Tuesday, July 8, 2008

PROTES YANG DIPROTES

"Ana rasa kita dah tidak wajib wala' sekarang.." Saya mula berbisik kepada teman pemuda yang bersama-sama ditugaskan menjaga bahagian keselamatan VIP.

Beliau seakan setuju, rasa tidak senang dihati makin jelas kelihatan. Riak wajah seakan memendam rasa yang cukup lama untuk turut pulang.

"Nta tolong buka ana punya tag ni, ana nak serahkan kembali kat diorang. Kita balik sekarang!!.." pandangan asal mula berubah seakan sedikit arahan. Tanpa sedikit bantahan teman turut membuka tag 'SECURITY' yang awalnya diberikan untuk kami. Mengesahkan tanggungjawab kami untuk mengawal keselamatan VIP di pentas.

Rasa meluap-luap sudah tidak dapat dipendam, seawal tugasan dengan masalah mereka yang berlagak bagaikan petugas. Mencari pupulariti dengan menjadi pak pacak di atas pentas utama. Menambahkan beban kesukaran serta menyulitkan keadaan yang sedia wujud. Namun, itu adalah masalah yang masih boleh dimaafkan walau hati terus berat menjalankan tugas. Kerenah-kerenah mereka yang tidak memahami disiplin semasa bertugas...kami terus pendamkan. Itu hanya permasalahan yang masih boleh diperbetulkan.

Saya mengumpulkan tag petugas, berlari ke bahagian bawah stadium ..

"Ana minta maaf, sumbangan ana dan sahabat Wangsa Maju untuk program ini setakat ini sahaja," serius gayanya.

Exco negeri terpinga-pinga lantaran hal tersebut, beliau menyarankan saya untuk bertemu dengan Pimpinan yang menguruskan keselematan VIP.

Saya berlari ke atas pentas, cuba mendapatkan Saudara Herman untuk tujuan yang sama. Sebaik niat diluahkan, beliau turut menyatakan hasrat yang sama.

"Nta tunggu sekejap, memang kita nak tarik diri dari program ini.." balas Herman

Ketua Pemuda Wilayah- Saudara Kamaruzzaman kelihatan sibuk dengan Walkie Talkie di tangan, arahan menarik balik didengari dalam kejauhan. . Unit Amal seramai 700 orang di arahkan keluar padang dengan segera. Saya menyarungkan vest, Peserta di belakang pentas mulai perasan dengan tindakan kami menarik diri.

Gerombolan kami keluar mengejut menyebabkan petugas dari parti komponen lain berlari-lari memujuk.

"Kamu sudah tidak menepati janji," itu yang saya perasan kata-kata diberikan oleh Ketua Pemuda sebelum kami melangkah pulang. Teman-teman yang jauh bertugasditepi-tepi jalan dan yang masih dalam perjalanan untuk menukar giliran di arah segera pulang.

Sebelum pulang, sempat saya berbonceng dengan teman DPPWM meninjau di sekitar stadium Kelana Jaya andai masih ada teman yang tidak mendapat arahan.

"Ok.. ana tengok semua sudah keluar," teman berbisik di atas motor.


KITA ADALAH PELAKSANA BUKAN PERANCANG..

Semalam, saya membelek-belek akhbar membaca perkembangan terkini himpunan PROTES. Dalam Protes kami terhadap PROTES, jiwa-jiwa masih mengintai untuk melihat perkembangan. Adakah mereka mengambil pengajaran dari tindakan yang ditunjukkan kami. Nyata teguran kami pada peringkat awal tidak dipedulikan, ditambah dengan persembahan yang lebih 'kritikal' di sebelah petang. Natijahnya, rakyat mula menunjukkan PROTES sebenar. Makian beserta botol air mula dilempar, pemuda-pemuda yang berang bertindak memukul para artis jemputan. Kelam kabut mereka yang masih setia mengawal keadaan.

Saya termenung, memikirkan perkara-perkara sebelum dan seawal hari kejadian. Hakikatnya, Beberapa hari sebelum hari kejadian, teman-teman seperjuang agak berat untuk menjalankan tugas-tugas sempena PROTES sejuta rakyat. Mengambil keputusan untuk 'memprotes' PROTES ataupun hadir sebagai peserta program semata-mata. Gara-gara tempat yang beberapa kali berubah serta perancangan-perancangan yang dilihat kurang teratur. Malah gelombang sejuta yang diyakini belum wujud.. Ustaz-ustaz tidak agresif mempromosi sebagaimana BERSIH, poster dan iklan yang kerap berubah, liputan yang tidak menyeluruh dan sampai, masa yang singkat untuk mengumpul sasaran yang cukup besar. Semua mula membandingkan AURA PROTES dengan AURA BERSIH.

Sekadar pandangan saya pada awalnya;

"Kita adalah perlaksana, bukan perancang. Kita serahkan kerja merancang kepada mereka yang layak. Kita yang buat kerja nie.. terima arahan dan ikut. Bukan kerja kita untuk mengkritik benda-benda ini semua. Mungkin ini strategi.. wallahu a'alam. Kalau pergi, pakai kudrat juga. Pakai minyak juga. Kita makan juga. Tenaga habis.. duit habis juga untuk minyak dan makan. Cuma bezanya kita bertugas dan jadi peserta. Orang yang bertugas ini insyaAllah lagi banyak pahalanya. Dan kita wala' selagi takde program yang bercanggah dengan dasar pegangan kita. Kalau bercanggah tuh layak masa tuh untuk kita bebaskan diri kita dari terus wala'.."

Teman bersetuju dalam keberatan. Hakikatnya semua keberatan termasuk saya.. namun terpaksa mengorbankan kehendak hati atas kepentingan yang lebih utama.

Petang sebelum program, kami sempat bermesyuarat perihal keselamatan VIP di pentas, sebahagian dari pemuda WM lain meneruskan amanah unit amal ditugaskan untuk persediaan keselamatan.

Ketua Pemuda telah menyatakan bantahan terhadap dua kumpulan underground Kuchalana dan Carburetor Dung, katanya pihak penganjur bersetuju untuk menukar kepada persembahan 'boleh diterima' oleh semua peserta. Kami lega..

Teman tetap bertanya, "Bagaimana andai hal tersebut berlaku?"

"Kita akan membantah. Sekiranya tidak dilayan, kita akan tarik diri," jawapan yang diberi sedikit sebanyak melegakan kami.

Program-program lain telah saya batalkan awal semata-mata untuk memberikan komitmen kepada himpunan ini, menyiapkan mental kami kerap dikhabarkan jumlah sasaran yang berpuluh kali ganda dari BERSIH... dengan program yang lebih padat. Teman-teman pemuda terpaksa menangguhkan kerja-kerja di peringkat kawasan walaupun kepentingan dan tuntutan masa yang cukup mendesak. Semata-mata memberi komitmen dan tenaga kepada PROTES.

Seawal pagi pada hari kejadian, saya dan teman-teman mula berasa sangsi melihatkan pentas yang sarat dengan drum dan guitar. Dari cara pemeriksaan dan persiapan terhadap alatan tersebut dan sistem audio membangkitkan kembali persoalan yang cukup dirisaukan kami. Namun tugasan diteruskan dalam perasaan yang mula berbelah bagi.

Seorang demi seorang teman yang kejauhan mula menunjukkan kekesalan atas sambutan yang cukup dingin. Kami berusaha memujuk, teman-teman yang berkawal keselamatan terpaksa memberi reaksi positif kepada peserta yang mula hampir. Teman-teman diluar letih dengan kepanasan terik mentari, kami di dalam resah dan geram dalam tindakan individu tertentu yang masih tidak memahami protokol.

Semua telah berlalu. Ambil iktibar dan pengajaran.


Hari ini teman-teman masih berbalas mesej melihat perkembangan terkini.

Secara peribadi saya agak terkejut bila Hismauddin Rais menyatakan kesalnya terhadap kumpulan ini setelah tindakan mereka diluar jangkaannya. Pada harapannya, mereka dapat menyelami kesusahan rakyat dan mengunakan platform dan kaedah tersebut bagi menyuntik kesedaran.

Saya tidak berniat untuk terus memandang serong, 'tidak salah' mereka dengan kelakuan mereka kerana memang begitulah naluri dalam persembahan mereka. Namun salah yang menjemput atas kegagalan meletakkan mereka pada post atau sekurang-kurangnya diberi penjelasan.

Saya bukan hendak menilai benar atau tidak kumpulan ini. Itu satu skop yang boleh diletakkan juzu' lain. Saya hanya menonton klip tayangan aksi yang dikatakan melampau tidak secara live setelah kami pulang. Pada saya, bagaimana kesannya underground tersebut hingga gagal untuk menyerap nilai hikmah dalam mengenalpasti para penonton dihadapan mereka. Bagi mereka, makcik berpurdah.. pakcik berkopiah adalah sama dengan minah dan mat rempit serta mereka yang sama 'fikrah' dengan mereka (bukan niat merendahkan golongan ini). Namun, andai kita mengenali mereka dengan sifat sebegini, dengan hati dan roh mereka yang sebegitu. Dengan gaya dan jiwa yang masih gersang mencari hidayah. Kenapa harus direndahkan martabat peserta yang 'lebih basah' roh kesedarannya.. untuk 'menyerap kesedaran' dari persembahan tersebut. Ini bukan mendidik... menjahanamkan namanya.

Alhamdulillah, tindakan yang jelas dan disepakati dapat diambil oleh semua petugas. Namun, kepentingan peringkat atasan dalam membuat keputusan terbaik adalah penting. Jangan dipalit kepercayaan yang sedia diberikan rakyat. Keputusan menarik diri mungkin disedari hanya peringkat kempimpinan dan petugas.. bagaimana dengan rakyat yang masih terkontang-kanting di dalam stadium, yang hanya melenting bila melihat persembahan yang sudah melampaui batas pada fikiran mereka. Rakyat meletakkan kepercayaan kepada pimpinan, pimpinan mencari pendekatan dakwah terbaik yang diseimbangkan dengan perancagan siasah. Rakyat meletakkan kepercayaan kepimpinan dalam berijtihad hal-hal sebegini, persetujuan komponen PAS dalam program-program yang berbentuk 'syubhah' pada pandangan rakyat asalnya adalah suatu yang menghilangkan perasaan tersebut sebaik dipersetujui. Oleh hal demikian, menentukan arah tuju program yang jelas lebih penting kerana kesan yang turut melibatkan penyokong. Tindakan memprotes semasa berlangsung mungkin disedari oleh pemimpin, namun penyokong masih belum jelas mengenai hal sedemikian. Program diteruskan dalam penyokong tidak menyedari hakikat 'protes' kita terhadap beberapa perkara yang timbul, sedikit sebanyak menjejaskan imej PAS yang mungkin disangka penyokong bagai merestui hal-hal yang berlaku.


[AbeJoesCorner-saizol@yahoo.com]

0 comments: