Friday, March 13, 2009

Dakwah- Berusahalah Untuk Menyeru

“Ana bukan tak nak bercakap. Ana tak layak bercakap,”

Hati saya mula tidak senang.

 Ana tak layak lagi Joe, takpelah.. nta jelah bagi tazkirah,” Teman saya menyambung terus menundukkan kepalanya, tanda bersedia menadah telinga. Berkali saya menjemput untuk menyampaikan sedikit pengisian. Hampir setiap kali itulah pelawaan saya ditolak dengan ‘lembut’. Maka terpaksalah saya yang ‘tidak malu untuk melakukan dosa’ memberanikan diri untuk terus bercakap. Saya menjemput bukan kerana tidak mengenali, malah saya terkadang mengkagumi teman-teman yang penuh ilmu yang dikutip segenap ceruk. Kefahaman yang bagi saya sudah cukup untuk dialirkan kepada teman lain di sekeliling.

Berusaha mengenal Ilahi, namun tidak menyedari perangkap yang bermain di sekeliling diri.

JALAN BERISIKO ATAU SELAMAT

Ana faham, terkadang bukan semua yang kita lafazkan tuh kita mampu buat. Tapi jangan pandang kata-kata kita setakat kata-kata sahaja. Betulkan niat elok-elok, anggap apa yang kita bicarakan nie bagai doa buat diri. Moga-moga Allah bagi kekuatan untuk kita amalkan. Bukan kita mendabik dada hebat dengan ilmu yang kita sampaikan. Tapi doa untuk diri. Kalau diri masih takde kekuatan, sekurang-kurangnya apa yang nta sebut tuh mungkin mampu menjentik hati orang lain,” saya memberi semangat.

Ya!! Ketakutan untuk berbicara bukan lantaran kegersangan ilmu. Tapi akibat sikap berlebihan dalam menilai amalan diri. Risau juga saat ayat yang umum diketahui rata-rata bermain di kepala. Ayat ini terpasak hebat dan paling memberi kesan kepada jiwanya, dipegang sehingga takut untuk terus berkata-kata. Setiap kali jiwa ‘berdosa’ ingin memberi ingatan, setiap kali itu jualah syaitan memainkan ayat Ilahi buat mengekang diri..


"Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa Yang kamu tidak melakukannya!. Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya."
As Soff: 2-3

Risaunya memuncak sebaik terbayangkan ayat sebegini. Kerisauan yang akhirnya membendung diri dari terus menyampaikan suatu buah fikir yang mungkin terselit kelebihan dan mampu menyuntik semangat teman-teman. Fikirannya terus hebat dipasak dengan kegerunan hingga menjadikan lidah dan tubuhnya kaku. Ilmu-ilmu yang dikutip berkubur disebalik mulutnya yang terkunci rapat dan tindakan yang tidak mampu dilihat.

Kerisauan yang terbit sehingga tidak mendatangkan sebarang tindakan.
Namun lebih ditakuti… talbis iblis ini terus menyerang sehingga empunya diri tidak berusaha untuk mengamalkan atas alasan.. SAYA TIDAK PERLU RISAU UNTUK TIDAK MENGAMALKAN LANTARAN SAYA TIDAK PERLU BERCAKAP / MEMPERKATAKAN KEPADA ORANG LAIN.
Mereka terus hanyut,
Hanyut dengan jerat yang tidak mahukan pendakwah untuk terus berkata-kata mengenai kebenaran dan kebaikan…
Juga terus hanyut dari berusaha untuk mengamalkan kebaikan serta berasa selamat dan tidak bersalah andai tidak melaksanakan kebaikan yang tidak mungkin dibicarakan.

Itulah permainan yang terkadang menjadi satu pertimbangan yang terkadang sukar untuk kita pilih. Memilih antara ‘jalan berisiko’ dengan murka Tuhan, bercakap tapi masih banyak yang harus diperbetulkan. Ataupun ‘jalan selamat’ , terus berdiam sehingga waktu ‘suci’ yang melayakkan bicara, namun masih tidak diketahui bila.

Benar..
Berdiam jalan selamat dan dianjurkan sunnah…
Namun berdiam yang bagaimana??

…………….

SIAPA KITA UNTUK MENDAHULUI TAQDIR TUHAN??

“Kalau belajar banyak-banyak tak amal.. tak berguna jugak..”

“Saya bukan tidak mahu belajar, saya risau tidak mampu mengamalkan apa yang saya belajar. Nanti ilmu akan jadi ilmu yang tidak bermanfaat”

Nadanya berbeza, namun maksudnya hampir sama..

Siapa kita untuk mendahului taqdir Ilahi andai begitu cara kita berfikir? Tidak meneruskan tuntutan agama dalam menuntut ilmu dengan alasan risau sekiranya ilmu tidak mampu untuk diamalkan.

“Kita menuntut ilmu ibarat anak kunci, mencari kunci rahsia untuk mendekatkan diri dengan Ilahi. Bagaimana untuk membuka gedung ilmu Ilahi selagi kunci-kunci belum diselongkar, di cuba.. di usaha .. sedangkan kita tidak mempunyai kunci. Kita tidak tahu dari mulut siapakah kita mampu menemui ilmu yang mampu merubah diri, kita juga tidak tahu bilakah ilmu yang kita pernah pelajari memberi makna kepada diri dan mencetuskan satu perubahan. Mungkin ilmu yang pernah kita dengar hari ini sepuluh tahun lagi baru dibuka tabirnya oleh Ilahi, mungkin juga yang kita fahami hari ini rupanya pernah kita dengar suatu masa dahulu,” saya memberi pandangan sebaik diminta naqib.

Amat rugilah bagi mereka yang tidak mencari untuk mengenal jalan agama atas alasan yang seremeh begitu. Mungkin manfaatnya kita tidak sedar, mungkin manfaatnya dapat dilihat dengan mata kasar. Namun yang pasti dan sebagaimana diseru para ulama’, selagi mana tuntutan atas dasar ikhlas kerana Allah, pasti di sana terselit manfaat.

Saya hidangkan satu contoh yang mudah;

Mungkin saudara/ri pernah belajar di universiti suatu masa dahulu, andaikan saudara/ri terpaksa berulang-alik ke kampus setiap hari. Perjalanan ditempuh merentas berpuluh kilometer, terpaksa membayar tol serta minyak dalam perjalanan tersebut, harus bertolak awal memastikan diri tidak terlewat, malah masa yang banyak diperuntukan. Masuk tahun ke 2.. saudara/ri mulai biasa dengan keadaan tersebut. Memasuki tahun ke 3 dan ke 4.. saudara/ri terus berkeadaan sedemikian. Sehinggalah pada beberapa minggu terakhir saudara/ri akhirnya mengetahui bahawa hakikatnya terdapat jalan yang lebih dekat untuk dilalui, masa yang beberapa minit, tol dan minyak sehari saudara/ri sebenarnya mampu dijimatkan sehingga seminggu, sebenarnya saudara/ri tidak perlu berkejar-kejar ke kampus. Tapi saat tersebut, saudara/ri baru menyedari hakikatnya pengajian saudara/ri sudah hampir tamat. Jalan tersebut mungkin sudah tidak mungkin dilalui lagi selepas ini. Saudara/ri mula menghitung berapa ruginya umur saudara/ri yang lama terbuang, berapa banyaknya duit yang telah dibazirkan. Malah berapa bodohnya diri saudara/ri lantaran tidak mengetahui jalan tersebut seawal mungkin.



Apakah jalan tersebut??

Itulah Jalan Ilmu..

Mendapat ‘Ilmu’ mengenal handphone tiruan berbanding asli pada usia 15 tahun sebagaimana anak muda sekarang, menyelamatkan dirinya dari tertipu bermula dari umur 15 tahun sehingga akhir hayatnya..

‘Ilmu’ mengenali kedai yang menjual barang-barang yang murah pada usianya 20 tahun, menjimatkan cukup banyak duitnya berbanding menemui kedai tersebut setelah berusia 40 tahun.

