Thursday, July 2, 2009

MEMANDU AKAL, MEMIMPIN JIWA

“Ana nak tanya, kenapa sampah kena diletak tempat tak elok. Tempat-tempat busuk Bukankah kita perlu hormat sampah tuh, dia pun makhluk Allah?” Teman saya menyoal.

Saya serba salah samada ingin melayan atau tidak sebaik diasak soalan sebegitu. Dalam benar hatinya menyelami. Hatta baginya tidak sanggup melihat sampah yang seharusnya ‘dilayan’ begitu.

“Hmm.. kalau begitu. Ana rasa elok kita tak payah buang pasir-pasir dalam masjid yea. Mereka pun nak iktikaf juga,” saya cuba menjawab dan memberi saranan, mungkin tidak menjawab.



Saya berjalan pulang sambil merenung kembali. Saya tidak salahkan diri teman yang mula berubah corak pemikiran dan penghayatannya. Cuma risau-risau, terkadang, manusia terasa kagum dengan dalamnya dirinya menjiwai sesuatu. Apatah menjiwai hal-hal ketuhanan yang terkadang bermula tanpa satu asas yang membuat penilaian akalnya.

ANTARA AKAL DAN JIWA

Saya jarang melayari blog-blog yang meletakkan isu politik yang bersadur analisa dan hipotisis akalan sebagai perbincangan teras. Bukan saya kurang berminat dengan penulisan tersebut, namun berasa kurang selesa dengan dugaan melampau golongan cerdik pandai sebegini. Saya juga tidak berminat untuk menjadi manusia hebat dengan menganalisis terhadap sebarang hidden agenda yang bermain di sebalik politik. Saya lebih selesa menjenguk laman-laman ilmu dan dakwah yang menyelit sama peranan jiwa dalam memberi keseimbangan akal dalam menulis namun tetap menjentik akal untuk turut berfikir.

Bukan saya menafikan pandangan bijak pandai dan para penganalisis tersebut. Tapi kerisauan makin memuncak melihat peranan akal mempengaruhi penulisan-penulisan golongan sebegini. Lantas menafikan peranan dan pergantungan Ilahi dalam membetulkan tindakan.

Sesetengah golongan mengutamakan jiwa dalam penulisannya tanpa menghidupkan peranan akal. Ada manusia yang hebat menyanjung kebijaksanaan diri lantaran apa yang diutarakan adalah suatu yang tidak mampu dicapai pemikiran insan lain seterusnya menenggelamkan unsur jiwa dalam penulisannya.

Itulah realiti yang wujud.

Namun itu adalah penyakit yang cukup bahaya bagi manusia yang beragama.

IKUT JIWA BINASA..

“Iman tidak terbina dengan pergantungan akal semata-mata. Juga tidak semata-mata kita bergantung dengan jiwa. Namun adalah gabungan kedua-duanya. Mengambil salah satu dari keduanya sebagai prasyarat dalam menilai kesahihan iman akan menjerumuskan kita dalam kebinasaan,” itu yang mampu saya simpulkan

Saya ingin membawa satu contoh kepada saudara sekelian dengan hal sebegini.

Cuba antum bayangkan, dari kecil antum dibesarkan di sebuah rumah. Antum bermain di sekeliling rumah tersebut, menjalani kehidupan senang susah di situ sehingga besar. Sehingga di situ terkumpul segala kenangan dan nostalgia dalam diri. Sampailah pada suatu hari, ada arahan mengarahkan rumah yang antum diami dirobohkan. Maka, bila melihat rumah yang selama ini cukup rapat dengan jiwa antum yang musnah bersama 1001 kenangan yang selama ini disimpan. Andai pada ketika itu antum tengok tiada satupun yang boleh antum selamatkan kecuali satu keping bata sebagai tanda ingatan antum terhadap nilai nostalgia tuh. Antum rasa akan terima atau tidak untuk simpanan buat kenangan diri??,”

Mungkin mereka yang menggunakan akal akan menolak. Tapi tidak bagi yang berjiwa. Kerana jiwa itu tempat bersarangnya segala rasa. Lubuk kepada cinta.

Rasa yang tidak didasari pemikiran inilah yang akhirnya pada suatu masa dipandang tidak salah akhirnya membawa manusia kepada penyimpangan yang jauh.

Hebatnya rasa jiwa, cinta dan kerinduan yang bermain di lubuk hati menyebabkan semua nostalgia hidup mampu dikumpul dalam sekeping bata tersebut yang masih berbaki.

Bagi generasi pertama.. atas rasa cinta dan kecenderungan melayan jiwa. Mereka mungkin masih mampu bergelak ketawa dan tersenyum mendengar cerita sebaik memandang sekeping bata tadi.

Generasi ke dua.. nostalgia tadi mula samar kerna mereka tidak pernah menuai kasih di rumah tersebut. Bagaimana mungkin untuk terus menghayati cerita dan berkongsi kisah-kisah dengan memandang sekeping bata.

Generasi ke tiga.. langsung tidak mengetahui apa cerita di sebalik bata. Maka bertukarlah peranan bata tersebut dari niat asalnya. Tengok batu kena senyum dan gelak.

Apa punca?? Kerana jiwa yang tidak disalut akal.

Kerana itu, manusia tidak akan rasa bersalah sebaik mereka terlibat dengan ajaran-ajaran serta tarekat-tarekat yang sesat.. Apa tapisan yang mereka gunakan? – Mereka hanya menapis dengan JIWA. Hasil jiwa mereka selesa dengan perbuatan mereka Dan bagi mereka SELESA itulah KEBENARAN.

Begitulah bagaimana jiwa memandu kesesatan.

AKAL YANG TIDAK MENGENAL RENDAH

Ada golongan yang tidak menerima peranan jiwa dan hati.

“Buat apa kamu sembahyang, kalau kamu masih melanggar lampu merah,”
“Tidak perlu untuk kamu memeluk Islam, asalkan kamu terus menjadi manusia yang baik,”

Saya terkedu mendengar kata-kata insan sebegini. Bagaimana imannya membezakan antara syariat dan akhlak. Mereka menafsirkan persoalan iman, syariat dan akhlak dengan kepala mereka sendiri.

Bagi mereka golongan yang mengutamakan hati adalah golongan yang terlalu lemah. Tidak berfikir dan golongan yang mudah dicucuk hidungnya.

Maka mereka berlumba-lumba mencari bukti. Mereka tidak menerima sesuatu tanpa disahkan oleh mata dan kepala mereka. Bagi mereka, iman adalah suatu yang harus dibenarkan terlebih dahulu oleh fikiran mereka. Mereka berusaha terus meneroka dan meneroka. Mereka melupai hakikat iman itu juga adalah suatu yang seharusnya ditanam dalam hati mereka dan tidak mampu dipandang dan dianalisa oleh mata dan akal bijak mereka.

Mereka menolak bahkan mencabar saat timbul hal iman itu tidak selari dengan akal mereka. Mereka mula bongkak dan taajub dengan idea-idea dan pemikiran mereka yang sekadar bermain dengan sangka. Mereka mula mencabar ayat Allah dan Hadis yang janggal dari pemikiran normal manusia. Mereka tidak memandu hasil-hasil pandangan mata dan akal mereka untuk disimpan dalam hati mereka seterusnya menzahirkan kerdilnya diri. Mereka terus menggeledah dan mencari dengan rakus. Membuktikan kepada insan sekeliling kehebatan dan kemampuan batasan akalnya berfikir. Semakin sasau insan-insan lain kepeningan untuk memahami hujjah dan kata-kata mereka, maka mereka tersenyum sinis bersulam kesombongan yang dibina.

Golongan inilah, manusia yang turut cenderung untuk kufur kepada Penciptanya, makin tebal angkuh yang tertanam. Mereka adalah golongan yang jelas menolak sembahan-sembahan berhala, kerna jelas tidak diterima oleh akal-akal mereka. Namun mereka adalah kufur biadab dengan Tuhannya lantaran mereka adalah pemuja-pemuja akal. Mereka berasa malu untuk meletakkan akalnya yang disanjung ke tempat yang paling rendah, serendah kakinya berpijak. Risau andai berkurangnya pintar dan cerdik yang dirasakan milik sendiri.

…………

“Dah buku tulis macam tuh, awak baca sahajalah,”

Saya tersenyum puas setelah pensyarah gagal memuaskan hati saya setelah kami bermain ayat. Satu perbuatan paling bodoh yang saya pernah rasakan lantaran akal yang tidak terurus. Saya memohon ampun atas keterlanjuran tersebut.

Pernah suatu ketika saya bertemu dengan kaunselor lantaran perasaan RISAU sudah mula hilang dari sanubari saya. Saya mampu untuk membiarkan diri sehingga tidak melahirkan sebarang usaha lantaran akal yang terlalu yakin. Juga gara-gara akal yang tidak dididik.

Suatu ketika… saya bertanyakan teman-teman persoalan diri. Namun akhirnya saya sendiri memberi penyelesaian setelah jawapan dari teman-teman kurang memuaskan. Juga satu kebiadaban akal yang tidak meraikan akhlak.

………………..

MEMANDU AKAL, MEMIMPIN JIWA

Saya sudah serik dengan akal menjadi manusia yang terkadang biadab dan bongkak dengan akal yang tidak terdidik. Sehingga saya menyedari hakikat diri;

“Sesungguhnya malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tidaklah merasa enggan menyembah Allah dan mereka mentasbihkan-Nya dan hanya kepada-Nya-lah mereka bersujud”
Al-A’araf:206

Jiwa.. suatu yang cukup berseni dan terselit halus. Kerna itu, ia disimpan ditempat yang paling terceruk dalam susuk manusia. Seni dan halusnya sehingga seluruh tubuh mampu mengalah saat jiwa menguasai diri. Kekuatan jiwa, adalah kehebatannya membeli pancaindera lain tanpa sebarang paksa. Sedih.. pilu.. rindu.. cinta.. puja..semuanya sifat-sifat yang tidak mungkin difahami kecuali oleh pemilik-pemilik jiwa dan Pencipta.

Akal.. anugerah Allah yang dimuliakan dengan diletakkan di sudut paling tinggi dalam tubuh manusia. Kerna itulah, sekerdil mana manusia… akan terasa tinggi dengan tingginya akal. Sebesar manusia manusia, akan terasa kerdil andai kerdilnya akal. Lantaran itu, padanlah dengan sifatnya yang sombong.. meninggi andai tidak terurus… sombongnya melebihi ketinggian empunya diri. Melangkaui sempadan bumi… kerana tingginya jangkauan yang mampu diterokainya.. kerna itu sampai ketika ketinggiannya menjelajah hingga menguji dan mencabar kuasa Ilahi. Kerna itu, ajarlah akalmu untuk tahu adabnya merendah diri kala berhadapan dengan Pencipta. Sehebat mana pemikiranmu, pastikan akalmu tahu saat diri harus menyembah hina.

Jiwa dan Akal harus dipandu… Pemandunya adalah Ilmu. Tiang ikatnya adalah iman. Mempunyai jiwa yang halus tanpa iman jadahnya kesesatan. Mengagungkan Akal tanpa sempadan iman bahananya kekufuran dan keengkaran. Hasilnya tetap ke destinasi yang sama, neraka Allah (nauzubillah) Berjaya memandu dan menguruskan kedua anugerah Tuhan ini, membawa kepada pengabdian dan pengagungan Rabbi yang tidak bertepi.



AbeJoes@abejoes.blogspot.com

0 comments: