Tuesday, November 4, 2008

Perkahwinan - Titian Kasih Rabbi

Penulisan sulung saya sebaik bergelar suami pada beberapa minggu lepas telah mengundang pelbagai reaksi.

Ada sedikit perli.. menggelar saya seorang yang jiwang setelah bermain dengan ayat-ayat penulisan… terlalu berlebihan dalam menyatakan rasa hati saya.
Ada memuji.. meminta isteri saya sedia memahami ‘akibat’ menerima seorang yang suka menulis sebagai insan yang menemani hidupnya..
Ada yang mula mencetak dan memberi alamat blog. Agar dibaca suami dan teman-teman moga perkara tersebut turut diulang dalam rumahtangga yang sedia dibina.

Saya telah bersedia, ada yang saya jangkakan pandangan yang wujud dan ianya sememangnya berlaku. Ada yang menganggap seolah garapan saya bagai kisah yang terawang-awang bagi mereka. Maka jadilah penulisan saya sekadar cerita bagi mereka. Namun, rata-rata yang saya simpulkan, perasaan ini timbul dan menjadi perkara yang menggelikan untuk turut sama dilakukan dalam kehidupan. Terutama bagi mereka yang bernama lelaki dan suami.
Namun saya serahkan kepada isteri saya lebih memahami dan turut menyelami.

“Seronok benar nampaknya..” seorang teman menegur…
“Ooo.. Jiwang laa mung nie joe” sahabat lain menambah.
Seolah-olah perkara tersebut adalah kesalahan bagi saya.
Mereka seakan cuba menafikan tindakan tersebut, baginya tidak sesuai dengan perwatakan saya.

Saya terkadang pelik, di manakah salah setelah sekian lama saya bertahan dalam ikhtiar saya, berusaha disebalik kelemahan diri untuk mengikut kehendak Ilahi, kemudian saya merangkak-rangkak cuba mengikut jejak-jejak ‘romantik’ Nabi.

ALIM HARAM Vs. JIWANG HALAL

“Yang mana elok, saya menjadi orang yang nampak alim dalam tindakan yang haram berbanding ‘jiwang’ dalam situasi yang halal?” saya menyoal kembali setelah teman-teman kerap mengulangi perkara sama. Bukan saya tidak dapat menahan gurauan, namun jiwa saya seakan meronta untuk menghentuk akal-akal mereka. Ingin memecah salahtanggap terhadap penulisan saya mungkin terlalu halus untuk seorang lelaki seperti saya nukilkan.

Masing-masing terdiam.
Seolah jiwa-jiwa mereka baru disentak dan memahami hal yang diperkatakan saya.

Itulah yang ingin saya kupas. Salahtanggap terhadap tindakan, suatu sifat yang masih belum jelas baik buruknya namun secara prejudis dipandang buruk dalam apa jua situasi atau satu sifat lain dipandang mulia dalam apa jua situasi.

‘Kata-kata ‘Sayang’ yang saya lafazkan kepada isteri ADAKAH suatu yang jiwang dan memualkan… Namun, kata-kata ‘Ana-Nta-Nte’ suatu yang lebih Islamik dan penuh unsur tarbiyyah yang tidak berkesudahan bagi kenalan baru yang masih di alam seronok dengan perkenalan barunya???’

‘Detik saya memegang tangan isteri dan merenungnya ADAKAH satu kesalahan berbanding ‘mesej-mesej nasihat’ yang kerap dihantar buat didikan rohani dari seorang ‘lelaki soleh’ kepada ‘wanita solehah’ yang masih tiada sebarang hubungan setiap hari???’.

‘Kalimah-kalimah nasihat seorang suami yang jarang berselit ayat-ayat Qur’an dan Sunnah Nabi kepada seorang isteri ADAKAH suatu yang kurang nilai berbanding mesej mengandungi potongan Ayat dan Hadis yang menjadi muqaddimah buat seorang dara mengejut tahajjud seorang teruna kala nyenyak dibuai mimpinya??’

…………..

Melepasi satu tahap ini, belum bererti saya dan isteri sudah layak untuk dikatakan ‘jiwa yang terselamat’, namun yang pasti!! bergelumang dengan perhubungan yang dilihat luaran Islamik sedangkan di sana terselit talbis-talbis iblis dalam tindakan, tutur kata dan nasihat sudah jelas mereka dalam bahaya selagi tidak ‘berundur’ dan kembali merenung hakikat perhubungan tersebut.

