Thursday, January 22, 2009

Bertanyalah... Usah bermain prejudis

“Program nie anjuran siapa?” seorang pengunjung malam tasik titiwangsa menyapa saya.

“Program pemuda” Saya menjawab ringkas.
Mata saya tidak lepas menjeling adik-adik yang harus sentiasa berada di bawah pemantauan saya.

Kelam malam..
Dengan jumlah seramai hampir 40 orang menyukarkan saya untuk memerhati setiap susuk di bawah tanggungjawab saya dan seorang teman unit amal.

Kami diamanahkan mengawasi mereka. Risau andai keselamatan mereka terancam dalam ekspedisi dakwah kali ini.

Lelaki tersebut mengekori, dalam hayun langkah yang perlahan. Menyaingi kelajuan kami.

“Abang datang sorang?” saya menyoal melihat dirinya bagai berminat untuk menyertai program kami.

“Tak, dengan anak-anak.. tuh mereka” bibirnya dijuih sedikit menunjuk tempat anak-anak bermain dalam kecerahan lampu-lampu sekitar taman.

Lorong demi lorong dilalui memisahkan pandangan matanya dengan anak-anak.

Saya rasa PAS ini ektreme. Selalu keluar kenyataan yang agak keras dari pemimpin-pemimpin PAS. Saya dah lama tengok, perhati dan kaji. Tak macam parti lain, tak nampak terlalu ekstreme dengan agama, dengan bangsa. Pasal tuh ramai boleh terima” Dia mula bersuara setelah agak jauh mengikuti kelompok kami.


Saya memasang telinga.

“Tengok, kenyataan yang keluar mengkafirkan orang laa. Sampai orang jadi takut. Saya nampak PAS ini susah untuk masuk kepada masyarakat kalau terus ekstreme macam nie?

Saya mula memperlahankan langkah. Cuba memberi sedikit perhatian untuk dialog tidak langsung antara kami.

Patutlah bersungguh benar menyertai saya.

“Kenapa abang kata begitu?” saya cuba menyoal. Mencari punca atas kata-katanya.

“Yealah… tengok pimpinan tertinggi pun. Keras dalam kenyataannya. Ustaz-ustaz pun sentiasa tinggi suaranya mengutuk. Saya nampak PAS ini lebih kepada matlamat kepartian, kata kat orang tapi berebut juga nak jawatan” rasa hatinya mula diluahkan.

Saya mendiamkan diri. Kumpulan di bawah seliaan saya kini dikawal dengan anak mata. Mereka kian menjauh dari kami.

Saya cuba mencari jalan terbaik untuk memberi kefahaman, tapi harus menghancurkan salah faham dalam masa yang singkat. Kegagalan menghancurkan salah faham menyebabkan proses memberi kefahaman tersebut akan terganggu dengan persoalan tambahan yang menyekat perbualan serta jerat prasangka. Malah tugasan saya malam itu mungkin akan sedikit terabai dalam proses menangkis tanggapan serta menyemai kefahaman tersebut.

Saya berfikir panjang.
“Cuba abang bayangkan. Bila seorang yang mengaku ISLAM mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan bangsa lain hanya MENUMPANG DI BUMI MALAYSIA. Kemudian kenyataannya disanggah oleh seorang BUKAN ISLAM dengan mengatakan kita semua adalah makhluk Allah yang MENUMPANG DI MUKA BUMI Tuhan. Pada pandangan abang, apa yang menyebabkan kenyataan tersebut boleh keluar dari mulut orang bukan Islam tersebut?

Dia mula berfikir.

Itu bukan dari akalan saya. Tapi saya terkedu apabila seorang bukan Islam menyatakan hal sedemikian dalam wacana yang penuh kontroversi baru-baru ini.
Bagi saya cukuplah saya mengeluarkan contoh sebegitu untuk menjentik akalnya, berfikir dalam mencari punca dan sebab bagaimana seorang bukan Islam boleh memahami hakikat penciptaan manusia sebagai makhluk lebih baik dari akal nafsu seorang manusia yang mengaku Islam.

Itulah contoh yang mampu saya hadapkan, menyelongkar resipi kejayaan dari sebuah kerajaan yang hampir mencecah dua dekad pemerintahannya. Mengukuhkan tunjang kefahaman kepada mereka yang sedia melafaz syahadah, mendekatkan jurang bagi mereka yang masih belum terbuka jiwanya untuk kembali kepada Agama Fitrah.

"Berapa nilai bangsa Melayu diakhirat kelak? Cuba sebut??" Soalan yang dipersetujui oleh jiwa yang sedia tunduk. Namun amat sensitif bagi insan yang masih dengan semangat kebangsaannya.

"Kita sama sahaja, kami yang Islam yakin asal manusia dari Adam. Kami juga yakin tuan-tuan juga dari keturunan yang sama. Kalau tuan-tuan rasa ada asal dari yang lain cuba bagitau saya. Tapi kalau takdok, ambik pakai yang saya sebut nie dulu pasal saya ada hujjah saya sehingga tuan puan berjumpa dengan siapa tok nenek moyang hok asal tuh," Saya mengulangi ayat yang kerap disebut Tok Guru setiap kali dirinya berdepan dengan bangsa-bangsa lain di bumi yang ditadbirnya.

Mendekatkan jurang sekaligus menyuntik pegangan Islam. Kenyataan tersebut sudah cukup memberi kepuasan walau pulang dengan ketandusan jawapan.

KITA YANG PREJUDIS

“Musuh utama kita sekarang adalah sikap prejudis umat Islam sendiri dengan agama yang mereka anuti,”
saya memetik pandangan Ust Zaharuddin- menantu TG Hj Hadi.

Prejudis yang bermain dalam lubuk hati kebanyakan umat Islam sekarang amat parah. Prejudis hingga melahirkan nanah dan kudis-kudis hati. Memandang serong dengan agama yang dianuti.

Kejahilan ummat menyebabkan mereka gagal untuk menghadapkan kefahaman dan cara hidup yang bertentangan dengan Islam.

Andai di bawa ISLAM, mereka mampu untuk membandingkan dengan BUDDHA, HINDU, KRISTIAN dan lain-lain dari sudut aqidah. Kerisauan mereka kepada persoalan Aqidah membuak-buak. Timbul risau saat dibacakan statistik murtad. Timbul gerun melihat anak-anak muda yang mula memuja syaitan.

Namun, apabila di bawa sistem EKONOMI ISLAM, mereka gagal untuk menghadapkan apakah MUSUH kepada CARA HIDUP dalam BEREKONOMI. Mereka lahap merantah hasil-hasil dari sistem-sistem riba. Sistem kapitalis yang dijamin kemusnahan dan kejatuhannya tidak dipandang sebagai suatu yang menggugat hidupnya.

Bila dibawa sistem perundangan, mereka gagal untuk membuat perbandingan apakah jenis sistem perundangan kuffar yang harus dihadapkan sebagai suatu yang bertentangan dengan sistem Islam.

Kenapa kita hebat membuat perbandingan dan mencari beza hanya dari sudut aqidah?? Sedangkan Islam adalah suatu sistem yang berbeza dan harus dihadapkan perbezaannya dengan KESELURUHANNYA dengan sistem hidup golongan kafir.

Hatta disebutkan, diandaikan sekiranya adat seremeh memakai selipar jepun sekalipun sekiranya dengan memakai selipar jepun tersebut adalah dari CARA HIDUP yang jelas bukan dari Islam walau nampak tidak salah pada pandangan akal. Kita dilarang mengikuti jalan-jalan kehidupan tersebut.

Saya bercakap atas dasar kehidupan muslim, bukan mencari perbezaan yang sememangnya tidak digalakkan dalam hal-hal dakwah. Menyeru dengan kelainan sebagai manusia dengan identiti Islam namun sama dari hakikat kehambaan.

ISLAM ITU FITRAH…

Islam agama fitrah, kenapa harus dilawan fitrah untuk meneruskan hidup? Senangkah andai seluruh kehidupan berjalan dalam suasana yang penuh songsang??
Berhukum dengan hukuman yang songsang..
Berekonomi dengan sistem yang songsang…

Kita tidak merasainya, kerana kita redha dengan kesongsangan tersebut.

Cuba renungkan sebentar..

Suatu ketika kita seronok berjalan-jalan bersama isteri dan anak-anak tersayang. Tiba-tiba anak kita dilanggar mat rempit dan mati didepan mata. Pesalah ditangkap, dan dihadapkan ke mahkamah.
Yang mana pilihan anda?
- Hukuman yang sewajarnya ditentukan oleh kita sendiri.. atau..
- Panggil orang lain untuk tentukan nasibnya, orang tersebut kenakan denda dan memanggil orang lain untuk ‘kawal’ pesalah tersebut dan duit diambil olehnya.

Kerajaan ingin membeli harta untuk milikan kerajaan.. di mana seeloknya sumber dicari untuk membeli mesin mahal tersebut??
- Kerjaaan mencari sumber dari hasil bumi sendiri. Ibarat titik peluh kerajaan sendiri.. atau..
- Menyeluk duit dari setiap poket rakyat (cukai)..

Andai kita mempunyai tanah. Bagaimana kita bersetuju dengan cukai tanah yang dikenakan.
- hanya untuk tanah yang diusahakan dan memberikan hasil sahaja … atau..
- cukai harus dibayar walau tanah tidak diusahakan


Saya tidak pasti fitrah anda menjawab bagaimana. Cuma andai pilihan ke- 2 menjadi pilihan. Mungkin fitrah kita telah sebati dengan tahap kesongsangan tersebut.

Saya bukan menghukum. Namun menjadi kepelikan bila kita mampu memberikan jawapan yang rasional namun masih bersikap redha sebaik menyedari kesilapan tersebut.

TANYALAH PADA YANG AHLI

“Saya tidak menafikan ada juga yang kekurangan dan kesilapan pimpinan yang ada sekarang. Namun bukanlah bersifat kesilapan aqidah,” saya memberikan pandangan.

“Namun dari dibiarkan yang tak faham, elok kita letak yang kurang bermasalah”

Perbualan saya sedikit panjang, setelah memberi sedikit penjelasan sebaik hujahnya tidak menunjukkan sebarang penentangan.

“Ginilah abang, saya tak salahkan abang. Cuma dalam jemaah kita nie orang macam-macam yea. Kena pandai cari oranglah nak bertanya, kalau bertanya kat yang kasar maka kasarlah jawapannya. Kalau yang abang cakap extreme maka extreme laa jawapannya. Carilah yang boleh jawab dengan hikmah, yang mempunyai asas-asas haraki. InsyaAllah abang akan dapat kepuasan di sebalik jawapannya,” saya memberi sedikit pesanan sebelum kami berpisah.

“InsyaAllah.. saya akan cuba berfikir semula mengenai PAS,” nadanya mula perlahan.

Saya mula mengejar kumpulan yang makin jauh terpisah.

“ maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,”
An-Nahl: 43




AbeJoes@abejoes.blogspot.com

0 comments: