Thursday, February 12, 2009

Boikot-Tahanlah Titis Liurmu

 “Nescafe lah ya… panas atau sejuk?”

Saya dipelawa dalam pertemuan ringkas dengan pelanggan di rumahnya.

Saya yang tidak sempat menafi, tetap minum dalam berat. Risau bertandang dan memberi arahan bermacam kepada tuan rumah.

Namun, saya sempat memilih yang panas walau hampir sejam saya berpanas dalam keterikan mentari.


TAHANLAH TITIS LIURMU..

“Dia pening jugak, sebab dia wajib menghirup Nescafe setiap hari, paling kurang 2 gelas sehari”
Bicara teman karib, lama kami tidak berkongsi khabar.

Rupanya ada teman kami yang tidak senang duduk, baginya tiada pengganti lain untuk menghilangkan dahaga yang sekian lama beralas ketagihan.

“Kawe pon dah lama tak minum neslo” saya membalas.

Selera saya memang diketahui umum teman-teman pemuda. Campuran dua jenama boikot itu benar-benar memberi kepuasan kepada saya dalam setiap titik hirup.

Kini.. mula bertukar Radix atau Sawda.

Terkadang kopi yang jarang sekali saya teguk menjadi order andai tiada pilihan. Namun tidak mungkin bagi kopi janda.(gurau je)

…….

“Milo tuh barangan Malaysia,” bonda saya bermain sangka. Saya tidak berani menyalahkan ibu yang lama mengenali produk berbanding pengeluarnya.

Mungkin jenama tersebut sebati dengan diri. Mungkin tidak menjumpai pengganti dihujung desa yang tidak memberi pilihan yang banyak. Hanya ketika kepulangan saya baru ibu dapat menambahkan kekurangan bahan diceruk dapurnya.

“Lepas nie beli Oligolah, sedap jugak tuh,” isteri saya memujuk sambil memberi alternatif.

“Nie produk nestle, pasal tuh kena boikot” saya menyambung penjelasan sambil menunjuk trademark agar dikenali. Bonda seakan bersetuju.

……

“Ada seorang ustaz nie, memang susah benar nak berhenti rokok. Dah habis nasihat diberi dia masih tak dapat berhenti. Cakap laa gapo pun tak berenti. Tapi loni, dia tak boleh hisap. Tiap kali letak rokok kat mulut, dia akan terbayang anak-anak Palestin yang sakit, tak jadi nak hisap rokok,” isteri saya bercerita.

Biasanya saya gemar untuk bertanyakan sebarang perkembangan politik dan program-program di Kelantan. Kebetulan isteri saya terlibat secara langsung di bawah Urusetia Kerajaan Negeri di bawah lantikan politik.

Itu yang berlaku di sekitar serta mampu saya kutip. Mungkin ramai insan lain yang senasib menahan ketagihan diri lantaran usaha untuk memboikot produk-produk Israel.

Namun itu yang sebaiknya. Membantah biarlah memberi kesan kepada jiwa, baru terasa arus penentangan.

Saya pelik memikirkan…

...Seorang yang hebat memboikot produk-produk Israel dalam demonstrasi. Namun sempat menghirup sedalam mungkin setiap hisapan rokok buat penyegar diri saat beradu rehat dari terik mentari.

...Seorang suri yang hebat mengecam sang perokok, namun terus membeli barangan wajib dengan alasan sudah menjadi kebiasaan keluarga. Walhal tersedia alternatif keluaran saudara seagama.

Saya tidak mahu mengulas dari perspektif makro yang sedia maklum sehingga lahirnya seruan ini. Tujuan yang sedia dimaklumi oleh semua, berjaya boikot memberi bahana ekonomi kepada Amerika dan Israel.

Namun, saya berusaha mengajak untuk melihat pertembungan antara kehendak diri dalam persoalan ini.

Andai begitu, di mana gamak untuk kita menyemai nilai mujahadah sekiranya memboikot perkara yang langsung tidak berkait dengan diri. Saya bukan menafikan peranan, tapi berfikir ketulusan insan yang bersama berjuang. Sang Perokok berkokok hebat melaungkan boikot terhadap makanan segera yang dia sendiri tidak pernah menjejak kakinya. Adakah dia berkokok hebat untuk melaungkan sama memboikot teman bibirnya.?? Begitu juga untuk contoh yang lain. Jangan tersenyum bila perokok sahaja dibidas ya.. Ingat juga ya buat penggemar alat mekap dan hiasan diri??

Saya bukan ingin berfatwa, kerna jelas kurangnya ilmu saya. Saya menganggap tindakan mereka-mereka yang disebutkan di atas ibarat saya membuat sepanduk dan flyers mengedarkan kepada orang ramai dengan tulisan ARAK ITU HARAM. Adakah saya terasa penentangan dalam diri?? Tidak.. kerana sememangnya sejak kecil saya memahami yang hakikatnya arak itu haram dan tindakan saya itu adalah lebih kepada untuk meMAKLUMkan kepada orang ramai sahaja serta ‘sedikit’ ingatan buat saya yang memang tidak pernah menyentuh minuman tersebut. Bukan saya memBOIKOT apa yang sebati dalam diri.

Boikot lebih dalam dari itu, boikot bersamanya MAKLUMan dan dilapikkan keSEDARan.

"Sepatutnya yang aku nak telan nie halal, tapi aku tidak menyentuhnya kerana Allah.."
"Benda yang aku nak guna nie bermanfaat juga, tapi aku pilih jalan yang lagi sukar kerana ukhwah Islamiyyah"
"Hakikatnya yang aku nak pakai nie boleh.. tapi aku tinggalkan kerana aku bermusuh dengan musuh Allah."

Itulah penghayatan boikot bagi saya.

SALAHFAHAM TERHADAP BOIKOT

Ada yang memandang boikot adalah suatu tindakan yang lahir dari tindakan dan permasalahan politik serta menafikan sandaran kepada syarak. Baginya andai satu tindakan syarak sudah pasti ia diganjari pahala dan meninggalkan adalah dosa.

Saya turut terkejut apabila ada golongan bijak pandai yang menyatakan kerisauan terhadap ekonomi sekiranya hal ini dilakukan.

Sedangkan seruan untuk mempertahankan persaudaraan Islam jelas, serta mengumpulkan masyarakat Islam menjadi satu keluarga yang besar adalah saranan yang dinyatakan dalam Al-Quran;

“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Daku”
Al-Anbiya:92

Hadis nabi sebagaimana Riwayat al Imam Bukhari serta sebahagian ahl sunan;

“Bandingan orang mukmin dalam kasih sayang, kasih belas dan simpati mereka sesama mereka adalah seperti sebatang tubuh, apabila satu anggota dari tubuh itu mengadu kesakitan makan sekalian anggota tubuh yang lain turut merasa kesakitan dengan berjaga malam dan panan badan(demam)”

Kita tiada wang untuk tambang penerbangan ke sana memeluk dan memujuk sabar saudara di sana…

Kita adalah penakut hatta untuk menyentuh senjata mempertahankan kesucian Islam di sana..

Kita telah lama dibelai tilam-tilam empuk, mungkinkah kita mampu untuk tidur bersama di bawah runtuhan bangunan sebagaimana mereka..

Kita pasti gatal-gatal tubuh andai tidak mandi walau sehari, mampukah kita bersabar menadah paip yang menitik dan perigi yang kosong di sana…

Kita sudah gelisah andai tidak mampu tidur kekenyangan.. bagaimana mampu bersabar dengan catuan makanan yang terkadang belum tentu di sana..

Ingat!! Andai tidak mampu membantu Saudara seIslam, jangan pula berpaling tadah menjadi penyokong Musuh!!!

Berfikir tidak salah… namun terlalu dalam fikir hingga tidak melahirkan tindakan itu yang salah..

Andai Sayyidina Abu Bakr menggunakan logik akalnya, sudah tentu beliau tidak memerangi golongan riddah yang enggan membayar zakat. Adakah beliau tidak sedar tindakannya memerangi golongan tersebut akan memberi kesan ekonomi lantaran golongan tersebut pasti makin ‘keras’ untuk tidak membayar zakat.

Andai Nabi Musa menggunakan logik baginda, saat seruan memukul laut. Alangkah baik tongkatnya digunakan untuk memukul muka firaun. Sekurangnya lebam juga muka musuh. Memukul laut paling kurang memercikkan air ke muka sendiri..

Allah menyembunyikan pertolongan disebalik penyatuan hati hambaNya. Kerna doa itulah satu-satunya doa Junjungan Besar yang tertolak, memohon Allah tidak mengazab ummat lantaran perpecahan.

Memang musuh tidak takut dengan tindakan ekonomi yang dilancarkan, namun mereka akan gerun dengan ikatan ukhwah yang dizahirkan.

Andai masih ingin meneruskan hajat… teruskanlah. Hiruplah sepuas mungkin buat mengganti titis darah syuhada’ kita di Palestin..

Pakailah jenama-jenama mereka buat mengganti kafan saudara kita di sana.

Saya bukan beromong kosong, tapi kesan dari ini pernah terbukti di kawasan kami.
Lebih kurang 2 tahun lepas, pemuda dan kawasan pernah melancarkan demonstrasi dan boikot 7Eleven di Taman Melati lantaran menjual arak di kawasan yang majority Islam. Akhirnya premis tersebut terpaksa tunduk akur dan mengeluarkan produk tersebut atas desakan masyarakat setelah beberapa hari.


BUANGLAH NALURI DIRI.. MASUK KEHENDAK ILAHI..

“Cuba bayangkan, seorang yang hidup semenjak kecil. Diasuh dan cenderung dengan Balada yang mendayu jiwa. Hendak kita cabut rasa hati dia dan pasak lagu Rock yang menggegarkan!!,’saya membuat bidalan.

Ada yang tersenyum dengan contoh tersebut. Masing-masing mengiling kepada melihat beratnya dan sukarnya.

Itulah nilai boikot bagi saya..

Mengaitkan terus tindakan dengan mujahadah diri. Berusaha melawan naluri yang lama sebati. Apatah lagi hal tersebut memberi kesan kepada ummat Islam.

Kerna itu baru berhasil dan melihat nilai iman yang bersandar pada bidalan yang sama.
Membuang pertimbangan dalam diri… menceduk kembali acuan Ilahi. Itu baru boikot luar… boikot makan.. boikot minum… boikot pakai.. yang kita sendiri mampu lihat. Namun, perhati dan telusuri kembali dalam diri, berapa hebat kita memboikot perilaku yang banyak bertentangan serta bercampur aduk dalam keimanan kepada Allah.

Orang yang beriman,

Bila jiwanya memandang mulia dengan hebat berpakaian yang dijahit musuh Allah, Neraca Allah mengatakan hina. Dia memboikot rasa tersebut dan mengambil acuan Allah..
Bila jiwanya memandang rugi dan memberi kesan kepada ekonomi, Allah mengatakan itulah keuntungan sebenar. Dia memboikot dan mengambil acuan Allah.
Bila dirinya berasa bahaya saat penentangan dan perjuangan bersama menentang musuh-musuh Allah, tapi Allah menjelaskan itu yang harus kita hadapi. Dia menelan segala kepahitan penentangan dan kembali mengambil acuan Allah.

“Shibghah (Celupan/Acuan) Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya dari pada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah,”
Al-Baqarah : 138

Bersyukurlah bagi mereka yang terselamat sebelum ini.. kerna terselamat dari ujian naluri..
Memeriksa dan menyaring hidup.. rupanya terselamat dari unsur-unsur yang membantu musuh.
Berusahalah bagi yang hariannya masih bergantung sehingga NALURI SEBATI MENJADI DARURAT saat mendengar tangisan ummat. Kerna itu mungkin setitis ujian buat diri kamu.




AbeJoes@abejoes.blogspot.com

0 comments: