Thursday, January 8, 2009

Berbaloikah Beriman.. Beruntungkah Kufur??

Saya bercuti panjang ‘idiladha lepas.

10 hari lamanya..

Masa terasa sebentar bukan kerana detik beredar di samping isteri tercinta semata-mata. Namun dengan komitmen yang agak padat sepanjang cuti kami. Sebaik menjejak kaki ke pejabat selama 3 hari, saya dikejutkan dengan kematian bapa saudara yang dikasihi. Menambahkan lagi ‘percutian’ saya selama 4 hari. Baju saya memenuhi beg tanpa berlipat sebagaimana biasa. Saya terpaksa mencari wakil untuk mempengerusikan seminar pada keesokan hari di PWTC dalam kekalutan menyiapkan diri. Juga terpaksa mencari pengganti yang akan mengendalikan Kem Pembinaan Iman yang berselang sehari.

Bergesas pulang menaiki van jenazah lewat jam 3.30pagi dari hospital serdang ke kampung halaman di Jeli. Hajat dihati menemani arwah sambil membaca ayat-ayat suci, namun saya terlena dalam henjut pecut van jenazah. Saya mula kalah dengan mata yang memujuk tidur serta otak yang menagih rehat sejak beberapa hari.

Saya terlena sebaik van jenazah mula bergerak.

Terkadang saya terjaga, membetulkan kain yang menutupi keranda arwah.
Jam 10.30 pagi kami selamat sampai, setelah beberapa jalan singkat ditunjukkan oleh kami kepada pemandu van tersebut. Orang kampung memenuhi halaman, bersedia menanti ‘ watak utama’ hari tersebut.

Selesai meletakkan arwah di hamparan tidur yang menjadi kebiasaan di saat hidupnya. Saya mendapatkan bonda dan kekanda yang mula perasan dengan keletihan diri.

“Bengkak nampak mata pok jo tuh,” kekanda mula bersuara sebaik saya mencium tangannya.
Saya sekadar membasahkan badan dan menukar pakaian. Niat untuk mandi saya simpan sebentar sehingga urusan jenazah selamat dijalankan. Sebaik menukar kain, kami mula memandikan jenazah menyedari tetamu mula berkurang.

Sayu terasa hati kala menyapu susuk tubuh yang lama saya kenali sebelum ini. Meratakan air ke segenap jasad yang masih kelihatan sasa walaupun usia arwah mencecah 80 tahun. Selesai dikafankan, baru saya berpeluang mendapatkan isteri dengan pakaian yang masih dibasahi air kapur barus.

DIA TELAH PERGI

Hari ini sudah tiada pak cik yang banyak membantu kita. Yang menjadi pengganti arwah ayah. Orang yang selama ni rapat dengan kit. Dia telah dijemput kembali olehNya. Selama nie, walau jauh mana pun kita berada. Andai bila tanya apa yang Pak Cik sedang buat sekarang. Kita mungkin boleh sebut, mungkin pak cik sedang solat maghrib atau juga barangkali pak cik sedang mengajar murid-muridnya mengaji di ruang tamu rumah. Kita duk jauh kat KL ke, kat terengganu ke bila tanya soalan tuh lebih kurang macam tuhlah jawapan kita. Cuba kita renung sekejap, apa agaknya jawapan kita bila soalan sama kita renung hari nie. Sama ke jawapannya?” 
Sengaja saya cetuskan persoalan. Sengaja saya menjolok jiwa hiba yang masih ditanggung bersama dalam tazkirah kali ini. Mengambil kesempatan atas ibrah Tuhan memberi kesedaran bersama buat seluruh keluarga.

Masing-masing merenung.

Biasanya tazkirah saya disambut dengan point-point tambahan oleh bonda dan ahli keluarga. Bersoal jawab dengan anak saudara. Terkadang disambut gelak tawa kekanda dan bonda saat lafaz berselit jenaka. Kali ini semua berdiam.

Yang rapat terasa benar kesedihan.
Yang kecil mula berdiam melihat kelainan.

Malam nie kira pak cik dah tinggal sorang-soranglah dia, semalam elok-elok tidur kat rumah. Malam nie.. dia tidur soranglah. Mukanya yang biasa mengadap dinding rumah, malam nie mengadap dinding tanah. Yang dia tahu sebelum ni, hari nie dia hadapilah. Yang dia tahu pasal malaikat mungkar nakir, dah dia temui lepas kita kita tinggal kuburnya petang tadi”Sempat saya bermain emosi ahli keluarga.

Siang.. kehilangan arwah ditelan kesibukan kami menguruskan jenazah serta melayan tetamu.

Malam... saya rasakan peluang terbaik dalam kedinginan kami bersama suasana sunyi di kampung. Rintik hujan menambahkan kepiluan kami, yang berkeuzuran menyandarkan diri di dinding berhampiran kami yang masih disejadah. Mengambil tema kematian moga lafaz yang dihambur lebih dekat dan senang dikutip saat ujian kematian bermain didepan mata kami.

“Berkumpul untuk memberi sokongan kepada keluarga mak cik, mengurangkan beban yang ditanggung mereka adalah perkara yang digalakkan, namun jangan jadikan pertemuan kali ni sebagaimana hari bergembira macam hari raya yang lepas,
” saya mula menambah.

Kami menyambung solat sebaik isya’ menjengah , malam itu saya panjatkan munajat kematian. Mencurahkan segala isi hati kami, menagih ihsan Tuhan ke atas roh insan yang pernah bertapak dalam sanubari kami.

Kami kemudian bergerak ke rumah arwah yang bersebelahan sebaik solat tamat.

SAAT TUBUH MENJADI TUMPUAN MATA

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”
[Al-Mulk :2]

Allah jadikan kematian dan kehidupan sebagai ujian buat jiwa-jiwa yang mahu merenung. Tiada pengajaran yang lebih baik untuk diambil iktibar kecuali perkara yang bermain setiap hari di depan mata kita iaitu kematian dan kehidupan.

“ Antum rasa, adakah orang ini tahu dia akan meninggal pada hari nie. Dalam nie bagitau kejadian 5.15 petang dia meninggal di tempat kejadian. Rasanya jam 5 petang tuh dia tahu dia akan mati sebentar lagi??”
Kebetulan ada teman membawa akhbar dalam usrah kami. Gambar mangsa terlentang di atas jalan dengan darah yang memercik terpampang di muka depan.

Saya mengajak teman untuk mentadabbur ayat tersebut dalam usrah kami.

Adakah mereka yang putus badannya itu, saat kakinya melangkah keluar rumah dia tahu badannya yang sihat bersarung jaket kemas akan putus dua dalam 30 minit lagi??

Adakah yang berselerak ususnya tu perasan yang nyawanya akan tamat digilis lori yang setia menemani perjalanannya ke pejabatnya bakal meragut nyawanya di selekoh dihadapan yang bakal dia tempuh??
Sekadar Peringatan- Tidak digalakkan untuk melihat gambar sebegini kerna dikhutiri melemahkan akal

Adakah yang bersepai otaknya sedar yang tayar motornya hari ini tidak sempat melepasi flyover yang telah dilihatnya dan bakal dilalui beberapa saat lagi lantaran kalam tertulis hanya dibenarkan berpusing sehingga 1430 kali sahaja pada hari ini, sedangkan dia hanya memerlukan hanya 20 pusingan roda lagi untuk melepasi flyover tersebut??

Adakah yang seronok merancang untuk berkumpul di R&R sejauh 5 km lagi menyedari bahawa dirinya akan rentung tersepit dalam keretanya sendiri 2 km sebelum janjinya tertunai??

Semuanya tidak perasan, sedar dan menyedari.Kerana itu dinukilkan, manusia tidak akan sanggup menempuh hidup andai dia sedar bagaimana dirinya mati.

Enakkah makanan lazat bagi diri yang tahu dirinya akan putus dua 30 minit lagi??

Seronokkah perjalanan dan percutian andai manusia tahu dia akan rentung dalam beberapa kilometer lagi??

Berbaloikah gaji dan elaun yang besar andai manusia sedar andai perjalanan ke pejabatnya berkesudahan dengan ususnya yang bertabur??

Bijaksana Allah, menyembunyikan ilmuNya agar hambanya sentiasa bersedia;

“Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.
[Luqman:34]

Ringkasnya,
Patah perkataan yang diizinkan Allah untuk saya taip. Tersembunyi ilmu disisinya sebanyak mana sedia termaktub.

Huruf dan patah kata yang saudara/ri ditaqdirkan membaca. Tersimpan baik disisi Allah jumlah patahnya.
Menulis saya sehingga perkataan ini, makin melengkapkan patah di bawah taqdir Ilahi.
Membaca saudara/ri hingga patah ini, juga makin mengenapkan patah eja di bawah taqdir Ilahi.
Cuma, adakah dengan tindakan menulis saya dan membaca saudara ini, yang menghampirkan diri kepada ajal. Kita harus lari dari melaksanakannya??

Tidak!!

Habis tu?? Takkan tak risau dan takut andai dengan menulis dan membaca ini makin dekat dengan ajal diri?

Benar.

Tapi .. nukilkan tulisan terbaik yang bertaip moga jemari menjadi saksi. Tersimpan disisiNya berapa patah kata lagi saya ditaqdirkan untuk dibenarkan terus menulis.
Tatapkan tulisan yang mendekatkan jiwa moga matamu tidak menyesal. Jua dalam ilmuNya berapa patah lagi baki huruf yang mampu matamu menatap.

Itu baru persoalan halus disebalik ketentuan Allah disebalik patah huruf kita. Bagaimana dengan hal-hal yang jauh lagi besar.

BERBALOIKAH BERIMAN, BERUNTUNGKAH KUFUR?

Kenal Sayyidina Abu Bakar?
“Kenal Abu Jahal?”
Saya bertanya dalam satu ceramah undangan di sebuah sekolah.

“Kenalll.. gamat bunyinya menggegar dewan sekolah.

Siapa gamak tidak kenal dengan dua tokoh muslimin dan kafirin tersebut.

“Agak-agak adik apa mereka sedang buat sekarang?” saya menyambung soalan

“Mereka dah meninggal..” balas adik-adik.

“Benar ...mereka dah meninggal. Tapi mereka terus hidup di alam seterusnya,” saya menyambung.

Benar mereka telah tiada. TAPI..

Dia telah menerima ganjaran Allah sebaik jasadnya berkubur 1400 tahun dahulu..
.. Dia terus mendapat nikmat Allah 100 tahun selepas kematiannya..
..... Dia terus menemui janji Rasulnya di barzakh 200..300..400.. hingga kini .. 1400 tahun selepas nyawanya berpisah dari badan.
.... Saat Sultan Melaka membuka kota, dia berseronok di alamnya.
.... Saat orang Melayu berperang melawan senjata, dia juga berseronok di alamnya.
....... Saat Tunku Abdul Rahman melaungkan Merdeka. Di sebalik tanah ada jasad yang menerima nikmat Tuhan.
... Saat ibu kita menangis ketika dilahirkan, dia wujud di alam yang didiaminya.
... Tika kita dilahirkan. Dia tetap menjalani kehidupan di alamnya, menemui janji yang Esa.
.....Tika kita bangun untuk solat subuh pagi tadi, dia masih bersenang-senang. Mungkin tidak menyedari sudah 1400 tahun dia di sana.
..... Tika kita membuka komputer sebentar tadi. Mungkin nikmat yang tidak terhingga baru dikecapnya sebentar tadi.
......Tika saudara/ri membaca artikel saya inipun. Mungkin dia sedang bergelak tawa di alamnya.
Itulah dia Sayyidina Abu Bakar. Sahabat.. keluarga.. yang dijanjikan syurga Allah oleh Junjungan Mulia

Bagaimana untung nasib Abu Jahal, makhluk yang dijanjikan AZAB oleh Rasulullah. Mampu kehidupannya dalam situasi dan detik yang sama. Adakah sebegitu kehidupannya??
Sekarang sudah 1400 tahun. Bagaimana dia menghadapi setiap hari yang dijanjikan azab di barzakh Allah??

Berbaloikah kufurnya walau berhadapan dengan sehari dari keperitan barzakh??

Mungkin dia telah menyesal sekarang. Meratapi hidupnya yang sebentar berbanding alam barzakhnya yang sudah 1400 tahun dilalui hingga sekarang.

Saat kita seronok bangun dan mengeliat kepuasan sebaik mencelik mata dari tidur.Hinggalah .. Saat kita kembali memejamkan mata saat tubuh beradu rehat..
Adakah dia turut berpeluang berehat dalam pembaringan azab.??
Adakah malaikat turut letih dari tugasnya merobek dan menyiksa ??
Dia berharap moga-moga semuanya akan tamat. Namun dia terus menemuinya saban harinya.
Hingga semalam... hingga hari ini.. hingga esok...
Hingga bila-bila.. hingga dia terus menemui janji sebenarnya Allah yang makin mendekati dia dan kita.

Kerana itu, jiwa-jiwa kufur telah awal-awal berputus asa. Mengharapkan kehidupan semula untuk membetulkan kesilapan. Adakah di sana terselit peluang?
Mereka telah melalui... Kita akan menyusuri.

Bezanya...
Mereka banyak memperoleh ‘pegalaman’. Namun kita juga akan turut meneruskan di alam yang pasti.
Pembaringan mana menjadi pilihan?
Pembaringan penuh nikmat Sayyidina Abu Bakar yang mengikut jejak iman. Atau pembaringan Azab Abu Jahal yang bergelumang dalam kekufuran.
Urut dada .. tanya ’isi’yang ada di dalam.

AbeJoes@abejoes.blogspot.com

- pembaringan abu jahal bukan bererti mayatnya ditanam sebagaimana muslim

1 comments:

Anonymous said...

love this..
Thank you..

-joe-
www.alangtengahbirukundang.wordpress.com