Tuesday, April 29, 2008

Doa Munajat Kelantan


Dipetik dari : http://epemudapas.wordpress.com


assalamua’laikum dan salam sejahtera.

doa pohon keselamatan dan kemenangan Islam.

(hendaklah selalu membacanya dan sebaik-baiknya membaca selepas solat 5 waktu).

pengertian doa.

wahai Tuhan kami berilah kepada kami perasaan takut kepada Mu yang dapat menghalang kami dari kemaksiatan, dan berilah kami kesihatan kepada Mu yang menyampaikan kami ke syurga Mu, dan berilah keyakinan yang memudahkan kami menghadapi bencana di dunia.




wahai Tuhan kami berilah kenikmatan pendengaran. penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami dan jadikanlah dia mewarisi kami dan berilah pembalasan kepada orang yang menzalimi kami. dan tolonglah kami terhadap orang yang memusuhi kami. dan janganlah Engkau jadikan bencana bagi kami dalam agama kami.

dan janganlah jadikan keduniaan sebesar-besar cita-citanya kami dan tidak sampai batasan ilmu kami. dan janganlah Engkau biarkan orang yang tidak takut menaruh kasihan belas terhadap kami dapat menguasai ke atas kami wahai Tuhan kami, kami memohon pertolongan dengan nur kesucian Engkau dan berkat kebesaran dan keagungan sifat jalal Engkau, dari setiap yang datang waktu malam kecuali yang datang dengan baik.

wahai Tuhan kami Engkaulah penolong kami maka kepada Engkau kami mohon pertolongan. wahai Tuhan kami Engkaulah tempat kami menyelamatkan diri, maka kepada Engkaulah kami pohon selamat. wahai Tuhan yang baginya lemah dan hina segala tengkuk pembesar dunia.

dan tunduk kepadanya segala urusan dan kebesaran raja-raja firaun, selamatkan kami dari segala penghinaan dan hukuman seksamu, ketika malam atau siang, ketika kami tidur atau berada di suatu tempat. tiada Tuhan bagi kami melainkan Engkau demi kebesaran wajah Engkau dan kemuliaan kesucian Engkau, hindarilah kami dari segala kejahatan hamba-hamba Engkau, berikanlah kemudahan kepada kami dengan limpah kurnia dari Engkau wahai Tuhan yang maha pemurah.

wahai Tuhai samada Engkau lembutkan hati-hati mereka untuk kami sebagaimana Kamu lembutkan besi untuk Nabi Daud. dan Kamu menundukkan mereka seperti Kamu tundukkan bukit bukau, gunung ganang untuk Nabi Sulaiman atau pun Kamu lipat balikkan rancangan jahat mereka supaya mereka berpatah balik ke atas mereka sendiri, dan Kamu hancurkan pendirian mereka dan turunkanlah ya Allah bendera mereka rapat ke bumi.

wahai Tuhan kami yang tetap hidup yang mentadbir urusan makhluknya. wahai Tuhan yang mempunyai keagungan dan kemuliaan. sesungguhnya Engkau berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu. ya Allah butakanlah mata-mata mereka (musuh-musuh Islam) sehingga mereka tidak melihat kecuali cahaya bulan purnama.

***********************************************************************************************
petikan doa diambil pada lampiran ketika acara munajat rakyat bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat; 3.00 pagi, februari 16, 2008; perkarangan stadium muhammad ke-IV.

"Read More..."

Saturday, April 26, 2008

Hikmah Kewarasan

"Ok.. pasal apa kita doa?" soalan pertama aku kepada anak-anak sebuah taski di shah alam.

Dalam kelancaran minda separa sedar ini melafazkan doa.. aku tertarik dengan gelagat anak-anak kecil yang pelbagai ragam menadah doa dengan tangan-tangan kecil mereka.


Soalanku terpaksa diulang beberapa kali. Gamaknya adik-adik kurang mengerti soalan yang ku rasakan mudah begitu. Tambahan dengan loghat "German Timur' yang sukar dikikis dari lidah ini. Aku mula menolak teman-teman untuk mengendalikan sesi seterusnya, risau juga andai lagi teruk kefahaman mereka untuk memahami mesej-mesej yang aku ingin sampaikan seandai soalan sulung aku tadi sukar untuk dijawab. Salah akukah yang tidak pandai membaling kata-kata... ataupun adik-adik yang tidak pandai menyambut lafaz tersebut. Direnung.. Diperhati... akulah yang sepatutnya membaling dengan balingan yang paling baik, agar bola-bola persolan dapat dirangkul baik adik-adik.

Aku merapatkan badan ke dinding belakang. Cukuplah tugasku mengimamkan solat isya'. Mungkin malam itu, aku boleh memerhati bagaimana temanku 'bermain-main' dengan adik-adik.

Keesokan pagi aku meneruskan tugas mengimami solat subuh, skill yang diperhati dari teman-teman cuba dipraktikkan dalam tazkirah pendek.

"Beratur, sorang depan.. sorang belakang", aku memberi arahan. "Hmm.. ngantuk yea.." Mengantuk adik-adik... kesian juga andai slot qiamullail yang masih belum selayaknya diadakan pada tahap mereka dimodulkan. Takpalah, kami hanya dijemput.

Teman-teman mula membiarkan aku. Ustazah dan tenaga pengajar lain berdiam diri. Menyerah hak mutlak untuk aku mengendali sesi kali ini. Kali ini aku cuba mula memahami psikologi anak-anak kecil.

"Ok.. yang belakang picit bahu yang depan... tarik-tarik telinga dia buat macam bawak motor.. " Arahan dengan sedikit permainan ringan buat menghilangkan mengantuk adik-adik.

Aku mula memberi tazkirah ringkas. Membawa kisah-kisah yang sememangnya sinonim dengan jiwa anak-anak.
"Wah.. dah faham nampaknya"detik hatiku. Lebih dari itu, respon pula diluar jangkaan. Kali ini bertalu-talu persoalan diterima.Sepatah kuucap.. berpuluh soalan dan cerita ditambah mereka. Itulah anak-anak.

Satu-satu persoalan dijawab, cuba memberi penjelasan seringkas mungkin. Namun harus kaedah yang seeloknya.. mengolah dari level teori maktik orang-orang dewasa kepada praktikal anak-anak. Malah, kurang elok andai persoalan sebegitu terus bermain di kotak fikiran mereka tanpa memberi satu jawapan pasti yang dapat memuaskan hati mereka. Malam tadi, temanku terkial-kial mencubit aku membantunya menjawab soalan-soalan diluar jangkaan dari adik-adik. Kami memang telah diberi amaran awal, anak-anak ini adalah dari kategori cerdik juga. Maklumlah, seawal sampai ke tapak taski, aku cuba mengawal diri dari terhadap ibu bapa yang menghantar anak masing-masing menggunakan kenderaan mewah mereka.

Hubungan kami makin erat. selesai sesi tazkirah, adik-adik terus mendapatkan kami. Membangkitkan persoalan yang mula dilihat bertentangan dengan 'tarbiyyah' yang diterima di rumah. Menceritakan diri yang menjauhi perkara-perkara tidak elok, membuang tabiat-tabiat dari permainan game yang memberi kesan tidak elok kepada mereka. Itulah kekuatan kepada mereka pada pandanganku, kekuatan membuang jauh-jauh tabiat yang sepatutnya sebati dengan manusia lain yang sebaya mereka. Itulah petanda iman. Membuang kehendak diri... memasukkan kehendak Ilahi.


ACUAN ALLAH YANG TERBAIK

Terkadang jari aku tidak berapa selesa untuk menari di atas papan kekunci bila berbicara perihal perkara ini. Bukan apa, kerana jiwa dan perasaan yang sama turut dirasai oleh semua orang yang mempunyai pengalaman yang sama tatkala bercakap tentang sesuatu yang masih belum dialami.

Bercakap persoalan mendidik anak, suatu yang mungkin dipandang tidak tepat bagi seorang yang belum bergelar bapa/ibu. Lebih dituduh melampau bila perkara ini dijadikan nasihat pula oleh sang bujang kepada sang kelamin.

"Sebagai kesimpulan, seeloknya 'kita' sebagai bapa elakkan dari menanam benih-benih yang kurang sesuai dalam minda anak-anak, menjadikan jin.. hantu .. jembalang.. sebagai pagar untuk mengawal anak-anak yang nakal dengan usikan yang berjaya namun akhirnya merosakkan." Aku memberi kesimpulan dalam usrah pemuda minggu sebelum ini. Namun jauh disudut hati aku berdoa agar kata-kata sebegitu dapat dipegang dan diamal.

Tidak salah berkata benda yang masih belum diamal, namun dengan niat yang bersungguh-sungguh dan meletakkan kata-kata tersebut sebagai doa kepada diri. Namun lebih elok andai kata-kata dari pengalaman yang telah ujud agar kata-kata yang terucap lebih ummmpphh bila dikecap.

Aku memberikan contoh beberapa ustaz yang mendidik anak yang boleh dikatakan berjaya. Memasak akidah yang murni dalam diri anak-anak. Kesimpulan usrah tidak tamat disitu sebaik sahabat-sahabat lain mula berkongsi pengalaman sebaik contoh diberi.

"Senang kita tengok bila ditempat gelap, siapa yang lebih dahulu datang bertandang di kepala kita? Ketakutan kepada hantu-hantu atau kewujudan Allah? Walhal, Allah dan 'hantu' masing-masing tidak pernah dilihat namun diyakini kewujudan. Inilah bahana yang menakutkan, IHSAN DIRI YANG MULA BERUBAH ARAH. Kesimpulan ke-2 diberi bagi menutup perbincangan.

"Menyemai akidah anak-anak pada permulaan cukuplah untuk dia menerima Allah tanpa hujjah", terang seorang ustaz dalam kuliah usuluddin. Aku mengangguk setuju.

Itulah peringkat awal sebelum akal mereka masih belum mengerti untuk berfikir dan berhujjah. Masih belum berupaya untuk bertanya soalan-soalan yang menduga akal ibubapa untuk menjawab. Pertanyaan ikhlas anak-anak bukan sekadar menjawab persoalan mereka, malah turut menambah keyakinan kita sendiri.

"Kalau kita hebat, kita tak demam.. hidung tak berhingus. Kita boleh jadi 'Tuhan'," lafaz seorang pendakwah kepada aku. Di usia 6 tahun, mana bisa akal kecil aku yang masih belum mengerti untuk mentafsir kalimah sebegitu. Malah ustazah yang mengajarku terdiam seketika untuk memikirkan jawapan sesuai setelah persoalan yang tersemat dalam ruang kepalaku itu dilontar untuk dijawab. Aku tidak pasti adakah jawapan yang diberikan dimulakan oleh aku sendiri ketika itu. Mungkin juga aku yang masih tidak mengerti bertanya PERSOALAN KETUHANAN sehingga jawapan tersebut terucap. Wallahu a'alam.

Namun ustazah cukup bijak memberi jawapan, "Orang tuh cakap Tuhan bagi membawa maksud pemimpin. Kita tak demam.. hidung tak berhingus maknanya dia cakap kita kuat. Dengan maksud lain, untuk menjadi seorang pemimpin, kita mesti kuat dan tabah". Aku mengangguk tanda setuju. Itulah ilmu kepimpinan yang sulung dapat dipelajari, namun diberi dalam balaghoh akidah yang sukar difahami budak kecil yang langsung tidak bersekolah ketika itu.

Hidup ini roda, diri termenung dan terfikir mengenangkan kisah lama serta dikait dengan peristiwa-peristiwa terdekat. Masa terus berlalu, aku yang dulunya dipimpin kini terpaksa mencorak arah untuk memimpin.

"Read More..."

Wednesday, April 23, 2008

Hakikat dalam memahami hakikat..

“Tengok matahari sekarang, ada fenomena pelik yang berlaku”, mesej ringkas yang diterima dari tunang  saya suatu masa dahulu.

Diri segera meluru keluar jendela pejabat, mengintai-intai mentari yang sedang terik memancar. Mata mula berpinar-pinar tika cuba mencari keajaiban yang bakal dikutip. Selari dengan jiwa manusia-manusia lain, hati mendesak untuk menyaksikan keganjilan dari normal kehidupan.

Segera dicapai plastik gelap pembalut toner printer yang sedia dilupus. Kali ini bulat mentari dapat jelas diperhati. “Apa yang pelik..” hati mula terdetik. Selang beberapa saat saya mendongak kembali. Mentari mula lari dari sudut asal dalam masa singkat. Terkadang seakan melihat bergerak ke kanan ke kiri. “Lajunya bergerak…” akal mula mencari maksud fenomena tersebut. Mengesahkan mesej yang diterima tadi.

“ana nampak matahari bergerak laju” aku membalas mesej.

“ada pelangi kat keliling matahari tuh” tunangku membalas kembali.

“Pelangi… mana ada pelangi dalam terik mentari macam ni” sedikit kecewa setelah ‘fenomena’ yang saya saksikan agak tersasar. Terasa bodoh sebentar apabila mata dan akal menafsir. Memang dirasa pelik andai laju benar mentari terik bergerak walau itulah hakikat pada saat tersebut. Mata mengiakan akal yang tidak lagi rasional saat diri disogok dengan berita fenomena pelik mula dimainkan. Usah salahkan mereka.

MENGUTIP KEAJAIBAN ALAM

Kejadian ini mengingatkan saya kepada hal yang pernah dibangkitkan oleh Ust Has (saifulislam) dalam artikelnya sebelum ini. Saya turut bersetuju dengan pandangan beliau melihatkan reaksi umat Islam sekarang yang lebih gemar ‘mendekatkan’ diri dengan Sang Pencipta dengan menyandarkan bukti kewujudanNya dari simbol-simbol dan tulisan. Malahan, memandang ‘fenomena’ juga turut boleh dimasukkan dalam kategori yang sama menurut saya.

Bukan niat untuk menafikan perkara tersebut, namun adalah dilihat sebagai suatu yang keterlaluan apabila semua benda yang dilihat seolah-olah dan sebolehnya ingin dibentuk dari perkataan ALLAH atau MUHAMMAD dalam ejaan jawinya. Bentuk muka bumi diperhati, peta diterbalikkan sehingga kajiannya berhasil menemui corak ALLAH. Ombak laut diperhati… diteliti lama dan berjaya menemui kalimah MUHAMMAD . Walau tidak cantik corak tulisannya, apa yang penting… gambar-gambar, peta, cahaya… dapat memenuhi dan MESTI berkesudahan dengan terbentuknya dua kalimah suci tersebut. Dengan satu niat yang cukup murni- Mendatangkan keyakinan kewujudan Sang Pencipta.

HAKIKAT DALAM MEMAHAMI HAKIKAT

Namun, apa yang ingin saya utarakan adalah..

Adakah tindakan bagi mengukuhkan hakikat kewujudanNya seMESTInya luar dari ‘normal biasa’??

Saya tidak menafikan niat murni ini, Namun yang harus lebih diteliti. Apakah pengisian disebalik ‘keajaiban’ ini?? Apakah kesinambungan dari keghairahan penemuan bukti seumpama ini?? Atau adakah sekadar melahirkan rasa taajub buat sesaat dua seterusnya gambar tersebut menjadi satu kebiasaan bagaikan kebiasaan kita melihat mentari yang terbit dan terbenam setiap hari.

Hakikatnya perkara-perkara yang BIASA dan LUAR BIASA adalah dariNya. Hanya kita yang terkadang tersilap memandang perkara-perkara sebegini seterusnya memecahkan tembok kebiasaan dan keluarbiasaan. Bukan apa.. kerana yang LUAR BIASA itu lebih gemar ditonton sebelum melepasi suatu level yang akhirnya menjadi suatu perkara yang biasa.

Perhatikan dua contoh mudah :

Situasi 1 : Orang buta yang tidak pernah melihat kemudian ditakdirkan melihat.

Situasi 2: Kita yang dikurniakan pancaindera melihat.

Atau

Situasi 3 : Melihat matahari yang terbit dan terbenam setiap hari

Situasi 4 : Melihat sebiji batu yang terapung di pamerkan dalam museum.

Apakah reaksi yang terhasil dari kesemua situasi tersebut??

Yang pasti orang buta yang ditakdirkan melihat pasti akan wujud kekagumannya terhadap alam yang dilihat.. melihat matahari.. bulan… bukit.. burung-burung yang terbang. Dengan pelbagai persoalan yang berputar melihat mentari yang mungkin jauh tersasar dari kotak imiganasi selama ini. Melihat burung yang membabar sayap.. bebas berterbangan. Bagaimana pula mereka yang dikurniakan sekian lama melihat hal-hal sebegini? Adakah perasaan sama berdetik..?

Dalam perbandingan seterusnya, saya yakin mungkin berduyung-duyung memasuki museum untuk melihat kepelikan pada sebiji batu yang terapung berbanding melihat matahari yang terbit dan terbenam setiap hari. Namun kenapa kepelikan tidak timbul kepada matahari yang saban hari timbul dan terbenam. Di mana hebatnya sebiji batu yang tiba-tiba terapung untuk diceritakan dan dibandingkan dengan sebuah matahari yang tidak jemu dengan arahanNya. Andai dibuat perbandingan saiznya… beratnya.. ‘kekuatannya’.. manfaatnya.. Namun pernahkan akal kita mempersoalkan perkara-perkara ‘normal’ yang berlaku setiap hari ini. Mungkin kepelikan bagi kita pada mentari adalah saat gerhana yang jarang-jrang berlaku… atau mungkin warnanya berubah kepada merah saga, ataupun menunggu keganjilan mentari terbit di ufuk Barat untuk mengutip iktibar.

TIDAK SALAH SAYANG..

Sahabat yang disayangi..

Saya tidak menafikan pendekatan ini. Tapi biarlah ada penerusan dalam ‘nilai kekaguman kepada Tuhan’ yang sentiasa mekar. Inilah yang dikatakan iman.

Yang lebih penting.. istilah KEKAGUMAN.. biarlah dengan hati bukan akal.

Memandang kekaguman dengan akal hanya bersifat sementara kerana yang belum pernah dilihat dan dirasakan logik. Di situlah tarikan dan ketundukan akal. Namun berapa lama bertahan andai logikal mula bertapak?

Memandang dengan hati, tidak akan menerima sekali-kali selagi masih belum bersedia sepenuhnya. Hati tidak memandang sesuatu samada biasa atau pelik… hati tidak melihat yang jarang berlaku ataupun kerap.. . hati tidak memandang samada besar mahupun kecil. Semua yang mendekatkan diri kepada Ilahi.. Pandanglah dan kagumlah… kerana kekaguman yang asli hanya lahir dari hati yang suci.



"Read More..."

Friday, April 11, 2008

Nilai Setitis Kefahaman

Alhamdulillah, wakalah penerangan sulung dari DPPWM akhirnya berjaya diterbitkan. Walaupun tidak segah mana, namun mengharapkan sedikit secubit mendoakan kesedaran dari warga Wangsa Maju. Impian kami, agar jiwa-jiwa di sini turut merasai nikmat kehidupan yang sebenar.

Dalam konteks kehidupan, saya percaya masing-masing mempunyai lingkaran kesedaran yang cukup luas, melangkau dari bumi Wangsa Maju, hatta jauh sehingga di luar bumi Malaysia. Keprihatinan kepada saudara Islam di Palestin, Iraq, Kashmir, jiran-jiran Thailand, Indonesia dan lain-lain. Namun kekangan yang wujud menyebabkan lingkaran tindakan mungkin hanya dapat dilaksana dalam keadaan yang cukup terhad. Namun dalam keterhadan ini, dimanfaat sebaik mungkin moga membenih satu tindakan dari KEFAHAMAN.

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berhujjah dalam mengutip KEFAHAMAN, walaupun Islam diyakini sebagai cara hidup dan aqidah yang tulen. Mencari hujjah dan KEFAHAMAN inilah asas kepada agama. Hujjah ini pula, tidak akan hidup tanpa akal yang waras, manakala akal yang waras hanya bagi mereka yang tidak gila dan sudah mencapai tahap kematangan berfikir, sekurang-kurangnya membezakan hal yang baik dan buruk. Bermula dari kita membuka mata, kita berhujjah dengan diri sendiri dalam membuat pilihan. “Hendak ke pejabat.. naik motor ke kereta.. hendak makan apa hari ini.. hendak belanja apa hari ini..” Andai sifir dan formula ini pun kita gunakan dalam sekecil-kecil perkara dalam kehidupan. Apatah lagi WAJIB dipertimbang dalam perkara-perkara yang lebih besar iaitu hal-hal kepimpinan.

KEFAHAMAN dan kesedaran inilah yang membentuk jatidiri ummat, menjadikan kita terus dalam perjuangan tidak kira dalam apa jua situasi. Tika mengalami kekalahan mahupun kemenangan, tika lemah mahupun kuat, tidak terpaksa mahupun bersemangat, tika kaya mahupun melarat. Tidak mudah mengubah pendirian saat tergugat, yang turut dibina atas dasar syariat.

Kehidupan dan tindakan yang berpunca dari KEFAHAMAN adalah kehidupan yang penuh dalam keadaan bersiap sedia dan mempunyai matlamat. Barulah perjuangan dirasai indah dan nikmat. Manakala sebaik-baik manusia yang FAHAM adalah meraka yang FAHAM kerana apa kita dijadikan, FAHAM apa tanggungjawab di alam dunia, FAHAM ke mana tempat kita dikembalikan.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada team pemuda yang diberi KEFAHAMAN dalam usia yang masih awal. Moga-moga dengan KEFAHAMAN ini Allah terus memberi bimbingan untuk terus berusaha memberi KEFAHAMAN kepada jiwa-jiwa lain. Bukan mendabik mengata diri yang terbaik, namun selamilah roh-roh dalam susuk tubuh yang masih merabai cahaya nikmat sebenar, mungkin saudara sedaging sendiri, mungkin ahli-ahli surau dan masjid yang sudah rasa ‘lega’ dengan kehadiran penuh ke surau dan masjid setiap hari, mungkin dari susuk tubuh yang pernah tersiksa mengandung, melahirkan dan membesarkan diri, tetangga yang nalurinya merintih agar diri disapa dan diajak sama merasai kebahgiaan hidup. Selami dan hayati jiwa-jiwa ini. Jadikan diri sebagai insan yang sentiasa bersedia untuk berusaha memberi KEFAHAMAN di mana jua dicampakkan.

“Ya Tuhanku, aku adalah anak panah dari panahan Islam. Maka Engkau panahlah aku ke arah mana yang Engkau Kehendaki”

"Read More..."