Showing posts with label ibrah. Show all posts
Showing posts with label ibrah. Show all posts

Monday, November 26, 2012

UJIAN CINTA

Urutannya tidak seperti biasa. Kali ini agak perlahan dan kurang bermaya. Sambil mengurut, dia bercerita. Cerita sedih yang dialaminya menjelang Hari Raya.

“Wak” begitulah panggilan mesra saya kepadanya. Dia seorang pendatang dari negara seberang yang bekerja sebagai buruh binaan di projek perumahan berhampiran dengan rumah saya.

 “Saya tidak sangka ustaz, isteri saya buat begini…” katanya sambil mengurut tangan kanan saya. Saya mula mengenali Wak sejak anak lelaki saya tergeliat kakinya dan kami sama-sama mencari tukang urut.

Kami temui Wak melalui perbualan dengan seorang kawan tentang adanya seorang tukang urut yang ‘handal’ di pinggir taman tempat kami tinggal. Sejak hari itu, dia akan datang mengurut secara tetap sebulan sekali di rumah saya.
Kadangkala bukan kerana sakit, tetapi hanya untuk mengekalkan hubungan saudara seagama.
“Hampir sepuluh tahun saya bekerja di sini, hampir semua hasil pendapatan saya kirimkan kepadanya. Ustaz pun lihat betapa saya begitu berjimat kerana hendak menyenangkan hidup isteri di kampung.”
 “Wak memang suami yang setia…” balas saya.  
“Malangnya, isteri saya tidak ustaz. Saya dikhianati!”  

Setelah sepuluh tahun bekerja di Malaysia, Wak tekad untuk membawa isterinya hidup bersama diperantauan. Biar susah senang, hidup bersama. Begitu azam Wak. Lalu dia bekerja lebih keras lagi, mengumpul wang untuk mendapat visa, tambang dan segala prasarana buat isteri tinggal bersama di Malaysia. Disediakannya bilik dan segala peralatan yang perlu di celah-celah rumah kongsi di tepi tapak projek perumahan dia bekerja. 
Wak impikan isteri menjadi ‘ratu’ penghias istana hatinya! Akhirnya Wak berjaya membawa isterinya ke Malaysia. Betapa gembiranya dia saat itu dapat saya rasakan semasa dia mengurut saya sebaik sahaja pulang daripada ‘mengambil’ isterinya.

 “Isteri saya sudah di rumah sekarang. Bulan hadapan dia akan mula bekerja.” 
“Tahniah Wak,” kata saya sambil merenung matanya yang bersinar. 
Bayangkan selama sepuluh tahun berjauhan (pulang hanya sekali setahun), kini Wak tinggal bersama isteri. Biarlah bilik di rumah kongsi itu sempit, tetapi bagi Wak, dapat bersama isteri itupun sudah satu kelapangan. 
Namun sayang, hanya 6 bulan kemudian… Menjelang Hari raya.

“Dia lari ikut lelaki lain ustaz. Saya ditinggalkan. Saya dapat tahu juga semua harta yang saya belikan untuknya di kampung halaman kami pun turut dijualnya. Saya kosong ustaz. Hati saya kosong, harta saya kosong,” luah Wak hampir menangis. 
Spontan tangan saya memegang tangannya. Saya pegang dan genggam erat tangannya.
Saya terlupa bahawa saya masih diurut. 

“Wak… Allah ada, akhirat ada.” Itu sahaja yang dapat saya katakan. Saya juga kehilangan kata-kata. “Ustaz, saya tak layak bersamanya… Saya tak segak. Saya tak kaya. Saya hanya buruh.” 

 “Tidak Wak. Bukan Wak yang tidak layak dengannya tetapi dia yang tidak layak untuk Wak!” jawab saya tegas. 
Mata Wak yang redup saya renung. 

Kulit tangannya yang kasar dan lengannya yang calar balar kerana bekerja keras itu saya pegang. Terasa dia seperti adik sendiri. Ya Allah, berikan ketabahan buat hamba-Mu yang satu ini. Bukan sehari dua saya mengenal Wak. 
Dia kuat berpegang kepada agama. Dia tidak merokok, berjudi, minum arak jauh sekali. Solat dan puasanya dijaga. Walaupun dia tinggal bersama kawan-kawan yang berbagai-bagai ragam, di tempat yang terdedah dengan pelbagai kejahatan dan maksiat… tetapi Wak ada ‘class’ tersendiri. Dia umpama permata di celahan kaca.

 Jangkamasa sejam, kadangkala sampai mencecah dua jam, sepanjang mengurut saya sering dipenuhi oleh ‘diskusi’ agama. Saya dapat banyak maklumat dan ilmu tentang Islam di kampung halamannya. Wak juga sebenarnya pelajar ‘separuh jalan’ pesantren (semaam pondok agama) di kampungnya. Kesempitan hidup ditambah kedua orang tuanya yang tidak mampu bekerja lagi menyebabkan Wak merantau ke Malaysia. Dia ‘talian hayat’ untuk membantu keluarganya yang melarat. Bayangkan, dengan rezeki hasil membanting tulang empat keratnya, akhirnya dia bukan sahaja dapat membina rumah untuk orang tuanya tetapi dapat menghantar ayahnya mengerjakan haji.

 “Wak ingat cita-cita Wak yang pernah Wak ceritakan pada saya?” kata saya memecah kesunyian akibat melayan fikiran dan lamunan maing-masing. 
“Ingat ustaz, saya ingin menunaikan haji!” “Ya, inilah masanya. Sekarang Wak hanya ada satu cita-cita sahaja… pergi haji. Pergi menuju Allah,” giat saya bersemangat. 
“Wak, Allah sedang uji Wak… Uji cinta namanya,” tambah saya lagi. 
“Ah, ustaz… saya sudah tua. Cinta bukan untuk saya lagi,” kata Wak tersenyum.
Gembira hati saya melihat dia senyum, walaupun saya percaya itu susah sungguh. Tetapi bagi saya itulah senyum yang paling mahal… senyum ketika diasak kesedihan. Kulit pipi Wak yang kering kerana sentiasa dipanah sinar matahari sewaktu bekerja itu nampak berseri. 

“Allah putuskan cinta Wak dengan isteri untuk Wak menyambung cinta dengan Allah.” 
“Ustaz, saya tak pernah salahkan Tuhan atas apa yang menimpa saya ini. Saya sabar ustaz. Mesti ada yang baik-baik, yang belum saya ketahui di sebalik yang pahit-pahit ini.” 

“InsyaAllah, Wak. Kita yakin Tuhan tidak menzalimi kita. Tetapi Tuhan sedang dan sentiasa mendidik kita. Kita usaha jadi orang baik Wak, insyaAllah orang yang baik-baik akan menjadi pendamping kita. Nak jadi baik, susah… nak dapat yang baik pun susah…perlu diuji.” 

 “Itulah ustaz, ada kawan-kawan saya datang mengapi-apikan saya…” 
“Apa mereka kata Wak?” 
“Mereka cadangkan saya bertindak. Cari lelaki dan isteri saya dan hukum atas kecurangan itu.” “Apa kata Wak?” 
“Bukan mudah mencari mereka. Malaysia luas. Masa dan pergerakan saya terbatas. Kerja saya banyak. Lagipun, ibu saya di kampung sakit… perlu biaya. Saya perlu terus bekerja. Kalau saya caripun, jika dapat, tapi kalau hati dia sudah tidak suka pada saya, apa gunanya? Saya sudah banyak kehilangan masa, harta disebabkan dia. Biarlah ustaz.” 

“Wak, dia tidak layak buat Wak. Sekarang tekad, pertama cinta Allah. Kedua, cinta ibu-bapa. Kumpul duit untuk dua perkara itu saaja. Satu, untuk pergi haji. Kedua, untuk biaya berbakti buat orang tua. Jaga Allah Wak, nanti Allah jaga kita…” kata saya memberi semangat. Jauh di lubuk hati saya, saya berharap akan ada orang yang akan berkata begitu apabila saat saya diuji. Saat itu pasti tiba, kerana hidup memang untuk diuji.

 “Apa doa atau bacaan untuk tenangkan hati ustaz?” 
“Wak jaga solat. Kemudian, kuatkan doa. Doa pertama, minta supaya Allah beri kecintaanNya. Kedua, minta Allah berikan cinta orang yang menyintaiNYa. Dan ketiga, minta diberi segala jalan dan perbuatan yang boleh membawa kepada kecintaanNya. Pokok pangkalnya ini semua doa cintalah Wak!” 
 Wak termenung. Diam. Tetapi wajahnya tidak semuram sebelumnya.

 “Wak, luka hati ini mengambil masa sedikit… tetapi saya yakin Wak akan sembuh dengan cepat. Bila susah, datang rumah ni. Saya nak urut lagi. Kerja pun satu cara penyembuhan. Bila sibuk kerja, tak sempat rasa sedih.” 
“Betul ustaz. Saya urut badan, ustaz urut hati saya…” 

 Saya senyum. Tetapi di dalam hati diterjah satu pertanyaan. Saya? Siapa pula yang urut hati saya apabila diuji? Justeru, bukan sahaja Wak yang telah diuji. Kita semua pasti diuji… ujian cinta! 

Perkongsian dari Blog Ust Pahrol Mohd Juoi

"Read More..."

Friday, June 13, 2008

Nilai Sebiji Bola


"Ana nak kena balik dululah kalau tiada apa-apa," awal teman-teman seusrah membawa diri minggu ini.


Biasanya habis usrah ditangguhkan jam 12.00 malam. Namun, masih berbaki majoriti besar teman-teman di markaz menyambung usrah informal dalam 4..5.. group yang kecil dengan topik masing-masing. Berbincang isu-isu yang tidak sempat dihabiskan dan dilontarkan semasa usrah. Terkadang menjangkau lamanya sehingga 2 jam, tempoh yang hampir sama dengan masa perjalanan usrah kami.

"Ana nak kena 'qiam' lagi nanti," teman berseloroh dibalas gelak tawa sahabat lain.

Baru mengerti maksud teman tersebut. Bukan sedikit yang 'mengumpul pahala niat' seumpama itu, mengerjakan "sunnat awal tahajjud" sebelum "fardhu Euro 2008".

Bukan niat diri untuk memandang serong dengan kehadiran fenomena ini. Musim yang jarang dialami dan ditunggu untuk menyaksi kehebatan. Semangat yang lama melonjak, bila lagi ingin diluahkan sokongan andai bukan ini masanya. Memekik bersorak pada bulan dan hari lain saat jiwa lain nyenyak tidur mungkin mencetus kemarahan, namun inilah masanya... lesen sementara untuk berbuat demikian.

Bukan niat berceloteh lantaran diri yang selalu tersasar sepakan sehingga betis rakan menjadi ganti bola.

Bukan juga lantaran bola yang direbut dari kaki teman sepasukan sendiri akibat 'musuh' yang hanya dapat dicam dalam jarak 2 meter. Rabun mata tidak menghalang... asal ada bola membujur lalu. Misi yang aku fahami, sepak sahaja ke arah sasaran di pihak musuh. Itulah kefahaman bola bagi mereka yang kurang ilmu mengenainya.

Ketepikan dahulu persoalan mengenai agenda zionis dalam melalaikan manusia, satu hal yang tidak kurang penting untuk diperhatikan. Namun apakah falsafah dan ibrah yang mampu dikutip. Adakah sekadar dengan tidur yang nyenyak sebaik pasukan diminati mendominasi permainan dan mencatat kemenangan.

MATLAMAT DAN ATURAN

Dulu semasa belajar, kerap juga kami mengadakan perlawanan bola. Uslub yang rata-rata tempat masih digunapakai termasuklah setelah menyertai dewan pemuda wangsa maju. Berehat sementara sambil diselit-selit takzirah 5..6.. minit tika diri mengemis kembali hela nafas yang hilang tika bermain."Seronok bermain pasal kita bermain dengan peraturan, kita bermain ada matlamat" tazkirah ringkas mengajak teman-teman berfikir.

"Kalau kita bermain, kita mengejar matlamat untuk memasukkan bola ke gawang gol. Mengapa ketika hidup kita sering mengetepikan matlamat hidup?" diri yang juga terkadang tersasar matlamat mula menambah.

Benar, kita sering mengetepikan matlamat hidup. Andai dengan permainan sejam dua kita berusaha untuk mencapai matlamat dalam mencapai kepuasan, mengapa kita jarang menyandarkan kepada kehidupan di mana kaki bertapak, dunia yang luas dengan mehnah yang pelbagai, yang menjadi tapisan agar diri sentiasa menuju matlamat yang tidak tersasar. Apatah dengan tempoh masa yang lebih panjang.. kesan dan bahana dari tersasar matlamat yang bersifat kekal.

Permainan juga seronok dan lebih bermakna kerana adanya peraturan. Bagaimana pula gamak andai bermain tanpa sempadan had garisan membawa bola, "GOLmu GOLku jua", andai tidak berpuas dengan kaki digunanya tangan buat mengganti. Tidak ada pengadil yang menentu salah atau benar perlawanan, memberi nasihat dan amaran dengan 'kad kuning' sebelum diberikan 'kad merah' setelah melihat seorang itu melampau dari garis sempadan permainan. Namun, dari peraturanlah mewujudkan ranca yang pelbagai.. tindakan dan respon yang berbeza. Menjadikan 'permainan hidup' lebih bermakna. Maka, apakah hujjah bagi mereka yang menafikan hakikat 'peraturan' yang dikatakan mengokong kebebasan diri?


IMAN DAN NAFSU*

Fenomena ini turut menyaksikan bagaimana minat yang mendalam mengalahkan kelemahan diri yang lain. Kerana minat, mengantuk ditinggal bersendirian tanpa tuan di hamparan tidur. Cukuplah kita berdamping sejam dua, datanglah menjemput tika waktu kerja esok hari. Kerna minat, biarkan perut berkeroncong di siangnya kerna malam nanti baru tersedia habuanmu. Pilihan kena dibuat memandangkan kos hidup yang meningkat.
"Ana kalau nak kira niat tuh, dah boleh masuk syurga pakai pahala niat sahaja," penuh berisi kata-kata teman buat muhasabah diri. Faham benar maksudnya, bukan dalam istilah berbangga bagaimana fenomena ini mampu menghalau jauh mengantuk dari cengkaman yang menebal setiap hari. Ke mana merayaunya mengantuk saat nafsu bertapak dan kembali pulang sebaik wisel penamat memanggil.

"Kekuatan manusia pada tika manusia lain tidak mampu berjaga hanya kerana dua sebab, kekuatan iman dan nafsu. Ada kelompok manusia mampu untuk bangun malam bermunajat kepada Allah. Namun ada manusia juga mampu menonton perlawanan bola dalam menghadapi kelemahan mengantuk yang turut sama. Ada manusia mampu menggerakkan untuk beribadat dan ada kelompok turut mampu untuk menggoyang badan mengikut rentak dangdut mengisi malamnya, manusia mampu untuk merentasi bahaya lautan untuk menunjuk juga mampu andai itu arahan Tuhannya," itulah kemampuan manusia, menghadapi satu kelemahan yang sama dengan sandaran yang berbeza.


NILAI SEBIJI BOLA


Di mana nilai sebiji bola pada pandangan kita. Andai diukur dalam bentuk luaran dan kosnya, apa sangatlah nilai sebiji bola. Harga biasa mungkin puluhan ringgit, paling mahal mungkin ratusan.. mungkin juga ribuan.. namun mustahil rasanya sampai berjuta harga bagi sebiji bola tersebut.
Tapi disebabkan sebiji bola yang beberapa sen itulah, sebidang tanah yang berekar-ekar dipenuhi semak suatu ketika dahulu dilicinkan oleh berpuluh buah jentolak yang berharga ratusan ribu ringgit.
Sebab sebiji bolalah, berlori-lori tar dengan kontrak berjuta-juta ringgit terpaksa ditimbun bagi menjamin keselesaan para pengunjung.
Sebab sebiji bolalah, beribu buruh tempatan dan pendatang asing yang menggadai nyawanya menyeberang lautan menggerakkan tulang sendi mereka memikul batu-bata, meratakan simen-simen membina stuktur stadium yang berjutaan ringgit.
Sebab sebiji bolalah... menara-menara sportlight yang kukuh dibina menerangi segenap stadium. Sebab sebiji bolalah, mesin-mesin di kilang-kilang bangku bergerak tanpa henti dalam membekalkan puluhan kerusi yang jutaan ringgit nilainya.
Dan disebabkan sebiji bolalah, segenap manusia dari seluruh pelusuk dan ceruk tempat menggerakkan diri... menyewa hotel bagi yang jauh. Membeli baju.. membeli bendera-bendera sokongan, menghidupkan enjin-enjin kereta dan menggerakkan tulang empat kerat masing-masing untuk memandu ke stadium. Menempuh sesak dengan kesabaran.
Disebabkan sebiji bolalah, beratus gerai-gerai hebat dibangunkan sang peniaga buat mencari rezeki walau ajakan azan berkumandang.

Berapa sangatlah nilai sebiji bola andai dibandingkan dengan kemudahan lain yang jauh mahal daripadanya. Namun 'terpaksa' wujud dan ada bagi memenuhi 'nilai sebiji bola'.


Mengambil iktibar dari hal ini, apa nilainya seorang manusia.

Apa sangat manusia untuk dibandingkan sehingga Allah sanggup mencipta lautan dalam yang terhampar dan bukit berpasak dibumi, sedang kejadian hal tersebut jauh lebih besar.
Apa sangat manusia untuk dibandingkan dengan bulan yang melengkapi aturannya mengelilingi bumi yang tercipta untuk manusia.
Apa sangat manusia sehingga Allah mencipta planet-planet lain buat 'menemani' kesepian sang bumi.
Apa sangatlah manusia sehingga Allah mencipta matahari yang amat hebat ciptaannya. Saiz yang mustahil untuk dibandingkan dengan susuk tubuh manusia.
Apa sangatlah manusia sehingga Allah mencipta cakerawala yang tetap wujud dengan aturannya sebagai pelengkap walau manusia sendiri tidak mengetahui apa yang berlaku di sana. Andai difikir akan singkat manusia, kenapa Allah terus menjadikan batuan yang terapung di langit yang tidak pasti mampu atau tidak dicapai manusia.. mencipta bintang bintang yang bagai tiada guna kerana diluar pengetahuan dan capaian akal manusia.
Apa sangat manusia sehingga Allah mencipta alam yang sebegitu yang mustahil untuk dijadikan manusia yang cukup kerdil untuk dibandingkan.

Andai melihat sebiji bola dengan susuknya speranya. Namun mempunyai kesan yang cukup besar bila melihat NILAI yang berjaya dihasilkan dengan mempengaruhi kewujudan dan pergerakan perkara lain di sekitarnya. Kenapa tidak memikirkan.. di mana tersembunyi NILAI seorang manusia disebalik susuk tubuhnya. Hingga tercipta segala cakerawala.




*bukan ditujukan untuk semua nafsu, ayat digunakan untuk nafsu yang buruk bagi memudahkan perbincangan. - AbeJoes


[AbeJoesCorner-saizol@yahoo.com]





"Read More..."