Showing posts with label Koleksi Ucapan. Show all posts
Showing posts with label Koleksi Ucapan. Show all posts

Tuesday, February 1, 2011

Surat pelajar kepada Najib: Pelan pemusnahan generasi masa depan?

Lama saya tidak mengjenguk blog sendiri. Sesekali menjenguk untuk menyapu habuk-habuk yang melekat.

Terbaca surat yang sudah lama heboh, cuma baru hari ini terbaca.
Pengirimnya adalah anak usrah saya sendiri.
Bagus dan berprinsip orangnya.
Saya memandang tinggi tulisan ini, dan meletakkan dalam koleksi ucapan-ucapan pilihan walau dizahirkan dalam tulisan.

Moga semangat jihadnya terus membara. Sama-sama kita menghayati:


Assalamualaikum Dato’ Seri.



Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin dalam ruang demokrasi tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato’ Seri.



Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata).



Saya juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. Saya sering ‘singgah’ di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya.



Tidaklah pula saya katakan yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari hanyalah makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.



Izinkan saya Dato’ Seri untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang InsyaALLAH kelak, kamilah yang akan membuang undi!



Dato’ Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.



DASAR



Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini percaya bahawa setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?



Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?



Maaf Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.



Saya amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.



Saban hari saya dan rakan-rakan menerima berita dari segenap pelusuk negara, sama ada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan! HILANG Dato’ Seri, HILANG!



Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!?



PELAN TRANSFORMASI EKONOMI



Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri turut menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.



Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.



Maka menjelang 2014 negara kita akan memiliki sekurang-kurangnya 10 kelab malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.



Dato’ Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana seorang penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.



Izinkan saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan ketika Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?



Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar bahawa perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.



Iya, Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para cerdik pandai generasi akan datang dengan lambakan hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, iaitu hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini?



IFF dan AURAT



Dato’ Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar bertitah demikian kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.



Dato’ Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya waktu melihat Dato’ Seri dan isteri melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam) yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?



Saya dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?



JUDI



Bukan sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak apakah harapan Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?



Apakah ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?



Apakah Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka dengan wang hasil judi yang mereka perolehi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri sebenarnya?



Apakah keputusan-keputusan ini ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?



KEMISKINAN dan HARGA NAIK



Dato’ Seri orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali jika tidak jadi Perdana Menteri Malaysia pun Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga kaya raya.



Maka tidak kiralah jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau RM 10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak perlu berjerih payah.



Tahukah Dato’ Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai penilainya adalah pengurusan yang menghancur!



Dato’ Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’ Seri, untuk menyekolahkan anak pun sudah membuatkan mereka terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu).



Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah hutang yuran persekolahan pun masih belum dilunas. Bukan sedikit keringat yang dicurah demi sesuap rezeki halal untuk anak-anak dan keluarga.



Kerajaan Dato’ Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat yang terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya.



Rakyat benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi. Janji itu dan ini sekadar untuk meraih undi. Waktu menang nanti kami rakyat sudah dilupai. Tinggal kami bermatian berusaha keras sendiri.



SUARA RAKYAT



Waktu rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami ‘perusuh-perusuh’ yang membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin, Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.



Dan menteri-menteri Dato’ Seri tanpa rasa bersalah menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh melulu itu bisa memahami pedihnya hati ini.



Semuanya adalah kerana kami rakyat yang mahu berkongsi rasa dengan pimpinan negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan berkongsi betapa peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.



Pernahkah Dato’ Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato’ Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?



Dato’ Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan rakyat. Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media di bawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’ yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara adalah bercanggah pada sisi agama.



Dato’ Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah perhimpunan anjuran Dato’ Seri pada setiap malam menunggu detik Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi penyebab anak-anak muda ditangkap khalwat?



Dan pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur Dato’ Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat yang bersuara sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?



REFORMASI



Saya dan juga rakan-rakan adalah remaja muda yang punya sikap, punya pendirian. Kami berazam untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami berazam dan bertekad bahawa seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki keadaan punah ini.



Kaedah merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.



Jika sampai masanya untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih, percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa yang layak menerima undi kami nanti.



Tidak cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti agar pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan beroleh tempat tertinggi di negara ini.



Dato’ Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min itu bersaudara?



Dato’ Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada lenggok bahasanya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja seperti saya.



Namun Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!



Sekian, terima kasih.



Yang benar,

Muhammad Muizzuddin Bin Zaini

"Read More..."

Saturday, January 26, 2008

Ucapan Sulung T.G. Nik Abdul Aziz setelah dilantik MB

Hari ini merupakan hari yang pertama ambo bertemu dengan adik kakak di Dewan Zulkifli sebagai seorang menteri besar di sebuah negeri yang diberi nama Kelantan Darul Naim atau nama jolokannya Serambi Makkah. Ambo hendak sebut sepatah dua di sini, walaupun benda yang sama telah ambo sebut di Masjid Pulau Melaka malam kelmarin. Pertamanya, ambo ucap ribuan syukur kepada Allah S.W.T. di alas kuasa-Nya yang tidak boleh ditolak oleh sesiapapun, dalam memenangkan perjuangan Islam yang dipimpin oleh Parti Islam se-Malaysia atau disebut PAS.

Keduanya, syukur juga bahawa menteri besar negeri ini sudah mula berubah, daripada orang yang tidak disebut tok guru, kepada orang yang disebut-sebut tok guru. Siapa dia tok guru tidak menjadi masalah, yang pentingnya satu perubahan pemikiran sudah berlaku. Selama ini - hingga sudah terlekat di kepala kita - bila disebut tok guru ialah orang yang mengepalai ratib, orang yang membaca doa sahaja. Usahkan hendak sebut tok guru sebagai menteri besar, hendak sebut tok guru sebagai tok penghulu pun berasa tidak begitu kena, berasa tidak serasi, berasa tidak boleh duduk setempat. Lagi tidak sedap kalau tok guru disebut sebagai tok penggawa ke, sebagai DO. ke. Alhamdulillah mulai daripada sekarang kesilapan kita dalam memahami penyelewengan yang berlaku mengenai perkara tersebut, dapat dihapuskan sedikit demi sedikit. Kita berdoa supaya pemikiran yang betul ini dapat diteruskan dan ditolong oleh Allah seterusnya untuk masa-masa akan datang.

Ketiganya, semua bangsa di muka dunia yang beragama hatta agama ciptaan bumi sekalipun, bila dia berdepan dengan orang yang dikira pandai dalam agama, dia beri satu perkataan khas. Cara dia berbahasa pun ada cara tertentu, sebagai curahan isi hati memberi hormat. Oleh yang demikian kepada kawan-kawan ambo - jenis tok-tok guru, jenis tok-tok lebai, jenis ustaz-ustaz yang belum lagi menjadi menteri besar, tolong teruskan character ataupun watak demo sebagai tok guru supaya orang kampung boleh berasa kalau hendak tengok akhlak Nabi Muhammad, tengok dia inilah. Kalau hendak dengar ajaran Nabi Muhammad, dengar ajaran dia inilah. Hendak tengok peel perangai Nabi Muhammad, tengok peel perangai demo inilah.

Ini satu hal yang cukup payah, yang cukup penat bagi seseorang tok guru untuk menjaga statusnya sebagai seorang pewaris anbiya. Pertamanya, sangat sedikit ilmu kita mengenai diri Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Dalil sedikitnya, pengajian kita selama ini tidak banyak ditumpukan untuk mengenali syakhsiah identiti Nabi s.a.w .. Apa yang kita kenal mengenai Nabi sedikit sebanyaknya diperolehi dari kitab-kitab fikah, sedangkan kitab-kitab fikah ini hanya menumpu kepada bahagian-bahagian ibadat sahaja. Itu kaedah ilmu, kerana tiap-tiap ilmu ada keistimewaan masing-masing, fikah ada keistimewaan cara dia, tauhid ada keistimewaan cara dia, dan sejarah ada keistimewaan cara dia. Pada umumnya di tempat kita ini, pengajian fikah sungguh tinggi dan seiring dengan itu kita mengaji ilmu nahu dan ilmu soraf. Alasannya, kedua-dua ilmu ini boleh membantu kita memahami sungguh-sungguh ilmu Hadis dan Quran. Tetapi dukacitanya, bila sepuluh tahun dihabiskan untuk mengaji ilmu-ilmu alat, zaman pemikiran subur untuk menerima ilmu pun habis. Tamatlah pengajian kita dan masing-masing balik - ke kampung, berumahtangga - tidak sempat sampai ke peringkat mempelajari ilmu Quran dan Hadis.

Oleh yang demikian pengenalan kita terhadap syakhsiah Nabi Muhammad tidak berapa jelas; dari segi tutur katanya, dari segi tingkah lakunya, dari segi pentadbirannya, dari segi senyum simpulnya, marah sukanya, perang damainya. Jadi bila ilmu-ilmu begitu tidak banyak kita ketahui, maka payahlah kita hendak meniru Nabi. Ini dicampur dengan suasana yang ada di sekitar kita, payah benar bagi kita hendak mengikuti contoh Nabi Muhammad s.a.w .. Yang mudah bagi kitanya ialah menurut benda-benda yang orang Eropah bawa - melalui suratkhabar, melalui majalah. melalui radio, melalui tv kerana benda-benda inilah yang terdedah di depan kita setiap hari. Apabila kita baca suratkhabar di dalamnya ada gambar-gambar tertentu. ada makalah-makalah tertentu. Bila kita buka tv dalam siarannya ada gambar-gambar tertentu. ada lakonan-lakonan tertentu. Begitu juga apabila kita membaca majalah-majalah dunia. Boleh dikatakan media massa sedunia ini selaras belaka dalam membawa manusia hanyut semakin jauh hubungan dengan Nabi Muhammad S.A.W.. Ini fakta penting.

Oleh yang demikian, sekiranya kita sebagai pejuang Islam sungguh-sungguh ikhlas untuk berpatah balik semula kepada pengkalan Nabi Muhammad s.a.w., maka tidak ada cara lain selain daripada mengaji semula ilmu-ilmu yang boleh membawa kita mengenali syakhsiah baginda. Bagi memudahkan kita mengenali syakhsiah Nabi. kita boleh baca sejarah hidupnya. yang sekarang ini dikenali dengan perkataan sirah. Bukan setakat sirah Nabi sahaja. bahkan sejarah anak-anak murid Nabi - pelajar-pelajar yang berlaga lutut duduk dengan Nabi - yang kita panggil sahabat-sahabat Nabi. Sebab itulah apabila kita selawat kepada Nabi, kita tidak selawat kepada Nabi seorang tetapi kita kait tiga sekali gus: Hei Tuhan! Aku minta pada Kamu selawat kepada Nabi Muhammad, dan keluarga Nabi Muhammad dan juga sahabat-sahabat Nabi. Apabila kita menghargai usaha dan perjuangan Nabi s.a.w., kita juga mesti menghargai usaha yang dilakukan oleh keluarga Rasulullah s.a.w. - yang di sini dipanggil tok sayed - dan juga usaha yang dibuat oleh sahabat-sahabat Nabi, yang kebetulan orang Melayu pun panggil sahabat. Tidak boleh lari dari tiga unsur ini kerana perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. ini sambung-menyambung seperti mata rantai. Kalau tidak ada mata rantai perjuangan begini, perjuangan Nabi akan putus dan sudah tentu tidak akan sampai kepada kita hari ini.

Kalau di Kelantan negeri yang dikira sebagai lubuk ilmu, pun kurang mengaji ilmu-ilmu begini, maka di negeri-negeri lain sudah tentu lagi kurang. Lebih-Iebih lagi mengikut sejarahnya negeri-negeri lain di Tanah Melayu zaman hari itu, menumpang tuah ilmu Islam daripada Kelantan. Kelantan sendiri menumpang tuah daripada tok-tok guru di Patani. seperti Tok Sheikh Daud dan sebagainya .. Jadi satu hal yang perlu kita kena fikir sekarang ialah bagaimana cara hendak memperluaskan ke kampung-kampung pengajian ilmu sirah Nabi Muhammad, sejarah ahli-ahli keluarga dan sejarah sahabat-sahabat baginda. Kepada ustaz-ustaz dan cikgu-cikgu yang Allah taala beri kepada mereka semangat agama dan mempunyai lidah untuk bercakap agama, tolong tanam semangat supaya masyarakat di kampung jangan hanya berasa padan setakat mengaji fikah dan mengaji tauhid sahaja. Jangan sampai dia tidak herasa apa-apa kalau tidak mengaji sirah. Ini tidak betul!! Tauhid ada tumpuannya, fikah ada tumpuannya dan sirah juga ada tumpuannya.

Seterusnya, ambo hendak sebut bila kita memegang jawatan, tentulah ada gaji, ada upah.Sistem upah berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi kerana kita dibolehkan mengambil upah dari tiap-tiap kerja yang halal. Banyak mana upahnya? Alhamdulillah Islam tidak menetapkan, terletaklah di atas budi bicara masing-masing. Imam Syafie di dalam syairnya memberi panduan kepada masyarakat mengenai gaji untuk tok-tok guru yang mengajar. Dia berkata: Sesungguhnya berhak diberi upah 1000 dirham bagi sepatah ajaran. Tok guru ajar alif kena beri upah 1000 rial, ba kena beri upah 1000 rial. Jadi Imam Syafie meminta masyarakat memberi gaji kepada guru ini - sama ada kita hendak panggil tok guru ke, cikgu ke. ustaz ke. asalkan dia mengajar ilmu yang memberi guna dunia akhirat - tiap-tiap sepatah perkataan 1000 dirham. Oleh yang demikian, ambo tentulah ada gaji sebagai menteri besar, ambo sendiri tidak bertanya khabar pun berapa banyak gaji ambo. Cuma ambo hendak beritahu dua perkara. pertamanya, adab semua wakil rakyat Pas di Kelantan dan juga di luar negeri, kita memotong 20% daripada elaun yang diberi. Dengan erti dalam serial kita potong 20 sen. Jadi kalau elaun wakil rakyat 2,000, maka dia kena potong 400 kepada parti. Biarlah ambo sendirinya potong 40%. Jadi dalam 1000 rial ambo hendak potong 400, tinggal 600 rial. Keduanya, ambo hendak masukkan balik 5% ke dalam khazanah negeri untuk pembangunan. Ambo beri 5% sebagai satu simbolik, mudah-mudahan menteri besar Pas selepas ambo boleh potong banyak lagi. Kalau ambo potong banyak mungkin yang akan datang tidak boleh hendak tambah, sedangkan kita hendak kepada peningkatan. Ertinya kalau hendak buat jalan raya pitis ambo terlibal, hendak buat sekolah pitis ambo terlibat, hendak buat apa pun di dalam Kelantan ini, insya-Allah pitis ambo terlibat. Dengan cara ini orang Melayu boleh rasa, orang Cina boleh rasa, orang Umno boleh rasa, orang Pas pun boleh rasa. Di akhirat kelak insya-Allah banyaklah saksi yang akan menolong ambo: Hei Tuhan! Aku terima manfaat daripada orang sekian bin sekian.

Ini semua hendak beritahu kepada masyarakat yang sibuk sangat menyangka bahawa Islam ini ganas, Islam ini pecah belah, Islam ini karut, Islam ini huru-hara, bahawa Islam sebenarnya tidak begitu. Dalilnya., ketua kerajaan negeri Kelantan daripada parti Pas beri pitis dia untuk dimasukkan ke dalam khazanah negeri, untuk dirasai oleh semua rakyat; tanpa kira Pas tidak Pas, Umno tidak Umno, Siam, Boyan, China., Jepun, Dayak, atau orang Asli di dalam hutan. Ertinya semua penyokong Pas tidak boleh tidak, kena berderma juga. Maknanya tidaklah kata bila Kelantan dikuasai oleh Pas, derma tidak diperlukan lagi. Derma ini kita ken a beri terus-menerus, kerana ambo tidak suka tengok kita berpilihan raya menggunakan duit yang tidak halal, belanja dengan duit rasuah. Ambo tidak mahu duit pilihan raya di negeri Kelantan di masa-masa akan datang diperolehi dari duit yang tidak bersih. Kalau kita start berpilihan raya dengan tidak molek, kerajaan yang dihasilkan tidak molek juga. Serupa kita meletak asas untuk tapak rumah. Jika di waktu meletak tapak itu senget, maka rumah yang terbina nanti akan senget juga.

Dalam masa pilihan raya baru-baru ini, banyak orang bertanya macam mana kalau kita guna duit interest. Interest ini barang tidak baik tetapi dengan sebab bank beri juga maka kita terpaksa ambil. Ambo pun suruh orang ambil duit interest jangan dibiarkan dalam bank begitu sahaja. Kita ambil duit interest tetapi kita belanjakan untuk kepentingan ramai. Biasanya kita beli tanah empat lima lori ke, pasir empat lima lori ke, tambun di tempat-tempat yang dikira lecah kemudiannya pakat jijak ramai-ramai. Itu benda-benda yang boleh kita buat. Alhamdulillah, orang-orang pejuang Islam tahu mengenai perkara ini. Jadi dalam masa pilihan raya barn ini banyak orang bertanya: Bagaimana kalau kita guna duit interest untuk beli minyak kereta ke, buat pos pilihan raya ke? Ambo kata jangan! Minta maaf, jangan! Setakat ada duit halal, kita berpilihan raya dengan duit halal. Kalau tidak ada, apa boleh buat, biar Tuhan tahu kita sudah kehabisan pitis, sudah kehabisan ikhtiar. Ketika itu jangan berputus asa. Bila Tuhan tahu di pihak kita sudah kehabisan ikhtiar, Tuhan tidak akan tinggalkan kita dalam keadaan begitu. Mesti ada spare turun dari langit.

Ambo berasa hasil pilihan raya baru ini, macam ada persefahaman di antara malaikat di langit dengan pengundi-pengundi di muka bumi ini. Kalau tidak bagaimana boleh jadi serupa baru-baru ini? Ambo tanya kerani-kerani ambo di bilik gerakan, satu pun tidak serupa pendapat padahal orang Pas sudah buat cula kira-kira setahun dahulu. Bila padu cula dengan apa yang berlaku dalam pilihan raya lebih tinggi berlipat ganda dari jangkaan bilik gerakan. Ambo rasa bilik gerakan pihak lawan kita pun begitu juga., tidak sangka benda ini berlaku. Benda seperti ini tidak susah hendak kata., selain daripada mesti ada bantuan secara langsung daripada Allah S.W.t.. Selama ini kita mengempen juga, merayu juga, berdoa juga tetapi tidak menjadi sebagaimana tahun ini. Tahun ini di samping kita mengempen dan berdoa, kita bersembahyang hajat dan berqunut nazilah. Ambo tidak berhenti-henti membaca qunut ini sejak dari peristiwa pembunuhan Memali (di Kedah, pada 19 November 1985), kecuali terlupa sekali dua. Ambo minta Allah taala tonjolkan perjuangan Islam dan minta Allah taala leburkan perjuangan-perjuangan yang tidak Islam dengan cara mana sekalipun.

Setakat ini benih pertama telah ditanam. InsyaAllah benih ini bernas, berjumpa dengan tanah yang subur dan kita pakat memagarinya daripada serangan musuh. InsyaAllah benih ini akan tumbuh dengan selamat dan akan membuahkan hasil yang baik untuk semua masyarakat di seluruh negeri dan negara. Itulah benda yang ambo hendak sebut sepatah dua., insya-Allah kita sama-sarna berdoa meminta kerajaan ini berpanjangan, berdoa supaya ambo kukuh iman, tidak kelabu mata dengan pitis, tidak kelabu mata dengan pangkat.


- Dipetik dari Tafsir Surah Hud m/s :60-63 – Edited by Abe Joe

"Read More..."

Wednesday, January 23, 2008

Rintihan Allahyarham Ahsyahid Syeikh Ahmad Yasin

Bismillahirrahmanir rahim

Syeikh Ahmad Yasin yang begitu kecewa dan sedih dengan sikap bangsa Arab telah berkata:

"Tidakkah kamu semua lihat wahai bangsa Arab, sudah sampai ke tahap mana keadaan ini?" Sesungguhnya aku, seorang tua yang lemah, tidak mampu memegang pena dan menyandang senjata dengan tanganku yang sudah mati (lumpuh). Aku bukan seorang penceramah yang lantang yang mampu menggegarkan semua tempat dengan suaraku (yang perlahan ini). Aku tidak mampu untuk ke mana-mana tempat bagi memnuhi hajatku kecuali jika mereka menggerakkan (kerusi roda)ku.

Aku, yang sudah beruban putih dan berada di penghujung usia. Aku, yang diserang pelbagai penyakit dan ditimpa bermacam-macam penderitaan. Adakah segala macam penyakit dan kecacatan yang menimpa diriku turut menimpa bangsa Arab sehingga menjadikan mereka begitu lemah. Adakah kalian semua begitu wahai bangsa Arab, kalian diam membisu dan lemah, atau adakah kalian semua telah mati binasa.Adakah hati kalian tidak bergelora melihat kekejaman yang berlaku terhadap kami sehingga tiada satu golongan pun yang bangkit menyatakan kemarahan kerana Allah.

Tiada satu pun kumpulan (daripada kalangan kalian) yang bangkit menentang musuh-musuh Allah yang telah mengisytiharkan perang antarabangsa ke atas kami dan menukarkan kami daripada golongan mulia kepada golongan yang dianiaya dan dizalimi oleh pembunuh oleh penjenayah serta pengganas.

Tidak adakah yang mahu bangkit menentang musuh-musuh yang telah berjanji setia untuk menghancurkan dan menghukum kami. Tidak malukah umat ini terhadap dirinya yang dihina sedangkan padanya ada kemuliaan. Tidak malukah Negara-negara umat Islam membiarkan penjenayah Zionis dan sekutu antarabangsanya tanpa memandang kami dengan pandangan yang mampu mengesat air mata kami dan meringankan bebanan kami. Adakah pertubuhan-pertubuh an umat ini, pasukan tenteranya, parti-partinya, badan-badannya dan tokoh-tokohnya tidak mahu marah kerana Allah dengan kemarahan sebenarnya lalu mereka keluar beramai-ramai sambil melaungkan;

"Ya Allah, perkuatkanlah saudara-saudara kami yang sedang dipatahkan tulang-temulang mereka, kasihanilah saudara-saudara kami yang lemah ditindas dan bantulah hamba-hambamu yang beriman!" Adakah kalian tidak memiliki kekuatan berdoa untuk kami? Seketika nanti kalian akan mendengar tentang peperangan besar ke atas kami dan ketika itu kami akan terus berdiri dengan tertulis di dahi kami bahawa kami akan mati berdiri dan berdepan dengan musuh, bukan mati dalam keadaan melarikan diri. Akan mati bersama-sama kami anak-anak kami, wanita-wanita, orang-orang tua dan pemuda-pemuda.

Kami jadikan di kalangan mereka sebagai kayu bakaran buat umat yang diam dalam kebodohan! Janganlah kalian menanti hingga kami menyerah atau mengangkat bendera putih, kerana ketahuilah bahawa kami tetap akan mati walaupun kami berbuat demikian (menyerah). Biarkan kami mati dalam kemuliaan sebagai mujahidin dan syuhada'. Jika kalian mahu, marilah bersama-sama kami sedaya mungkin. Tugas membela kami terpikul dibahu kalian.

Kalian juga sepatutnya menyaksikan kematian kami dan menghulurkan simpati. Sesungguhnya Allah akan menghukum sesiapa sahaja yang lalai daripada menunaikan kewajipan yang diamanahkan. Kami juga berharap kepada kalian supaya jangan menjadi musuh yang menambah penderitaan kami. Demi Allah, jangan menjadi musuh kepada kami wahai pemimpin-pemimpin umat ini, wahai bangsa umat ini."

"Ya Allah, kami mengadu kepadaMu….kami mengadu kepadaMu…kami mengadu kepadaMu…..kami mengadu kepadaMu lemahnya kami dan kurangnya helah kami. Demikianlah kami di hadapan manusia. Engkaulah Tuhan kepada orang-orang yang lemah dan engkaulah Tuhan kami. Kepada siapa Engkau tinggalkan kami. Adakah kepada orang yang jauh yang akan menyerbu kami. Atau kepada musuh yang berkuasa ke atas kami
. Ya Allah, kami mengadu kepadaMu darah-darah yang tertumpah, maruah yang ternoda, kehormatan yang diperkosa, kanak-kanak yang diyatimkan, wanita-wanita yang dijandakan, ibu-ibu yang kehilangan anak, rumah-rumah yang diruntuhkan, tanaman-tanaman yang dirosakkan. Ya Allah, kami mengadu kepadaMu berseleraknya kesatuan (umat) kami, berpecahnya perpaduan kami, berbagai-bagainya haluan kami, terkebelakangnya kami. Kami mengadu kepadaMu betapa lemahnya kaum kami, betapa tidak bermayanya umat di sekeliling kami dan betapa berjayanya musuh-musuh kami…."



Rujukan

1. Gerakan Freemasonary, Musuh Dalam Menghancurkan Islam, Hj Nik Azran Muhamed, Hj Mohd Mahadi Hj Isa, La Khauf Resources, 2000
2. Ahmad Yasin dan Rantisi Dalam Kenangan , ibnu Ismail, Struggle Vision & Consultancy, 2004

Ditaip semula oleh Muhammad Amin b Hj Che Hassan al-Kalantani pada 22 JamadilAwwal 1427 bersamaan 19 Jun 2006.

"Read More..."