“Zol memang tak pernah bercinta laa sebelum kahwin?,” seorang senior bertanya sebaik saya dan isteri menziarahinya. Berminat benar ingin mengetahui kisah kami sebelum ini.

“Takde laa kak, kalau ada apa-apa pun. Mesej jerlaa kalau setakat nak tanya khabar,” saya membalas.

“Hmm.. ada lagi rupanya macam nie zaman sekarang nie,” balasnya pelik.

Bagi saya, itu bukan suatu kepelikan. Itu satu keperluan dalam kami menjaga hubungan.

…..

“Kenapa tak telefon saja, susahlaa nak tanya pakai mesej,” bonda menegur saya sebaik pulang ke kampung. Lama saya berbalas mesej dihadapannya yang sedang melipat kain dalam pertukaran maklumat untuk melengkapkan borang pendaftaran perkahwinan kami. Allah Maha Besar, menyuntik sedikit rasa malu antara kami untuk bertutur buat pendinding diri.

Berapa kali yea kita bercakap dalam tempoh tuh?” saya menyoal isteri kembali. Mengenang kembali tempoh pertunangan kami. Saya sendiri menyedari pertanyaan, sekadar melihat andai ada kesilapan yang pernah saya lakukan.

Bukan saya ingin mencoret sebarang kebangaan, namun cuba menilai hikmah Tuhan disebalik suara yang disimpan.

“Apa perasaan sayang ketika bertunang?” saya berminat ingin mengetahui kesannya dari tindakan tersebut.

“Alhamdulillah, rasa biasa sahaja. Takde rasa lebih-lebih, jiwa pun takde la rasa nak feeling-feeling. Kalau terlupa balas mesej abang pong takde rasa risau” Isteri saya membalas.

Alhamdulillah, saya turut merasai dan memandang hikmahnya.
Saya turut merasainya, terkadang jiwa saya bertanya… benarkah kami bertunang? Kerana jiwa dan perasaan ‘darah manis’ tidak bertapak dalam hati. Terkadang jiwa lalai terdetik, menunggu juga bagaimana rasa ayat-ayat lebih lunak dan menusuk jiwa.

Alhamdulillah, Allah memberi kekuatan disebalik kami puasa tutur kata.

Benar..
Bukannya kekuatan hati ikhlas atau tidak..
Juga bukan persoalan kamu hebat menahan dan menjaga diri atau sebaliknya.
Tapi menyedari hakikat itulah biang-biang kebocoran yang diambil kesempatan oleh iblis dalam mempamerkan keburukan dengan pandangan yang baik dan cantik.

Maka ketika itu,
Sang Solehah mula dengan angannya, mendengar teliti kata-kata Sang Soleh..
Matlamat berkongsi ilmu mula dipandang sebagai suatu perkara dakwah dan lesen dibenarkan syarak. Tidak menyedari syaitan yang bersifat tidak berputus asa mula mengambil kesempatan dicelah jiwa-jiwa yang sedikit terbuai.

Maka akalnya mula bersetuju.
“Kami tidak bertemu,..
kami juga tidak pandang memandang…
tidak duduk berdua-duaan.
Lafaz-lafaz kami diselit Al-Quran dan Hadis.
Jiwa kami terasa senang untuk membuat amalan kebajikan dan amal soleh…
Tubuh badan kami terasa ringan untuk beribadat…
Terasa dekat kami saat bertahajjud kepadanya..”

Cantik benar baginya..

Mulia benar dirasai tindakannya..
Bukankah itu petanda IMAN?!!

Akal 'muslimah'nya mula bermain, jiwanya sedikit dijentik. Seolah-olah 'sang pentazkirah' sentiasa beribadat bersama, sentiasa di sisinya. Hatinya terasa lapang. 
Muslimin pula tersenyum setelah lapang jiwa memberi peringatan.


TALBIS IBLIS atau ILHAM MALAIKAT

“Dia dulu hebat, tak boleh tengok orang couple mesti akan tegur, sekarang nie nampaknya dia pula yang diuji,” isteri saya menambah sebaik saya menyuarakan rasa hati, dia turut terkilan dengan sikap seorang temannya. Kami mula berkongsi cerita.

Fikiran saya mula terkenang zaman-zaman keunggulan. Jiwa saya berasa tidak selesa setelah adik-adik ditengking keras beberapa pendidik dalam proses tarbiyyah suatu masa dahulu. Menghukum masa depan orang lain tanpa menyentuh jiwanya sendiri. Menjadi Penghukum dalam meniti jalan-jalan dakwah.

Siapalah saya untuk menilai tahap keikhlasan tersebut.
Siapalah saya untuk menidakkan kata-kata ilmu yang terhambur dari mereka yang tidak kurang hebat ilmunya.

“Abang pong sedih juga, bila mengenangkan sahabat ni. Dulu hebat memberi nasihat. Sekarang dah mula letak gambar tunang dalam friendster pula,” saya menyuarakan rasa hati. Sedih melihat fitnah dan ujian Allah mula menimpa dirinya

Mereka yang telah dipandang hebat dengan ilmunya. Menjadi contoh kepada mereka disekelilingnya. Mereka mula mencari hujjah-hujjah logic untuk membenarkan tindakannya. Nasyid-nasyid kontemporari mula dimainkan buat membelai jiwa disaat tidurnya. Dirinya mula bermimpi, baginya itulah nilai kasih ilahi. Lirik-lirik nasyid membelai tidurnya dalam khayalan hidup yang mula bermain. Dirinya terasa TENANG.

Benarkah dirinya TENANG??!!

Berusahalah untuk memahami dan menggali makna KETENANGAN. Jangan tertipu dengan istilah KESERONOKAN yang dihias cantik serta dipasak hebat ke dalam jiwa. Andai semua manusia mampu membezakan KETENANGAN, mana mungkin ada manusia yang mampu tunduk kepada makhluk manusia dalam ajaran-ajaran sesat. Jiwa-jiwa sesat lagi hebat merasai ‘KETENANGAN’ dan keyakinan disebalik zikir-zikir karut mereka yang mengubat dan memenuhi jiwa. Namun tersasar dalam menagih rahmat Tuhan.

…..
“Alhamdulillah, dia pun dah berubah berbanding sebelumnya. Dah bertudung labuh sekarang,” terselit sedikit bangga setelah berjaya merubah perwatakan seseorang. Syarat yang diidam sudah melengkapi kehendak hati.

Siapa kita untuk mendabik dada mengatakan diri hebat dengan ilmu yang tersemat.
Yakin diri mampu melawan hasutan iblis dan MUSTAHIL tumpas dengan pengetahuan yang ada.
Saya bukan mengatakan salah ilmu yang diberikan, Cuma bolehkah simpan dahulu dan tunggu masa sesuai untuk dicurahkan?? Tangguh sekejab cerita-cerita box office dalam hidup kamu sehingga mempunyai tiket sah untuk berkongsi luahan hati.

Yang menjadi kerisauan bila ayat-ayat yang sama dibacakan oleh orang yang berbeza.
Kenapa ‘wanita solehah’ mampu berubah hasil dari jiwa yang terkesan dari tazkirah ‘pembimbingnya’ berbanding ayat-ayat sama yang dilafazkan ustaz dan pensyarahnya.
Mungkin ‘pembimbingnya’ hebat kot, atau mungkin ustaz kurang ikhlas dan kerana itu kata-katanya gagal meresap ke jiwa.

Tidak salah memberi peringatan, namun kerisauan juga andai hanya dari ‘nta’ sahaja ‘nte’ mampu mengutip ilmu. Risau andai menyerapnya ke dalam jiwa, diresapi bersama dengan hasutan halus yang tidak disedari bahaya tipudaya.

“ Katakanlah: "Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?. Yaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya.”
Al-Kahfi :103-104

KASIH SAYANG YANG TERSEBAR

“Hai… berseri nampak nie. Baru balik kampung ke nie?” Saya disapa imam masjid sebaik kepulangan ke kampung menjenguk isteri.

“Alhamdulillah… inilah nikmat kahwin ‘banyak kali’,” saya menjawab spontan. Imam dan siak mula ketawa, mungkin faham atau mungkin seronok mendengar jawapan.

Alhamdulillah, kepulangan saya membenihkan cinta yang makin mendalam kepadaNya. Sebelum menikahi isteri atas taqdir Ilahi, saya berusaha mendekatiNya dengan melahirkan jiwa hamba yang penuh diselaputi dengan dosa. Namun sekarang, sebaik hati saya mula mengenal erti kasih sayang, kelainan dirasa sebaik hati saya dicurahkan dengan rasa cinta dan kasih kepadaNya.

Jiwa saya mula memandang susuk-susuk tubuh dihadapan dengan jiwa yang penuh kasih sayang…Pandangan jijik terhadap mereka yang berdosa dahulu mula bertukar pandangan kasihan. Cinta kepada sahabat-sahabat sekeliling tidak berkurang walau dikongsi insan baru, malah makin subur. Pelukan saya berikan semakin erat… hati makin dirasai kian terikat.

Saya menyedari kelainannya, bonda jarang memulakan percakapan kini lebih awal bertanyakan khabar kami.
Kekanda pula, kini sering kelihatan menitiskan air mata selepas saya singgah sebentar bertanya khabar. Berat benar baginya untuk berpisah mata dengan kami. Bagai pertemuan dan perpisahan antara kami suatu yang jarang benar berlaku.
Anak-anak saudara saya yang masih kecil dan pemalu dalam menzahirkan rasa hati mula berani menghantar mesej-mesej rindu, bertanyakan khabar untuk kembali bertemu.
…..

“Hmm… baju nie nak kena tinggal,”
“Serban nie tak payah bawaklah..”

Akal saya terdetik spontan. Tidak pernah saya mengutip dari mana-mana rujukan. Apa yang terlintas, bagai menjadi satu arahan yang terus saya akur tanpa banyak soal. Seolah dipukau diri sendiri.
Terkadang hati saya terlintas untuk berbicara soal tertentu..
Maka ketika itu, dia menundukkan kepala mendengar dengan penuh jiwa taatnya..
Terkadang hati saya diberikan idea-idea spotan, bibirnya mula menguntum senyum dengan jenaka yang diberikan..
Terkadang saya bercerita kisah-kisah lama, mukanya bermain riak dengan kisah duka saya..
Terkadang hati saya tersentuh dengan kasih sayang Ilahi yang menggunung, maka saat berbicara dari kejauhan, kata-kata kami terkadang menjadi sepi sebentar, saya menyedari air matanya turut bercucuran menahan kerinduan. Naluri suami tersentuh di sebalik esakan isteri yang sarat dengan rindu. Memaksa saya menguatkan diri, memujuk dirinya dengan suara yang tersekat-sekat, mengganti belaian kasih seorang suami.

Saya sendiri pelik. Saya berfikir dan mencari punca.
Dari mana hadirnya ilham yang jarang sedalam itu saya menghayatinya.
Dari mana datangnya tindakan yang seolah-olah memahami detik yang sesuai untuk saya melakukannya.
Allah.. Dialah menggerakkan bibir saya menguntumkan senyum disaat matanya ingin memandang senyuman saya.
Dia juga menggerakkan tangan untuk saya pimpin dirinya diwaktu jemarinya merindui belaian tangan kasih seorang suami...
Dialah yang Maha Mengatur tutur-tutur untuk terus saya lafazkan disaat isteri menagih ucapan indah dari seorang suami.

Saya mendongak… menghitung.

“Tuhan, kasih yang Engkau berikan jauh lebih besar berbanding pengabdian dan ketundukan yang diberikan hambaMu yang penuh dosa”

“Bolehlaa sayang tidur malam ini, ada juga baju abang buat temankan..” Beberapa hari meninggalkan isteri, nyata tindakan yang masih belum jelas bagi saya sebelum itu adalah satu perkara yang akhirnya menuntut kepada tindakan tersebut. Sebelum ini, saya tidak menyedari hakikat kepentingan sehinggalah tiba masanya.


SIRAMILAH HIDUP DENGAN KASIH SAYANG

Manusia sering mengaitkan cinta dan sayang sebaik hanya selayaknya dirasai oleh 2 insan. Merasai dunia bagai mereka yang punya. Membuang jauh kata-kata manusia disekeliling, biarlah teman-teman lain dengan kehidupan yang terumbang ambing.Yang Penting- kami bahagia!!

Saya tidak berasakan kebahagiaan kami adalah milik 2 insan semata-mata, jiwa saya tidak tenteram dengan menikmati juadah kasih Tuhan yang dicubit santap dan dirasai oleh kami sahaja. Apa yang saya kongsi sekadar sedikit yang mampu saya berikan, sedikit lagi saya simpan khas buat isteri saya. Moga ada yang istimewa mampu saya simpan buatnya. Namun yang tidak terhitung adalah kasih sayangNya, Dia terus memberi tanpa henti perasaan yang tidak mampu saya beli. Dia terus mencurah tanpa kering nikmat kasih sayangNya yang tidak terbalas dengan ketundukan kita kepadaNya. Andai kasih sayangNya suatu yang harus ditadah dengan tangan, sudah pasti lenguh kita untuk menyambutnya. Andai harus dikutip dengan kaki, tidak terkira tapak kita berlari-lari mendapatkannya. Kerana itu, kasihNya diberi kepada hati.. Maka bersihkanlah hati agar ia mampu untuk menyambut baik saat Dia menyiram kasihNya. Jangan ada ruang-ruang yang bocor dengan dosa saat kasihNya cuba bertakung dalam kolam sanubari, andai ada cepat-cepatlah tutupi dengan taubat dan zikir kita. Kita cukup miskin untuk menebus kasihNya dengan modal yang kita ada. Kerana itu, dengan rasa yang Dia curahkan harus saya serahkan kembali kepada jiwa-jiwa yang berada di sekeliling saya. Saya tidak berasakan kepuasan selagi saya tidak berusaha untuk menabur nikmat kebahagiaan walaupun sedikit untuk dikongsi yang mungkin tidak dituruti. Saya berusaha sedayanya dengan penulisan saya selagi yang mampu dibaca, dengan kata-kata selagi yang mampu didengar, dengan susuk tubuh yang mampu saya hadirkan diri. Apatah dengan keterhadan ilmu dan ilham yang Dia berikan kepada saya. Cukuplah kepuasan saya dengan iktibar yang mampu dikutip, biarlah nilai dengan tindakan-tindakan yang sama-sama menuju Kasih Sayang Tuhan. Biar kenikmatan cinta Ilahi yang saya kecapi yang terlalu jauh berbanding para ustaz dan ulama’ mursyid, apatah lagi untuk dibandingkan dengan para Rasul, Nabi, Sahabat dan jiwa yang dekat denganNya. Moga kasih sayang Ilahi terus tersebar, dikecap dan dinikmat setiap jasad bergelar insan.


Tiada hak peribadi dalam mengutip ilmu ilahi, sebarlah kepada jiwa-jiwa disekeliling selagi tiada sebarang kepentingan peribadi dan duniawi..



AbeJoes@abejoes.blogspot.com

6 comments:

Azlina Ahmad said...

Setiap yang berlaku ada hikmahnya....

Syukran atas perkongsian kerana membuat diri ana termuhasabah kembali, dan membuat ana lebih-lebih berhati-hati lagi. InsyaALLAH.

Ana doakan moga rahmat dan redha ALLAH senantiasa bersama enta dan hajar.

Anonymous said...

Tq abe joe di atas artikel yang cukup bagus ini..tidak berkesempatan untuk ziarah masuk sebelum ni. kekangan masa agak terbatas...seolah artikel ini menjawab komen saya sebelum ini.. =)

hmm, sedang berpikir dan mencari jalan paling berhikmah untuk menegur sahabat saya..kerana percubaan pertama saya untuk menegur sahabat tersebut berakhir dgn jawapan, "takper, 'tunang'ana syeikh..bukan awek,"..mengapa perkataan tunang di atas diletakkan tanda?kerana yang beliau maksudkan tunang adalah pertunangan ml sistem baitul muslim semata. Ya, sistem baitul muslim ~ satu sistem yang baik yang malangnya diuruskan dgn pengurusan yang buruk..

Syukran jazilan sekali lagi abe joe di atas artikel ini..

masih lagi terpikir2...

Ghulam/Budak Bangi

Anonymous said...

Kepada adinda ghulam,

Binalah kekuatan diri, amalkan ilmu. Mereka yang berilmu namun gagal beramal akan tunduk kepada jiwa-jiwa yang beramal dengan tindakanNya. Moga keikhlasan dan kecintaan untuk membimbing sahabat diberikan jalan yang terbaik olehNya.

Mukhlis said...

Assalamualaikum
hei, tuan punye blog..
aku baru tersesat masuk blog ni..
dan terbaca entry ni..

insyaAllah aku akan datang lagi..
jadi kau tolong terus menulis, jgn berhenti.

Semoga Allah permudahkan..

AbeJoes said...

Alhamdulillah... saya pun nak minta tolong juga. Tolong doakan agar terus diberi kekuatan oleh Allah..

el_farisi said...

alhamdulillah,,

trimaz abbe joe...
bLog yang kemas- artikel menarik - serba lengkap,, TAHNIAH..!!!

ambo doakan smoga ABBe joe sihaT sokmoww!!!