Monday, July 14, 2008

Peringatan Titis Emas Hitam


Allah S.W.T berfirman;

“Allah melimpahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (rezeki itu) baginya, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan setiap sesuatu”

Al-Ankabut : 62


Antara hikmah dijadikan kelemahan manusia, agar manusia bertebaran di bumi Allah. Hikmah dengan kelaparan sebagai kelemahan, agar manusia melata di muka bumi demi sesuap nasi. Namun bagaimana sandaran dan hakikat pencarian rezeki. Bagaimana pula tindakan kita, adakah mensyukuri nikmat yang tidak putus dianugerahkan Allah selama ini. Apakah kita terus dengan ketundukan kepadaNya sebagai hamba.


Terkini, ramai melenting saat masing-masing merasa sengsara yang melanda bahana kenaikan harga minyak, salah satu peringatan yang memenuhi ciri-ciri peringatan dari Allah. Sengsaranya tidak dirasai sang miskin, sang kaya turut terkena kesannya. Yang miskin dengan kesusahan harian, sang kaya dengan berkurang keuntungan dari perniagaan, yang khianat makin diberi ‘nikmat’ mengambil kesempatan. Kesannya tidak memilih siapa kroni, ustaz dan tok guru yang menaiki kenderaan menuju majlis-majlis ilmu, tok sami ke kuil-kuil memohon restu. Semua hakikatnya terkena, membezakan hanya ketenangan dalam menghadapi dugaan.

Rezeki Allah dahulunya bebas dijamah mula dicatu sedikit demi sedikit, jiwa yang dahulunya luas mulai kian sempit bahana hidup diri yang kian terhimpit. Si ayah mula membuat kerja lebih masa buat menyara keluarga, masa terluang dahulu bersama si anak mula dirompak sengsara, ibu miskin mula pening berfikir, rezeki dari mana yang mungkin memujuk rengek tangis mengisi lapar anak-anak. Anak-anak bijak mula diberhentikan sekolah, hidup dan masa depannya mulai diteguk kejahilan."J
agalah adikmu.. ibu ada kerja baru, tugas ibu menyapu dan mencuci sudah tidak cukup lagi buat menampung belanja keluarga". Makan anak-anak terpaksa ditagih dengan keringat yang lebih.

“Ahh.. mana mungkin begitu, saya melihat tiada apa yang berlaku”. Itu reaksi manusia-manusia yang hidup penuh kekenyangan, kenaikan minyak tidak sedikitpun mengurangkan kuantiti tangki kereta mewahnya. Tidak sedikitpun terhalang hajatnya untuk bergembira bersama keluarga.

“Benda sudah hendak naik, halang pun akan naik,” sedikitpun tidak terkesan dengan sengsara yang kian menjalar di sekeliling. Pada hakikatnya dia sendiri turut menerima beban. Namun tidak terlintas kesempitan hidup yang dialami adalah peringatan dari Allah.

Mereka yang beriman, memandang kaitan peringatan Allah dengan lebih mendalam. Apa bezanya melihat mayat-mayat bergelimpangan tanpa kepala, berbanding melihat susuk-susuk tubuh yang tegap namun akal dikepalanya sudah hilang kewarasan untuk membeza hak dan batil. Apa bezanya melihat mayat-mayat tsunami dengan perut-perut kembung terapung dibandingkan dengan susuk tubuh sihat dan perut penuh dijamu dengan arak dan hasil haram di tengah-tengah kota. Apa bezanya mayat-mayat bergelimpangan tanpa sebarang reaksi terhadap mereka di sisinya berbanding dengan manusia yang bernyawa namun hatinya mati dari merasa tangisan sengsara insan di sekelilingnya.

Peringatan yang diberi Allah kerana sifat kasihNya. Cintanya Allah dengan terus memujuk kita untuk kembali berpaling wajah kepadaNya. Mereka yang beruntung, mengambil iktibar dari peringatan dari Allah saat diri masih tidak dilanda bala yang lebih dahsyat. Tiada guna mengambil iktibar saat nyawa sudah tersekat-sekat. Pada ketika itu, apa erti membetulkan syahadah mahupun berjanji mendaulatkan syariat.

Saya menyeru semua untuk berfikir, merenung dan bermuhasabah diri memahami hakikat peringatan dari Allah. Tidak cukupkah dengan beban yang ditanggung sekarang. Memahami hakikat peringatan, menyedarkan asal diri yang cukup lemah. Konsep yang diterima umum namun jarang diambil perhati. Semua menerima dengan akal, yang memberi ujian pada asasnya mempunyai pengetahuan yang lebih dari yang diuji. Andai sesama manusia pun, seorang guru berhak menguji kepandaian muridnya, apatah lagi Tuhan Maha Pencipta menguji hambaNya. Siapa kita untuk kembali mendongak kembali bertanya kepadaNya saat diri diuji.
Wassalam


[AbeJoesCorner-saizol@yahoo.com]

"Read More..."

Tuesday, July 8, 2008

PROTES YANG DIPROTES

"Ana rasa kita dah tidak wajib wala' sekarang.." Saya mula berbisik kepada teman pemuda yang bersama-sama ditugaskan menjaga bahagian keselamatan VIP.

Beliau seakan setuju, rasa tidak senang dihati makin jelas kelihatan. Riak wajah seakan memendam rasa yang cukup lama untuk turut pulang.

"Nta tolong buka ana punya tag ni, ana nak serahkan kembali kat diorang. Kita balik sekarang!!.." pandangan asal mula berubah seakan sedikit arahan. Tanpa sedikit bantahan teman turut membuka tag 'SECURITY' yang awalnya diberikan untuk kami. Mengesahkan tanggungjawab kami untuk mengawal keselamatan VIP di pentas.

Rasa meluap-luap sudah tidak dapat dipendam, seawal tugasan dengan masalah mereka yang berlagak bagaikan petugas. Mencari pupulariti dengan menjadi pak pacak di atas pentas utama. Menambahkan beban kesukaran serta menyulitkan keadaan yang sedia wujud. Namun, itu adalah masalah yang masih boleh dimaafkan walau hati terus berat menjalankan tugas. Kerenah-kerenah mereka yang tidak memahami disiplin semasa bertugas...kami terus pendamkan. Itu hanya permasalahan yang masih boleh diperbetulkan.

Saya mengumpulkan tag petugas, berlari ke bahagian bawah stadium ..

"Ana minta maaf, sumbangan ana dan sahabat Wangsa Maju untuk program ini setakat ini sahaja," serius gayanya.

Exco negeri terpinga-pinga lantaran hal tersebut, beliau menyarankan saya untuk bertemu dengan Pimpinan yang menguruskan keselematan VIP.

Saya berlari ke atas pentas, cuba mendapatkan Saudara Herman untuk tujuan yang sama. Sebaik niat diluahkan, beliau turut menyatakan hasrat yang sama.

"Nta tunggu sekejap, memang kita nak tarik diri dari program ini.." balas Herman

Ketua Pemuda Wilayah- Saudara Kamaruzzaman kelihatan sibuk dengan Walkie Talkie di tangan, arahan menarik balik didengari dalam kejauhan. . Unit Amal seramai 700 orang di arahkan keluar padang dengan segera. Saya menyarungkan vest, Peserta di belakang pentas mulai perasan dengan tindakan kami menarik diri.

Gerombolan kami keluar mengejut menyebabkan petugas dari parti komponen lain berlari-lari memujuk.

"Kamu sudah tidak menepati janji," itu yang saya perasan kata-kata diberikan oleh Ketua Pemuda sebelum kami melangkah pulang. Teman-teman yang jauh bertugasditepi-tepi jalan dan yang masih dalam perjalanan untuk menukar giliran di arah segera pulang.

Sebelum pulang, sempat saya berbonceng dengan teman DPPWM meninjau di sekitar stadium Kelana Jaya andai masih ada teman yang tidak mendapat arahan.

"Ok.. ana tengok semua sudah keluar," teman berbisik di atas motor.


KITA ADALAH PELAKSANA BUKAN PERANCANG..

Semalam, saya membelek-belek akhbar membaca perkembangan terkini himpunan PROTES. Dalam Protes kami terhadap PROTES, jiwa-jiwa masih mengintai untuk melihat perkembangan. Adakah mereka mengambil pengajaran dari tindakan yang ditunjukkan kami. Nyata teguran kami pada peringkat awal tidak dipedulikan, ditambah dengan persembahan yang lebih 'kritikal' di sebelah petang. Natijahnya, rakyat mula menunjukkan PROTES sebenar. Makian beserta botol air mula dilempar, pemuda-pemuda yang berang bertindak memukul para artis jemputan. Kelam kabut mereka yang masih setia mengawal keadaan.

Saya termenung, memikirkan perkara-perkara sebelum dan seawal hari kejadian. Hakikatnya, Beberapa hari sebelum hari kejadian, teman-teman seperjuang agak berat untuk menjalankan tugas-tugas sempena PROTES sejuta rakyat. Mengambil keputusan untuk 'memprotes' PROTES ataupun hadir sebagai peserta program semata-mata. Gara-gara tempat yang beberapa kali berubah serta perancangan-perancangan yang dilihat kurang teratur. Malah gelombang sejuta yang diyakini belum wujud.. Ustaz-ustaz tidak agresif mempromosi sebagaimana BERSIH, poster dan iklan yang kerap berubah, liputan yang tidak menyeluruh dan sampai, masa yang singkat untuk mengumpul sasaran yang cukup besar. Semua mula membandingkan AURA PROTES dengan AURA BERSIH.

Sekadar pandangan saya pada awalnya;

"Kita adalah perlaksana, bukan perancang. Kita serahkan kerja merancang kepada mereka yang layak. Kita yang buat kerja nie.. terima arahan dan ikut. Bukan kerja kita untuk mengkritik benda-benda ini semua. Mungkin ini strategi.. wallahu a'alam. Kalau pergi, pakai kudrat juga. Pakai minyak juga. Kita makan juga. Tenaga habis.. duit habis juga untuk minyak dan makan. Cuma bezanya kita bertugas dan jadi peserta. Orang yang bertugas ini insyaAllah lagi banyak pahalanya. Dan kita wala' selagi takde program yang bercanggah dengan dasar pegangan kita. Kalau bercanggah tuh layak masa tuh untuk kita bebaskan diri kita dari terus wala'.."

Teman bersetuju dalam keberatan. Hakikatnya semua keberatan termasuk saya.. namun terpaksa mengorbankan kehendak hati atas kepentingan yang lebih utama.

Petang sebelum program, kami sempat bermesyuarat perihal keselamatan VIP di pentas, sebahagian dari pemuda WM lain meneruskan amanah unit amal ditugaskan untuk persediaan keselamatan.

Ketua Pemuda telah menyatakan bantahan terhadap dua kumpulan underground Kuchalana dan Carburetor Dung, katanya pihak penganjur bersetuju untuk menukar kepada persembahan 'boleh diterima' oleh semua peserta. Kami lega..

Teman tetap bertanya, "Bagaimana andai hal tersebut berlaku?"

"Kita akan membantah. Sekiranya tidak dilayan, kita akan tarik diri," jawapan yang diberi sedikit sebanyak melegakan kami.

Program-program lain telah saya batalkan awal semata-mata untuk memberikan komitmen kepada himpunan ini, menyiapkan mental kami kerap dikhabarkan jumlah sasaran yang berpuluh kali ganda dari BERSIH... dengan program yang lebih padat. Teman-teman pemuda terpaksa menangguhkan kerja-kerja di peringkat kawasan walaupun kepentingan dan tuntutan masa yang cukup mendesak. Semata-mata memberi komitmen dan tenaga kepada PROTES.

Seawal pagi pada hari kejadian, saya dan teman-teman mula berasa sangsi melihatkan pentas yang sarat dengan drum dan guitar. Dari cara pemeriksaan dan persiapan terhadap alatan tersebut dan sistem audio membangkitkan kembali persoalan yang cukup dirisaukan kami. Namun tugasan diteruskan dalam perasaan yang mula berbelah bagi.

Seorang demi seorang teman yang kejauhan mula menunjukkan kekesalan atas sambutan yang cukup dingin. Kami berusaha memujuk, teman-teman yang berkawal keselamatan terpaksa memberi reaksi positif kepada peserta yang mula hampir. Teman-teman diluar letih dengan kepanasan terik mentari, kami di dalam resah dan geram dalam tindakan individu tertentu yang masih tidak memahami protokol.

Semua telah berlalu. Ambil iktibar dan pengajaran.


Hari ini teman-teman masih berbalas mesej melihat perkembangan terkini.

Secara peribadi saya agak terkejut bila Hismauddin Rais menyatakan kesalnya terhadap kumpulan ini setelah tindakan mereka diluar jangkaannya. Pada harapannya, mereka dapat menyelami kesusahan rakyat dan mengunakan platform dan kaedah tersebut bagi menyuntik kesedaran.

Saya tidak berniat untuk terus memandang serong, 'tidak salah' mereka dengan kelakuan mereka kerana memang begitulah naluri dalam persembahan mereka. Namun salah yang menjemput atas kegagalan meletakkan mereka pada post atau sekurang-kurangnya diberi penjelasan.

Saya bukan hendak menilai benar atau tidak kumpulan ini. Itu satu skop yang boleh diletakkan juzu' lain. Saya hanya menonton klip tayangan aksi yang dikatakan melampau tidak secara live setelah kami pulang. Pada saya, bagaimana kesannya underground tersebut hingga gagal untuk menyerap nilai hikmah dalam mengenalpasti para penonton dihadapan mereka. Bagi mereka, makcik berpurdah.. pakcik berkopiah adalah sama dengan minah dan mat rempit serta mereka yang sama 'fikrah' dengan mereka (bukan niat merendahkan golongan ini). Namun, andai kita mengenali mereka dengan sifat sebegini, dengan hati dan roh mereka yang sebegitu. Dengan gaya dan jiwa yang masih gersang mencari hidayah. Kenapa harus direndahkan martabat peserta yang 'lebih basah' roh kesedarannya.. untuk 'menyerap kesedaran' dari persembahan tersebut. Ini bukan mendidik... menjahanamkan namanya.

Alhamdulillah, tindakan yang jelas dan disepakati dapat diambil oleh semua petugas. Namun, kepentingan peringkat atasan dalam membuat keputusan terbaik adalah penting. Jangan dipalit kepercayaan yang sedia diberikan rakyat. Keputusan menarik diri mungkin disedari hanya peringkat kempimpinan dan petugas.. bagaimana dengan rakyat yang masih terkontang-kanting di dalam stadium, yang hanya melenting bila melihat persembahan yang sudah melampaui batas pada fikiran mereka. Rakyat meletakkan kepercayaan kepada pimpinan, pimpinan mencari pendekatan dakwah terbaik yang diseimbangkan dengan perancagan siasah. Rakyat meletakkan kepercayaan kepimpinan dalam berijtihad hal-hal sebegini, persetujuan komponen PAS dalam program-program yang berbentuk 'syubhah' pada pandangan rakyat asalnya adalah suatu yang menghilangkan perasaan tersebut sebaik dipersetujui. Oleh hal demikian, menentukan arah tuju program yang jelas lebih penting kerana kesan yang turut melibatkan penyokong. Tindakan memprotes semasa berlangsung mungkin disedari oleh pemimpin, namun penyokong masih belum jelas mengenai hal sedemikian. Program diteruskan dalam penyokong tidak menyedari hakikat 'protes' kita terhadap beberapa perkara yang timbul, sedikit sebanyak menjejaskan imej PAS yang mungkin disangka penyokong bagai merestui hal-hal yang berlaku.


[AbeJoesCorner-saizol@yahoo.com]

"Read More..."

Friday, June 13, 2008

Nilai Sebiji Bola


"Ana nak kena balik dululah kalau tiada apa-apa," awal teman-teman seusrah membawa diri minggu ini.


Biasanya habis usrah ditangguhkan jam 12.00 malam. Namun, masih berbaki majoriti besar teman-teman di markaz menyambung usrah informal dalam 4..5.. group yang kecil dengan topik masing-masing. Berbincang isu-isu yang tidak sempat dihabiskan dan dilontarkan semasa usrah. Terkadang menjangkau lamanya sehingga 2 jam, tempoh yang hampir sama dengan masa perjalanan usrah kami.

"Ana nak kena 'qiam' lagi nanti," teman berseloroh dibalas gelak tawa sahabat lain.

Baru mengerti maksud teman tersebut. Bukan sedikit yang 'mengumpul pahala niat' seumpama itu, mengerjakan "sunnat awal tahajjud" sebelum "fardhu Euro 2008".

Bukan niat diri untuk memandang serong dengan kehadiran fenomena ini. Musim yang jarang dialami dan ditunggu untuk menyaksi kehebatan. Semangat yang lama melonjak, bila lagi ingin diluahkan sokongan andai bukan ini masanya. Memekik bersorak pada bulan dan hari lain saat jiwa lain nyenyak tidur mungkin mencetus kemarahan, namun inilah masanya... lesen sementara untuk berbuat demikian.

Bukan niat berceloteh lantaran diri yang selalu tersasar sepakan sehingga betis rakan menjadi ganti bola.

Bukan juga lantaran bola yang direbut dari kaki teman sepasukan sendiri akibat 'musuh' yang hanya dapat dicam dalam jarak 2 meter. Rabun mata tidak menghalang... asal ada bola membujur lalu. Misi yang aku fahami, sepak sahaja ke arah sasaran di pihak musuh. Itulah kefahaman bola bagi mereka yang kurang ilmu mengenainya.

Ketepikan dahulu persoalan mengenai agenda zionis dalam melalaikan manusia, satu hal yang tidak kurang penting untuk diperhatikan. Namun apakah falsafah dan ibrah yang mampu dikutip. Adakah sekadar dengan tidur yang nyenyak sebaik pasukan diminati mendominasi permainan dan mencatat kemenangan.

MATLAMAT DAN ATURAN

Dulu semasa belajar, kerap juga kami mengadakan perlawanan bola. Uslub yang rata-rata tempat masih digunapakai termasuklah setelah menyertai dewan pemuda wangsa maju. Berehat sementara sambil diselit-selit takzirah 5..6.. minit tika diri mengemis kembali hela nafas yang hilang tika bermain."Seronok bermain pasal kita bermain dengan peraturan, kita bermain ada matlamat" tazkirah ringkas mengajak teman-teman berfikir.

"Kalau kita bermain, kita mengejar matlamat untuk memasukkan bola ke gawang gol. Mengapa ketika hidup kita sering mengetepikan matlamat hidup?" diri yang juga terkadang tersasar matlamat mula menambah.

Benar, kita sering mengetepikan matlamat hidup. Andai dengan permainan sejam dua kita berusaha untuk mencapai matlamat dalam mencapai kepuasan, mengapa kita jarang menyandarkan kepada kehidupan di mana kaki bertapak, dunia yang luas dengan mehnah yang pelbagai, yang menjadi tapisan agar diri sentiasa menuju matlamat yang tidak tersasar. Apatah dengan tempoh masa yang lebih panjang.. kesan dan bahana dari tersasar matlamat yang bersifat kekal.

Permainan juga seronok dan lebih bermakna kerana adanya peraturan. Bagaimana pula gamak andai bermain tanpa sempadan had garisan membawa bola, "GOLmu GOLku jua", andai tidak berpuas dengan kaki digunanya tangan buat mengganti. Tidak ada pengadil yang menentu salah atau benar perlawanan, memberi nasihat dan amaran dengan 'kad kuning' sebelum diberikan 'kad merah' setelah melihat seorang itu melampau dari garis sempadan permainan. Namun, dari peraturanlah mewujudkan ranca yang pelbagai.. tindakan dan respon yang berbeza. Menjadikan 'permainan hidup' lebih bermakna. Maka, apakah hujjah bagi mereka yang menafikan hakikat 'peraturan' yang dikatakan mengokong kebebasan diri?


IMAN DAN NAFSU*

Fenomena ini turut menyaksikan bagaimana minat yang mendalam mengalahkan kelemahan diri yang lain. Kerana minat, mengantuk ditinggal bersendirian tanpa tuan di hamparan tidur. Cukuplah kita berdamping sejam dua, datanglah menjemput tika waktu kerja esok hari. Kerna minat, biarkan perut berkeroncong di siangnya kerna malam nanti baru tersedia habuanmu. Pilihan kena dibuat memandangkan kos hidup yang meningkat.
"Ana kalau nak kira niat tuh, dah boleh masuk syurga pakai pahala niat sahaja," penuh berisi kata-kata teman buat muhasabah diri. Faham benar maksudnya, bukan dalam istilah berbangga bagaimana fenomena ini mampu menghalau jauh mengantuk dari cengkaman yang menebal setiap hari. Ke mana merayaunya mengantuk saat nafsu bertapak dan kembali pulang sebaik wisel penamat memanggil.

"Kekuatan manusia pada tika manusia lain tidak mampu berjaga hanya kerana dua sebab, kekuatan iman dan nafsu. Ada kelompok manusia mampu untuk bangun malam bermunajat kepada Allah. Namun ada manusia juga mampu menonton perlawanan bola dalam menghadapi kelemahan mengantuk yang turut sama. Ada manusia mampu menggerakkan untuk beribadat dan ada kelompok turut mampu untuk menggoyang badan mengikut rentak dangdut mengisi malamnya, manusia mampu untuk merentasi bahaya lautan untuk menunjuk juga mampu andai itu arahan Tuhannya," itulah kemampuan manusia, menghadapi satu kelemahan yang sama dengan sandaran yang berbeza.


NILAI SEBIJI BOLA


Di mana nilai sebiji bola pada pandangan kita. Andai diukur dalam bentuk luaran dan kosnya, apa sangatlah nilai sebiji bola. Harga biasa mungkin puluhan ringgit, paling mahal mungkin ratusan.. mungkin juga ribuan.. namun mustahil rasanya sampai berjuta harga bagi sebiji bola tersebut.
Tapi disebabkan sebiji bola yang beberapa sen itulah, sebidang tanah yang berekar-ekar dipenuhi semak suatu ketika dahulu dilicinkan oleh berpuluh buah jentolak yang berharga ratusan ribu ringgit.
Sebab sebiji bolalah, berlori-lori tar dengan kontrak berjuta-juta ringgit terpaksa ditimbun bagi menjamin keselesaan para pengunjung.
Sebab sebiji bolalah, beribu buruh tempatan dan pendatang asing yang menggadai nyawanya menyeberang lautan menggerakkan tulang sendi mereka memikul batu-bata, meratakan simen-simen membina stuktur stadium yang berjutaan ringgit.
Sebab sebiji bolalah... menara-menara sportlight yang kukuh dibina menerangi segenap stadium. Sebab sebiji bolalah, mesin-mesin di kilang-kilang bangku bergerak tanpa henti dalam membekalkan puluhan kerusi yang jutaan ringgit nilainya.
Dan disebabkan sebiji bolalah, segenap manusia dari seluruh pelusuk dan ceruk tempat menggerakkan diri... menyewa hotel bagi yang jauh. Membeli baju.. membeli bendera-bendera sokongan, menghidupkan enjin-enjin kereta dan menggerakkan tulang empat kerat masing-masing untuk memandu ke stadium. Menempuh sesak dengan kesabaran.
Disebabkan sebiji bolalah, beratus gerai-gerai hebat dibangunkan sang peniaga buat mencari rezeki walau ajakan azan berkumandang.

Berapa sangatlah nilai sebiji bola andai dibandingkan dengan kemudahan lain yang jauh mahal daripadanya. Namun 'terpaksa' wujud dan ada bagi memenuhi 'nilai sebiji bola'.


Mengambil iktibar dari hal ini, apa nilainya seorang manusia.

Apa sangat manusia untuk dibandingkan sehingga Allah sanggup mencipta lautan dalam yang terhampar dan bukit berpasak dibumi, sedang kejadian hal tersebut jauh lebih besar.
Apa sangat manusia untuk dibandingkan dengan bulan yang melengkapi aturannya mengelilingi bumi yang tercipta untuk manusia.
Apa sangat manusia sehingga Allah mencipta planet-planet lain buat 'menemani' kesepian sang bumi.
Apa sangatlah manusia sehingga Allah mencipta matahari yang amat hebat ciptaannya. Saiz yang mustahil untuk dibandingkan dengan susuk tubuh manusia.
Apa sangatlah manusia sehingga Allah mencipta cakerawala yang tetap wujud dengan aturannya sebagai pelengkap walau manusia sendiri tidak mengetahui apa yang berlaku di sana. Andai difikir akan singkat manusia, kenapa Allah terus menjadikan batuan yang terapung di langit yang tidak pasti mampu atau tidak dicapai manusia.. mencipta bintang bintang yang bagai tiada guna kerana diluar pengetahuan dan capaian akal manusia.
Apa sangat manusia sehingga Allah mencipta alam yang sebegitu yang mustahil untuk dijadikan manusia yang cukup kerdil untuk dibandingkan.

Andai melihat sebiji bola dengan susuknya speranya. Namun mempunyai kesan yang cukup besar bila melihat NILAI yang berjaya dihasilkan dengan mempengaruhi kewujudan dan pergerakan perkara lain di sekitarnya. Kenapa tidak memikirkan.. di mana tersembunyi NILAI seorang manusia disebalik susuk tubuhnya. Hingga tercipta segala cakerawala.




*bukan ditujukan untuk semua nafsu, ayat digunakan untuk nafsu yang buruk bagi memudahkan perbincangan. - AbeJoes


[AbeJoesCorner-saizol@yahoo.com]





"Read More..."

Wednesday, June 11, 2008

Bila Harga Minyak Naik

"Read More..."

Tuesday, June 10, 2008

Kerajaan Allah - Al Mulk

[67: 1] Maha Tinggi dan Maha Suci Allah yang menguasai segala Pemerintahan (dunia dan akhirat ) dan Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. [67:2]Dialah Yang telah menciptakan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu:siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya. [67.3]Dia Maha Perkasa (dalam melakukan pembalasan terhadap orang yang derhaka) lagi Maha Pengampun (bagi yang bertaubat);

Usrah pemuda kali ini menyentuh tafsir Surah Al-Mulk dari ayat 1-5. Awal-awal aku bukanlah seorang yang benar-benar pakar dalam soal ini. Ketiadaan naqib memang memberi kesan kepada usrah kami. Aku diamanah mengendalikan untuk semenjak sebulan dua yang lepas. Agak risau bila mengendalikan sesi yang aku sendiri bukan ahli dalamnya.

Mengambil pendekatan yang lebih selamat dengan silibus yang memang di bawa selama ini mengundang sedikit keresahan dihati. Ya Allah.. berilah petunjuk yang terbaik untukku memimpin diri dan memberi kefahaman kepada teman-teman.

Aku membuka kepada sebarang ibrah dari ayat yang dibaca, dari kumpulan kami sekitar 20-25 orang setiap kali aku yakin akan telinga-telinga yang pernah menadah ilmu mengenai surah ini untuk dikongsi bersama. Itu pendekatan yang paling selamat bagiku.

Beberapa teman mula menambah dan menyampaikan apa yang difahami dan dikutip masing-masing dalam kuliah pengajian mereka. Alhamdulillah, inilah kecantikan usrah. Membawa dan memandang ilmu dalam tafsiran yang cukup luas. Habis teman berbicara aku mulakan rumusan.

"Perangai manusia... bila dia hendak tunjukkan kekayaan dia. Maka akan dipamer seluruh kehebatan yang dia ada. Besar mana mahligainya, berapa banyak keretanya, berapa luas tanahnya, berapa ramai pengikutnya. Ini cara manusia yang lemah.. yang kita tahu besar mahligai pun setakat mana sangat. Banyak kereta pun berapa biji sahaja, luas tanah pun ada sempadannya, pengikut-pengikut pun tak semestinya setia, tapi ada keinginan nak tunjuk yang dia ni hebat"


"Allah... Lebih-lebih lagi, dengan sifatNya yang Maha Berkuasa, Maha Perkasa, Maha Takbur. Allah pamerkan kehebatan Dia, Allah sebelum menceritakan kisah-kisah besar dalam Al-Qur'an, kaedah Allah nak tundukkan hati manusia adalah dengan cara menceritakan dahulu kehebatan Dia. Bangkit bongkar semua kekuatan dan kekuasaanNya. Supaya dengan cara tu, manusia akan akui kehebatan Allah, barulah manusia akan mudah nak dengar apa yang ingin dikhabarkan Allah"

"Dalam ayat ini, Allah bangkitkan kisah bahawa segala kerajaan di TanganNya. Kerajaan langitkah, kerajaan haiwankah, kerajaan ikankah. Tak kira apa jenis kerajaan, Allah sebut Aku yang miliki semua ini. Manusia dia rasa hebat.. tapi dalam 'kerajaan dia' sahaja.

Walaupun manusia dikatakan khalifah dan penguasa kat dunia ni dan lebih tinggi darjat dan menguasai makhluk lain tapi setakat mana? Memang dia boleh masuk dan 'menawan' alam laut, tapi sampai masa oksigen pun habis, kapal selam pun habis sumber tenaga. Mahu tak mahu kena kembali ke darat jugak. Kat 'kerajaan udara', walau kita terbang lagi tinggi dari burung-burung... habis minyak, kena mendarat jugak. Maknanya kita masih ada kelemahan"

"Di daratan sendiri, yang mana masing-masing ada kerajaan dan negara pun dia tak boleh nak declare dia yang lagi hebat... Rom yang suatu masa dahulu kata dia hebat, kat mana kerajaan tu sekarang? China yang dulu tamaddunnya hebat... berapa kedudukan di dunia sekarang?? India yang dikatakan antara tamadun tertua.. bagaimana kebanyakan rakyatnya?"

"Inilah gaya Allah bila dia nak semua makhluk tunduk kepadaNya," aku menambah.

Ini gaya bahasa yang Allah gunakan, bagaimana Allah ingin menundukkan keegoan makhlukNya memandangkan perkara-perkara yang Dia ingin ceritakan dalam surah al-Mulk adalah perkara-perkara besar. Bagaimana Allah ingin menceritakan kehebatanNya andai manusia masih lagi belum tunduk dan akur kepada keesaanNya. Manakala dalam kaedah psikologinya, kaedah untuk menundukkan manusia supaya hormat kepada 'kuasa' yang lebih besar adalah dengan memberi sedar kepada manusia akan kelebihan dan kekuatan yang ada pada 'Yang Menguasai' manusia itu sendiri.

[AbeJoesCorner-saizol@yahoo.com]

"Read More..."

Siapa aku untuk melawanMu Ya Allah..


Siapa aku untuk melawanMu Ya Allah??
Andai saat aku mengangkat tangan mencabarMu, Perlahan-lahan Engkau mengusapku dengan mengalirkan darah-darah seluruh tubuhku atas kasihMu,

Siapa aku untuk melawanMu Ya Allah??
Andai tika aku memalingkan mukaku dari menatapMu, Engkau Kekasih setia yang tidak pernah berpaling memujuk hambaMu,

Siapa aku untuk melawanMu Ya Allah??
Andai detik diri yang sentiasa melangkah untuk mengingkariMu, Engkau tidak jemu dari terus memerhati agar tidak tersadung susun langkahku.

Siapa aku untuk melawanMu Ya Allah??
Andai setiap kali aku menghadiahkan kasihku kepada yang selainMu, Engkau tidak kecewa dari terus menghadiahkan tiap hela nafas buatku,

Siapa aku untuk melawanMu Ya Allah??
Andai dengan gelodak nafsu yang selalu aku turuti, Engkau terus membelai dan memimpin... "Wahai hambaKu.. ini jalan yang lebih baik buatmu"

Siapa aku untuk melawanMu Ya Allah??
Tika aku berterima kasih kepada selainMu, Engkau tidak pernah menagih syukur buat syarat pemberian rezekiMu..



Siapa aku untuk terus melawanMu Ya Allah??
Saat kaki ini terus bongkak melangkah, namun diriMu membiarkan Jantung ini terus berdegup kerana sayangMu kepadaku,


Siapa aku untuk terus melawanMu Ya Allah??
Andai dengan jiwa maksiat ini terus angkuh berlagak berani menahan azabMu, Engkau tidak jemu memberi peluang dan ruang kepadaku untuk terus bertaubat.

Siapa aku untuk melawanMu Ya Allah??
Saat lidah ini hebat mencaci syariatMu, Engkau sekadar tersenyum melihat gelagat hambaMu yang masih tidak sedar hakikat tidakkan terbuka sedikitpun rahangku melainkan dengan izinMu.

Siapa aku untuk terus mengetepikanMu Ya Allah,
Saat Engkau memanggilku, aku terus membiarkan Engkau sabar menunggu... sedang aku terus leka bersama teman-teman duniaku.

Siapa aku untuk melawanMu Ya Allah,
Saat kecintaanku ditabur buat insan-insan lain... Kasih buatMu kupinggir. Sedangkan tidak ku sedari asal cinta yang berputik tidak lain kerna cintaMu kepadaku.


Aku tidak mengerti... mengapa lagi aku terus melawanMu. Bagaikan tidak mengerti diri dan tubuh ini tidak ada satupun yang tercipta melainkan izinMu.

Tuhanku..

Ampunkan dosaku..







[AbeJoesCorner-saizol@yahoo.com]




"Read More..."