Showing posts with label Coretan Pemuda. Show all posts
Showing posts with label Coretan Pemuda. Show all posts

Tuesday, July 28, 2009

Usrah.. Tunjang yang Kian Terabai


Kebiasaannya, saya pulang lewat setiap kali tamat berusrah pemuda sebelum ini.

Adalah cukup awal sekiranya saya pulang ke rumah mencecah jam 12.30 malam. Ghalibnya, sekitar 1.30 pagi.. mungkin menjangkau sehingga 2.00 pagi. Itu rutin mingguan kami. Masih boleh dianggap awal berbanding komitmen teman-teman lain. Cukup sedikit masa berbanding mereka yang benar-benar memberi sepenuh jiwa raga mereka dalam jalan dakwah. Motor saya sudah kuyup dibasahi embun tatkala saya menunggangnya pulang. Terkadang saya berasa sayu sendiri, jiwa saya sering tersentuh lantaran tidak sempat ‘membelai’ dan membalas khidmatnya yang tidak ternilai. Enjinnya tidak merungut walau saya sering menunggang terus tanpa memberi masa untuknya bersedia.


USRAH ITULAH TUNJANG

“Lamanya… apa yang banyak sangat diceritakan,” isteri saya bertanya sebaik kami berkongsi cerita dan pengalaman dalam usrah kami.

Memang lama diukur masa.. tapi tempoh berusrah sekitar 3-4 jam tersebut bagai seketika bagi kami.

Saya masih teringat, seawal penyertaan saya di Wangsa Maju. Suasananya cukup berbeza, kehadiran sehingga mencecah 7- 8 orang adalah suatu yang amat membanggakan.

Alhamdulillah… kini meningkat sehingga 4 kali ganda.

Saya tidak mahu membicarakan hal-hal teknikal dalam perkara ini.
Persoalan tempoh masa..
Jumlah kehadiran yang praktikal bagi sesebuah usrah.
Semua itu, tidak dinafikan penting, tapi bukan keutamaan bagi saya.

KEPOMPONG YANG MENGOKONG

Usrah bukan medan menadah kitab semata-mata..
Bukan juga medan di mana seorang ustaz hebat menabur ilmunya..
Membiarkan para ahli hadir menadah telinga dan ternganga..

Usrah adalah suatu medan diskusi..
Medan mencari solusi terhadap permasalahan para ahli..
Medan menanam kefahaman dan motivasi,
Menyelaraskan tindakan terhadap arahan-arahan terkini..
Lapang sasar dalam mengenalpasti ahli dan mencungkil potensi…

Itulah Usrah bagi saya.

Usrah bukan sekadar tulang belakang kepada tarbiyyah jemaah. Namun jiwa yang menentukan arah tindak ahlinya.

Apakah pendekatan yang lain mampu kita cari sebagai wadah utama tarbiyyah selain usrah dan tamrin yang jarang-jarang diadakan. Ceramah umum?? Forum?? Itu petikan dari persoalan dari Abi, murabbi saya yang lama di alam tarbiyyah.

Saya cukup terharu setelah menghadiri konvensyen nuqaba’ di Wilayah Persekutuan beberapa bulan lepas. Dari 100 lebih penyertaan, hanya belasan sahaja ( mungkin ramai yang terlibat namun tidak mampu hadir) yang mengaku menyertai dan terlibat dengan usrah secara berterusan. Itu sudah dikira pesertanya di kalangan YDP, Setiausaha dan Tarbiyyah kawasan. Bagaimana gamak dengan mereka yang langsung tidak mengenal tarbiyyah.

Bagaimana sebuah jemaah yang mempunyai keahlian yang cukup ramai. Namun teras perjuangan hanya disahut sekitar sekitar 2-3 peratus sahaja. Itu bukan fakta, namun atas anggaran luaran yang mampu dikutip.

Ada apa dengan RUKUN ‘TA’ ?

“Nta kat mana sekarang? Di kampung ke di KL?” mesej awal sebelum teman menagih komitmen saya dengan kerja jemaah.

Sebelum ini, saya menerima arahan terus, namun tidak lagi pada masa sekarang.

Teman saya sedia maklum. Tiada yang berani bertanyakan alasan sekiranya saya memberi jawapan ‘TIDAK’ sebaik makluman program diterima. Seawal saya bertukar title sebagai seorang suami. Perkara pertama yang saya tekankan adalah hal-hal TAFAHUM.

Saya merenung dalam, cuba menghirup segar rasa penghayatan dan praktikal terhadap rukun ini. Kefahaman mengenai tafahhum harus dipraktikkan secara terus, bukan sekadar mengenal diri melepasi tahap taaruf.

Namun tafahum adalah memahami kondisi individu kerana asas dan matlamat kepada Tafahum bagi saya adalah syarat kepada bermulanya proses untuk penentuan amanah itu sendiri. Memahami keadaan seseorang agar amanah yang sesuai mampu diberikan, malah memastikan tahap-tahap penglibatan yang mampu diberikan oleh seseorang dengan limitasi yang dimiliki olehnya.

Tafahum adalah satu keperluan dalam jemaah,

Kegagalan untuk MEMBERI FAHAM dan MEMAHAMI akan mengundang hal-hal yang tidak diingini malah lebih teruk akan mengundang fitnah kepada individu itu sendiri. Ada insan yang terlalu merahsiakan hal-hal dirinya, memandang remeh rutin diri untuk diceritakan dan dirasakan terlalu biasa dan tiada kepentingan kepada jemaah. Namun dia tanpa sedar, kegagalan untuk menjelaskan keadaan dirinya sebenarnya memberi kesan kepada pergerakan jemaah itu sendiri. Bimbang andai saat suatu amanah ditetapkan… maka ketika itulah baru diungkit keluar berjela-jela penjelasan dalam mengkhabarkan batasan diri.


Lebih teruk lagi, penolakan pada ketika itu mungkin disalahertikan sebagai penolakan dan alasan semata-mata. Saya tertarik dengan pendekatan murabbi saya suatu ketika dalam usrahnya, terkadang semasa mengendalikan usrah, saya memerhati beliau meminta teman-teman untuk memberi maklumat yang lain berbanding hal-hal sebelumnya.

“Nta kan pernah berusrah dulu, kenapa nta keluar dari usrah sebelum ini?” sahabat saya mencungkil sejarah teman yang kini lihat makin rapat dan berjaya memberi komitmen dengan usrah kami.

“Ana tak dapat apa-apa dalam usrah tersebut.” Teman membalas.

Saya berhenti menyoal. Namun mengapa hatinya tawar bila terlibat dengan usrah.

………….

MENERUSKAN ATAU MEMBATALKAN

“Apa pandangan saudara-saudara sekelian, adakah saya harus meneruskan usrah tersebut,” abi melontar soal dalam konvensyen yang sama.

Puncanya mudah, setelah tugasan diberi dan sesi bacaan dan tasmi’ ayat-ayat al-Quran yang bagaikan satu kegerunan bagi ahli usrahnya. Kehadiran mula merundum mendadak.

“Ana tidak nampak soal kegerunan dengan silibus, tapi masalah KEPERCAYAAN dan IKATAN antara ahli usrah,”
saya memberi pandangan.

Dalam usrah kami, terdapat ahli yang amat hebat bacaannya, ada ustaz-ustaz tahfiz, ada imam rawatib ada juga ahli yang masih bertatih dengan bacaannya.

Asas KEBERANIAN tersebut adalah;

Yang lemah FAHAM bahawa dirinya lemah, dan FAHAM saudara seusrahnya adalah insan terhampir yang akan membetulkan dirinya.

Yang lemah tetap berusaha dengan bacaannya yang merangkak-rangkak, kerana sedar adik-beradik seusrahnya FAHAM situasinya dan tidak akan menceritakan kelemahan yang dimilikinya kepada insan lain.

………

Nta berdua tolong pasang banner yea,” teman kami menerima arahan tanpa banyak soal.

Kerja-kerja tersebut mungkin kecil pada pandangan insan biasa. Namun saya cukup terharu tatkala melihat kesungguhan teman-teman yang baru berjinak-jinak dengan jemaah melakukan kerja-kerja yang tidak sanggup dilakukan oleh manusia-manusia ’suci’.

Mereka terus meredah kegelapan dan kedinginan malam sebaik usrah tamat. Memanjat pokok-pokok dan tiang-tiang kotor.
Mencari ’port-port’ yang sesuai untuk melakukan tugasan yang diamanahkan.
Mereka melakukan tanpa perlu teman-teman yang ramai di sisi.
Namun mereka berasakan semangat teman-teman yang turut bersama.
Keperitan dan pengalaman tersebut sebaiknya cuba dirakam untuk diceritakan kembali.
Cerita dikejar anjinglah diingati mereka..
Sengsara terjatuh pokok menjadi jenaka...

Apa yang tersemat dalam perasaan mereka..

“Memang aku tiada ilmu yang mampu dikongsi… namun inilah cerita-cerita menarik yang pemuas hati melihat senyuman teman seusrah nanti,”


abejoes@ http://abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Tuesday, May 5, 2009

Memperkasa Kepimpinan Ulama'

Alhamdulillah.. dalam kesibukan yang dibuat-buat. Allah jua yang mempunyai perancanganNya dan mengatur yang terbaik buat saya.

Lebih 5 bulan saya berulang alik menaiki bas menjenguk isteri. Saya cuba mencari alternatif baru. Alhamdulillah.. 2 kali berulang alik menggunakan perkhidmatan air asia dalam sebulan lepas, benar-benar suatu yang saya rasakan agak praktikal. Masa bersama isteri saya rasakan sedikit panjang walau waktu yang diperuntukkan tidak banyak bezanya.

Saya memanjatkan syukur, kebiasaannya kebanyakan program-program pemuda jatuh pada hari ‘giliran’ saya berada di kawasan. Terkini, muktamar Pemuda Wilayah dalam beberapa hari lepas.

Perjalanan muktamar lancar.
Pemilihan berjalan dalam suasana penuh mahabbah antara kawasan.
Usul-usul dibahas dengan tenang serta hujah yang mencari keredhaan dan kebenaran.

Dalam kerancakan muktamar, ada teman yang menghampiri dan bertanyakan pandangan saya mengenai perlantikan Presiden dan Timbalan yang meletakkan syarat WAJIB dari kalangan ulama’. Cumanya, apakah yang dikehendaki dengan tafsiran sebenar ulama’ tersebut?? Takpelah.. saya cenderung mengatakan mungkin perkataan ulama’ yang dimaksudkan adalah sebagaimana yang difahami umum.

Walau saya cenderung agar Golongan Ulama’ harus diberi keutamaan, namun tidak diwajibkan asalkan calon tersebut;

1. Memahami organisasi PAS yang meletakkan Majlis Syura sebagai penentu keputusan jemaah.Tiada sebarang persoalan andai seseorang pemimpin itu dipilih dari golongan manapun ASALkan calonnya telah diputuskan oleh Majlis Syura yang hakikatnya adalah golongan ulama’.

2. Dia mampu memandu dan menyandarkan keputusan atas petunjuk Allah bukan sekadar kebijaksanaan sendiri semata-mata.
3. Jemaah tetap dipandu Mursyidul Am yang pastinya dikalangan Ulama’
4. Seorang yang mempunyai Kriteria kepimpinan yang lengkap-karisma, pengalaman, tawadhuk, tajam fikiran, syakhsiah yang luhur dan mempunyai Tsaqafah Ilmiah yang mantap.
5. Seorang yang beramal dengan ajaran Islam dengan sepenuhnya.
6. Seorang yang hidup atas jalan Tarbiyyah dan Dakwah, dan WAJIB melalui susur galur Tarbiyyah dalam Jemaah.
7. Mereka yang menghormati ulama’ dan mengambil kira pandangan ulama’ terlebih dahulu dalam sebarang keputusan.
8. Seorang yang memperjuangkan/menyokong kepimpinan ulama’.

Moga Allah memandu saya dan membetulkan saya dengan pandangan teman-teman.


p/s: Serba salah nak letak tajuk, takut salah faham kata kepimpinan ulama’ belum cukup perkasa. :D
Khusyuk mendengar perbahasan teman-teman



Membahas laporan... gaya auditor bertanyakan laporan kewangan



AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Friday, January 30, 2009

Luahan Pemuda Rock


Assalamualaikum

Semuga pengorbanan dan keterlibatan anak muda ini dalam Pilihanraya Kecil P036 turut menyumbang roh kemenangan PAS di sana. Sebagai anak muda yang masih minat dan terlibat aktif dengan dunia muzik rocknya, namun dia boleh mengenepikan keselesaan hidupnya dan bersama petugas2 di Markas Wilayah di Terengganu.

Anak-anak muda sepertinya perlu di dekati, agar semangat yang tertanam dalam jiwanya terus subur...

Memberhentikan minatnya pada ROCK... mungkin akan memberhentikan benih yang tertanam untuk mendekati perjuangan ini.

Kesayangan mereka pada Tok Guru seharusnya diraikan dengan pendekatan yang tersusun agar mereka akan terubah dengan pendekatan yang ada.

Ramai dikalangan mereka yang memang baik dan beriman kadang-kadang mahu anak-anak muda seperti ini terus beramal seperti mana mereka beramal... sedangkan dunia kita, mereka dan anak-anak muda ini terlalu banyak perbezaannya.

