Tuesday, July 28, 2009

Usrah.. Tunjang yang Kian Terabai


Kebiasaannya, saya pulang lewat setiap kali tamat berusrah pemuda sebelum ini.

Adalah cukup awal sekiranya saya pulang ke rumah mencecah jam 12.30 malam. Ghalibnya, sekitar 1.30 pagi.. mungkin menjangkau sehingga 2.00 pagi. Itu rutin mingguan kami. Masih boleh dianggap awal berbanding komitmen teman-teman lain. Cukup sedikit masa berbanding mereka yang benar-benar memberi sepenuh jiwa raga mereka dalam jalan dakwah. Motor saya sudah kuyup dibasahi embun tatkala saya menunggangnya pulang. Terkadang saya berasa sayu sendiri, jiwa saya sering tersentuh lantaran tidak sempat ‘membelai’ dan membalas khidmatnya yang tidak ternilai. Enjinnya tidak merungut walau saya sering menunggang terus tanpa memberi masa untuknya bersedia.


USRAH ITULAH TUNJANG

“Lamanya… apa yang banyak sangat diceritakan,” isteri saya bertanya sebaik kami berkongsi cerita dan pengalaman dalam usrah kami.

Memang lama diukur masa.. tapi tempoh berusrah sekitar 3-4 jam tersebut bagai seketika bagi kami.

Saya masih teringat, seawal penyertaan saya di Wangsa Maju. Suasananya cukup berbeza, kehadiran sehingga mencecah 7- 8 orang adalah suatu yang amat membanggakan.

Alhamdulillah… kini meningkat sehingga 4 kali ganda.

Saya tidak mahu membicarakan hal-hal teknikal dalam perkara ini.
Persoalan tempoh masa..
Jumlah kehadiran yang praktikal bagi sesebuah usrah.
Semua itu, tidak dinafikan penting, tapi bukan keutamaan bagi saya.

KEPOMPONG YANG MENGOKONG

Usrah bukan medan menadah kitab semata-mata..
Bukan juga medan di mana seorang ustaz hebat menabur ilmunya..
Membiarkan para ahli hadir menadah telinga dan ternganga..

Usrah adalah suatu medan diskusi..
Medan mencari solusi terhadap permasalahan para ahli..
Medan menanam kefahaman dan motivasi,
Menyelaraskan tindakan terhadap arahan-arahan terkini..
Lapang sasar dalam mengenalpasti ahli dan mencungkil potensi…

Itulah Usrah bagi saya.

Usrah bukan sekadar tulang belakang kepada tarbiyyah jemaah. Namun jiwa yang menentukan arah tindak ahlinya.

Apakah pendekatan yang lain mampu kita cari sebagai wadah utama tarbiyyah selain usrah dan tamrin yang jarang-jarang diadakan. Ceramah umum?? Forum?? Itu petikan dari persoalan dari Abi, murabbi saya yang lama di alam tarbiyyah.

Saya cukup terharu setelah menghadiri konvensyen nuqaba’ di Wilayah Persekutuan beberapa bulan lepas. Dari 100 lebih penyertaan, hanya belasan sahaja ( mungkin ramai yang terlibat namun tidak mampu hadir) yang mengaku menyertai dan terlibat dengan usrah secara berterusan. Itu sudah dikira pesertanya di kalangan YDP, Setiausaha dan Tarbiyyah kawasan. Bagaimana gamak dengan mereka yang langsung tidak mengenal tarbiyyah.

Bagaimana sebuah jemaah yang mempunyai keahlian yang cukup ramai. Namun teras perjuangan hanya disahut sekitar sekitar 2-3 peratus sahaja. Itu bukan fakta, namun atas anggaran luaran yang mampu dikutip.

Ada apa dengan RUKUN ‘TA’ ?

“Nta kat mana sekarang? Di kampung ke di KL?” mesej awal sebelum teman menagih komitmen saya dengan kerja jemaah.

Sebelum ini, saya menerima arahan terus, namun tidak lagi pada masa sekarang.

Teman saya sedia maklum. Tiada yang berani bertanyakan alasan sekiranya saya memberi jawapan ‘TIDAK’ sebaik makluman program diterima. Seawal saya bertukar title sebagai seorang suami. Perkara pertama yang saya tekankan adalah hal-hal TAFAHUM.

Saya merenung dalam, cuba menghirup segar rasa penghayatan dan praktikal terhadap rukun ini. Kefahaman mengenai tafahhum harus dipraktikkan secara terus, bukan sekadar mengenal diri melepasi tahap taaruf.

Namun tafahum adalah memahami kondisi individu kerana asas dan matlamat kepada Tafahum bagi saya adalah syarat kepada bermulanya proses untuk penentuan amanah itu sendiri. Memahami keadaan seseorang agar amanah yang sesuai mampu diberikan, malah memastikan tahap-tahap penglibatan yang mampu diberikan oleh seseorang dengan limitasi yang dimiliki olehnya.

Tafahum adalah satu keperluan dalam jemaah,

Kegagalan untuk MEMBERI FAHAM dan MEMAHAMI akan mengundang hal-hal yang tidak diingini malah lebih teruk akan mengundang fitnah kepada individu itu sendiri. Ada insan yang terlalu merahsiakan hal-hal dirinya, memandang remeh rutin diri untuk diceritakan dan dirasakan terlalu biasa dan tiada kepentingan kepada jemaah. Namun dia tanpa sedar, kegagalan untuk menjelaskan keadaan dirinya sebenarnya memberi kesan kepada pergerakan jemaah itu sendiri. Bimbang andai saat suatu amanah ditetapkan… maka ketika itulah baru diungkit keluar berjela-jela penjelasan dalam mengkhabarkan batasan diri.


Lebih teruk lagi, penolakan pada ketika itu mungkin disalahertikan sebagai penolakan dan alasan semata-mata. Saya tertarik dengan pendekatan murabbi saya suatu ketika dalam usrahnya, terkadang semasa mengendalikan usrah, saya memerhati beliau meminta teman-teman untuk memberi maklumat yang lain berbanding hal-hal sebelumnya.

“Nta kan pernah berusrah dulu, kenapa nta keluar dari usrah sebelum ini?” sahabat saya mencungkil sejarah teman yang kini lihat makin rapat dan berjaya memberi komitmen dengan usrah kami.

“Ana tak dapat apa-apa dalam usrah tersebut.” Teman membalas.

Saya berhenti menyoal. Namun mengapa hatinya tawar bila terlibat dengan usrah.

………….

MENERUSKAN ATAU MEMBATALKAN

“Apa pandangan saudara-saudara sekelian, adakah saya harus meneruskan usrah tersebut,” abi melontar soal dalam konvensyen yang sama.

Puncanya mudah, setelah tugasan diberi dan sesi bacaan dan tasmi’ ayat-ayat al-Quran yang bagaikan satu kegerunan bagi ahli usrahnya. Kehadiran mula merundum mendadak.

“Ana tidak nampak soal kegerunan dengan silibus, tapi masalah KEPERCAYAAN dan IKATAN antara ahli usrah,”
saya memberi pandangan.

Dalam usrah kami, terdapat ahli yang amat hebat bacaannya, ada ustaz-ustaz tahfiz, ada imam rawatib ada juga ahli yang masih bertatih dengan bacaannya.

Asas KEBERANIAN tersebut adalah;

Yang lemah FAHAM bahawa dirinya lemah, dan FAHAM saudara seusrahnya adalah insan terhampir yang akan membetulkan dirinya.

Yang lemah tetap berusaha dengan bacaannya yang merangkak-rangkak, kerana sedar adik-beradik seusrahnya FAHAM situasinya dan tidak akan menceritakan kelemahan yang dimilikinya kepada insan lain.

………

Nta berdua tolong pasang banner yea,” teman kami menerima arahan tanpa banyak soal.

Kerja-kerja tersebut mungkin kecil pada pandangan insan biasa. Namun saya cukup terharu tatkala melihat kesungguhan teman-teman yang baru berjinak-jinak dengan jemaah melakukan kerja-kerja yang tidak sanggup dilakukan oleh manusia-manusia ’suci’.

Mereka terus meredah kegelapan dan kedinginan malam sebaik usrah tamat. Memanjat pokok-pokok dan tiang-tiang kotor.
Mencari ’port-port’ yang sesuai untuk melakukan tugasan yang diamanahkan.
Mereka melakukan tanpa perlu teman-teman yang ramai di sisi.
Namun mereka berasakan semangat teman-teman yang turut bersama.
Keperitan dan pengalaman tersebut sebaiknya cuba dirakam untuk diceritakan kembali.
Cerita dikejar anjinglah diingati mereka..
Sengsara terjatuh pokok menjadi jenaka...

Apa yang tersemat dalam perasaan mereka..

“Memang aku tiada ilmu yang mampu dikongsi… namun inilah cerita-cerita menarik yang pemuas hati melihat senyuman teman seusrah nanti,”


abejoes@ http://abejoes.blogspot.com

2 comments:

Anonymous said...

perkongsian yang menarik, ramai faham rukun tapi masih kurang jelas praktikalnya.

Zikri Husaini said...

teruskan perjuangan anda...