‘Ilmu’ mengenal seluruh jalan dan lorong di sebuah bandaraya yang sesak semasa berusia 25 tahun, menjimatkan umurnya yang harus dibazirkan di atas jalan raya lantaran kesesakan berbanding mengenal saat diri hampir di waktu persaraan.

Andai ilmu sebegitu… mampu dikutip dan dihitung manfaatnya. Dicongkak jimat ringgitnya, jimat masanya, terselamat dari tertipu. Apatah lagi mengutip ilmu yang PASTI menjamin keselamatan buat diri.

Maka, apakah ilmu yang PASTI memberi keuntungan dan manfaat tersebut??
Itulah Ilmu mengenal Jalan-jalan Agama, ilmu yang tidak terhitung keuntungan yang mampu kutip. 
Apakah manfaatnya??
Andai mengenali arak itu suatu yang haram pada usia 30 tahun berbanding diusia10 tahun… maka saudara/ri sebenarnya diambang bahaya dalam 20 tahun sebelum menemui ilmu tersebut.

Sekiranya hanya mengenal hakikat zina itu haram sematang usia 40 tahun berbanding gelodak nafsumu seusia 15 tahun.. saudara/ri sebenarnya bagai meniti ditebing-tebing neraka sepanjang 25 tahun tersebut.

Apatah lagi sekiranya diusia 50 tahun baru mengenal apa itu Taghut, berapa kali agaknya kita mencabar kuasa Allah sehingga suatu yang memberi makna hadir ke dalam diri.

Maka, sebagaimana jauhnya mereka yang belajar tadi untuk menempuh jalannya menuju ke kampus. Kita juga lebih jauh dan tidak terbanding jauhnya untuk menuju rahmat Ilahi. Dosa-dosa yang terhasil menjauhkan kita dengan Ilahi.. Jalan Yang Satu untuk menuju Syurganya harus diredah terlebih dahulu dengan bakaran Neraka penuh azab. Namun mungkin terus kekal lantaran tidak memahami batas-batas aqidah. Nauzubillah…

Maka, kenalilah jalan Allah dengan mengenali siapa yang menunjukkan jalan tersebut…


dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) Yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

Al-An’am : 153

Serta FirmanNya lagi;

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Ali Imran: 31


BERCAKAPLAH WALAU BERAT

Saya teringat hal pernah berlaku suatu ketika semasa masih menuntut di universiti.

Minggu yang amat sibuk, saya sering diundang memberi ceramah dalam kuliah subuh dan maghrib kepada adik-adik semasa di universiti suatu ketika dahulu. Keasyikan saya menyebabkan saya terlupa dengan situasi teman-teman lain. Namun dalam perjalanan pulang jauh dilubuk hati saya satu suara menyeru dan mengetuk nurani. Ya Allah!!! Saya hebat menasihati adik-adik, namun bagaimana teman-teman. Mereka lebih layak untuk aku utamakan.

“Teruknya aku…. Seminggu ini aku ke sana ke sini beri ceramah untuk adik-adik. Minta adik-adik jadi baik, belajar elok-elok. Suruh buat tuh.. buat nie. Tapi aku terlupa kamu semua... orang paling dekat dan serumah dengan aku. Bagus ke orang macam nie??” air mata saya membenih. Jiwa saya tidak dapat menahan sebak. Saya memanggil seluruh ahli rumah dan menyatakan isi hati. Suara saya kian tersekat kerana kesal yang mendalam. Kesal dengan diri yang mula terlepas pandang terhadap teman-teman.

Titis air mata kesal saya menyebabkan teman mula akur dan mengerti. Masing-masing memberi perhatian serta berusaha membetulkan tindakan.

Tapi saya tidak menafikan, titis kesal yang timbul adalah dengan kehendakNya saat lidah-lidah yang berdosa berbicara dalam berdoa. Moga bicara mampu mengikis noda-noda diri. Namun masa sama, merintih merayu moga dipalit cintaNya.

Teman.. 
Usah hentikan lidahmu ..
Berusahalah untuk terus menyeru…

اصلح نفسك وادعوا غيرك

“Perbaikilah dirimu serta serulah jiwa-jiwa yang lain”




AbeJoes@abejoes.blogspot.com

0 comments: