Tuesday, October 28, 2008

SYAWAL-HASIL PENJANAAN RAMADHAN

“Saya rasa terlalu awal untuk membicarakan persoalan hari raya nie,” saya meluahkan rasa hati dalam kuliah jemputan ramadhan lepas.

Bukan saya enggan untuk bercerita, namun baki ramadhan yang beberapa hari masih bersisa bagai tenggelam dalam kemeriahan dan lonjak hati, dalam imiginasi raya yang bakal menjelang.

Teman yang menjemput bersetuju untuk mengubah tajuk setelah saya menyatakan hasrat. Syawal- Hasil Penjanaan Ramadhan.



SIFAT YANG MAMPU MERUBAH

“Berapa ramai yang setakat hari ini berasa dalam dirinya telah tertanam satu sifat terpuji yang mampu merubah dirinya?” saya memberi soalan yang tidak ditagih jawapan. Biarlah masing-masing merenung.

Sifat terpuji…??
Merubah diri…???

Rasanya dengan hadir ke surau, sudah mempunyai sifat terpuji. Dengan perubahan yang berlaku dalam Ramadhan rasanya sudah merubah diri.
Yealaa.. kan sebelum ini susah dan sering terlewat subuh, sekarang sudah tidak terlewat walau tidak ramai yang berjemaah. Yang pasti, Isya’ sudah tidak seperti sebelumnya, CONFIRM jemaah 30 hari tidak tinggal. Bukankah itu sudah merubah diri.. mana lagi celanya??

Namun, andai diteliti halus. Benarkah perubahan dari tindakan adalah atas dasar kefahaman atau adat yang menjadi satu kelaziman dalam masyarakat. Hadir untuk mendekatkan diri kepada Allah, namun hati melonjak-lonjak untuk berpisah dari Allah.

“Menghitung untuk habis berterawih, secara halusnya adalah mengira detik untuk menjauhkan diri dari Allah,” keras ceramah saya pada malam itu, teman-teman pemuda mula tersenyum. Jemaah mula teruja dan memberi perhatian dengan kata-kata saya.

Saya tidak mahu terlibat dalam perkara tarawih 8 ataupun 20 rakaat. Biarlah mereka yang lebih pakar dengan hujjah dan pendapat masing-masing. Namun yang pasti, bagaimana perasaan mereka yang mendirikan solat tersebut..

“Hmm.. tinggal 4 rakaat lagi nak habis..”
“Hmm.. ada 2 rakaat lagi nak habis nie..”
“Fuh…lega dah rakaat terakhir..”

LEGA!! Lega apabila solat tamat??
LEGA!! Dalam ketika menghadap Allah.. manusia berasa tidak sabar untuk menamatkan tempoh itu.

Maka, dalam bulan yang penuh barakat tersebut.
… Bulan yang Allah anugerahkan beberapa kelebihan.
……Bulan dimana amalan-amalan dilipatgandakan.

Manusia berasa LEGA untuk meninggalkannya..
Buktinya?? Manusia berpesta dan girang hati dalam ‘meraikan pemergian’
Berbanding..
Menghayati saat yang berbaki sebelum perpisahan…

MAHU ISLAM. TAPI..

Untuk memahami apa yang dijelaskan sebelum ini, saya membawa satu kisah berikut kepada para jemaah.

Kisah dialog antara junjungan Besar Rasulullah S.A.W. dengan seorang pemuda yang berada pada tahap ketagihan dengan tabiat zinanya. Sanggup menerima apa sahaja arahan Allah dan Rasulullah, namun tolong ‘BENARKAN SAYA TERUS BERZINA’..

Hadis ini sering dikupas dalam perspektif hikmahnya dakwah Rasulullah. Dengan kelebihan yang ada pada Baginda, dalam menilai dan meneliti insan-insan yang sering berhadapan dengannya. Memandang jauh ke dalam sudut jiwa insan yang sering bertandang mengadap Baginda. Namun, bertepatan dengan hasil penjanaan Ramadhan, saya ingin mengupas dalam satu perspektif yang sebaliknya. Memandang kepada KEKUATAN YANG TERSEMBUNYI dalam jiwa pemuda tersebut. Apa kekuatan dan sifat yang mampu mengubah dirinya??

Apa kekuatan yang ada dalam dirinya? Suatu yang berjaya dikesan oleh Rasulullah serta menggunakannya sebagai sumber kekuatan untuk membuang tabiat yang bersarang dalam diri pemuda tersebut secara mengejut.

Sifat KASIH yang cukup dalam dihayati dalam lubuk jiwanya, menjadi senjata buat melawan tabiat zina yang disedari sendiri buruknya.

Benar dirinya dengan hasratnya untuk terus berzina, namun kasihnya kepada ibu berjaya memberikan satu pukulan memandang jijik terhadap perbuatan tersebut sebaik dinisbahkan Rasulullah.
Benar dirinya berat untuk meninggalkan tabiat tersebut, namun kekuatan dari rasa kasihnya kepada saudara kandungnya, bakal anak-anaknya serta saudaranya berjaya menyentak jiwa sebaik Rasulullah memberi sandaran dalam membelai jiwa-jiwanya.

Sifat murninya sudah ada tertanam, jiwanya juga hakikatnya telah bersedia. Namun akalnya gagal untuk menyandarkan kekuatan tersebut buat menyentap tabiat buruk dalam dirinya.

Jiwanya terkesan sebaiknya akalnya dijentik dengan perbandingan oleh Rasulullah..
Mohon dijauhkan hal-hal yang menjadi tabiat buruknya sebaik hal-hal sama dikaitkan oleh Rasulullah dengan ahli keluarganya. Akhirnya dengan jiwanya yang baru disentap tersebut, Rasulullah meletakkan satu batu sendal moga akalnya tidak kembali berpaling dengan doa mulia Baginda, memberi kekuatan kepada pemuda tersebut dan mengampunkan dosa-dosa silamnya.

Syukur.. dalam diri yang berpalit dosa. Allah masih menganugerahkan sebuah Hati yang penuh KASIH buat merubah dirinya.

Andai diterjemah dan digunakan bidalan Baginda kepada jiwa-jiwa sekarang. Jiwa-jiwa bapa yang meratah tubuh badan anak-anak sendiri. Jiwa bapa saudara yang tiada rasa belas kepada anak-anak saudara saat dipohon belas kasihan yang ditagih dengan tangisan dan air mata. Jiwa seorang datuk durjana yang tidak langsung bersimpati dengan cucu yang mohon diberi perlindungan. Berkesankah seorang kaunselor, seorang ustaz mahupun tok guru membacakan bandingan yang sama buat mencabut tabiat dari jiwa-jiwa rakus yang kontang JIWA KASIHnya..??

SIFAT YANG DIJANA

Maka, berbalik kembali dengan persoalan awal saya.

“Apakah sifat terpuji yang mampu dijana dalam diri yang mampu mengikis tabiat-tabiat diri yang lama bersarang dalam diri?”..

Adakah sabar yang dijana mampu melahirkan diri yang mampu bersabar dari terus bergelumang dalam maksiat yang dimurkai Allah..

Adakah jujur yang dibina bisa melahirkan jiwa jujur yang melahirkan rasa bersalah saat diri mengkhianati amanah Ilahi.

Renunglah dan selidikilah..

Mungkin ada tersemat dan terbina, namun kita yang gagal mengesannya…
Mungkin ada… namun gagal diterjemahkan dan dialirkan kesedarannya.
Atau.. mungkin baru berputik. Pohonlah moga ianya mampu dituai di Ramadhan seterusnya..



AbeJoes@abejoes.blogspot.com

0 comments: