selalu bermain apabila seorang yang KETAGIH tidak mampu untuk meninggalkan alam KETAGIHAN mereka.

Namun, adakah persoalan mendengar ayat-ayat Allah, mengambil iktibar dari Azab itu adalah sesuatu yang boleh menggegarkan jiwa-jiwa PENAGIH untuk terus meninggalkan alam tersebut. Mendengar ayat-ayat Allah adalah bagi manusia yang bersedia untuk berfikir, mengambil iktibar bagi mereka yang masih berfungsi lagi akal fikirannya. Sedangkan di alam KETAGIHAN, akal mereka sudah dihijab untuk mengambil peringatan, iktibar tidak memainkan peranan. Kemudian bagaimana? Adakah membiarkan terus mereka dengan alam mereka? Mati kemudian menunggu detik pembalasan dari Allah?

Saya tidak bermaksud menafikan ayat Allah sebagai ‘ubat’ kepada ketagihan. Namun menyandarkan hakikat masyarakat yang amat suka menghukum tanpa berusaha untuk mengubat. Memandang jijik perbuatan salah adalah benar dan betul, namun adakah memandang pada susuk tubuhnya atau perbuatan tersebut. Itu asasnya..

Andai difikirkan logik akal, peringatan Allah melalui tsunami yang berlaku di negara jiran dan Negara kita sendiri sepatutnya merubah dan memberi kesedaran kepada golongan yang sentiasa melakukan kemungkaran. Namun kenapa masih tidak ramai berjaya menyerap peringatan sebaik peristiwa sehebat itu dihadirkan di hadapan mata?

Tidak lain jawapannya kerana jiwa-jiwa yang telah MENAGIH MAKSIAT. Telah dihijab dari melihat peringatan Allah. Dia gerun melihat mayat, yang bergelimpangan namun kegerunan itu hanya bermain di bebola matanya. Dia gerun melihat mayat-mayat yang terbiar tanpa diurus.. namun kegerunan tersebut tidak terus jatuh ke lubuk hatinya. KERANA hatinya telah diisi dengan keCINTAannya dosanya. Kecintaan kepada dosa yang menenggelamkan peringatan dari Allah.

"Sekali ini sahaja... lepas ini tak buat dah"

"Ya Tuhan.. moga ini menjadi kesilapan aku yang terakhir dalam menurut nafsuku"

"Dah lama rasanya tak buat, hmmm boleh cuba lah sekali lagi"..

Inilah skrip-skrip yang sentiasa berulang dalam kehidupan manusia dan nafsunya. Rantaian ini akan terus berlangsung dan berulang dalam diri manusia yang di dalamnya wujud nafsu dan iman. Bagaimana bermain dengan roja' dan khauf kepada Allah. Menebal harapan (roja') kepada Allah akan memaafkan dirinya sehingga terdorong untuk terus melakukan, hatta akal yang dibimbing nafsu mula menyuntik rasa untuk mencuba lagi atau menjadikan alasan yang terakhir sebagai lesen untuk terus melakukan dosa.

Kekesalan dan penyesalan wujud sebaik hajat nafsunya tercapai.. dan timbul rasa ketakutan dalam dirinya. Namun, kekentalan nafsu yang menyelaputi diri hingga menyukarkan diri untuk keluar dari kepompong ini dan terus dengan rantaian hidup sebegini. Merasa diri sentiasa berdosa namun masih tidak ada kekuatan untuk keluar darinya.

Namun bersyukurlah, kerana jiwa iman masih berada dalam diri.

Inilah rantaian konflik terjadi.. dan inilah yang roda dalam diri seorang PENAGIH.



Sebelum saya diizinkan untuk menyambung terus perbincangan dalam penulisan seterusnya, izinkan saya bertanyakan kembali persoalan begini kepada para ustaz, pejuang dan mujahid.

Bagaimana sekiranya;
Seorang ustaz ‘KETAGIH’ dengan rokoknya..
Seorang pejuang 'KETAGIH' solat sendirian di rumahnya..
Seorang mujahid 'KETAGIH' menonton cerita televisyen berbanding menghadiri majlis ilmu mengisi waktu malamnya..


Bagaimana yang anda akan jawab bagi insan-insan sebegini yang turut terlibat dalam KETAGIHAN mereka?

1 comments:

bioshippaladin said...

terharu membaca posting ini..