Wednesday, November 26, 2008

Dakwah- Melahirkan Jiwa Daie

“Bagi ana, buat apa nak pikir hikmah-hikmah nie. Cerita lembut-lembut…”

Seorang sahabat menyatakan pendirian sebaik saya memberi laluan kepada teman-teman untuk bersuara dalam usrah pemuda kali ini.

Saya menadah telinga, cuba mendengar luahan dan praktik dakwahnya.

Sebagaimana biasa usrah pemuda bermula dengan sedikit peringatan dari saya sebelum menjemput salah seorang sahabat memberi tazkirah. Kemudian sesi diteruskan dengan tafsir ibn kathir dan sirah nabawiyyah. Kami menutup dengan makluman serta isu-isu semasa. Tempoh 2 jam biasanya berlalu tanpa disedari dan diteruskan dengan sembang-sembang teman yang masih rancak sehingga lewat 1..2.. jam selepas itu andai besar isunya.

Alhamdulillah, ramai yang mula merasai kerugian saat diri tidak mampu untuk menghadirkan diri.

“Ada saudara ana tuh, sampai sekarang tak tegur ana pasal mulanya kes ana tegur dia. Ana rela… ana bersyukur lagi bila dia tidak tegur ana. Bukan apa, kerana ana tegur atas perkara agama. Takkan ana nak diamkan sahaja ilmu yang ana ada nie. Kesalahan yang berlaku depan mata, nanti Allah tanya kita. Jangan fikir pasal nak lembut sahaja, kalau tak kenapa adanya Umar?? Ana tak nak minta maaf, kalau ana minta maaf jelaslah yang kita pula yang salah.” Nadanya makin keras.

Ceritanya makin meleret hingga tersentuh mengenai peribadi seseorang sehingga saya terpaksa memberhentikan kata-katanya.


PENDAKWAH BUKAN PENGHUKUM


“Kalau nak belajar ilmu, mungkin di masjid atau surau adalah tempat yang terbaik. Dalam usrah nie, kita tak tadah kitab. Kita tak letak keutamaan belajar hukum fiqh. Tapi kita nak melatih diri jadi da’ie, jadi da’ie bukan benda boleh belajar dengan kitab. Bukan benda tadah dan hafal. Tapi kena berhadapan dengan jiwa-jiwa manusia. Tolonglah… PENDAKWAH BUKAN PENGHUKUM, saya memberi penekanan kepada perkara tersebut. 

“Benar.. hikmah bukan sekadar dengan lemah lembut. Cuma, dalam dakwah, jangan sesekali kita berasakan yang kita berhadapan dengan susuk tubuh manusia. Tapi kita berhadapan dengan jiwa. Kalau kita berhadapan susuk tubuh, maka kata-kata kita, lafaz yang terhambur adalah yang keluar dari perasaan kita semata-mata. Pasal tuhlah biar seeloknya kita letak telinga kita kat telinga dia sebelum bercakap, kalau kita rasa apa yang bakal kita sebut tuh.. kalau kita sendiri pun rasa pedih telinga dengar. Kenapa kita nak teruskan lafaz benda tuh. Dakwah ini bersifat panjang, kita tak boleh nak ambil tudung dan serkup terus atas kepala dia.. Jangan!! Kerana manusia nie ada egonya,” saya mula menyambung.

Saya sengaja mencetus kefahaman dakwah teman-teman, kebetulan sirah kami berkait mengenai kisah berhias diri (tabarruj) dan penurunan ayat mengenai aurat wanita yang dikaitkan dengan wanita dizaman Rasulullah dan isteri-isteri Baginda sendiri.

“Ego.. sombong nie sifat yang boleh bawa manusia kepada kufur. Iblis sendiri boleh kufur kerana bukan pasal apa, pasal tebalnya sombong dalam diri dia. Taqdir Allah tuh satu aspek, tapi nak diceritakan di sini bagaimana sifat tuh boleh bawa manusia kepada kerosakan. Kita risau benda walaupun ‘emas’ yang nak diberikan tapi kerana kita bagi pun dengan baling ke muka sampai berdarah, berat hati jugak orang nak kutip. Kalau bagi elok, mungkin yang kurang bernilai pun orang sanggup terima. Ana risau dakwah kita makin jauhkan orang sekeliling kita dari agama Allah… kalau jauhkan sikit tuh boleh kita paut dan tarik kembali. Tapi risau-risau tersalah cakap, tambah atas kejahilan dia sendiri. Kita pula menjadi asbab orang lain kufur kepada Allah. ” masing-masing berdiam mendengar. 

Risau membiarkan sahabat terus berdiam. Saya kembali mengajak teman menyambung pengalaman.

Kebanyakan sahabat mula menyatakan kerisauan dan menyatakan pengalaman masing-masing. Kerisauan mengenai perhubungan yang wujud dalam sebuah keluarga yang besar. Kebimbangan dalam diri saat pulang ke kampung dan menghadapi ‘risiko’ ahli-ahli keluarga yang masih belum sempurna kefahaman agamanya.
“Ana balik ke kampung, risau sangat ana. Saudara ana tuh sendiri tuh suaminya ustaz, tapi dia masih ‘gagal’ bila kami berkumpul,” teman menyatakan kesedihannya.

Ya!! Hal yang tidak terlepas dari sesiapa hatta seorang ustaz. Saya teringat kata-kata ustaz idris ahmad dalam tamrin kami minggu lepas, mempunyai
yang dipandang hebat dengan peribadinya.. dengan ilmunya. Namun saat diri bertandang menziarahi temannya, masih didapati biang-biang kebocoran kefahaman yang masih wujud. Bagaimana agaknya pandangan seorang teman setelah mengetahui hal sebegitu.?

MULAKAN DENGAN DIRI

“Nak melatih dan memberi kefahaman kepada keluarga adalah perkara yang sukar. Pasal mereka yang tahu baik buruk kita. Tahu kelebihan dan kelemahan kita. Namun merekalah yang menjadi keutamaan dalam dakwah kita,” saya menyambung jawapan.

“Kita mungkin boleh bercakap dalam kumpulan kita yang ramai nie. Mungkin hebat bagi tazkirah dihadapan ahli surau dan masjid yang beratus-ratus bilangannya. Tiada satu masalahpun.. Namun, saat diri diberi kesempatan untuk berjemaah dengan ahli keluarga, untuk memusingkan badan dan melafazkan beberapa patah kata kenapa kita amat berat untuk melakukannya walau dibelakang kita tuh hakikatnya ada 2..3.. orang sahaja,”

Perlahan-lahan saya menjentik jiwa teman-teman.

“Memberi kefahaman kepada ahli keluarga yang telah sebati tabiat dirinya adalah sukar. Namun kita kena sedar, hakikat Allah memilih kita dan memaut hati kita adalah muqaddimah dan tanggungjawab kita untuk satu misi kita terutama dalam membetulkan mereka yang terdekat dengan kita iaitu keluarga,” Masing-masing mula mengangguk. Jiwa terasa tenang sebaik teman-teman bagai memahami peranan yang harus dimainkan.

“Ilmu yang ada ini cubalah amalkan, insyaAllah seorang ustaz yang banyak ilmu akan tunduk segan bila berhadapan dengan jiwa-jiwa amilin yang sedar diri masih kurang pengetahuan,” saya memberi sedikit semangat kepada sahabat-sahabat. Masing-masing bagaikan melihat ruang-ruang tindakan.

………….

“Dulu abang keseorangan dalam ikhtiar abang untuk membimbing keluarga. Namun sekarang, abang ada sayang. Mungkin dulu abang boleh tunjuk contoh secara peribadi kepada ahli keluarga lain. Namun sekarang, sayanglah kena bantu abang. Bila kita bercakap, kita kena tunjuk teruslah ‘sample’ ini dia contoh rumahtangga Islam. Macam nie cara bergaulnya, macam ini nak bimbing anaknya walau kita nie pun takde anak lagi. Macam nie berpakaiannya. Biar mereka nampak dan boleh tengok terus macam mana mereka nak buat kalau Allah campakkan kefahaman dalam jiwa mereka” Saya menghubungi isteri untuk kembali mengingati peranan kami.

Alhamdulillah, Allah memberi kekuatan untuk saya mengamalkan ‘slow talk’ dengan ibu… dengan isteri dan adik beradik lain. Bercakaplah dari hati ke hati… menceritakan perasaan diri dan harapan diri kepada keluarga. Bukan sekadar memasang angan.

…………

“Biasanya Pok Joe (panggilan kepada saya oleh anak saudara) kan selalu tazkirah lepas solat,” anak saudara mula bertanya. Saya yang mulanya bercadang untuk berehat kerana keletihan mula gagahkan diri sebaik anak saudara sekecil itu yang diberikan sedikit rasa ‘seronok’ oleh Allah untuk mendengar hal-hal agama.

“Mama.. kenapa rasa menyesal pulak. Kan Pok Joe dah pesan, kalau nak bagi benda kat orang, kena bagi yang kita sayang,” Anak saudara saya memberi ‘tazkirah’ kepada ibunya sendiri. Halnya kerana kekanda saya menyatakan sedikit kesal sebaik barang kesayangannya diberikan kepada orang lain.

Jiwa saya terasa amat terharu sebaik kekanda menceritakan perihal yang berlaku.

Alhamdulillah Ya Allah, walau tidak banyak. Sekurang-kurangnya ada juga perkara yang melekat dalam jiwa saudara-saudaraku,” hati saya membenih rasa syukur ke hadrat Ilahi. Bukan kerana ilmu saya, namun dengan kebesaran Allah yang menyelitkan ilmu tersebut untuk terus melekat dan diamalkan dirinya.

……………………

ADA APA DENGAN AMIN

“Jom Min kita solat dulu,” saya mengajak Amin, kerja kami membersihkan rumah ditangguhkan sebentar untuk menunaikan solat maghrib.

Jom ke masjid,” Simple dan jelas ajakannya. Ajakan saya yang di’copy-paste’ kepada anak-anak jiran yang berlari-lari di dalam rumah kami.

Kata-katanya menyebabkan beberapa anak jiran mengekori bersama. Ada yang berlari-lari anak. Ada yang terkadang melompat cuba memaut bahunya dari arah belakang. Ada yang berjalan beriringan. Namun Amin tetap dengan gaya kebudak-budakkan, berjalan ke masjid sambil rancak dia menghayun tangan.

Saya berjalan mengekorinya dari belakang.

Sekejap jiwa saya terasa sebak sebaik memandang situasi tersebut dari kejauhan. Kelibat dan gelagat mereka jelas saya perhati.

“Kamu telah berjaya melakukan apa yang abang tidak berjaya Min,” hati saya berkata-kata. Jiwa saya mula tersentuh dengan kejayaan dakwahnya.

YA!! Bagi saya Amin telah berjaya.

Masa yang singkat mengingatkan kembali saat awal Amin menjejak kaki sewa dirumah kami.Saya mula mengenalinya serta memandangnya yang berseluar pendek, selalu terlewat dan kerap terlepas waktu solatnya.

“Jangan layan sangat budak-budak nie, nanti naik kepala,”saya memberi teguran. Perwatakan luaran bagai tiada bibit-bibit ‘sukakan’ manusia. Namun saya mengakui Amin hebat dan larat melayan kerenah anak-anak tetangga.

“Hebat Amin, boleh ajak budak-budak tuh ke masjid,” saya sedikit memuji setelah berehat melepaskan lelah kami. Cuba menyedarkan dirinya yang berjaya dengan dakwahnya yang dia sendiri tidak sedari.

Amin tersengih, usia muda dan ilmunya menyebabkan dirinya masih belum mengerti. Apa itu dakwah.. apa itu hikmah..

Saya membentangkan kisah tersebut dalam usrah kami. Hal yang mungkin biasa bagi mereka yang terasa hebat kerja dakwahnya. Namun, terkadang kita masih mempunyai banyak ruang-ruang lompong dalam seruan dakwah kita. Sedangkan kita tidak menyedari, Allah menghantar orang seperti Amin yang dipandang biasa dimata seorang yang berasa dirinya sempurna, sedangkan dialah yang memenuhi lompong-lompong dakwah ‘golongan kayangan’ yang hebat.



AbeJoes@abejoes.blogspot.com

0 comments: