Monday, December 28, 2009

Welcome to the Joy of BF

“InsyaAllah, harap-harap dapat istiqamah, nak kena lawan ust Has nie”

Saya dan isteri masih diperingkat pengantin baru ketika itu. Dengan gelaran baru yang menyentap jiwa setiap kali ditutur, kami berdoa moga tidak luntur.

Itu bibit-bibit kata yang saya masih ingat ketika kami ’bertawaf qudum’ di tasik shah alam. Berjalan berdua-duaan mengelilingi tasik yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Hanya sesekali yang dapat dihitung jari saya dan teman-teman beriadah sewaktu kami menuntut di UiTM Shah Alam.


Perkongsian kami ketika itu masih kepada cerita-cerita sendiri dan peribadi lantaran kami tidak pernah berkongsi sedikit kisah sebelum ini. Namun, kami tidak lupa menggali tips dan petua. Sempat kami menyelit kisah dari laman ustaz has dengan isteri. Bagaimana ummu saif menjeling mata sebaik title panggilan berubah dari sayang menjadi ummi. Itu bukan hal yang serius, namun mungkin perkara ’lumrah’ yang disedari seorang isteri.

Berubah gelaran dengan tanggungjawab yang kian bertambah…
Berlainan seruan menyedari fokus yang kian berubah..
Namun berharap nilai-nilai romantic tidak hilang dimamah amanah.

Namun begitu, sebanyak hal kami sempat bicarakan. Perkara tersebut terus melekat dalam fikiran saya.

Kini bertiga.

Rupanya ada yang mengikuti blog ini dan melihat perkembangan keluarga saya. Sebenarnya saya juga ingin mengelakkan dari terlalu kerap membuat posting secara terlalu personal berbentuk diari maya. Sekurang-kurangnya saya menyelitkan sedikit dengan pengalaman yang mampu dikongsi.

Benar.

Saya perasan, perkongsian ilmu berselit pengalaman keluarga saya tergantung-gantung di tengah.

Untuk saya menyambung bercerita detik-detik awal kelahiran adalah suatu yang amat-amat lewat pada masa sekarang. Mengimbau kembali bagaimana kami menanti kelahiran zuriat sulung dengan penuh debar dan berharap. Debaran dengan pengalaman sulung, hampir 5-6 kes keguguran dari teman-teman rapat yang sampai ke pengetahuan kami. Alhamdulillah, puteri kami lahir pada tarikh sama genap 2 tahun saya mengenali isteri, sebelum dan selepas mula berkongsi hidup. Kami taaruf tanggal sekitar pada 4 Ramadhan 1428H. Nur Sufiyyah lahir normal dengan pancaindera anugerah Allah yang sempurna tanggal 4 Ramadhan 1430H, jam 10.45 pagi. Saat dan ketika yang hampir sama dengan taaruf kami.



Jangan lupa bagi susu ibu


Saya bersyukur kerana dikelilingi oleh teman-teman yang mempunyai kesedaran yang cukup tinggi mengenai susu ibu. Malah sahabat karib saya dan isterinya antara pengedar utama produk dan kelengkapan bagi kemudahan susu ibu. Mereka terus serius dalam bidang tersebut dan mengusahakan perniagaan sendiri berteraskan penyusuan ibu- Moms Basic. Lantas ilmunya turut terpalit walau sedikit.

Risau mereka sebaik mendengar ada teman yang mengambil tindakan berlawanan dengan fitrah dan sunnah yang cukup baik ini. Berkali-kali saya dan isteri diberi pesan oleh seorang teman.

Bukan risau kami tersalah membuat keputusan memilih mengambil formula milk(FM) menggantikan breast feed (BF). Namun bimbang memandangkan tidak ramai ibu yang mampu beristiqamah apatah di saat-saat genting dalam kekurangan susu badan, ditambah pilu mendengar tangisan bayi yang kehausan.

”Ana kesian kat zaujah ana la tuan, tengok dia letih, susu pun kurang lepas mula sambung kerja” kenalan saya berstatus ustaz mula serba salah sebaik disoal saya.

”Dia tuh nama jer Doktor, dah tahu susu ibu tu yang terbaik. Kat hospital kan dah jelas larang bagi FM. Tapi tuhlaa, kesedaran ni bukan pilih manusia biasa ke Dr. ” marah benar bunyinya sebaik kesedaran pri-penting susu ibu menjadi perbincangan kami.

”Aku tak tahan tengok anak aku menangis, misi pulak dok psycho kata anak aku akan dehydrate. Tak tergamak nak suruh isteri menyusu pasal letih bersalin”.

Keluh seorang teman.

”Nanti dapat anak ke dua, mung jangan lupa bagi BF. Boleh tengok laa beza anak pertama dengan anak ke dua mung!!”.

Dia sedikit terkilan. Maklumlah, seorang pejuang tulen susu ibu.

Pernah suatu ketika mereka suami isteri mencampakkan FM yang dihadiahkan ke dalam tong sampah.

”Nanti kalau beri kat orang lain, mereka pula menjadi ’mangsa’”, teman saya bertegas.

Sebaik isteri discharge dari pusat perubatan swasta, kami turut menerima hadiah 2 tin FM yang termasuk dalam pakej mereka. Namun kami tidaklah sampai membuang, susu tersebut diberikan kepada saudara. Biarlah mereka menjadi ’mangsa’, bagi saya andai saya membuang pun mereka tetap berbelanja untuk membeli. Sekurangnya ringanlah sedikit beban.

”Anak kamu sakit, teruskan menyusu ibu...”
”Anak mung kuning, terus menyusu ibu...”
”G6PD pun aku percaya boleh hilang dengan susu ibu”. Merujuk kepada masalah yang dihadapi Sufiyyah.

Memang yakin benar dengan kelebihan susu ibu yang memang hakikatnya begitu.

Pesanan diberikan hampir saban hari. Mengukuhkan lagi azam kami sebelum ini.

Awal kelahiran, dalam kesakitan sebaik melahirkan Sufiyyah, isteri saya sempat berpesan kepada petugas di pusat rawatan tersebut agar tidak memberikan sebarang FM memandangkan kami memilih untuk exclusively BF bayi kami.

”Betul ke nak bagi susu ibu sepenuhnya,” petugas tersebut berkali bertanya saya dan isteri. Mengiringi kami sehingga ke kereta sebelum kepulangan. Dia berasa cukup bersalah kerana rakannya tersalah memberi FM kepada Sufiyyah namun dapat dikesan oleh kami.

Alhamdulillah, saya senang melihat perkembangan yang cukup baik dianugerahkan Allah dengan susu ibu. Allah memang memudahkan kami untuk menguruskan Nur Sufiyyah dari segi feel perangai dan sihat sakitnya.

Malah, giginya hampir-hampir tumbuh sedang perkongsian saya ini masih tergantung.

Bagi yang telah bergelar ibu dan bapa, mahupun yang sedang mengenal budi sebelum menjejak tangga..

Untuk terus beristiqamah sememangnya sukar,
Pengasuh dijumpai, namun selok belok susu ibu masih perlu ditunjuk ajar.
Bukan sekadar isteri, namun suami harus turut berikhtiar,
Mencari suatu nilai disebalik sunnah harus berlapik sabar.

Welcome to the joy of breastfeeding..

AbeJoes


"Read More..."

Friday, October 23, 2009

Sekalung Takziah Buat Sahabat..

Saya baru mempunyai sedikit kelapangan untuk menulis, khabar terbaru mengenai kelahiran puteri sulung kami belum saya muatkan untuk dikongsi bersama.


Dalam rangkak mula untuk saya berkongsi kegembiraan ini, saya dikejutkan dengan berita mengejut salah seorang teman, Ust Ramadhan Fitri dan isterinya, Ukht Khadijah. Mereka diambang ujian yang amat hebat, ujian yang menuntut ketahanan jiwa yang cukup tinggi. Setinggi semangat juang mereka yang sememangnya diketahui.

Gambar dari saifulislam.com

Saya menjenguk laman ust has (saifulislam.com), bayi comel yang di atas dukungan kedua pejuang tersebut begitu menuntun jiwa saya. Tambahan, riak wajah dan montel tubuh, gelap cerahnya mengingatkan saya kepada srikandi sulung dalam rumah tangga kami. Memandang Arwah Adik Nur Fatimah, menyentuh jiwa saya seakan memandang anakanda sendiri Nur Sufiyyah.

Saya jarang bersama Ust Ramadhan, pertemuan kami sekadar dalam program-program bersama. Namun, setiap pertemuan menjanjikan hubungan cukup mesra dengan beliau. Peribadi beliau tidak perlu saya huraikan panjang, ramai mengenalinya melebihi diri saya.

Alhamdulillah, Allah memberi sedikit curahan kasih sayangNya dalam keluarga mereka walau sementara. Menjemput kembali ruh ke hadratNya disebalik wajah suci seorang bayi sememangnya mengikat sedikit secubit rasa hiba saya. Allah lebih memahami mereka.

Takziah buat kedua ibubapa yang tabah ini. InsyaAllah, anakandamu berdua telah selamat di alam sana. Melalui alam-alam seterusnya tanpa sebarang halangan, lantaran ruh suci dijemput Rabbi dalam penuh ketenangan.


abejoes@abejoes.blogspot.com



"Read More..."

Thursday, July 30, 2009

Serupa atau Sepadan..

“Owh, inilah abangnya..” teman sepejabat isteri saya menyapa.

Lama dia memendam soal, semenjak awal kedatangan sehingga sembang kami mula larut.

Bonus baginya, bagus juga bertandang lewat ke majlis, yang pasti 2 keuntungan yang akan diperoleh berbanding tetamu lain. Pertama, mungkin dilayan sendiri untuk menikmati saki baki nasi minyak oleh sang raja sendiri. Keduanya, masa dan peluang lama untuk menjolok cerita sang pengantin.

”Ana ingatkan abang (kandung) tadi, nampak serupa jer”, sambungnya lagi.

Kami masih malu-malu pengantin untuk berseloroh panjang.


“Orang kata wajah hampir sama nie jodohnya panjang,” teman berseloroh dalam berkongsi petua.

Saya sekadar mengaminkan.

SERUPA ATAU SEPADAN

“Kawe rasa demo nie memang betul-betul song (sesuai) dengan zaujah demo tuh,” bicara teman seawal pernikahan kami dahulu.

Saya sedar, dia jua cukup teruja dengan kehidupan baru saya.

“Rasanya nie dah masuk empat kali demo ulang ayat yang sama,” saya menambah dalam semangat yang masih ceria.

Teman saya tersenyum. Mungkin terlupa tuturnya yang sama setiap kali kami bertemu.

Saya teringat seawal perkahwinan, masing-masing dalam proses mengenali hati budi apatah minat pasangan sehidup semati yang masih baru mengisi hati.

”Nanti berhenti kalau ada jumpa kedai keropok kat tepi-tepi jalan,” isteri saya memberi ingatan. Hakikatnya, suatu yang tidak perlu diingatkan. Saya turut mempunyai kegemaran yang sama.

Semasa kami hampir-hampir melangsungkan perkahwinan, isteri saya ditimba dugaan dengan kehilangan motosikalnya.

”Ana nie lesen kereta jer ada, motor tuh ada tapi takde lesen. Road tax pun tak renew,” saya menerima mesej sebaik mencari alternatif perhubungan. Juga persamaan yang mungkin kebetulan antara kami.

................


Isteri saya mula menjeling sebaik kami membuat penemuan baru..

Ya.. Kami menghitung satu persatu…
Mungkin wajah…
Mungkin serba sedikit perwatakan..
Kegemaran..
Lauk kegemaran kami.... makan.. minum..

Hatta kami ketawa sebaik menemui rahsia disebalik celah batang gigi kami...

Hampir setahun ’berkenalan’, kami mula perlahan-lahan mencari dan menghitung persamaan tersebut.

Sehinggalah beberapa bulan lepas saya pula yang tersenyum dengan kisah teman yang mula membangkitkan cerita serta hal-hal sebegini. Cerita berselang senyum sebaik satu persatu persamaannya dengan bakal isteri dikhabarkan kepada saya.

Saya tersenyum.

Namun masih mencari-cari, apa nilai sebenar sebenar disebalik persamaan yang dicari.
Apa hakikat persamaan yang sebenarnya diseru Ilahi..


AbeJoes@http://abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Tuesday, July 28, 2009

Usrah.. Tunjang yang Kian Terabai


Kebiasaannya, saya pulang lewat setiap kali tamat berusrah pemuda sebelum ini.

Adalah cukup awal sekiranya saya pulang ke rumah mencecah jam 12.30 malam. Ghalibnya, sekitar 1.30 pagi.. mungkin menjangkau sehingga 2.00 pagi. Itu rutin mingguan kami. Masih boleh dianggap awal berbanding komitmen teman-teman lain. Cukup sedikit masa berbanding mereka yang benar-benar memberi sepenuh jiwa raga mereka dalam jalan dakwah. Motor saya sudah kuyup dibasahi embun tatkala saya menunggangnya pulang. Terkadang saya berasa sayu sendiri, jiwa saya sering tersentuh lantaran tidak sempat ‘membelai’ dan membalas khidmatnya yang tidak ternilai. Enjinnya tidak merungut walau saya sering menunggang terus tanpa memberi masa untuknya bersedia.


USRAH ITULAH TUNJANG

“Lamanya… apa yang banyak sangat diceritakan,” isteri saya bertanya sebaik kami berkongsi cerita dan pengalaman dalam usrah kami.

Memang lama diukur masa.. tapi tempoh berusrah sekitar 3-4 jam tersebut bagai seketika bagi kami.

Saya masih teringat, seawal penyertaan saya di Wangsa Maju. Suasananya cukup berbeza, kehadiran sehingga mencecah 7- 8 orang adalah suatu yang amat membanggakan.

Alhamdulillah… kini meningkat sehingga 4 kali ganda.

Saya tidak mahu membicarakan hal-hal teknikal dalam perkara ini.
Persoalan tempoh masa..
Jumlah kehadiran yang praktikal bagi sesebuah usrah.
Semua itu, tidak dinafikan penting, tapi bukan keutamaan bagi saya.

KEPOMPONG YANG MENGOKONG

Usrah bukan medan menadah kitab semata-mata..
Bukan juga medan di mana seorang ustaz hebat menabur ilmunya..
Membiarkan para ahli hadir menadah telinga dan ternganga..

Usrah adalah suatu medan diskusi..
Medan mencari solusi terhadap permasalahan para ahli..
Medan menanam kefahaman dan motivasi,
Menyelaraskan tindakan terhadap arahan-arahan terkini..
Lapang sasar dalam mengenalpasti ahli dan mencungkil potensi…

Itulah Usrah bagi saya.

Usrah bukan sekadar tulang belakang kepada tarbiyyah jemaah. Namun jiwa yang menentukan arah tindak ahlinya.

Apakah pendekatan yang lain mampu kita cari sebagai wadah utama tarbiyyah selain usrah dan tamrin yang jarang-jarang diadakan. Ceramah umum?? Forum?? Itu petikan dari persoalan dari Abi, murabbi saya yang lama di alam tarbiyyah.

Saya cukup terharu setelah menghadiri konvensyen nuqaba’ di Wilayah Persekutuan beberapa bulan lepas. Dari 100 lebih penyertaan, hanya belasan sahaja ( mungkin ramai yang terlibat namun tidak mampu hadir) yang mengaku menyertai dan terlibat dengan usrah secara berterusan. Itu sudah dikira pesertanya di kalangan YDP, Setiausaha dan Tarbiyyah kawasan. Bagaimana gamak dengan mereka yang langsung tidak mengenal tarbiyyah.

Bagaimana sebuah jemaah yang mempunyai keahlian yang cukup ramai. Namun teras perjuangan hanya disahut sekitar sekitar 2-3 peratus sahaja. Itu bukan fakta, namun atas anggaran luaran yang mampu dikutip.

Ada apa dengan RUKUN ‘TA’ ?

“Nta kat mana sekarang? Di kampung ke di KL?” mesej awal sebelum teman menagih komitmen saya dengan kerja jemaah.

Sebelum ini, saya menerima arahan terus, namun tidak lagi pada masa sekarang.

Teman saya sedia maklum. Tiada yang berani bertanyakan alasan sekiranya saya memberi jawapan ‘TIDAK’ sebaik makluman program diterima. Seawal saya bertukar title sebagai seorang suami. Perkara pertama yang saya tekankan adalah hal-hal TAFAHUM.

Saya merenung dalam, cuba menghirup segar rasa penghayatan dan praktikal terhadap rukun ini. Kefahaman mengenai tafahhum harus dipraktikkan secara terus, bukan sekadar mengenal diri melepasi tahap taaruf.

Namun tafahum adalah memahami kondisi individu kerana asas dan matlamat kepada Tafahum bagi saya adalah syarat kepada bermulanya proses untuk penentuan amanah itu sendiri. Memahami keadaan seseorang agar amanah yang sesuai mampu diberikan, malah memastikan tahap-tahap penglibatan yang mampu diberikan oleh seseorang dengan limitasi yang dimiliki olehnya.

Tafahum adalah satu keperluan dalam jemaah,

Kegagalan untuk MEMBERI FAHAM dan MEMAHAMI akan mengundang hal-hal yang tidak diingini malah lebih teruk akan mengundang fitnah kepada individu itu sendiri. Ada insan yang terlalu merahsiakan hal-hal dirinya, memandang remeh rutin diri untuk diceritakan dan dirasakan terlalu biasa dan tiada kepentingan kepada jemaah. Namun dia tanpa sedar, kegagalan untuk menjelaskan keadaan dirinya sebenarnya memberi kesan kepada pergerakan jemaah itu sendiri. Bimbang andai saat suatu amanah ditetapkan… maka ketika itulah baru diungkit keluar berjela-jela penjelasan dalam mengkhabarkan batasan diri.


Lebih teruk lagi, penolakan pada ketika itu mungkin disalahertikan sebagai penolakan dan alasan semata-mata. Saya tertarik dengan pendekatan murabbi saya suatu ketika dalam usrahnya, terkadang semasa mengendalikan usrah, saya memerhati beliau meminta teman-teman untuk memberi maklumat yang lain berbanding hal-hal sebelumnya.

“Nta kan pernah berusrah dulu, kenapa nta keluar dari usrah sebelum ini?” sahabat saya mencungkil sejarah teman yang kini lihat makin rapat dan berjaya memberi komitmen dengan usrah kami.

“Ana tak dapat apa-apa dalam usrah tersebut.” Teman membalas.

Saya berhenti menyoal. Namun mengapa hatinya tawar bila terlibat dengan usrah.

………….

MENERUSKAN ATAU MEMBATALKAN

“Apa pandangan saudara-saudara sekelian, adakah saya harus meneruskan usrah tersebut,” abi melontar soal dalam konvensyen yang sama.

Puncanya mudah, setelah tugasan diberi dan sesi bacaan dan tasmi’ ayat-ayat al-Quran yang bagaikan satu kegerunan bagi ahli usrahnya. Kehadiran mula merundum mendadak.

“Ana tidak nampak soal kegerunan dengan silibus, tapi masalah KEPERCAYAAN dan IKATAN antara ahli usrah,”
saya memberi pandangan.

Dalam usrah kami, terdapat ahli yang amat hebat bacaannya, ada ustaz-ustaz tahfiz, ada imam rawatib ada juga ahli yang masih bertatih dengan bacaannya.

Asas KEBERANIAN tersebut adalah;

Yang lemah FAHAM bahawa dirinya lemah, dan FAHAM saudara seusrahnya adalah insan terhampir yang akan membetulkan dirinya.

Yang lemah tetap berusaha dengan bacaannya yang merangkak-rangkak, kerana sedar adik-beradik seusrahnya FAHAM situasinya dan tidak akan menceritakan kelemahan yang dimilikinya kepada insan lain.

………

Nta berdua tolong pasang banner yea,” teman kami menerima arahan tanpa banyak soal.

Kerja-kerja tersebut mungkin kecil pada pandangan insan biasa. Namun saya cukup terharu tatkala melihat kesungguhan teman-teman yang baru berjinak-jinak dengan jemaah melakukan kerja-kerja yang tidak sanggup dilakukan oleh manusia-manusia ’suci’.

Mereka terus meredah kegelapan dan kedinginan malam sebaik usrah tamat. Memanjat pokok-pokok dan tiang-tiang kotor.
Mencari ’port-port’ yang sesuai untuk melakukan tugasan yang diamanahkan.
Mereka melakukan tanpa perlu teman-teman yang ramai di sisi.
Namun mereka berasakan semangat teman-teman yang turut bersama.
Keperitan dan pengalaman tersebut sebaiknya cuba dirakam untuk diceritakan kembali.
Cerita dikejar anjinglah diingati mereka..
Sengsara terjatuh pokok menjadi jenaka...

Apa yang tersemat dalam perasaan mereka..

“Memang aku tiada ilmu yang mampu dikongsi… namun inilah cerita-cerita menarik yang pemuas hati melihat senyuman teman seusrah nanti,”


abejoes@ http://abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Thursday, July 2, 2009

MEMANDU AKAL, MEMIMPIN JIWA

“Ana nak tanya, kenapa sampah kena diletak tempat tak elok. Tempat-tempat busuk Bukankah kita perlu hormat sampah tuh, dia pun makhluk Allah?” Teman saya menyoal.

Saya serba salah samada ingin melayan atau tidak sebaik diasak soalan sebegitu. Dalam benar hatinya menyelami. Hatta baginya tidak sanggup melihat sampah yang seharusnya ‘dilayan’ begitu.

“Hmm.. kalau begitu. Ana rasa elok kita tak payah buang pasir-pasir dalam masjid yea. Mereka pun nak iktikaf juga,” saya cuba menjawab dan memberi saranan, mungkin tidak menjawab.



Saya berjalan pulang sambil merenung kembali. Saya tidak salahkan diri teman yang mula berubah corak pemikiran dan penghayatannya. Cuma risau-risau, terkadang, manusia terasa kagum dengan dalamnya dirinya menjiwai sesuatu. Apatah menjiwai hal-hal ketuhanan yang terkadang bermula tanpa satu asas yang membuat penilaian akalnya.

ANTARA AKAL DAN JIWA

Saya jarang melayari blog-blog yang meletakkan isu politik yang bersadur analisa dan hipotisis akalan sebagai perbincangan teras. Bukan saya kurang berminat dengan penulisan tersebut, namun berasa kurang selesa dengan dugaan melampau golongan cerdik pandai sebegini. Saya juga tidak berminat untuk menjadi manusia hebat dengan menganalisis terhadap sebarang hidden agenda yang bermain di sebalik politik. Saya lebih selesa menjenguk laman-laman ilmu dan dakwah yang menyelit sama peranan jiwa dalam memberi keseimbangan akal dalam menulis namun tetap menjentik akal untuk turut berfikir.

Bukan saya menafikan pandangan bijak pandai dan para penganalisis tersebut. Tapi kerisauan makin memuncak melihat peranan akal mempengaruhi penulisan-penulisan golongan sebegini. Lantas menafikan peranan dan pergantungan Ilahi dalam membetulkan tindakan.

Sesetengah golongan mengutamakan jiwa dalam penulisannya tanpa menghidupkan peranan akal. Ada manusia yang hebat menyanjung kebijaksanaan diri lantaran apa yang diutarakan adalah suatu yang tidak mampu dicapai pemikiran insan lain seterusnya menenggelamkan unsur jiwa dalam penulisannya.

Itulah realiti yang wujud.

Namun itu adalah penyakit yang cukup bahaya bagi manusia yang beragama.

IKUT JIWA BINASA..

“Iman tidak terbina dengan pergantungan akal semata-mata. Juga tidak semata-mata kita bergantung dengan jiwa. Namun adalah gabungan kedua-duanya. Mengambil salah satu dari keduanya sebagai prasyarat dalam menilai kesahihan iman akan menjerumuskan kita dalam kebinasaan,” itu yang mampu saya simpulkan

Saya ingin membawa satu contoh kepada saudara sekelian dengan hal sebegini.

Cuba antum bayangkan, dari kecil antum dibesarkan di sebuah rumah. Antum bermain di sekeliling rumah tersebut, menjalani kehidupan senang susah di situ sehingga besar. Sehingga di situ terkumpul segala kenangan dan nostalgia dalam diri. Sampailah pada suatu hari, ada arahan mengarahkan rumah yang antum diami dirobohkan. Maka, bila melihat rumah yang selama ini cukup rapat dengan jiwa antum yang musnah bersama 1001 kenangan yang selama ini disimpan. Andai pada ketika itu antum tengok tiada satupun yang boleh antum selamatkan kecuali satu keping bata sebagai tanda ingatan antum terhadap nilai nostalgia tuh. Antum rasa akan terima atau tidak untuk simpanan buat kenangan diri??,”

Mungkin mereka yang menggunakan akal akan menolak. Tapi tidak bagi yang berjiwa. Kerana jiwa itu tempat bersarangnya segala rasa. Lubuk kepada cinta.

Rasa yang tidak didasari pemikiran inilah yang akhirnya pada suatu masa dipandang tidak salah akhirnya membawa manusia kepada penyimpangan yang jauh.

Hebatnya rasa jiwa, cinta dan kerinduan yang bermain di lubuk hati menyebabkan semua nostalgia hidup mampu dikumpul dalam sekeping bata tersebut yang masih berbaki.

Bagi generasi pertama.. atas rasa cinta dan kecenderungan melayan jiwa. Mereka mungkin masih mampu bergelak ketawa dan tersenyum mendengar cerita sebaik memandang sekeping bata tadi.

Generasi ke dua.. nostalgia tadi mula samar kerna mereka tidak pernah menuai kasih di rumah tersebut. Bagaimana mungkin untuk terus menghayati cerita dan berkongsi kisah-kisah dengan memandang sekeping bata.

Generasi ke tiga.. langsung tidak mengetahui apa cerita di sebalik bata. Maka bertukarlah peranan bata tersebut dari niat asalnya. Tengok batu kena senyum dan gelak.

Apa punca?? Kerana jiwa yang tidak disalut akal.

Kerana itu, manusia tidak akan rasa bersalah sebaik mereka terlibat dengan ajaran-ajaran serta tarekat-tarekat yang sesat.. Apa tapisan yang mereka gunakan? – Mereka hanya menapis dengan JIWA. Hasil jiwa mereka selesa dengan perbuatan mereka Dan bagi mereka SELESA itulah KEBENARAN.

Begitulah bagaimana jiwa memandu kesesatan.

AKAL YANG TIDAK MENGENAL RENDAH

Ada golongan yang tidak menerima peranan jiwa dan hati.

“Buat apa kamu sembahyang, kalau kamu masih melanggar lampu merah,”
“Tidak perlu untuk kamu memeluk Islam, asalkan kamu terus menjadi manusia yang baik,”

Saya terkedu mendengar kata-kata insan sebegini. Bagaimana imannya membezakan antara syariat dan akhlak. Mereka menafsirkan persoalan iman, syariat dan akhlak dengan kepala mereka sendiri.

Bagi mereka golongan yang mengutamakan hati adalah golongan yang terlalu lemah. Tidak berfikir dan golongan yang mudah dicucuk hidungnya.

Maka mereka berlumba-lumba mencari bukti. Mereka tidak menerima sesuatu tanpa disahkan oleh mata dan kepala mereka. Bagi mereka, iman adalah suatu yang harus dibenarkan terlebih dahulu oleh fikiran mereka. Mereka berusaha terus meneroka dan meneroka. Mereka melupai hakikat iman itu juga adalah suatu yang seharusnya ditanam dalam hati mereka dan tidak mampu dipandang dan dianalisa oleh mata dan akal bijak mereka.

Mereka menolak bahkan mencabar saat timbul hal iman itu tidak selari dengan akal mereka. Mereka mula bongkak dan taajub dengan idea-idea dan pemikiran mereka yang sekadar bermain dengan sangka. Mereka mula mencabar ayat Allah dan Hadis yang janggal dari pemikiran normal manusia. Mereka tidak memandu hasil-hasil pandangan mata dan akal mereka untuk disimpan dalam hati mereka seterusnya menzahirkan kerdilnya diri. Mereka terus menggeledah dan mencari dengan rakus. Membuktikan kepada insan sekeliling kehebatan dan kemampuan batasan akalnya berfikir. Semakin sasau insan-insan lain kepeningan untuk memahami hujjah dan kata-kata mereka, maka mereka tersenyum sinis bersulam kesombongan yang dibina.

Golongan inilah, manusia yang turut cenderung untuk kufur kepada Penciptanya, makin tebal angkuh yang tertanam. Mereka adalah golongan yang jelas menolak sembahan-sembahan berhala, kerna jelas tidak diterima oleh akal-akal mereka. Namun mereka adalah kufur biadab dengan Tuhannya lantaran mereka adalah pemuja-pemuja akal. Mereka berasa malu untuk meletakkan akalnya yang disanjung ke tempat yang paling rendah, serendah kakinya berpijak. Risau andai berkurangnya pintar dan cerdik yang dirasakan milik sendiri.

…………

“Dah buku tulis macam tuh, awak baca sahajalah,”

Saya tersenyum puas setelah pensyarah gagal memuaskan hati saya setelah kami bermain ayat. Satu perbuatan paling bodoh yang saya pernah rasakan lantaran akal yang tidak terurus. Saya memohon ampun atas keterlanjuran tersebut.

Pernah suatu ketika saya bertemu dengan kaunselor lantaran perasaan RISAU sudah mula hilang dari sanubari saya. Saya mampu untuk membiarkan diri sehingga tidak melahirkan sebarang usaha lantaran akal yang terlalu yakin. Juga gara-gara akal yang tidak dididik.

Suatu ketika… saya bertanyakan teman-teman persoalan diri. Namun akhirnya saya sendiri memberi penyelesaian setelah jawapan dari teman-teman kurang memuaskan. Juga satu kebiadaban akal yang tidak meraikan akhlak.

………………..

MEMANDU AKAL, MEMIMPIN JIWA

Saya sudah serik dengan akal menjadi manusia yang terkadang biadab dan bongkak dengan akal yang tidak terdidik. Sehingga saya menyedari hakikat diri;

“Sesungguhnya malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tidaklah merasa enggan menyembah Allah dan mereka mentasbihkan-Nya dan hanya kepada-Nya-lah mereka bersujud”
Al-A’araf:206

Jiwa.. suatu yang cukup berseni dan terselit halus. Kerna itu, ia disimpan ditempat yang paling terceruk dalam susuk manusia. Seni dan halusnya sehingga seluruh tubuh mampu mengalah saat jiwa menguasai diri. Kekuatan jiwa, adalah kehebatannya membeli pancaindera lain tanpa sebarang paksa. Sedih.. pilu.. rindu.. cinta.. puja..semuanya sifat-sifat yang tidak mungkin difahami kecuali oleh pemilik-pemilik jiwa dan Pencipta.

Akal.. anugerah Allah yang dimuliakan dengan diletakkan di sudut paling tinggi dalam tubuh manusia. Kerna itulah, sekerdil mana manusia… akan terasa tinggi dengan tingginya akal. Sebesar manusia manusia, akan terasa kerdil andai kerdilnya akal. Lantaran itu, padanlah dengan sifatnya yang sombong.. meninggi andai tidak terurus… sombongnya melebihi ketinggian empunya diri. Melangkaui sempadan bumi… kerana tingginya jangkauan yang mampu diterokainya.. kerna itu sampai ketika ketinggiannya menjelajah hingga menguji dan mencabar kuasa Ilahi. Kerna itu, ajarlah akalmu untuk tahu adabnya merendah diri kala berhadapan dengan Pencipta. Sehebat mana pemikiranmu, pastikan akalmu tahu saat diri harus menyembah hina.

Jiwa dan Akal harus dipandu… Pemandunya adalah Ilmu. Tiang ikatnya adalah iman. Mempunyai jiwa yang halus tanpa iman jadahnya kesesatan. Mengagungkan Akal tanpa sempadan iman bahananya kekufuran dan keengkaran. Hasilnya tetap ke destinasi yang sama, neraka Allah (nauzubillah) Berjaya memandu dan menguruskan kedua anugerah Tuhan ini, membawa kepada pengabdian dan pengagungan Rabbi yang tidak bertepi.



AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Tuesday, May 5, 2009

Memperkasa Kepimpinan Ulama'

Alhamdulillah.. dalam kesibukan yang dibuat-buat. Allah jua yang mempunyai perancanganNya dan mengatur yang terbaik buat saya.

Lebih 5 bulan saya berulang alik menaiki bas menjenguk isteri. Saya cuba mencari alternatif baru. Alhamdulillah.. 2 kali berulang alik menggunakan perkhidmatan air asia dalam sebulan lepas, benar-benar suatu yang saya rasakan agak praktikal. Masa bersama isteri saya rasakan sedikit panjang walau waktu yang diperuntukkan tidak banyak bezanya.

Saya memanjatkan syukur, kebiasaannya kebanyakan program-program pemuda jatuh pada hari ‘giliran’ saya berada di kawasan. Terkini, muktamar Pemuda Wilayah dalam beberapa hari lepas.

Perjalanan muktamar lancar.
Pemilihan berjalan dalam suasana penuh mahabbah antara kawasan.
Usul-usul dibahas dengan tenang serta hujah yang mencari keredhaan dan kebenaran.

Dalam kerancakan muktamar, ada teman yang menghampiri dan bertanyakan pandangan saya mengenai perlantikan Presiden dan Timbalan yang meletakkan syarat WAJIB dari kalangan ulama’. Cumanya, apakah yang dikehendaki dengan tafsiran sebenar ulama’ tersebut?? Takpelah.. saya cenderung mengatakan mungkin perkataan ulama’ yang dimaksudkan adalah sebagaimana yang difahami umum.

Walau saya cenderung agar Golongan Ulama’ harus diberi keutamaan, namun tidak diwajibkan asalkan calon tersebut;

1. Memahami organisasi PAS yang meletakkan Majlis Syura sebagai penentu keputusan jemaah.Tiada sebarang persoalan andai seseorang pemimpin itu dipilih dari golongan manapun ASALkan calonnya telah diputuskan oleh Majlis Syura yang hakikatnya adalah golongan ulama’.

2. Dia mampu memandu dan menyandarkan keputusan atas petunjuk Allah bukan sekadar kebijaksanaan sendiri semata-mata.
3. Jemaah tetap dipandu Mursyidul Am yang pastinya dikalangan Ulama’
4. Seorang yang mempunyai Kriteria kepimpinan yang lengkap-karisma, pengalaman, tawadhuk, tajam fikiran, syakhsiah yang luhur dan mempunyai Tsaqafah Ilmiah yang mantap.
5. Seorang yang beramal dengan ajaran Islam dengan sepenuhnya.
6. Seorang yang hidup atas jalan Tarbiyyah dan Dakwah, dan WAJIB melalui susur galur Tarbiyyah dalam Jemaah.
7. Mereka yang menghormati ulama’ dan mengambil kira pandangan ulama’ terlebih dahulu dalam sebarang keputusan.
8. Seorang yang memperjuangkan/menyokong kepimpinan ulama’.

Moga Allah memandu saya dan membetulkan saya dengan pandangan teman-teman.


p/s: Serba salah nak letak tajuk, takut salah faham kata kepimpinan ulama’ belum cukup perkasa. :D
Khusyuk mendengar perbahasan teman-teman



Membahas laporan... gaya auditor bertanyakan laporan kewangan



AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Monday, May 4, 2009

Maafkan Aku Ya Tuhan..

Maafkan aku Ya Tuhan..
Hari ini aku sebagaimana biasa.. tersedar dari jagaku,
Sedangkan hatiku terus alpa dari mensyukuri nikmatMu,
Bangun dan bangkit dengan segenap keresahan terhadap duniaku..

Maafkan aku Ya Tuhan..
Keresahan dan kerisauan terhadap diri dan anak isteri,
Menjadi keutamaan diri sebaik lena diulit mimpi,
Sedangkan tidak ku sedar, nyenyak malam tadi dibaluti kehangatan selimut kasihMu…

Maafkan aku Ya Tuhan..
Terkadang aku terlalu asyik dan terleka,
Dalam keseronokan dan kedinginan malam itu,
Sedangkan Engkau telah lama bersedia dan tiada murka atas janji yang sering ku dusta,
Janjiku untuk bertemu denganMu dan bercerita kepada diriMu yang sentiasa bersedia,

Maafkan aku Ya Tuhan…
Melabuhkan kehidupan pada malam tadi,
Dengan kehidupan yang saban mencengkam hingga mata terpejam,
Sedangkan Engkau, tersenyum dan setia menghantar hela nafas buatku,
Saat sekujur badanku tiada sebarang upaya,
Saat kasihMu kubalas alpa,
Tanda kasih dari Pencipta.

Ya Tuhan…
Aku mencari dunia yang ingin kubina dalam mimpiku malam tadi,
Tidak kusedar, itu sekadar ikhtiar seorang hamba,
Aku ingin membuka seluasnya pintu kebahgiaan dengan ikhtiar sendiri,
Namun aku terlupa, siapa pemegang kuncinya,
Aku cuba selongkar segenap harta yang tersembunyi,
Khazanah itu adalah perbendaharaan milikMu hakikatnya..

Ya Tuhan,
Izinkan aku untuk kembali..
Menyantap walau sedikit halwa-halwa syurga…
Dulu mungkin berada digenggamanku andai sedikit sabar..
Moga pelayan anak kecil itu kembali..
Senyum meleret membawa setanggi



AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Friday, March 13, 2009

Dakwah- Berusahalah Untuk Menyeru

“Ana bukan tak nak bercakap. Ana tak layak bercakap,”

Hati saya mula tidak senang.

 Ana tak layak lagi Joe, takpelah.. nta jelah bagi tazkirah,” Teman saya menyambung terus menundukkan kepalanya, tanda bersedia menadah telinga. Berkali saya menjemput untuk menyampaikan sedikit pengisian. Hampir setiap kali itulah pelawaan saya ditolak dengan ‘lembut’. Maka terpaksalah saya yang ‘tidak malu untuk melakukan dosa’ memberanikan diri untuk terus bercakap. Saya menjemput bukan kerana tidak mengenali, malah saya terkadang mengkagumi teman-teman yang penuh ilmu yang dikutip segenap ceruk. Kefahaman yang bagi saya sudah cukup untuk dialirkan kepada teman lain di sekeliling.

Berusaha mengenal Ilahi, namun tidak menyedari perangkap yang bermain di sekeliling diri.

JALAN BERISIKO ATAU SELAMAT

Ana faham, terkadang bukan semua yang kita lafazkan tuh kita mampu buat. Tapi jangan pandang kata-kata kita setakat kata-kata sahaja. Betulkan niat elok-elok, anggap apa yang kita bicarakan nie bagai doa buat diri. Moga-moga Allah bagi kekuatan untuk kita amalkan. Bukan kita mendabik dada hebat dengan ilmu yang kita sampaikan. Tapi doa untuk diri. Kalau diri masih takde kekuatan, sekurang-kurangnya apa yang nta sebut tuh mungkin mampu menjentik hati orang lain,” saya memberi semangat.

Ya!! Ketakutan untuk berbicara bukan lantaran kegersangan ilmu. Tapi akibat sikap berlebihan dalam menilai amalan diri. Risau juga saat ayat yang umum diketahui rata-rata bermain di kepala. Ayat ini terpasak hebat dan paling memberi kesan kepada jiwanya, dipegang sehingga takut untuk terus berkata-kata. Setiap kali jiwa ‘berdosa’ ingin memberi ingatan, setiap kali itu jualah syaitan memainkan ayat Ilahi buat mengekang diri..


"Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa Yang kamu tidak melakukannya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya."
As Soff: 2-3

Risaunya memuncak sebaik terbayangkan ayat sebegini. Kerisauan yang akhirnya membendung diri dari terus menyampaikan suatu buah fikir yang mungkin terselit kelebihan dan mampu menyuntik semangat teman-teman. Fikirannya terus hebat dipasak dengan kegerunan hingga menjadikan lidah dan tubuhnya kaku. Ilmu-ilmu yang dikutip berkubur disebalik mulutnya yang terkunci rapat dan tindakan yang tidak mampu dilihat.

Kerisauan yang terbit sehingga tidak mendatangkan sebarang tindakan.
Namun lebih ditakuti… talbis iblis ini terus menyerang sehingga empunya diri tidak berusaha untuk mengamalkan atas alasan.. SAYA TIDAK PERLU RISAU UNTUK TIDAK MENGAMALKAN LANTARAN SAYA TIDAK PERLU BERCAKAP / MEMPERKATAKAN KEPADA ORANG LAIN.
Mereka terus hanyut,
Hanyut dengan jerat yang tidak mahukan pendakwah untuk terus berkata-kata mengenai kebenaran dan kebaikan…
Juga terus hanyut dari berusaha untuk mengamalkan kebaikan serta berasa selamat dan tidak bersalah andai tidak melaksanakan kebaikan yang tidak mungkin dibicarakan.

Itulah permainan yang terkadang menjadi satu pertimbangan yang terkadang sukar untuk kita pilih. Memilih antara ‘jalan berisiko’ dengan murka Tuhan, bercakap tapi masih banyak yang harus diperbetulkan. Ataupun ‘jalan selamat’ , terus berdiam sehingga waktu ‘suci’ yang melayakkan bicara, namun masih tidak diketahui bila.

Benar..
Berdiam jalan selamat dan dianjurkan sunnah…
Namun berdiam yang bagaimana??

…………….

SIAPA KITA UNTUK MENDAHULUI TAQDIR TUHAN??

“Kalau belajar banyak-banyak tak amal.. tak berguna jugak..”

“Saya bukan tidak mahu belajar, saya risau tidak mampu mengamalkan apa yang saya belajar. Nanti ilmu akan jadi ilmu yang tidak bermanfaat”

Nadanya berbeza, namun maksudnya hampir sama..

Siapa kita untuk mendahului taqdir Ilahi andai begitu cara kita berfikir? Tidak meneruskan tuntutan agama dalam menuntut ilmu dengan alasan risau sekiranya ilmu tidak mampu untuk diamalkan.

“Kita menuntut ilmu ibarat anak kunci, mencari kunci rahsia untuk mendekatkan diri dengan Ilahi. Bagaimana untuk membuka gedung ilmu Ilahi selagi kunci-kunci belum diselongkar, di cuba.. di usaha .. sedangkan kita tidak mempunyai kunci. Kita tidak tahu dari mulut siapakah kita mampu menemui ilmu yang mampu merubah diri, kita juga tidak tahu bilakah ilmu yang kita pernah pelajari memberi makna kepada diri dan mencetuskan satu perubahan. Mungkin ilmu yang pernah kita dengar hari ini sepuluh tahun lagi baru dibuka tabirnya oleh Ilahi, mungkin juga yang kita fahami hari ini rupanya pernah kita dengar suatu masa dahulu,” saya memberi pandangan sebaik diminta naqib.

Amat rugilah bagi mereka yang tidak mencari untuk mengenal jalan agama atas alasan yang seremeh begitu. Mungkin manfaatnya kita tidak sedar, mungkin manfaatnya dapat dilihat dengan mata kasar. Namun yang pasti dan sebagaimana diseru para ulama’, selagi mana tuntutan atas dasar ikhlas kerana Allah, pasti di sana terselit manfaat.

Saya hidangkan satu contoh yang mudah;

Mungkin saudara/ri pernah belajar di universiti suatu masa dahulu, andaikan saudara/ri terpaksa berulang-alik ke kampus setiap hari. Perjalanan ditempuh merentas berpuluh kilometer, terpaksa membayar tol serta minyak dalam perjalanan tersebut, harus bertolak awal memastikan diri tidak terlewat, malah masa yang banyak diperuntukan. Masuk tahun ke 2.. saudara/ri mulai biasa dengan keadaan tersebut. Memasuki tahun ke 3 dan ke 4.. saudara/ri terus berkeadaan sedemikian. Sehinggalah pada beberapa minggu terakhir saudara/ri akhirnya mengetahui bahawa hakikatnya terdapat jalan yang lebih dekat untuk dilalui, masa yang beberapa minit, tol dan minyak sehari saudara/ri sebenarnya mampu dijimatkan sehingga seminggu, sebenarnya saudara/ri tidak perlu berkejar-kejar ke kampus. Tapi saat tersebut, saudara/ri baru menyedari hakikatnya pengajian saudara/ri sudah hampir tamat. Jalan tersebut mungkin sudah tidak mungkin dilalui lagi selepas ini. Saudara/ri mula menghitung berapa ruginya umur saudara/ri yang lama terbuang, berapa banyaknya duit yang telah dibazirkan. Malah berapa bodohnya diri saudara/ri lantaran tidak mengetahui jalan tersebut seawal mungkin.



Apakah jalan tersebut??

Itulah Jalan Ilmu..

Mendapat ‘Ilmu’ mengenal handphone tiruan berbanding asli pada usia 15 tahun sebagaimana anak muda sekarang, menyelamatkan dirinya dari tertipu bermula dari umur 15 tahun sehingga akhir hayatnya..

‘Ilmu’ mengenali kedai yang menjual barang-barang yang murah pada usianya 20 tahun, menjimatkan cukup banyak duitnya berbanding menemui kedai tersebut setelah berusia 40 tahun.

‘Ilmu’ mengenal seluruh jalan dan lorong di sebuah bandaraya yang sesak semasa berusia 25 tahun, menjimatkan umurnya yang harus dibazirkan di atas jalan raya lantaran kesesakan berbanding mengenal saat diri hampir di waktu persaraan.

Andai ilmu sebegitu… mampu dikutip dan dihitung manfaatnya. Dicongkak jimat ringgitnya, jimat masanya, terselamat dari tertipu. Apatah lagi mengutip ilmu yang PASTI menjamin keselamatan buat diri.

Maka, apakah ilmu yang PASTI memberi keuntungan dan manfaat tersebut??
Itulah Ilmu mengenal Jalan-jalan Agama, ilmu yang tidak terhitung keuntungan yang mampu kutip. 
Apakah manfaatnya??
Andai mengenali arak itu suatu yang haram pada usia 30 tahun berbanding diusia10 tahun… maka saudara/ri sebenarnya diambang bahaya dalam 20 tahun sebelum menemui ilmu tersebut.

Sekiranya hanya mengenal hakikat zina itu haram sematang usia 40 tahun berbanding gelodak nafsumu seusia 15 tahun.. saudara/ri sebenarnya bagai meniti ditebing-tebing neraka sepanjang 25 tahun tersebut.

Apatah lagi sekiranya diusia 50 tahun baru mengenal apa itu Taghut, berapa kali agaknya kita mencabar kuasa Allah sehingga suatu yang memberi makna hadir ke dalam diri.

Maka, sebagaimana jauhnya mereka yang belajar tadi untuk menempuh jalannya menuju ke kampus. Kita juga lebih jauh dan tidak terbanding jauhnya untuk menuju rahmat Ilahi. Dosa-dosa yang terhasil menjauhkan kita dengan Ilahi.. Jalan Yang Satu untuk menuju Syurganya harus diredah terlebih dahulu dengan bakaran Neraka penuh azab. Namun mungkin terus kekal lantaran tidak memahami batas-batas aqidah. Nauzubillah…

Maka, kenalilah jalan Allah dengan mengenali siapa yang menunjukkan jalan tersebut…


dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) Yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

Al-An’am : 153

Serta FirmanNya lagi;

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Ali Imran: 31


BERCAKAPLAH WALAU BERAT

Saya teringat hal pernah berlaku suatu ketika semasa masih menuntut di universiti.

Minggu yang amat sibuk, saya sering diundang memberi ceramah dalam kuliah subuh dan maghrib kepada adik-adik semasa di universiti suatu ketika dahulu. Keasyikan saya menyebabkan saya terlupa dengan situasi teman-teman lain. Namun dalam perjalanan pulang jauh dilubuk hati saya satu suara menyeru dan mengetuk nurani. Ya Allah!!! Saya hebat menasihati adik-adik, namun bagaimana teman-teman. Mereka lebih layak untuk aku utamakan.

“Teruknya aku…. Seminggu ini aku ke sana ke sini beri ceramah untuk adik-adik. Minta adik-adik jadi baik, belajar elok-elok. Suruh buat tuh.. buat nie. Tapi aku terlupa kamu semua... orang paling dekat dan serumah dengan aku. Bagus ke orang macam nie??” air mata saya membenih. Jiwa saya tidak dapat menahan sebak. Saya memanggil seluruh ahli rumah dan menyatakan isi hati. Suara saya kian tersekat kerana kesal yang mendalam. Kesal dengan diri yang mula terlepas pandang terhadap teman-teman.

Titis air mata kesal saya menyebabkan teman mula akur dan mengerti. Masing-masing memberi perhatian serta berusaha membetulkan tindakan.

Tapi saya tidak menafikan, titis kesal yang timbul adalah dengan kehendakNya saat lidah-lidah yang berdosa berbicara dalam berdoa. Moga bicara mampu mengikis noda-noda diri. Namun masa sama, merintih merayu moga dipalit cintaNya.

Teman.. 
Usah hentikan lidahmu ..
Berusahalah untuk terus menyeru…

اصلح نفسك وادعوا غيرك

“Perbaikilah dirimu serta serulah jiwa-jiwa yang lain”




AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Wednesday, March 11, 2009

Himpunan Mansuhkan PPSMI

Sedikit koleksi dari teman-teman seperjuangan Pemuda Wangsa Maju.







Berarak mencari 'mangsa'..


Menyelamatkan diri dari gas pemedih mata..





'Kolam Ajaib'... penawar mata pedih..


Kembali meneruskan perjuangan..

Di sekat gerombolan FRU..



Fitrah semasa berdemo...


Pacutan yang tak kenal tempat.. termasuk masjid..



Teman-teman yang marah dengan tindakan keras FRU..



Teman-teman seperjuangan DPPWM..



Teman2 pemuda bersama Dato' A. Samad Said di Melewar..
"Baru saya sedar begini sukarnya untuk memperjuangkan sesuatu" - lebih kurang begitulah kata-kata beliau yang turut terkena tempias semburan FRU..



AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Wednesday, March 4, 2009

Dakwah- Nasihat Peringatan atau Ugutan

“Kamu tak lalui lagi, nanti bila sampai giliran kamu tahulah macam mana sukarnya,”

Itu bicara jiwa yang kian tersasar. Namun lafaz tersebut adalah jalan pintas mematikan hujjah.

Mahu menafikan kefuturan diri. Dengan cita-cita masih berada pada landasan yang benar.
Fitnah yang hebat melanda, setelah beban dakwah kian memuncak.

Dia mula terasa kesan dengan tanggungjawab diri yang kian bertambah.

Apa bicara sebenarnya??

PERINGATAN ATAU UGUTAN??

“Adik-adik, berhati-hati dengan ujian diluar. Sebenarnya ujian perjuangan sebenar adalah di luar sana,” seorang senior membuka bicara setelah diminta. Tapi nada bagai memperlekeh perjuangan yang masih baru ditempuh adik-adik.

Yang lain mula menambah,

“Yang kita belajar di sini hanyalah teori semata-mata, kita sekarang berada dalam zon selesa. Kita akan bertemu dengan medan sebenar dan ujian yang hebat bila berhadapan masyarakat,” gah bunyinya. Tambahan lain yang menyebabkan adik-adik kian kecut perut untuk menempuh alam seterusnya.

Hati adik-adik mula berbisik,“Biarkan kami terus berjuang di medan universiti, biarlah berjuang bukan pada realiti yang sebenar. Biar kami dicop mereka yang tidak tahan dengan ujian dan tekanan”. Risau tergelincir mendengar amaran senior yang ‘lebih berpengalaman’.

Adik-adik diam. Tiada hujjah untuk menyangkal. Siapalah adik-adik untuk berlawan hujjah dalam kecetekan pengalaman.. sekadar membenarkan kata-kata abang dan kakak yang ‘banyak pengalaman’, dipandang dan dikutip kisah yang cuba ditabur.

Saya cuba memerhati lafaz-lafaz kata para senior yang baru bertatih di alam kerja, baru melangkah alam rumahtangga memberi ‘amaran’ dan ‘ancaman’ kepada adik-adik yang setia mendengar. Walau rata-rata menggunakan bahasa yang berbeza, namun dengan maksud yang sama.

Kesian… suatu amaran diberikan. Namun tiada penyelesaian yang disuap kepada adik-adik.

“Sebenarnya, pokok pangkal adalah hati. Kalau antum berjuang di sini kerana semangat, maka di sana antum tidak akan temui lagi semangat tersebut. Kalau antum berjuang untuk temani kawan-kawan, maka antum akan berpisah dengan mereka selepas ini. Namun andai antum berjuang atas dasar kefahaman dan tunjuk yang kita nie memang lemah di sisi Allah. Mohon supaya Allah bimbing antum untuk lepasi setiap halangan tersebut. InsyaAllah, Allah akan membimbing antum untuk lepasi semua halangan-halangan yang terlalu ditakut-takutkan kepada antum,” saya memberi ingatan, menyuntik semangat setelah letih mendengar muhasabah setiap senior. Moga tidak memandang halangan sebagai suatu yang berat. Menganggap ancaman sebagai suatu musuh besar yang sedia menanti. Mungkin rebah tersungkur dalam menempuh alam yang bakal ditempuh.

……………

“Dia merajuk dengan ana tuh Joe, mungkin terasa bila ana smash untuk minta dia luangkan sedikit masa untuk hadiri usrah. Usrah kita pun bukan selalu, paling kerap sebulan sekali. Ana minta dia spend masa 2..3 jam sebulan untuk alumni. Bukan lakukan kerja pun, just hadiri usrah,” sahabat saya sedikit mengeluh dengan teman kami yang mula bermain alasan. Dia terpaksa pulang setiap minggu ke halaman menjenguk isteri.

Saya terpaksa mencari jalan lain memujuk kembali.

“Kalau orang biasa ana tak kisah, pasal dia nie adalah bekas pimpinan dan patutnya faham,” teman saya menambah.

Itu saja jalannya. Bagi saya, memaksa tidak salah, andai kepada jiwa yang berasa dirinya telah hebat dalam berjuang. Yang ujub dengan dirinya telah melepasi tahap halangan. Bukan niat bermain ego, juga bukan hebat untuk menguji. Tapi, ingin melihat kebenaran disebalik katanya. Sedangkan perjuangan para Nabi turut diuji dengan pengikutnya yang sudah faham dengan perjuangan. Namun jiwa-jiwa yang ‘faham’ ini seakan berat untuk terus di dalam barisan;


Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: " Wahai kaumku! mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui Bahawa Sesungguhnya Aku ini pesuruh Allah kepada kamu?" maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran Yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum Yang fasik 
- As Soff :5

Siapa yang ditempelak Nabi Musa?? Bukan orang yang tidak faham.. tapi orang yang banyak bermain alasan sehingga menolak untuk berjuang bersama baginda. Kekecewaan yang terzahir dari penolakan ‘kelompok yang faham’ adalah suatu kepedihan yang amat dirasai oleh Baginda berbanding penolakan golongan kuffar sendiri. Kerana itu, Allah menjelaskan tiada Hidayah bagi jiwa-jiwa yang fasiq, faham dan kenal- namun masih menolak perjuangan dengan tindakan yang sebaliknya.

…..

TALBIS IBLIS TERHADAP PERJUANGAN


“Nta tinggal di mana?” saya mengambil kesempatan berbual. Jumlah yang ramai menyebabkan terkadang saya belum sempat mengenali junior-junior dalam jemaah. Saya mula menegur sebaik melihat hebat bicara dalam memberi peringatan kepada adik-adik.

“Hmm.. ana kat taman melati, dekat dengan LRT,” teguran saya dijawab.

“Alhamdulillah.. dekat dengan rumah ana. Nta terlibat dengan pemuda mana?” Saya menyambung soal, sambil ingin melihat komitmen diri.

“Tak join mana-mana pemuda lagi,”
jawapan yang tidak disedari mula dijerat kata sendiri.

“Ok… minta nombor telefon nta. Nanti jemput turun usrah kalau tiada keuzuran ya,” saya sedikit memaksa dalam senyum lafaz.

Saya bukan pemimpin yang mempunyai kuasa…
Saya juga tidak layak menguji keikhlasan sahabat lain dalam bicara…
Saya juga tiada sebarang kelebihan untuk merenung jauh ke dalam jiwa.
Cuma, saya cukup rimas bila berhadapan dengan lidah yang hanya tahu berkata-kata namun gagal melaksana. Dengan gaya bagai diri lebih jauh berpengalaman dan mengetahui selok-belok dalam jemaah.

Malah, ada kelompok yang cuba membina meninggikan batang tengkuk mereka dalam gerakan agar wajahnya mampu dipandang seluruh ahli jemaah. Dengan personaliti unggul agar dikagumi adik-adik yang dilihat baru bertatih. Berasa diri sudah hebat dengan gerakan sebaik menjadi graduan dan meneruskan agenda baitul muslim sesama jemaah.

Jangan salah faham dengan apa yang saya bicarakan, namun saya perhatikan ramai yang berasakan diri mereka telah melengkapi perjuangan jemaah setelah mencapai agenda baitul muslim.

Dirinya bermain dengan sangka sendiri,

“Tengok abang dan kakak tuh.. hebat mereka berdua,”..
“Inilah keluarga contoh pejuang Islam. Suami dan Isteri sama-sama hebat.. mesti anak-anak yang lahir dari mereka juga hebat nanti..”


Mereka tersenyum…
Tersenyum menelan enak pujian .. terus seronok sebaik langkah beriringan mereka dihiasi pujian yang lain…
Berjalan ke program dengan pakaian sedondong, pasangan contoh yang romantik untuk menjadi contoh adik-adik.
Namun sebaik pulang ke rumah, mereka terus bermain dengan alasan.
Kami boleh berusrah,
Tapi biarlah semua mata memerhati kehadiran kami bersama-sama…
Kami mampu menjalankan gerak kerja jemaah,
Tapi dengan kehadiran bersama moga mulut-mulut memuji kami pasangan yang unggul..
Kami mampu untuk memberi ceramah..
Biarlah kami berduet dan menjadi contoh, rumahtangga kamilah yang WAJIB kamu semua contohi.

Terkadang-kadang mereka menunggu pujian yang dilafaz dan ditulis oleh adik-adik mengenai mereka. Menjadi contoh unggul di sebalik permasalahan yang timbul di kalangan adik-adik yang sentiasa terbabas dan tersasar. Mereka terus menunggu kata-kata puja yang meletakkan nama mereka sebagai ikutan dalam setiap pujian. Menjadi santapan dan juadah jiwa mereka.. memberi suntikan semangat dan meredah segala kesulitan dan kesusahan. Sedangkan anak mata mereka tetap menjeling perlahan, langkah-langkah diperhalus agar kesulitan mereka berdua diiringi dengan mata-mata lain yang memandang hebat atas perlakuan mereka.

Jiwa mereka memandang hina keburukan yang pernah mereka lakukan pada masa lepas. Memandang penghormatan yang diberikan harus diteruskan dengan kehebatan dan kesungguhan berjemaah yang dibuat-buat dan sengaja dicipta mereka sendiri. Mereka kian tersasar dari jalan dakwah, sedang mereka tidak menyedari hakikat jiwa mereka yang kian parah.



AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Monday, February 16, 2009

Perkahwinan- Zuriat Yang Dinanti..

“Dah boleh ambil sijil rasanya, dah 4 bulan nie,” isteri saya sekadar memaklumkan. 


Hakikatnya, isteri saya juga yang terpaksa berurusan dengan Majlis Agama menguruskan sijil kahwin kami memandangkan kepulangan rutin saya biasanya pada hujung minggu.

“Rupanya dah 4 bulan kita kahwin yea bang,” isteri senyap mencongak.

“Kerajaan baru ada juga buat penilaian selepas 100 hari mentadbir,” sengaja saya berseloroh.

Diam menghitung. Tidak sampai separuh dari masa tersebut mampu untuk kami tempuh bersama. Namun bersyukur, saya masih mempunyai kesempatan dan rezeki untuk pulang setiap 2 minggu sekali menjenguk isteri berbanding pasangan 'PJJ' lain, terkadang menahan rindu berbulan lama. Jumaat kerja, saya bercuti… ahad cuti.. saya terus bercuti.
………………….

“Dah agak panjang kuku nie,” saya menahan rimas. Teman ditepi tersenyum.

Bukan saya tidak mempunyai pengetip kuku di rumah, bukan juga tiada masa serta terlepas hari-hari sunnah. Namun saya sengaja membiarkan kuku saya sedikit panjang sebelum pulang 1..2.. hari lagi, sebagai modal pahala buat isteri yang setia menanti. Bukan kerana selesa walau lantaran bagai bos besar sekadar menghulur jari, tidak mungkin seronok kerana mata saya terkadang tertutup rapat lantaran ngilu sebaik mata pengetip dipegang isteri mencium hujung jemari. Saya menilik lama jari sendiri sebaik selesai. Saya berusaha menjadikannya sebagai kebiasaan sehingga isteri saya mengenal bagaimana untuk mengetip setiap batang jemari saya. Patutlah saya sentiasa merindui sengsara ngilu tersebut…

Saya teringat pesan sendiri;

“Walaupun perkahwinan kita nie masih baru. Tapi jadikan benda-benda yang elok sebagai kebiasaan. Risau nanti, satu yang kita inginkan buat pada masa hadapan tidak mampu untuk kita kecapi dan malu kerana kita tidak membiasakannya pada peringkat awal perkahwinan,”

Kami berusaha untuk mengorek sunnah.
4 bulan masih baru. Apatah lagi bagi kami yang jarang bertemu. Namun, kepulangan saya yang terkini ini benar-benar satu makna dalam jiwa yang masih bermimpi..

SELAMAT DATANG ZURIAT SULUNGKU

“Tahniah ya abang, ana juga tak tahu macam mana lagi,” adinda sejemaah saya sedikit mengeluh, lebih setahun dia mendahului diri saya dan isteri.

Terkadang kesian, sebelum kahwin didera dengan persoalan teman dan saudara bertanyakan detik menamatkan zaman bujang.

Namun lebih terseksa, sebaik bertukar taraf. Seluruh mata mengerling bertanya zuriat. 
Sebulan.. tiada dibicara..
Dua bulan .. masih tiada masalah
Tiga bulan.. masih mampu tersenyum..
Empat bulan…mungkin belum habis berbulan madu..
Setahun… mula gelisah untuk menjawab tanya. Hanya tinggal jiwa-jiwa yang tabah terus cekal bermunajat.

Namun, jiwa berbeza. Pertanyaan terus dilontar bagi yang tidak memahami… bagai tidak menyedari peritnya untuk empunya badan mengiakan rezeki Tuhan.

………

“Kebanyakan orang jemaah biasanya lewat dikurnia zuriat,” saya masih ingat teori yang diasaskan kami.

Sengaja kami ‘melogikkan’ situasi dengan contoh yang banyak disekeliling.
Saya mempunyai beberapa teman yang 4..5.. tahun baru dikurniakan zuriat.
Usah bicara bagi yang masih setahun jagung seperti kami. Mungkin Allah ingin menebalkan jiwa sabar mereka. Atau mungkin menunggu ‘musim sejuk’ dalam jemaah kembali panas lantaran memasuki alam baru. Menunggu panas kembali sebelum didatangi ‘musim sejuk’ seterusnya dengan kehadiran cahaya mata. Risau mereka terus ‘sejuk’ andai kedua musim tersebut amat dekat dilalui.

Itu sekadar gurauan kami.

Segalanya dalam taqdir Ilahi.

Kami terpaksa ke klinik saat kami singgah sebentar di rumah kekanda saya. Saya gelisah dengan anak saudara yang terpaksa bersekolah keesokan hari, sedangkan jam hampir 11 malam. Malah, perjalanan kami baru separuh ditempuh.
Kami terpaksa, memandangkan berkali kami menangguhkan hajat lantaran masa yang terlalu suntuk untuk kami penuhi setiap kali saya pulang. Membahagikan masa antara rumah bonda saya dan keluarga isteri dalam dengan jarak yang melayakkan kami bermusafir dan berkejaran pulang kembali sebaik bermalam sehari.

“ Sudah 2 bulan setengah nie abang,” isteri saya terkejut bercampur gembira. Di tangannya, 2 keping kertas bercetak gambaran zuriat kami yang tersimpan rahim sucinya. Jiwa saya turut teruja, namun dibatasi malu dikhalayak pengunjung klinik yang lain.

“Ini jantungnya.. ini kakinya..” isteri saya mengulangi apa yang dikhabarkan doktor.

Saya memendam rasa yang mendalam. Memuji syukur atas benih kurnia yang bakal dianugerahkan kepada kami. Kami sama-sama terkejut, kerana sangka yang bermain di kepala, hanya mungkin isteri sekadar lingkungan sebulan. Tambahan, pregnancy test yang dibeli kerap menipu kami.

Beberapa hari sebelum PRK Kuala Terengganu, saya dan isteri ‘diserang’ demam malam serentak. Namun, saya berlarutan demam dan batuk sehingga membangkitkan keresahan keluarga.

“Rupanya suami yang sakit nie mudah sensitif,” saya sekadar memaklumkan isteri.

Sengaja saya cuba bermanja walau mustahil dipicit diurut isteri, namun rasa hati saya luahkan setelah agak lama kami tidak bersua.

……….

“Ajar lasak sikit.. biar dia pun nanti lasak jugak,” Nasihat saya.
Terkadang saya bicara begitu… tika jiwa dakwah menyadur hati.

“Kena ingat juga, kalau program 4..5.. bulan lagi jangan main terima belaka,”
Terkadang bicara suami terlafaz. Bagai ada percanggahan dengan pesan sebelumnya. Saya faham dengan perangai isteri, berat lidahnya menafi saat beban amanah kian ditambah.

“Maaflah ye sayang, faham-fahamlah. Jangan pening bila dah macam nie, ada masa abang cakap sebagai suami.. ada masa bagi motivasi tiup semangat,” saya cuba membetul faham.

Saya juga sedikit pelik, walau lafaz saya tidak silap pada pandangan isteri. Tapi hati saya menafikan lantaran sedikit emosi yang terlapik dalam lembut bicara. Risau andai saya dikata penghalang saat semangat masih menebal. Hak saya sebagai suami?? Cukuplah bagi saya tika diri bertandang pulang. Saya menyintai jemaah… saya risau andai saya menjadi musuh jemaah dengan merampas segalanya setelah isteri menjadi milik saya.

……………..

“Ada benda yang terpaksa tempuh dalam keadaan nie. Pening, loya.. alah dengan bau perkara yang patut dilalui. Tapi, mohon sangat-sangat kepada Allah, jangan sampai berlebihan, jangan sampai datang lintasan yang mengarut dan nak kena tunaikan atas alasan mengidam. Minta sangat-sangat jauh dari perkara tersebut,”
saya memberi nasihat dalam memberi ingat. Memberi faham lumrah berbanding mengidam yang diada-adakan.

Itu sahaja yang mampu saya sampaikan. Dalam ketandusan pengalaman, bergantung harap dengan pautan petunjuk daripada Allah. Mendengar pelbagai cerita perihal perangai.. hal-hal mengidam .. dan kisah-kisah pelik dari teman. Dalam kerisauan saya terus memanjat doa. Moga semua dipermudahkan olehNya.

Ada teman saya terpaksa berpisah jauh dengan isteri saat tidurnya lantaran isteri alah dengan bau suami.
“Aku dah mandi banyak kali.. dah puas sabun. Dia kata aku busuk lagi,” dia sedikit merungut setelah habis ikhtiarnya atas alahan isteri. Bukan saya berbicara menafikan, namun risau andai tindakan melampau yang merobek hati suami. Bukan dia tidak mampu menerima keadaan tersebut. Namun kesedihan terzahir di wajah suami dengan tindakan dan bahasa isteri. Terus berdiam mengalah lantaran isterinya yang berbadan dua. Tidurlah suami sendiri dalam jiwa yang penuh sedih dan resah. Sedangkan itulah amaran utama Junjungan Mulia agar hal sebegini dapat dipelihara.

Alhamdulillah.. Allah permudahkan.

Tiada yang melampau setakat ini kecuali fitrah yang digariskan,
Tiada yang mengada-nganda sehingga menyusahkan suami..
Sehingga saya sendiri yang terkadang terlebih selera kemudian dikongsi isteri..

Risau saya.. sudahlah kami jarang bersua. Pulang tersenyum.. dihidu loya.







AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."

Thursday, February 12, 2009

Boikot-Tahanlah Titis Liurmu

 “Nescafe lah ya… panas atau sejuk?”

Saya dipelawa dalam pertemuan ringkas dengan pelanggan di rumahnya.

Saya yang tidak sempat menafi, tetap minum dalam berat. Risau bertandang dan memberi arahan bermacam kepada tuan rumah.

Namun, saya sempat memilih yang panas walau hampir sejam saya berpanas dalam keterikan mentari.


TAHANLAH TITIS LIURMU..

“Dia pening jugak, sebab dia wajib menghirup Nescafe setiap hari, paling kurang 2 gelas sehari”
Bicara teman karib, lama kami tidak berkongsi khabar.

Rupanya ada teman kami yang tidak senang duduk, baginya tiada pengganti lain untuk menghilangkan dahaga yang sekian lama beralas ketagihan.

“Kawe pon dah lama tak minum neslo” saya membalas.

Selera saya memang diketahui umum teman-teman pemuda. Campuran dua jenama boikot itu benar-benar memberi kepuasan kepada saya dalam setiap titik hirup.

Kini.. mula bertukar Radix atau Sawda.

Terkadang kopi yang jarang sekali saya teguk menjadi order andai tiada pilihan. Namun tidak mungkin bagi kopi janda.(gurau je)

…….

“Milo tuh barangan Malaysia,” bonda saya bermain sangka. Saya tidak berani menyalahkan ibu yang lama mengenali produk berbanding pengeluarnya.

Mungkin jenama tersebut sebati dengan diri. Mungkin tidak menjumpai pengganti dihujung desa yang tidak memberi pilihan yang banyak. Hanya ketika kepulangan saya baru ibu dapat menambahkan kekurangan bahan diceruk dapurnya.

“Lepas nie beli Oligolah, sedap jugak tuh,” isteri saya memujuk sambil memberi alternatif.

“Nie produk nestle, pasal tuh kena boikot” saya menyambung penjelasan sambil menunjuk trademark agar dikenali. Bonda seakan bersetuju.

……

“Ada seorang ustaz nie, memang susah benar nak berhenti rokok. Dah habis nasihat diberi dia masih tak dapat berhenti. Cakap laa gapo pun tak berenti. Tapi loni, dia tak boleh hisap. Tiap kali letak rokok kat mulut, dia akan terbayang anak-anak Palestin yang sakit, tak jadi nak hisap rokok,” isteri saya bercerita.

Biasanya saya gemar untuk bertanyakan sebarang perkembangan politik dan program-program di Kelantan. Kebetulan isteri saya terlibat secara langsung di bawah Urusetia Kerajaan Negeri di bawah lantikan politik.

Itu yang berlaku di sekitar serta mampu saya kutip. Mungkin ramai insan lain yang senasib menahan ketagihan diri lantaran usaha untuk memboikot produk-produk Israel.

Namun itu yang sebaiknya. Membantah biarlah memberi kesan kepada jiwa, baru terasa arus penentangan.

Saya pelik memikirkan…

...Seorang yang hebat memboikot produk-produk Israel dalam demonstrasi. Namun sempat menghirup sedalam mungkin setiap hisapan rokok buat penyegar diri saat beradu rehat dari terik mentari.

...Seorang suri yang hebat mengecam sang perokok, namun terus membeli barangan wajib dengan alasan sudah menjadi kebiasaan keluarga. Walhal tersedia alternatif keluaran saudara seagama.

Saya tidak mahu mengulas dari perspektif makro yang sedia maklum sehingga lahirnya seruan ini. Tujuan yang sedia dimaklumi oleh semua, berjaya boikot memberi bahana ekonomi kepada Amerika dan Israel.

Namun, saya berusaha mengajak untuk melihat pertembungan antara kehendak diri dalam persoalan ini.

Andai begitu, di mana gamak untuk kita menyemai nilai mujahadah sekiranya memboikot perkara yang langsung tidak berkait dengan diri. Saya bukan menafikan peranan, tapi berfikir ketulusan insan yang bersama berjuang. Sang Perokok berkokok hebat melaungkan boikot terhadap makanan segera yang dia sendiri tidak pernah menjejak kakinya. Adakah dia berkokok hebat untuk melaungkan sama memboikot teman bibirnya.?? Begitu juga untuk contoh yang lain. Jangan tersenyum bila perokok sahaja dibidas ya.. Ingat juga ya buat penggemar alat mekap dan hiasan diri??

Saya bukan ingin berfatwa, kerna jelas kurangnya ilmu saya. Saya menganggap tindakan mereka-mereka yang disebutkan di atas ibarat saya membuat sepanduk dan flyers mengedarkan kepada orang ramai dengan tulisan ARAK ITU HARAM. Adakah saya terasa penentangan dalam diri?? Tidak.. kerana sememangnya sejak kecil saya memahami yang hakikatnya arak itu haram dan tindakan saya itu adalah lebih kepada untuk meMAKLUMkan kepada orang ramai sahaja serta ‘sedikit’ ingatan buat saya yang memang tidak pernah menyentuh minuman tersebut. Bukan saya memBOIKOT apa yang sebati dalam diri.

Boikot lebih dalam dari itu, boikot bersamanya MAKLUMan dan dilapikkan keSEDARan.

"Sepatutnya yang aku nak telan nie halal, tapi aku tidak menyentuhnya kerana Allah.."
"Benda yang aku nak guna nie bermanfaat juga, tapi aku pilih jalan yang lagi sukar kerana ukhwah Islamiyyah"
"Hakikatnya yang aku nak pakai nie boleh.. tapi aku tinggalkan kerana aku bermusuh dengan musuh Allah."

Itulah penghayatan boikot bagi saya.

SALAHFAHAM TERHADAP BOIKOT

Ada yang memandang boikot adalah suatu tindakan yang lahir dari tindakan dan permasalahan politik serta menafikan sandaran kepada syarak. Baginya andai satu tindakan syarak sudah pasti ia diganjari pahala dan meninggalkan adalah dosa.

Saya turut terkejut apabila ada golongan bijak pandai yang menyatakan kerisauan terhadap ekonomi sekiranya hal ini dilakukan.

Sedangkan seruan untuk mempertahankan persaudaraan Islam jelas, serta mengumpulkan masyarakat Islam menjadi satu keluarga yang besar adalah saranan yang dinyatakan dalam Al-Quran;

“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Daku”
Al-Anbiya:92

Hadis nabi sebagaimana Riwayat al Imam Bukhari serta sebahagian ahl sunan;

“Bandingan orang mukmin dalam kasih sayang, kasih belas dan simpati mereka sesama mereka adalah seperti sebatang tubuh, apabila satu anggota dari tubuh itu mengadu kesakitan makan sekalian anggota tubuh yang lain turut merasa kesakitan dengan berjaga malam dan panan badan(demam)”

Kita tiada wang untuk tambang penerbangan ke sana memeluk dan memujuk sabar saudara di sana…

Kita adalah penakut hatta untuk menyentuh senjata mempertahankan kesucian Islam di sana..

Kita telah lama dibelai tilam-tilam empuk, mungkinkah kita mampu untuk tidur bersama di bawah runtuhan bangunan sebagaimana mereka..

Kita pasti gatal-gatal tubuh andai tidak mandi walau sehari, mampukah kita bersabar menadah paip yang menitik dan perigi yang kosong di sana…

Kita sudah gelisah andai tidak mampu tidur kekenyangan.. bagaimana mampu bersabar dengan catuan makanan yang terkadang belum tentu di sana..

Ingat!! Andai tidak mampu membantu Saudara seIslam, jangan pula berpaling tadah menjadi penyokong Musuh!!!

Berfikir tidak salah… namun terlalu dalam fikir hingga tidak melahirkan tindakan itu yang salah..

Andai Sayyidina Abu Bakr menggunakan logik akalnya, sudah tentu beliau tidak memerangi golongan riddah yang enggan membayar zakat. Adakah beliau tidak sedar tindakannya memerangi golongan tersebut akan memberi kesan ekonomi lantaran golongan tersebut pasti makin ‘keras’ untuk tidak membayar zakat.

Andai Nabi Musa menggunakan logik baginda, saat seruan memukul laut. Alangkah baik tongkatnya digunakan untuk memukul muka firaun. Sekurangnya lebam juga muka musuh. Memukul laut paling kurang memercikkan air ke muka sendiri..

Allah menyembunyikan pertolongan disebalik penyatuan hati hambaNya. Kerna doa itulah satu-satunya doa Junjungan Besar yang tertolak, memohon Allah tidak mengazab ummat lantaran perpecahan.

Memang musuh tidak takut dengan tindakan ekonomi yang dilancarkan, namun mereka akan gerun dengan ikatan ukhwah yang dizahirkan.

Andai masih ingin meneruskan hajat… teruskanlah. Hiruplah sepuas mungkin buat mengganti titis darah syuhada’ kita di Palestin..

Pakailah jenama-jenama mereka buat mengganti kafan saudara kita di sana.

Saya bukan beromong kosong, tapi kesan dari ini pernah terbukti di kawasan kami.
Lebih kurang 2 tahun lepas, pemuda dan kawasan pernah melancarkan demonstrasi dan boikot 7Eleven di Taman Melati lantaran menjual arak di kawasan yang majority Islam. Akhirnya premis tersebut terpaksa tunduk akur dan mengeluarkan produk tersebut atas desakan masyarakat setelah beberapa hari.


BUANGLAH NALURI DIRI.. MASUK KEHENDAK ILAHI..

“Cuba bayangkan, seorang yang hidup semenjak kecil. Diasuh dan cenderung dengan Balada yang mendayu jiwa. Hendak kita cabut rasa hati dia dan pasak lagu Rock yang menggegarkan!!,’saya membuat bidalan.

Ada yang tersenyum dengan contoh tersebut. Masing-masing mengiling kepada melihat beratnya dan sukarnya.

Itulah nilai boikot bagi saya..

Mengaitkan terus tindakan dengan mujahadah diri. Berusaha melawan naluri yang lama sebati. Apatah lagi hal tersebut memberi kesan kepada ummat Islam.

Kerna itu baru berhasil dan melihat nilai iman yang bersandar pada bidalan yang sama.
Membuang pertimbangan dalam diri… menceduk kembali acuan Ilahi. Itu baru boikot luar… boikot makan.. boikot minum… boikot pakai.. yang kita sendiri mampu lihat. Namun, perhati dan telusuri kembali dalam diri, berapa hebat kita memboikot perilaku yang banyak bertentangan serta bercampur aduk dalam keimanan kepada Allah.

Orang yang beriman,

Bila jiwanya memandang mulia dengan hebat berpakaian yang dijahit musuh Allah, Neraca Allah mengatakan hina. Dia memboikot rasa tersebut dan mengambil acuan Allah..
Bila jiwanya memandang rugi dan memberi kesan kepada ekonomi, Allah mengatakan itulah keuntungan sebenar. Dia memboikot dan mengambil acuan Allah.
Bila dirinya berasa bahaya saat penentangan dan perjuangan bersama menentang musuh-musuh Allah, tapi Allah menjelaskan itu yang harus kita hadapi. Dia menelan segala kepahitan penentangan dan kembali mengambil acuan Allah.

“Shibghah (Celupan/Acuan) Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya dari pada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah,”
Al-Baqarah : 138

Bersyukurlah bagi mereka yang terselamat sebelum ini.. kerna terselamat dari ujian naluri..
Memeriksa dan menyaring hidup.. rupanya terselamat dari unsur-unsur yang membantu musuh.
Berusahalah bagi yang hariannya masih bergantung sehingga NALURI SEBATI MENJADI DARURAT saat mendengar tangisan ummat. Kerna itu mungkin setitis ujian buat diri kamu.




AbeJoes@abejoes.blogspot.com

"Read More..."