Masalahnya... anak-anak muda ini, jika di ajak ke masjid, surau memang sukar untuk mengikuti, tapi bila ada yang mendekati mereka dan berbicar tentang perjuangan dan Islam, mereka akan bertanya itu dan ini...

Tapi... siapakan yang akan mahu berdampingan dengan mereka kerana waktak keimanan dan pengamalan yang ada pada para pejuang jauh berbeza dengan mereka...

Ada ahli yang memandang sinis dan bertanyakan itu ini kerana gaya dan watak anak-anak muda ini kurang islamik ketika di Rumah Wilayah kerana yang baru sampai itu pejuang sejati PAS, hingga ada yang meninggalkan bekas didalam hati anak-anak muda ini.

Mereka tidak mahukan wang ringgit...
mereka tahu... bekerja untuk PAS tiada dijanjikan duit...!
Sekurang2nya hormatilah mereka.

Kehadiran mereka dari hari penamaan calon hingga keputusan di umumkan hars di hargai kerana setebal manapun keimana pejuang-pejuang yang ada kadang-kadang hanya mampu pergi hari penamaan calon dan hari mengundi sahaja... Mereka tak nampak anak-anak muda ini ketika di tengah-tengah hari itu! Oleh itu wajar bagi mereka memarahi anak-anak muda ini seperti kehadiran mereka menjadi pengacau kepada pejuangan ini...

mereka tidak mahu wang ringgit...
yang mereka mahu agar mereka di hormati sebagai anak-anak muda yang turut memberi sumbangan walaupun sedikit... dan yang paling penting dekati dan bimbingi mereka...

semuga ianya dapat difikir kan besama...

BAIK MANAKAH KITA, BURUK MANA SANGAT KAH MEREKA???


"Read More..."

Thursday, January 22, 2009

Bertanyalah... Usah bermain prejudis

“Program nie anjuran siapa?” seorang pengunjung malam tasik titiwangsa menyapa saya.

“Program pemuda” Saya menjawab ringkas.
Mata saya tidak lepas menjeling adik-adik yang harus sentiasa berada di bawah pemantauan saya.

Kelam malam..
Dengan jumlah seramai hampir 40 orang menyukarkan saya untuk memerhati setiap susuk di bawah tanggungjawab saya dan seorang teman unit amal.

Kami diamanahkan mengawasi mereka. Risau andai keselamatan mereka terancam dalam ekspedisi dakwah kali ini.

Lelaki tersebut mengekori, dalam hayun langkah yang perlahan. Menyaingi kelajuan kami.

“Abang datang sorang?” saya menyoal melihat dirinya bagai berminat untuk menyertai program kami.

“Tak, dengan anak-anak.. tuh mereka” bibirnya dijuih sedikit menunjuk tempat anak-anak bermain dalam kecerahan lampu-lampu sekitar taman.

Lorong demi lorong dilalui memisahkan pandangan matanya dengan anak-anak.

“Saya rasa PAS ini ektreme. Selalu keluar kenyataan yang agak keras dari pemimpin-pemimpin PAS. Saya dah lama tengok, perhati dan kaji. Tak macam parti lain, tak nampak terlalu ekstreme dengan agama, dengan bangsa. Pasal tuh ramai boleh terima” Dia mula bersuara setelah agak jauh mengikuti kelompok kami.


Saya memasang telinga.

“Tengok, kenyataan yang keluar mengkafirkan orang laa. Sampai orang jadi takut. Saya nampak PAS ini susah untuk masuk kepada masyarakat kalau terus ekstreme macam nie?

Saya mula memperlahankan langkah. Cuba memberi sedikit perhatian untuk dialog tidak langsung antara kami.

Patutlah bersungguh benar menyertai saya.

“Kenapa abang kata begitu?” saya cuba menyoal. Mencari punca atas kata-katanya.

“Yealah… tengok pimpinan tertinggi pun. Keras dalam kenyataannya. Ustaz-ustaz pun sentiasa tinggi suaranya mengutuk. Saya nampak PAS ini lebih kepada matlamat kepartian, kata kat orang tapi berebut juga nak jawatan” rasa hatinya mula diluahkan.

Saya mendiamkan diri. Kumpulan di bawah seliaan saya kini dikawal dengan anak mata. Mereka kian menjauh dari kami.

Saya cuba mencari jalan terbaik untuk memberi kefahaman, tapi harus menghancurkan salah faham dalam masa yang singkat. Kegagalan menghancurkan salah faham menyebabkan proses memberi kefahaman tersebut akan terganggu dengan persoalan tambahan yang menyekat perbualan serta jerat prasangka. Malah tugasan saya malam itu mungkin akan sedikit terabai dalam proses menangkis tanggapan serta menyemai kefahaman tersebut.

Saya berfikir panjang.
“Cuba abang bayangkan. Bila seorang yang mengaku ISLAM mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan bangsa lain hanya MENUMPANG DI BUMI MALAYSIA. Kemudian kenyataannya disanggah oleh seorang BUKAN ISLAM dengan mengatakan kita semua adalah makhluk Allah yang MENUMPANG DI MUKA BUMI Tuhan. Pada pandangan abang, apa yang menyebabkan kenyataan tersebut boleh keluar dari mulut orang bukan Islam tersebut?

Dia mula berfikir.

Itu bukan dari akalan saya. Tapi saya terkedu apabila seorang bukan Islam menyatakan hal sedemikian dalam wacana yang penuh kontroversi baru-baru ini.
Bagi saya cukuplah saya mengeluarkan contoh sebegitu untuk menjentik akalnya, berfikir dalam mencari punca dan sebab bagaimana seorang bukan Islam boleh memahami hakikat penciptaan manusia sebagai makhluk lebih baik dari akal nafsu seorang manusia yang mengaku Islam.

Itulah contoh yang mampu saya hadapkan, menyelongkar resipi kejayaan dari sebuah kerajaan yang hampir mencecah dua dekad pemerintahannya. Mengukuhkan tunjang kefahaman kepada mereka yang sedia melafaz syahadah, mendekatkan jurang bagi mereka yang masih belum terbuka jiwanya untuk kembali kepada Agama Fitrah.

"Berapa nilai bangsa Melayu diakhirat kelak? Cuba sebut??" Soalan yang dipersetujui oleh jiwa yang sedia tunduk. Namun amat sensitif bagi insan yang masih dengan semangat kebangsaannya.

"Kita sama sahaja, kami yang Islam yakin asal manusia dari Adam. Kami juga yakin tuan-tuan juga dari keturunan yang sama. Kalau tuan-tuan rasa ada asal dari yang lain cuba bagitau saya. Tapi kalau takdok, ambik pakai yang saya sebut nie dulu pasal saya ada hujjah saya sehingga tuan puan berjumpa dengan siapa tok nenek moyang hok asal tuh," Saya mengulangi ayat yang kerap disebut Tok Guru setiap kali dirinya berdepan dengan bangsa-bangsa lain di bumi yang ditadbirnya.

