Monday, November 17, 2008

Perkahwinan - Mengutip Benih-benih Kerinduan

“ Hmm.. dah banyak lalai kita nie,”

Saya berbisik kepada isteri dalam rutin kami berhubung. Mengambil kesempatan selepas isya’ untuk bertanya khabar dan melepaskan kerinduan kami. Jarak memisahkan kami, saya hanya berkesempatan untuk bertemu isteri berselang 2 minggu sekali.

Isteri terdiam sebentar.

Jiwa saya tersentak. Terasa bagai ada yang tidak kena.

“Sayang pun rasa begitu, biasanya tiap kali abang telefon mesti ada sesuatu yang mampu sayang kutip dari abang. Tapi 2..3.. hari nie terasa pelik juga. Cumanya tidak tergerak hati nak bertanya” isteri saya membalas.

Benar.
Kami masing-masing merasainya.

Percakapan saya dan isteri beberapa hari itu, hanya berkisar perkara-perkara rutin walau masa diambil untuk berbual adalah sama.

Bertanya pasal makan minumnya..
… bercerita mengenai kerja..
…….. bergelak ketawa dengan kisah dan cerita.
Soalan harian yang sama, namun jawapan dan tambahan yang berbeza. Tidak berakhir dengan kepuasan yang sebenar. Cukup sekadar mengetahui situasi dan keadaan dirinya.

Perbualan kami tidak kurang modal, namun lancarnya hanya bermain dilidah. Tiada kalimah yang terpacul mampu meresap jauh ke dalam jiwa. Kata-kata saya terasa tawar, lafaz saya kepadanya terasa amat kosong. Taipan mesej saya sekadar melengkapkan tanggungjawab.
Solat berjemaah… alhamdulillah mampu hadir. Namun jiwa dan perasaan banyak berpeleseran.
Ayat-ayat Qur’an, tidak mampu melepasi halqum sendiri. Akal bagai malas untuk menggali mesej dari Ilahi.

“Ya Allah, kenapa dengan aku..,” saya mengeluh sendirian.

Saya menghubungi isteri,
Dulu segala keresahan dan lemah kuat jiwa saya cuba gagahi sendiri.
Membangkit iman yang memberi kesan kepada semangat yang merundum dalam jiwa yang merangkak-rangkak…
Lama benar jiwa ingin dipulihkan suatu ketika dahulu di saat diri tiada pendamping.

Saya merenung lama. Mengimbau kembali segala kesilapan saya.

Saya menemui jawapan disebalik kata-kata saya yang masih panas diawal perkahwinan kami. Teringat kalimah sulung yang saya cuba sematkan bersama.

“Teruk betul kita, Dia bagi nikmat sedikit inipun kita dah lupakan Dia,” saya mula bersuara. Isteri terdiam dalam membenarkan kata-kata.

“Kena betulkan semula hubungan kita denganNya. Masalah sebenar kita adalah bagaimana kita denganNya bukan masalah antara kita berdua,” saya bersuara. Saya cuba memulakan kembali. Saya tidak mahu keindahan kasihNya yang ingin digapai bersama diberi hanya seketika hanya kerana kealpaan kami. Saya tidak mahu KasihNya bagai subsidi sebentar yang disuntik buat penyegar jiwa sementara. Terasa amat tawar jiwa.. gundahnya hati saat tautan ditarik sedikit olehNya.

JAGALAH HUBUNGANMU DENGAN-NYA

“Kawe ada laa kumpul tips-tips dari ustaz-ustaz. Dari ustaz nie sikit, dari ustaz nie sikit..” seorang teman saya bercerita. Saya perasan dirinya sedikit meronta untuk menempuh alam baru.

Saya berdiam, mendengar satu persatu tips yang diberikan.
Sebentar saya melemparkan senyum.

“Semua yang disebutkan itu hanya pangkalnya dari satu, Jagalah hubungan dengan Allah,” saya membuat kesimpulan.

Saya tidak berniat untuk mendabik dada dengan kata-kata. Mohon sangat-sangat agar Allah menjauhkan saya dari perasaan tersebut. Namun, itulah hakikat dan sumber utama atas wujudnya tindakan tersebut. Alhamdulillah, segala tips tersebut Allah sandaran memberi kekuatan untuk saya amalkan. Namun yang jauh lebih penting, Dia yang Maha Mengetahui di detik dan ketika mana anggota saya patut digerakkan untuk tindakan tersebut.

Melengkapkan pengetahuan juga penting, ilmu-ilmu juga harus dikutip. Mana mungkin kita bergantung kepada ‘hati yang suci’ untuk menjamin tindakan-tindakan menurut Ilahi. Mana mungkin sekadar ‘jiwa yang bersih’ semata-mata dapat mengenal mana tindakan menurut Sunnah nabi. Manakala, Ilmu harus dipadankan dengan keikhlasan. Ilmu memastikan tindakan tersebut betul, jauh dari tipu daya iblis. Jiwa terasa lapang, mungkin berpunca dari ilmu yang diamalkan namun tidak bermakna ‘kelapangan’ tersebut adalah dari ilmu-ilmu yang betul. Maka, adalah tergolong dari mereka yang tertipu andai mereka berserah kepada ‘ keakraban’ dengan Allah semata-mata yang disandarkan pada hati, melaksanakan amalan dengan prasangka dan rasa jiwa tanpa sandaran kukuh dari sumber ilmu yang benar.


MELENGKAPI LINGKARAN PENGARUH

Hati Abang sebenarnya berbolak-balik untuk menulis perihal ni, risau-risau kalau persoalan nie terlalu halus dan personal untuk dikongsi,” saya meminta pandangan isteri.

Saya terkadang serba salah..
… keliru untuk menceritakan persoalan menguruskan rindu yang dipraktikkan dalam rumahtangga kami. Risau andai cerita kami sekarang mula dibaca bagai kisah selebriti yang menjadi santapan jiwa muda mudi.
Namun desakan yang kuat untuk saya menceritakan, ibarat menebas lalang bagi mereka yang ingin mengekori dari belakang. Menceritakan sekadar bahasa masih tidak lengkap bagi saya, kecuali saya menjelaskan praktiknya.

“Cuma kena bersedia, bila Allah meletakkan kemanisan dan nikmatNya. Mintak sangat-sangat agar Dia jauhkan kita dari tipu daya iblis,” saya menyambung ingatan.

Bila titis rahmat dikecap, maka disaat itu kita berasakan kita yang paling bahagia.
Tika kemanisan disantap, kita mula bermain angan bahawa diri yang terbaik senatero dunia.

“Tolong jaga hati kita, jangan kita sandarkan segala nie adalah usaha kita. Risau-risau bila jadi begini, maka masa tuh iblis datang menyusup. Tengok!! Mana ada orang lain bagus macam kamu. Mana ada suami lain bimbing isteri macam mung. Mana ada isteri lain sehebat mung... Orang lain semua teruk, rumahtangga hancur laa. Kamu berdua nie bagus dah nie. Kira berkat betul dah nie,”

“Iblis ini tabiat dia macam anjing terlepas. Masa dia datang, kita halau… dia lari laa sebentar. Dia tengok kita leka, dia datang balik nak gigit kaki kita. Berapa lama kita nak guna kudrat kita nak halau dia?? Pasal tuh, orang yang cerdik akan panggil tuan dia untuk ikat balik supaya anjing tuh tak terus kacau dia. Maka iblis nie pun, kita kena mengadu kat ‘tuan milik’ dia.. Sapa lagi kalau bukan Allah. Biar Allah ikat.. Allah jaga kita dari terus terpengaruh dari hasutan makhluk dia tuh,:


ALLAH.. PANGKAL SEGALA PENGADUAN

“Sebenarnya, Allah dah letak pekeliling Dia dalam AlQur’an. Andai polis saat nak maklumlah kepada masyarakat, kalau ada kecurian tolong telefon nombor sekian… kalau ada masalah jenayah hubungi kami. Nak tunjuk yang mereka tuh bersedia bila-bila masa nak tolong masyarakat. Allah lebih-lebih lagi, pekeliling Dia lagi jelas dalam Al-Qur’anNya. AllahusSomad [112:2]. Walaupun ayatnya pendek, tapi tuh ayat yang jelas nak maklumkan Dia dah bagi siap-siap pekeliling Dia. Kalau kamu ada masalah bagitaulah Aku, kalau kamu berbalah dengan isteri.. Mengadulah kat Aku. Kalau kamu dah pening kepala tak tahu arah tuju. Kembalilah kepada Aku. Allah Dia tak tidur macam polis. Tak mengantuk kalau nak mengadu awal pagi sebagaimana polis, bahkan masa tuh yang terbaik bagiNya. Dia tak terlewat nak sampai macam polis.. Dia tak perlu kenderaan saat nak menjenguk hambaNya sebagaimana polis,”

Saya cuba menyuntik kesedaran bersama.

Alhamdulillah, keluhan hati saya didengariNya. Percakapan kami mula membenihkan air mata keinsafan. Menyedari hakikat diri yang makin melupai Tuhan. Esakan saya yang berada diibukota berbalas dengan perasaan sama disudut hatinya.

“InsyaAllah, sama-samalah kita renung. Nanti esok sayang bangun dan ‘bercakaplah’ dengan Dia. Cerita semua kat Dia… mengeluhlah dekat Dia… bagitau Dia kita ni hakikatnya lemah… keluarkan semua apa yang terpendam dalam hati sayang. Kita bercerita kat manusia nie, setakat mana sahaja ikhtiarnya. Nak mengadu kat manusia yang sama bermasalah macam kita. Sayang nak mengadu kat abang pun, abang pun takde depan mata. Kalau ada pun jenis yang lalai juga. Abang serah kat Dia sahajalah untuk sayang bagitau Dia. Yang penting kena Cerita...cerita… dan cerita…”

Jiwa saya mula sebak dalam suara yang tersangkut-sangkut. Namun melafazkan kalimah tersebut kembali menyangkut ketenangan jiwa saya.

Keesokannya kami mula terasa kelainan. Hati kami kembali terikat. Walau kerinduan ingin segera kami ubat, namun rintihan dalam jiwa yang penuh kerinduan adalah suatu nikmat Ilahi yang amat besar. Kami berusaha untuk mengumpul sepenuh rasa kerinduan dalam mengecap setinggi nikmat saat kami bertemu. Sayang andai rasa rindu yang cuba ditakung mengalir dicelah hati kami yang bocor. Namun berusahalah untuk menakung titis-titis rindu yang suci. Titis kerinduan atas dasar kasih sayang Tuhan, bukan mencemari kolam kerinduan dengan jiwa yang dicemari. Menakung jiwa rindu yang suci, insyaAllah akan melahirkan tindakan-tindakan yang suci saat bertemu, melafazkan ucapan muqaddimah dengan kesyukuran kepada Ilahi atas peluang dan nikmat pertemuan yang berada di bawah kebesaran perancanganNya. Setiap titis-titis kerinduan yang dilepaskan bagaikan dihirup segar jiwa-jiwa yang dahaga.
Namun, diri yang menampung kerinduan dengan jiwa yang rakus dan nafsu. Akan melahirkan tindakan-tindakan yang penuh kerakusan saat dilepaskan. Mengalirnya dan keluarnya bagai kolam yang pecah… membuak-buak dan tidak terkawal saat arus rindu yang mengalir. Surutnya cepat.. kepuasannya singkat.
Dengan itu, berusahalah bagaimana memilih pendekatan dalam menakung rindu. Walau menakung rindu suatu yang berat untuk jiwa kami berhadapan, walau hati amat seksa dalam perasaan yang menanti. Tapi tangisan kerinduan itulah kemanisan yang dianugerahkan Tuhan. Itulah kepelikan rindu. BEBAN RINDU ADALAH SUATU YANG BERAT UNTUK DIPIKUL SERTA DITANGGUNG PADA SAAT DAN KETIKA ITU, NAMUN JIWA TETAP MENGUTIP DAN MENAMBAH BEBANAN BAHKAN GEMBIRA MELAKUKAN WALAU HATI YANG MENANGGUNG BAGAIKAN INGIN PECAH UNTUK TERUS BERTAHAN.

TIPS buat mereka yang berhubung..

Sebelum berhubung kalau mampu usaha untuk istiqamah amalkan;

Sebolehnya..

1. Solat sunat taubat & hajat, moga-moga Allah mengampunkan segala silap dan dosa kita, mengikat hati dan memandu arah hidup.

juga..

2. Telefonlah diwaktu yang terbaik, selepas solat atau majlis ilmu. Kelapangan hati dan ketenangan jiwa melahirkan kata-kata yang lebih bermakna dan penuh kesedaran.

andai tak mampu..

3. Bersihkan diri- kalau boleh ambil wudhu sebelum telefon. Pastikan bercakap dalam keadaan suci. Bercakap dengan isteri juga ibadah, jadi alangkah molek andai ibadah dilakukan dalam berwudhu.

sekurang-kurangnya..

4. Beristiqfar sebelum telefon. Isteri istiqfar sebelum menjawab. Mohon ampunan dari Allah moga tidak tersalah cakap. Moga-moga Allah memandu percakapan anda kepada lafaz-lafaz yang mendekatkan diri kepadaNya.


AbeJoes@abejoes.blogspot.com


3 comments:

Anonymous said...

hebat... blog tazkirah yang amat menginsafkan...

Azlina Ahmad said...

Ceritalah pada ALLAH
Syukran!

Ana ingin berkongsi tips yang ana jumpa di http://ridzwan-bakar.blogspot.com/

Ibn Taimiyah menyebut, "Jika aku didalam kebuntuan untuk menyelesaikan masalah, maka aku akan beristighfar kepada Allah sebanyak 1,000 kali, nescaya Allah akan membukakan jalan".

Anonymous said...

alhamdulillah...
byk info disini!!!