Showing posts with label Artikelku- Buletin. Show all posts
Showing posts with label Artikelku- Buletin. Show all posts

Monday, July 14, 2008

Peringatan Titis Emas Hitam


Allah S.W.T berfirman;

“Allah melimpahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (rezeki itu) baginya, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan setiap sesuatu”

Al-Ankabut : 62


Antara hikmah dijadikan kelemahan manusia, agar manusia bertebaran di bumi Allah. Hikmah dengan kelaparan sebagai kelemahan, agar manusia melata di muka bumi demi sesuap nasi. Namun bagaimana sandaran dan hakikat pencarian rezeki. Bagaimana pula tindakan kita, adakah mensyukuri nikmat yang tidak putus dianugerahkan Allah selama ini. Apakah kita terus dengan ketundukan kepadaNya sebagai hamba.


Terkini, ramai melenting saat masing-masing merasa sengsara yang melanda bahana kenaikan harga minyak, salah satu peringatan yang memenuhi ciri-ciri peringatan dari Allah. Sengsaranya tidak dirasai sang miskin, sang kaya turut terkena kesannya. Yang miskin dengan kesusahan harian, sang kaya dengan berkurang keuntungan dari perniagaan, yang khianat makin diberi ‘nikmat’ mengambil kesempatan. Kesannya tidak memilih siapa kroni, ustaz dan tok guru yang menaiki kenderaan menuju majlis-majlis ilmu, tok sami ke kuil-kuil memohon restu. Semua hakikatnya terkena, membezakan hanya ketenangan dalam menghadapi dugaan.

Rezeki Allah dahulunya bebas dijamah mula dicatu sedikit demi sedikit, jiwa yang dahulunya luas mulai kian sempit bahana hidup diri yang kian terhimpit. Si ayah mula membuat kerja lebih masa buat menyara keluarga, masa terluang dahulu bersama si anak mula dirompak sengsara, ibu miskin mula pening berfikir, rezeki dari mana yang mungkin memujuk rengek tangis mengisi lapar anak-anak. Anak-anak bijak mula diberhentikan sekolah, hidup dan masa depannya mulai diteguk kejahilan."J
agalah adikmu.. ibu ada kerja baru, tugas ibu menyapu dan mencuci sudah tidak cukup lagi buat menampung belanja keluarga". Makan anak-anak terpaksa ditagih dengan keringat yang lebih.

“Ahh.. mana mungkin begitu, saya melihat tiada apa yang berlaku”. Itu reaksi manusia-manusia yang hidup penuh kekenyangan, kenaikan minyak tidak sedikitpun mengurangkan kuantiti tangki kereta mewahnya. Tidak sedikitpun terhalang hajatnya untuk bergembira bersama keluarga.

“Benda sudah hendak naik, halang pun akan naik,” sedikitpun tidak terkesan dengan sengsara yang kian menjalar di sekeliling. Pada hakikatnya dia sendiri turut menerima beban. Namun tidak terlintas kesempitan hidup yang dialami adalah peringatan dari Allah.

Mereka yang beriman, memandang kaitan peringatan Allah dengan lebih mendalam. Apa bezanya melihat mayat-mayat bergelimpangan tanpa kepala, berbanding melihat susuk-susuk tubuh yang tegap namun akal dikepalanya sudah hilang kewarasan untuk membeza hak dan batil. Apa bezanya melihat mayat-mayat tsunami dengan perut-perut kembung terapung dibandingkan dengan susuk tubuh sihat dan perut penuh dijamu dengan arak dan hasil haram di tengah-tengah kota. Apa bezanya mayat-mayat bergelimpangan tanpa sebarang reaksi terhadap mereka di sisinya berbanding dengan manusia yang bernyawa namun hatinya mati dari merasa tangisan sengsara insan di sekelilingnya.

Peringatan yang diberi Allah kerana sifat kasihNya. Cintanya Allah dengan terus memujuk kita untuk kembali berpaling wajah kepadaNya. Mereka yang beruntung, mengambil iktibar dari peringatan dari Allah saat diri masih tidak dilanda bala yang lebih dahsyat. Tiada guna mengambil iktibar saat nyawa sudah tersekat-sekat. Pada ketika itu, apa erti membetulkan syahadah mahupun berjanji mendaulatkan syariat.

Saya menyeru semua untuk berfikir, merenung dan bermuhasabah diri memahami hakikat peringatan dari Allah. Tidak cukupkah dengan beban yang ditanggung sekarang. Memahami hakikat peringatan, menyedarkan asal diri yang cukup lemah. Konsep yang diterima umum namun jarang diambil perhati. Semua menerima dengan akal, yang memberi ujian pada asasnya mempunyai pengetahuan yang lebih dari yang diuji. Andai sesama manusia pun, seorang guru berhak menguji kepandaian muridnya, apatah lagi Tuhan Maha Pencipta menguji hambaNya. Siapa kita untuk kembali mendongak kembali bertanya kepadaNya saat diri diuji.
Wassalam


[AbeJoesCorner-saizol@yahoo.com]

"Read More..."

Friday, April 11, 2008

Nilai Setitis Kefahaman

Alhamdulillah, wakalah penerangan sulung dari DPPWM akhirnya berjaya diterbitkan. Walaupun tidak segah mana, namun mengharapkan sedikit secubit mendoakan kesedaran dari warga Wangsa Maju. Impian kami, agar jiwa-jiwa di sini turut merasai nikmat kehidupan yang sebenar.

Dalam konteks kehidupan, saya percaya masing-masing mempunyai lingkaran kesedaran yang cukup luas, melangkau dari bumi Wangsa Maju, hatta jauh sehingga di luar bumi Malaysia. Keprihatinan kepada saudara Islam di Palestin, Iraq, Kashmir, jiran-jiran Thailand, Indonesia dan lain-lain. Namun kekangan yang wujud menyebabkan lingkaran tindakan mungkin hanya dapat dilaksana dalam keadaan yang cukup terhad. Namun dalam keterhadan ini, dimanfaat sebaik mungkin moga membenih satu tindakan dari KEFAHAMAN.

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berhujjah dalam mengutip KEFAHAMAN, walaupun Islam diyakini sebagai cara hidup dan aqidah yang tulen. Mencari hujjah dan KEFAHAMAN inilah asas kepada agama. Hujjah ini pula, tidak akan hidup tanpa akal yang waras, manakala akal yang waras hanya bagi mereka yang tidak gila dan sudah mencapai tahap kematangan berfikir, sekurang-kurangnya membezakan hal yang baik dan buruk. Bermula dari kita membuka mata, kita berhujjah dengan diri sendiri dalam membuat pilihan. “Hendak ke pejabat.. naik motor ke kereta.. hendak makan apa hari ini.. hendak belanja apa hari ini..” Andai sifir dan formula ini pun kita gunakan dalam sekecil-kecil perkara dalam kehidupan. Apatah lagi WAJIB dipertimbang dalam perkara-perkara yang lebih besar iaitu hal-hal kepimpinan.

KEFAHAMAN dan kesedaran inilah yang membentuk jatidiri ummat, menjadikan kita terus dalam perjuangan tidak kira dalam apa jua situasi. Tika mengalami kekalahan mahupun kemenangan, tika lemah mahupun kuat, tidak terpaksa mahupun bersemangat, tika kaya mahupun melarat. Tidak mudah mengubah pendirian saat tergugat, yang turut dibina atas dasar syariat.

Kehidupan dan tindakan yang berpunca dari KEFAHAMAN adalah kehidupan yang penuh dalam keadaan bersiap sedia dan mempunyai matlamat. Barulah perjuangan dirasai indah dan nikmat. Manakala sebaik-baik manusia yang FAHAM adalah meraka yang FAHAM kerana apa kita dijadikan, FAHAM apa tanggungjawab di alam dunia, FAHAM ke mana tempat kita dikembalikan.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada team pemuda yang diberi KEFAHAMAN dalam usia yang masih awal. Moga-moga dengan KEFAHAMAN ini Allah terus memberi bimbingan untuk terus berusaha memberi KEFAHAMAN kepada jiwa-jiwa lain. Bukan mendabik mengata diri yang terbaik, namun selamilah roh-roh dalam susuk tubuh yang masih merabai cahaya nikmat sebenar, mungkin saudara sedaging sendiri, mungkin ahli-ahli surau dan masjid yang sudah rasa ‘lega’ dengan kehadiran penuh ke surau dan masjid setiap hari, mungkin dari susuk tubuh yang pernah tersiksa mengandung, melahirkan dan membesarkan diri, tetangga yang nalurinya merintih agar diri disapa dan diajak sama merasai kebahgiaan hidup. Selami dan hayati jiwa-jiwa ini. Jadikan diri sebagai insan yang sentiasa bersedia untuk berusaha memberi KEFAHAMAN di mana jua dicampakkan.

“Ya Tuhanku, aku adalah anak panah dari panahan Islam. Maka Engkau panahlah aku ke arah mana yang Engkau Kehendaki”

"Read More..."