Mendekatkan jurang sekaligus menyuntik pegangan Islam. Kenyataan tersebut sudah cukup memberi kepuasan walau pulang dengan ketandusan jawapan.

KITA YANG PREJUDIS

“Musuh utama kita sekarang adalah sikap prejudis umat Islam sendiri dengan agama yang mereka anuti,”
saya memetik pandangan Ust Zaharuddin- menantu TG Hj Hadi.

Prejudis yang bermain dalam lubuk hati kebanyakan umat Islam sekarang amat parah. Prejudis hingga melahirkan nanah dan kudis-kudis hati. Memandang serong dengan agama yang dianuti.

Kejahilan ummat menyebabkan mereka gagal untuk menghadapkan kefahaman dan cara hidup yang bertentangan dengan Islam.

Andai di bawa ISLAM, mereka mampu untuk membandingkan dengan BUDDHA, HINDU, KRISTIAN dan lain-lain dari sudut aqidah. Kerisauan mereka kepada persoalan Aqidah membuak-buak. Timbul risau saat dibacakan statistik murtad. Timbul gerun melihat anak-anak muda yang mula memuja syaitan.

Namun, apabila di bawa sistem EKONOMI ISLAM, mereka gagal untuk menghadapkan apakah MUSUH kepada CARA HIDUP dalam BEREKONOMI. Mereka lahap merantah hasil-hasil dari sistem-sistem riba. Sistem kapitalis yang dijamin kemusnahan dan kejatuhannya tidak dipandang sebagai suatu yang menggugat hidupnya.

Bila dibawa sistem perundangan, mereka gagal untuk membuat perbandingan apakah jenis sistem perundangan kuffar yang harus dihadapkan sebagai suatu yang bertentangan dengan sistem Islam.

Kenapa kita hebat membuat perbandingan dan mencari beza hanya dari sudut aqidah?? Sedangkan Islam adalah suatu sistem yang berbeza dan harus dihadapkan perbezaannya dengan KESELURUHANNYA dengan sistem hidup golongan kafir.

Hatta disebutkan, diandaikan sekiranya adat seremeh memakai selipar jepun sekalipun sekiranya dengan memakai selipar jepun tersebut adalah dari CARA HIDUP yang jelas bukan dari Islam walau nampak tidak salah pada pandangan akal. Kita dilarang mengikuti jalan-jalan kehidupan tersebut.

Saya bercakap atas dasar kehidupan muslim, bukan mencari perbezaan yang sememangnya tidak digalakkan dalam hal-hal dakwah. Menyeru dengan kelainan sebagai manusia dengan identiti Islam namun sama dari hakikat kehambaan.

ISLAM ITU FITRAH…

Islam agama fitrah, kenapa harus dilawan fitrah untuk meneruskan hidup? Senangkah andai seluruh kehidupan berjalan dalam suasana yang penuh songsang??
Berhukum dengan hukuman yang songsang..
Berekonomi dengan sistem yang songsang…

Kita tidak merasainya, kerana kita redha dengan kesongsangan tersebut.

Cuba renungkan sebentar..

Suatu ketika kita seronok berjalan-jalan bersama isteri dan anak-anak tersayang. Tiba-tiba anak kita dilanggar mat rempit dan mati didepan mata. Pesalah ditangkap, dan dihadapkan ke mahkamah.
Yang mana pilihan anda?
- Hukuman yang sewajarnya ditentukan oleh kita sendiri.. atau..
- Panggil orang lain untuk tentukan nasibnya, orang tersebut kenakan denda dan memanggil orang lain untuk ‘kawal’ pesalah tersebut dan duit diambil olehnya.

Kerajaan ingin membeli harta untuk milikan kerajaan.. di mana seeloknya sumber dicari untuk membeli mesin mahal tersebut??
- Kerjaaan mencari sumber dari hasil bumi sendiri. Ibarat titik peluh kerajaan sendiri.. atau..
- Menyeluk duit dari setiap poket rakyat (cukai)..

Andai kita mempunyai tanah. Bagaimana kita bersetuju dengan cukai tanah yang dikenakan.
- hanya untuk tanah yang diusahakan dan memberikan hasil sahaja … atau..
- cukai harus dibayar walau tanah tidak diusahakan


Saya tidak pasti fitrah anda menjawab bagaimana. Cuma andai pilihan ke- 2 menjadi pilihan. Mungkin fitrah kita telah sebati dengan tahap kesongsangan tersebut.

Saya bukan menghukum. Namun menjadi kepelikan bila kita mampu memberikan jawapan yang rasional namun masih bersikap redha sebaik menyedari kesilapan tersebut.

TANYALAH PADA YANG AHLI

“Saya tidak menafikan ada juga yang kekurangan dan kesilapan pimpinan yang ada sekarang. Namun bukanlah bersifat kesilapan aqidah,” saya memberikan pandangan.

“Namun dari dibiarkan yang tak faham, elok kita letak yang kurang bermasalah”

Perbualan saya sedikit panjang, setelah memberi sedikit penjelasan sebaik hujahnya tidak menunjukkan sebarang penentangan.

“Ginilah abang, saya tak salahkan abang. Cuma dalam jemaah kita nie orang macam-macam yea. Kena pandai cari oranglah nak bertanya, kalau bertanya kat yang kasar maka kasarlah jawapannya. Kalau yang abang cakap extreme maka extreme laa jawapannya. Carilah yang boleh jawab dengan hikmah, yang mempunyai asas-asas haraki. InsyaAllah abang akan dapat kepuasan di sebalik jawapannya,” saya memberi sedikit pesanan sebelum kami berpisah.

“InsyaAllah.. saya akan cuba berfikir semula mengenai PAS,” nadanya mula perlahan.

Saya mula mengejar kumpulan yang makin jauh terpisah.

“ maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,”
An-Nahl: 43




AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Tuesday, July 8, 2008

PROTES YANG DIPROTES

"Ana rasa kita dah tidak wajib wala' sekarang.." Saya mula berbisik kepada teman pemuda yang bersama-sama ditugaskan menjaga bahagian keselamatan VIP.

Beliau seakan setuju, rasa tidak senang dihati makin jelas kelihatan. Riak wajah seakan memendam rasa yang cukup lama untuk turut pulang.

"Nta tolong buka ana punya tag ni, ana nak serahkan kembali kat diorang. Kita balik sekarang!!.." pandangan asal mula berubah seakan sedikit arahan. Tanpa sedikit bantahan teman turut membuka tag 'SECURITY' yang awalnya diberikan untuk kami. Mengesahkan tanggungjawab kami untuk mengawal keselamatan VIP di pentas.

Rasa meluap-luap sudah tidak dapat dipendam, seawal tugasan dengan masalah mereka yang berlagak bagaikan petugas. Mencari pupulariti dengan menjadi pak pacak di atas pentas utama. Menambahkan beban kesukaran serta menyulitkan keadaan yang sedia wujud. Namun, itu adalah masalah yang masih boleh dimaafkan walau hati terus berat menjalankan tugas. Kerenah-kerenah mereka yang tidak memahami disiplin semasa bertugas...kami terus pendamkan. Itu hanya permasalahan yang masih boleh diperbetulkan.

Saya mengumpulkan tag petugas, berlari ke bahagian bawah stadium ..

"Ana minta maaf, sumbangan ana dan sahabat Wangsa Maju untuk program ini setakat ini sahaja," serius gayanya.

Exco negeri terpinga-pinga lantaran hal tersebut, beliau menyarankan saya untuk bertemu dengan Pimpinan yang menguruskan keselematan VIP.

Saya berlari ke atas pentas, cuba mendapatkan Saudara Herman untuk tujuan yang sama. Sebaik niat diluahkan, beliau turut menyatakan hasrat yang sama.

"Nta tunggu sekejap, memang kita nak tarik diri dari program ini.." balas Herman

Ketua Pemuda Wilayah- Saudara Kamaruzzaman kelihatan sibuk dengan Walkie Talkie di tangan, arahan menarik balik didengari dalam kejauhan. . Unit Amal seramai 700 orang di arahkan keluar padang dengan segera. Saya menyarungkan vest, Peserta di belakang pentas mulai perasan dengan tindakan kami menarik diri.

Gerombolan kami keluar mengejut menyebabkan petugas dari parti komponen lain berlari-lari memujuk.

"Kamu sudah tidak menepati janji," itu yang saya perasan kata-kata diberikan oleh Ketua Pemuda sebelum kami melangkah pulang. Teman-teman yang jauh bertugasditepi-tepi jalan dan yang masih dalam perjalanan untuk menukar giliran di arah segera pulang.

Sebelum pulang, sempat saya berbonceng dengan teman DPPWM meninjau di sekitar stadium Kelana Jaya andai masih ada teman yang tidak mendapat arahan.

"Ok.. ana tengok semua sudah keluar," teman berbisik di atas motor.


KITA ADALAH PELAKSANA BUKAN PERANCANG..

Semalam, saya membelek-belek akhbar membaca perkembangan terkini himpunan PROTES. Dalam Protes kami terhadap PROTES, jiwa-jiwa masih mengintai untuk melihat perkembangan. Adakah mereka mengambil pengajaran dari tindakan yang ditunjukkan kami. Nyata teguran kami pada peringkat awal tidak dipedulikan, ditambah dengan persembahan yang lebih 'kritikal' di sebelah petang. Natijahnya, rakyat mula menunjukkan PROTES sebenar. Makian beserta botol air mula dilempar, pemuda-pemuda yang berang bertindak memukul para artis jemputan. Kelam kabut mereka yang masih setia mengawal keadaan.

Saya termenung, memikirkan perkara-perkara sebelum dan seawal hari kejadian. Hakikatnya, Beberapa hari sebelum hari kejadian, teman-teman seperjuang agak berat untuk menjalankan tugas-tugas sempena PROTES sejuta rakyat. Mengambil keputusan untuk 'memprotes' PROTES ataupun hadir sebagai peserta program semata-mata. Gara-gara tempat yang beberapa kali berubah serta perancangan-perancangan yang dilihat kurang teratur. Malah gelombang sejuta yang diyakini belum wujud.. Ustaz-ustaz tidak agresif mempromosi sebagaimana BERSIH, poster dan iklan yang kerap berubah, liputan yang tidak menyeluruh dan sampai, masa yang singkat untuk mengumpul sasaran yang cukup besar. Semua mula membandingkan AURA PROTES dengan AURA BERSIH.

Sekadar pandangan saya pada awalnya;

"Kita adalah perlaksana, bukan perancang. Kita serahkan kerja merancang kepada mereka yang layak. Kita yang buat kerja nie.. terima arahan dan ikut. Bukan kerja kita untuk mengkritik benda-benda ini semua. Mungkin ini strategi.. wallahu a'alam. Kalau pergi, pakai kudrat juga. Pakai minyak juga. Kita makan juga. Tenaga habis.. duit habis juga untuk minyak dan makan. Cuma bezanya kita bertugas dan jadi peserta. Orang yang bertugas ini insyaAllah lagi banyak pahalanya. Dan kita wala' selagi takde program yang bercanggah dengan dasar pegangan kita. Kalau bercanggah tuh layak masa tuh untuk kita bebaskan diri kita dari terus wala'.."

Teman bersetuju dalam keberatan. Hakikatnya semua keberatan termasuk saya.. namun terpaksa mengorbankan kehendak hati atas kepentingan yang lebih utama.

Petang sebelum program, kami sempat bermesyuarat perihal keselamatan VIP di pentas, sebahagian dari pemuda WM lain meneruskan amanah unit amal ditugaskan untuk persediaan keselamatan.

Ketua Pemuda telah menyatakan bantahan terhadap dua kumpulan underground Kuchalana dan Carburetor Dung, katanya pihak penganjur bersetuju untuk menukar kepada persembahan 'boleh diterima' oleh semua peserta. Kami lega..

Teman tetap bertanya, "Bagaimana andai hal tersebut berlaku?"

"Kita akan membantah. Sekiranya tidak dilayan, kita akan tarik diri," jawapan yang diberi sedikit sebanyak melegakan kami.

Program-program lain telah saya batalkan awal semata-mata untuk memberikan komitmen kepada himpunan ini, menyiapkan mental kami kerap dikhabarkan jumlah sasaran yang berpuluh kali ganda dari BERSIH... dengan program yang lebih padat. Teman-teman pemuda terpaksa menangguhkan kerja-kerja di peringkat kawasan walaupun kepentingan dan tuntutan masa yang cukup mendesak. Semata-mata memberi komitmen dan tenaga kepada PROTES.

Seawal pagi pada hari kejadian, saya dan teman-teman mula berasa sangsi melihatkan pentas yang sarat dengan drum dan guitar. Dari cara pemeriksaan dan persiapan terhadap alatan tersebut dan sistem audio membangkitkan kembali persoalan yang cukup dirisaukan kami. Namun tugasan diteruskan dalam perasaan yang mula berbelah bagi.

Seorang demi seorang teman yang kejauhan mula menunjukkan kekesalan atas sambutan yang cukup dingin. Kami berusaha memujuk, teman-teman yang berkawal keselamatan terpaksa memberi reaksi positif kepada peserta yang mula hampir. Teman-teman diluar letih dengan kepanasan terik mentari, kami di dalam resah dan geram dalam tindakan individu tertentu yang masih tidak memahami protokol.

Semua telah berlalu. Ambil iktibar dan pengajaran.


Hari ini teman-teman masih berbalas mesej melihat perkembangan terkini.

Secara peribadi saya agak terkejut bila Hismauddin Rais menyatakan kesalnya terhadap kumpulan ini setelah tindakan mereka diluar jangkaannya. Pada harapannya, mereka dapat menyelami kesusahan rakyat dan mengunakan platform dan kaedah tersebut bagi menyuntik kesedaran.

Saya tidak berniat untuk terus memandang serong, 'tidak salah' mereka dengan kelakuan mereka kerana memang begitulah naluri dalam persembahan mereka. Namun salah yang menjemput atas kegagalan meletakkan mereka pada post atau sekurang-kurangnya diberi penjelasan.

Saya bukan hendak menilai benar atau tidak kumpulan ini. Itu satu skop yang boleh diletakkan juzu' lain. Saya hanya menonton klip tayangan aksi yang dikatakan melampau tidak secara live setelah kami pulang. Pada saya, bagaimana kesannya underground tersebut hingga gagal untuk menyerap nilai hikmah dalam mengenalpasti para penonton dihadapan mereka. Bagi mereka, makcik berpurdah.. pakcik berkopiah adalah sama dengan minah dan mat rempit serta mereka yang sama 'fikrah' dengan mereka (bukan niat merendahkan golongan ini). Namun, andai kita mengenali mereka dengan sifat sebegini, dengan hati dan roh mereka yang sebegitu. Dengan gaya dan jiwa yang masih gersang mencari hidayah. Kenapa harus direndahkan martabat peserta yang 'lebih basah' roh kesedarannya.. untuk 'menyerap kesedaran' dari persembahan tersebut. Ini bukan mendidik... menjahanamkan namanya.

Alhamdulillah, tindakan yang jelas dan disepakati dapat diambil oleh semua petugas. Namun, kepentingan peringkat atasan dalam membuat keputusan terbaik adalah penting. Jangan dipalit kepercayaan yang sedia diberikan rakyat. Keputusan menarik diri mungkin disedari hanya peringkat kempimpinan dan petugas.. bagaimana dengan rakyat yang masih terkontang-kanting di dalam stadium, yang hanya melenting bila melihat persembahan yang sudah melampaui batas pada fikiran mereka. Rakyat meletakkan kepercayaan kepada pimpinan, pimpinan mencari pendekatan dakwah terbaik yang diseimbangkan dengan perancagan siasah. Rakyat meletakkan kepercayaan kepimpinan dalam berijtihad hal-hal sebegini, persetujuan komponen PAS dalam program-program yang berbentuk 'syubhah' pada pandangan rakyat asalnya adalah suatu yang menghilangkan perasaan tersebut sebaik dipersetujui. Oleh hal demikian, menentukan arah tuju program yang jelas lebih penting kerana kesan yang turut melibatkan penyokong. Tindakan memprotes semasa berlangsung mungkin disedari oleh pemimpin, namun penyokong masih belum jelas mengenai hal sedemikian. Program diteruskan dalam penyokong tidak menyedari hakikat 'protes' kita terhadap beberapa perkara yang timbul, sedikit sebanyak menjejaskan imej PAS yang mungkin disangka penyokong bagai merestui hal-hal yang berlaku.


[AbeJoesCorner-saizol@yahoo.com]

"Read More..."

Saturday, February 2, 2008

DPPWM Menggegar Lagi..

By : Abe Joe

Beberapa hari ini, detik yang agak manis buat pemuda-pemuda Wangsa Maju. Sebaik menerima makluman dari Saudara Yuamri mengenai berita penangkapan beberapa teman dari Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju. Makluman yang memberi signal awal serta bakal mengubah perancangan dan tentatif kami semua di DPPWM pada hari tersebut.

Tidak semua sahabat dapat menghadiri perhimpunan aman anjuran PROTES di perkarangan KLCC itu. Perhimpunan pada 26 Januari tersebut dalam usaha memprotes kenaikan minyak yang bakal timbul. Namun berita yang tersebar menyebabkan teman yang masih bekerja mula tidak senang duduk, teman yang berprogram mula mengintai-intai peluang untuk segera pulang.

Dato' KP dihubungi, namun beliau masih pening membuat keputusan. Apa tindakan yang harus dilakukan. Memberi sokongan... mencari jalan... yang penting rakan-rakan harus dibebaskan. Keputusan segera diambil. Pemuda-pemuda diarahkan untuk berkumpul jam 8.30 malam di markaz utama kami. Sebaik solat isya', kami segera bertolak ke lokasi sementara - IPK Hang Tuah. Melengkapkan kontijen kami yang telah bersedia memberi semangat sejak siang tadi.

Senyap.. Tiada sebarang provokasi dan laungan untuk membebaskan teman-teman didengari. Hanya kelihatan mereka yang melukut berpaut pada pagar IPK serta sekumpulan insan yang enak bersandar di sisi kereta. Kami berkumpul, sebaik sedikit penjelasan oleh penerangan DPPWM. Kami bertekad untuk bersuara. Laungan membebaskan sahabat mula menarik perhatian orang ramai. Perlahan-lahan umat manusia tadi mula mendekati kelompok kami. Namun yang lebih menggembirakan kami, teman-teman dari dalam mula melambai-lambai setelah mendengar suara kami. Mereka di dalam gembira terkurung, jiwa kami diluar risau merundum. Risaukan keluarga terhadap teman-teman yang masih baru berjuang. Sokongan harus diteruskan, Che Det- Ketua Penerangan memberi arahan agar mesej-mesej sokongan terus dihantar sementara bateri teman-teman masih berbaki. Sahabat mula mengarang ayat-ayat semangat, kalimah-kalimah jihad mula berputar di kepala masing-masing. Rancak kami berbalas mesej, pagar IPK yang tidak sekukuh mana bukan penghalang buat kami. Letih berSMS, kami berborak telefon... Nada suara teman-teman membuktikan semangat mereka yang kian membara.

Teman-teman dari DPPWM memberi sokongan di luar pagar IPPKL.

Larut malam bertukar pagi. Melihatkan keputusan yang muktamad buat hari pertama penahanan mereka. Hanya 10 tahanan yang setuju dilepaskan walau baki yang masih bertahan masih tiada ketetapan tuduhan. Bukan setakat kami yang bersengkang mata, namun bangunan bertingkat menyimpan rahsia beratus polis masih memerah otak jahat mereka bermesyuarat... berbincang.. mengharapkan elaun dari gaji-gaji buta untuk meneruskan permainan helah, memastikan sang benar dilihat bak pesalah.

Melihatkan pembakar semangat di luar yang masih belum berganjak, polis membuat keputusan menghubungi sekutu utama yang turut meletakkan ilah utama mereka adalah gaji-gaji bagi mengisi perut-perut nafsu....-FRU. Lagak bekerja bagai kerajaanlah yang memberi rezeki, Ilah yang mula tersasar dari ketetapan syahadah. Kedatangan mereka memang menolak tuah. Lain cuba disergah... lain yang parah lantaran kereta yang terbabas sebaik terkejut melihat trak-trak FRU yang diparking diselekoh pinggir jalan. Tiada pula trafik menyaman mereka yang tidak belajar undang-undang meletakkan kenderaan di kawasan yang membahayakan pengguna jalanraya lain yang turut membayar cukai jalan.

Kami terus pulang sebaik merasakan tiada sebarang perubahan dari keputusan yang telah dikeluarkan. Pulang kami hanya membezakan hamparan tidur, makan ..minum dan mandi kami... sedang jiwa masih basah bersama teman-teman tahanan. Program seterusnya yang dirancang awal terpaksa dibatalkan penyertaan lantaran diri yang dirasakan agak mustahil untuk diteruskan komitmen. Mohon maaf kepada Pemuda Negeri - Jauh di sudut hati tidak berniat untuk mengingkari, namun dalam keadaan sebegini.. teman-teman memerlukan kami.

Hari ke-2, Menyaksikan ulangan desakan yang sama- BEBASKAN RAKAN KAMI. Kali ini, perayu makin ramai dan dari bangsa pelbagai. DPPWM masih dengan kekuatan kontijen yang sama, menyertai kelompok yang sedia menggegar. Melaungkan pembebasan teman dari luar pagar penjara pudu yang masih utuh lantaran dibina disaat rasuah projek masih belum menular. Penyamar tidak berseragam menjelaskan lagi sifat munafiq serta memberanikan diri berkumpul di depan pagar, wajah-wajah tiada nur dirakam satu persatu menjadi umpatan. Walau banyak mata terpesir memerhati dalam keradangan.. hati mereka tetap keras sambil meminum air-air kotak yang diagihkan yang menjadi santapan mewah mereka. Mungkin mereka terus berani melakukan kerja sebegini lantaran merasakan dosa-dosa mereka bakal dikalahlah oleh pahala yang dipindahkan dari umpatan kami. Pagar penjara yang dibuka beberapa saat bagi membolehkan kenderaan keluar masuk diambil kesempatan untuk menjenguk teman-teman di dalam. Alhamdulillah.. tangan gagah teman melegakan hati kami. Lewat petang menjelang, namun tekak teman di dalam masih belum disapa santapan. Kutipan derma dilancar buat membeli barang sedikit sebanyak nasi buat mereka. Sahabat mengambil kesempatan menjadi sukarelawan semata-mata untuk bertemu mata dan melihat keadaan teman-teman.


Penjara Pudu yang dijadikan pusat tahanan para pejuang.



Pembebasan mereka masih ditangguh walau tiada sebarang alasan dan tuduhan konkrit diputuskan. Hanya beberapa keputusan kecil yang dibuat, namun masih belum mencapai tahap yang diharapkan oleh kami semua. Proses terus dilewat-lewatkan sebagai tindakan menghalau kami diluar dari agar tidak terus memberikan sokongan. Menjelang maghrib, kami terpaksa meninggalkan teman-teman sebaik dimaklumkan pendakwaan akan dilakukan pada keesokan. Alhamdulillah.. 10 lagi tahanan dibebaskan disaat kami lena dibuai mimpi.

Hari ke-3 menyaksikan sokongan yang tidak berkurang, malah che Det dan Marzuki tetap setia mengiringi kenderaan yang membawa 'pesalah' untuk dibicarakan. Pendakwaan yang lewat berlangsung sememangnya memberi keputusan yang dijangka. Pembebasan dengan ikatjamin sebanyak RM 1,000.00 seorang. Walau keputusan sedia termaktub, namun menunggu saat-saat pembebasan suatu yang lama bagi kami. Pemuda makin bertambah, rasa rindu kian memuncak untuk memeluk teman-teman sebaik dibebaskan. Jam 7 petang, satu persatu dibebaskan... teman kami antara mereka yang akhir. Laungan takbir menyambut teman-teman, sebak mula dirasai sebaik susuk tubuh kami mula bertemu. Walau perkara yang sama bisa dilakukan setiap minggu dalam usrah kami, namun kami tidak sanggup merasai pelukan yang telah basi serta menunggu keesokan hari. Ingin merasai peluh-peluh perjuangan teman yang masih belum pudar... buat azimat kami diteruskan semangat perjuangan yang berkobar-kobar.


p/s: Aku menulis bukannya laporan, sekadar coretan buat teman-teman dalam menilai ukhwah dan ikatan persaudaraan. Dalam usaha menterjemah istilah Takaful kami... - Abe Joe

"Read More..."

Saturday, January 26, 2008

Asam Garam Usrahku..


"Ok, kita masuk ke slot isu semasa" Pengendali usrah pemuda mengumumkan sesi terakhir usrah.

Sememangnya pada malam tu, sebagaimana biasa pemuda akan berkumpul memulakan usrah apabila jarum panjang berselisih selepas melewati angka 9.

"Ana ada pertanyaan", pemuda terdiam dan memberi laluan kepada pertanyaan yang memang disangka-sangka.

"Soalan ana.. Kenapa semasa program futsal itu hari, pihak penganjur membenarkan peserta yang bermain tapi tidak memakai seluar panjang menutup aurat? Bukankah penganjur mempunyai kuasa?" Kena penangan buku lima kat pemuda.

Keras, pedas, panas juga gaya tanya dan soalannya.

Sememangnya soalan-soalan sebegini sedia maklum oleh mana-mana penganjur bila yang organise program itu adalah jemaah Islam.

Dengan cool sahabat pemuda yang merangkap pengarah program mula menjawab.

"Nta kena faham, itu uslub dakwah. Tak boleh kita nak paksa sedangkan matlamat kita lagi besar bukan sekadar tutup aurat tuh sahaja". Jawapan ringkas dan padat cuba diberi agar masing-masing faham.

Sekurang-kurangnya pemuda mendapat istilah baru malam tuh, pendekatan tarbiyyah dan dakwah yang lebih hikmah mula nampak praktikalnya.

Ada yang faham, dan mungkin ramai yang dah faham.

"Masalahnya, kuasa di tangan siapa?" Soalan yang ada logiknya dibangkitkan.

"Memang kita ada kuasa, tapi nta kena faham apa itu uslub dakwah. Apa aulawiyyatnya??" Dijawab lagi dengan istilah yang baru. Bagus juga pemuda-pemuda ini. Ada juga hujjah-hujjah ilmiah bila menjawab soalan kontemporari sebegini.

"Nta ada kuasa, sepatutnya kena paksa orang tutup aurat tuh" Soalan diulang bagaikan memohon penjelasan yang lebih.

"Takde, ginilaa.. kita tengok nisa' games. Kan ada peserta yang nisa' wilayah hantar tuh free hair, tapi tuhlaa uslub dakwah untuk dekati golongan mereka. Kalau tak, kita dok syok buat program kita sendiri laa", sampuk sahabat ditepi saudara pengarah setelah penjelasan yang diberi masih belum difahami.


Sememangnya semasa program nisa' games baru-baru ini, isu yang sama turut timbul.

"Itu lain.." Balas pendek setelah nampak dah mati akal. "Kalau ana, ana dah paksa suruh diorang tutup aurat tuh", mula bertegas nyatakan pendirian.

"Ana pong gitu jugak dulu, masa penganjuran program futsal kat ampang sport planet ana tak puas hati, loni selepas faham ana boleh terima" Jawab abg mithali yang antara upline terhebat di DPPWM.

Sahabat lain tersenyum, aku pon diam mendiamkan diri melihat gelagat menyelidik kepintaran sahabat-sahabat DPPWM nie berhujah bila melihat perbahasan yang makin rancak. Masing-masing dah faham lumrah kat DPPWM nie.

"Mai sini aku jawab".. abg taliban juga dah tahap maksimum kesabaran untuk bagi kesedaran.

"Kamu diam, kamu tak datang main", Aduss.. keluar pulak ayat bukan hujah yang boleh mematikan hujah.

Penangan yang cukup hebat sehinggakan abg taliban terpaksa mengadap muka ke dinding markaz.

"Ok, nta tahu arak tuh haram?.. Kenapa Allah tak haramkan terus dan dilaksanakan berperingkat-peringkat. Saidina Umar sendiri menangis semasa memecahkan tong-tong arak semasa pengharaman"..mantap betul ilmu tuan pengarah setelah kias lain tidak difahami.

"Kami ada buat yang lebih aula dari tuh, solat jemaah kat atas court. Sampai budak-budak yang seluar pendek tuh pong pakat solat sama-sama.. Nta pulak, kenapa tak solat skali.. bukankah nta ada kuasa?" Buah keras keluar balik.

"Ana solat juga" jawab ringkas,

"Tapi bukankah nta ada kuasa".. ditanya balik sebagaimana ditanya sebelum ini. Memang tips yang baik dalam berdebat adalah guna pendekatan yang digunakan oleh orang itu sendiri.

"Ginilaah.. nanti next program nta jadi pengarah. Kami sanggup jadi pembantu nta try buat macam tuh tengok brapa ramai yang turun?"Pedas benar ayat tuh.

"Takdaa.. ana tak akan dipilih jadi pengarah" Jawabnya balik.

"Laaaaaaa".. masing-masing tergelak.


Begitulah asam garam usrah DPPWM, tapi biasalah tuh bukan apa. Sekadar eratkan ukhwah dan disamping tambah ilmu sikit-sikit. At least sapa-sapa yang jadi pengarah tuh nanti.
Hafal-hafal laa script kat atas tuh nanti.

"Read More..."

Pemuda DPPWM Menggegar

Alhamdulillah.. pemuda berjaya memecah tradisi dengan program sulung pada tahun masihi ini dengan menjayakan XPDC Kasih yang dicanangkan secara ad-hoc dalam menghayati tafsir surah Nuh dalam usrah yang lepas.
Program pada malam 5 Jan 2008 dihadiri lebih kurang 9 orang pemuda yang lengkap berpakaian 'syiar Islam' menyerlahkan dan menjayakan lagi matlamat pada malam tersebut.
3 bijik kereta telah diwakafkan pada malam itu untuk mengangkut para pegawai Nahi Mungkar yang diketuai oleh Timb Ketua Pemuda Ust Redhauddin Hj Salleh sendiri serta diiringi oleh otai-otai berserban menyerlahkan lagi gaya kami. Perjalanan diiringi dengan hujan renyai-renyai ke lokasi pertama kami ditaman Taman Tasik Sri Gombak. Kesan cukup ketara apabila beberapa bijik kereta yang diparking ditepi tasik (tunggu hujan berenti laa tuh) mula 'meminta izin' untuk meninggalkan kawasan tersebut.
Alhamdulillah, hujan berhenti sebentar bagi memberi laluan kepada otai-otai menjalankan rondaan di sekitar tasik dan menaiki tangga (tinggi bangat) yang membenihkan peluh-peluh sulung kami pada malam tersebut.
Hampa (sama juga ganjaran ada orang atau tak ) kerana kehadiran yang tidak memberangsangkan, pemuda meneruskan lagi musafir dakwah ke Eye on Malaysia-Tasik Titiwangsa. Sememangnya kehadiran kami disambut dengan asap-asap kereta yang mula bergerak setelah melihat 3 biji kereta yang membawa gerombolan pemuda berserban dan berkopiah. Menjejak kaki ke tanah, hanya kelihatan sebiji kereta yang setia menanti, rupanya laki sama laki daa, patutlaa tak gerak.
Operasi diteruskan dengan peninjauan sekitar tasik titiwangsa, jelas kelihatan anak-anak muda yang mula berlari-lari dalam kegelapan setelah melihat kehadiran kami dari jauh. Ibaratnya macam ulat-ulat menyorok dalam sayur bila terkena air cuka (betul kaa ibarat tuh?) , laluan kami cukup lancar apabila syiar yang memancar dengan sendirinya menghalau mereka yang masih bercanda. Habis separuh tasik dipusing, kami meneruskan operasi menuju kereta-kereta menyempitkan laluan yang masih belum menyedari kehadiran kami. Alhamdulillah, satu persatu enjin kereta mula hidup dan beredar sebaik kami berada dalam 5-10 meter dari mereka. Clear jalan... mungkin orang ramai pong pelik kenapa takdak sebijik pong kereta menyempitkan laluan pada malam tuh.
Hari dah makin larut.. mata dah mula mengantuk. Pemuda mengambil keputusan untuk pulang dengan kepuasan setelah sedikit sebanyak dapat melaksanakan sedikit amanah dan usaha dengan upaya yang ada.
Namun keberkesanan cukup jelas walau untuk menghalau mereka pada malam tersebut sahaja. Namun adalah lebih berkesan seandainya program seumpama ini dapat menghimpunkan lebih ramai lagi otai-otai yang insyaAllah menjangkau segenap kawasan yang menjadi tumpuan mereka.

"Read More..."