Thursday, October 23, 2008

Cinta Buta Vs. Hati Buta

Menjejak kaki setelah hari minggu bersisa separuh.

Lama benar beras nasi dagang yang dipesan terperuk di pentry pejabat. Cuba menyelit masa-masa yang sesuai memenuhi hajat kekanda yang sering bertanya khabar berlapik beras nasi dagang.


Melabuhkan diri di kerusi, niatnya menyambung kerja. Namun diri disapa seorang kenalan. Beberapa hari ini, kelam kabut bertanyakan perihal kekasihnya si 'Z' yang gagal dihubungi.

Terkadang memaksa diri untuk melayan, namun dilihat keterlaluan andai pertanyaan lagak saya bekerja sebagai penjaga teman lelakinya. Digagahi juga menjawab persoalan dalam keberatan.

"Dia macam dah tak suka saya, macam menyampah sahaja dengan saya," ayat kecewanya berbunyi.

Terasa serba salah, hendak ditolong bukan sampai perkara wajib memandangkan bukan suami isteri. Sekurang-kurangnya kalau dah bertunang, boleh juga usahakan dari melihat ikatan terus terlerai. Tapi ini usaha menyatukan 'sepasang kekasih' yang masih belum dipastikan bagaimana penjagaan hubungan mereka selepas ini.

"Saya asyik fikir pasal dia aja, makan pun tak lalu. Bila saya tanya dia, dia cakap saya menyibuk kerana tanyakan hal dia. Saya risaukan dia sahaja," tambahnya lagi.

Saya terus berdiam, menjawab dalam mahu atau tidak.

Berulang kali dirinya menyatakan keprihatinan terhadap kekasih hati. Risau benar dirinya andai kekasih hatinya terus menyepi tanpa sebarang berita. Habis ikhtiar sehingga memberi kesan kepada diri. Mustahil baginya andai kasihnya bersama temannya ini hanya berkesudahan separuh jalan. Aku bukan pakar yang terbaik dalam hal sebegini, diri terpaksa digagahkan walau bukan pakar cinta apatah memetik pengalaman diri. Namun mencabut kemanisan yang dikecapi oleh dua insan untuk terus meninggalkan biang-biang maksiat secara mengejut bukanlah cara terbaik tanpa menitiskan sedikit kefahaman.

Gaya percakapan mendesak diri untuk memberi sedikit teguran.

"Ingatlah Allah... kita kena faham siapa yang patut kita dahulukan," saya mula memberi sedikit peringatan.

Persoalan tersebut cuba dipesongkan.. bagaikan diri tidak senang bila keutamaan cinta yang patut disandar terlebih dahulu kepada Ilahi.

"Kenapa awak risau sangat, sampai tak makan... hilang selera. Dia tak tahu pun awak macam mana?" saya mengasak akalnya yang bagai hilang kewarasan. Terkadang rasa meluat bila rasa cinta yang melampau terhadap kekasih diulang-ulang. Namun harus bersabar.

"Saya selalu berdoa.. namun sentiasa ada masalah. Saya ingat cinta saya kali ini adalah pemberian Allah, tapi nampaknya dia ini pun bagaikan benci saya," dijawab dalam nada yang cukup hampa.

"Sebenarnya Allah 'cemburu' dengan awak tuh, dia uji awak supaya awak lebih dekat denganNya," saya cuba memujuk. Moga ayat yang lebih halus dapat berpijak dilubuk hatinya.

"Awak tak tengok macam mana Allah sayang awak, awak takde selera makan pun Dia tetap setia memberi rezeki kepada awak, tapi kenapa awak masih meletakkan kecintaan yang utama kepada Z?" saya mula menaip panjang. Bukan memaksa untuk memberikan kasih kepada Allah setanding kasihnya Nabi dan Sahabat. Namun sekurang-kurangnya biarlah merasakan kewujudan Tuhan saat diri dilanda masalah.

"Saya dah tak yakin dengan Tuhan," balasnya ringkas.

Darah saya berderau. Rasa meluat mula hilang. Yang pasti sekarang, tumpuan kena diberikan. Risau andai kesilapan dari taipan makin menjauhkan dirinya dari Ilahi.

"Kenapa tak yakin dengan Tuhan?" tanya saya ringkas. Diri mula menunggu jawapan-jawapan yang bakal diberi.

"Yealah.. saya dah puas berdoa. Tapi doa saya tidak pernah makbul. Saya mohon diberi petunjuk, diberi pertolongan. Namun saya tidak pernah merasa aman, lagi teruk kena hina dan caci. Saya ingat kekasih baru saya ini adalah segalanya, tapi dia pun makin benci saya," hujjah dalam kesamaran kefahaman.

"Adakah semua yang kita berdoa tuh Allah wajib kabulkan? Saya sebenarnya sudah 16 tahun berdoa... namun doa saya tersebut sampai sekarang masih belum dikabulkan," saya mula membalas. Diri meraba-raba persamaan moga uslub dakwah ini lebih berkesan. Sudah lama tidak menjadi kaunselor tak terlatih.

"En Zol lain.. saya lain," hujjah yang terkadang mematikan semangat untuk terus berbicara.

"Macam nilah, cuba bayangkan andai awak kahwin nanti... kemudian dalam keseronokan awak melayari bahtera rumah tangga tiba-tiba suami awak diambil nyawa. Ataupun awak dahulu yang meninggal, adakah awak hendak hendak salahkan Tuhan?" diri kembali bertanya.

"Saya tak fikir lagi sampai ke situ, memang dah kerjaNya ambil nyawa," buah balas diberi.

Susah juga bila akal tidak bersedia untuk berfikir begini.

"Oklaa.. andai Z kembali. Kemudian berlaku perkara yang sama," saya memberi contoh yang lebih dekat.

"Mustahil dia kembali," akalnya belum terbuka untuk berfikir begitu.

"Ketepikan dulu mengenai Allah, yang penting macam mana dengan teman saya nie," Ayat pedas yang dilihat makin tersasar mula keluar.


Begini rupanya penangan cinta, terkejut bila situasi yang dihadapi bagai tidak terarah. Saya yakin.. diluar sana masih bertaburan anak muda yang seumpama ini. Dengan keindahan cinta dan khayalan mereka. Susah benar bila akal sengaja ditutup untuk berfikir. Hati dan perasaan yang tidak terkawal mengambil tempat. Bila hati yang kosong dipenuhi dengan cinta kepada manusia mendahului cinta kepada Allah. Bagaimana qada' dan kadar Allah akan diyakini andai itu situasinya. Bagaimana diri pasrah walau doa-doa tidak dimakbulkan andai begitulah keadaan. Berfikir di mana harus dimulakan, adakah memulakan dengan doa-doa yang tidak diyakininya, adakah dengan solat yang tidak diimani Tuhan yang disembahnya. Adakah diminta untuk bertenang untuk berfikir... sedang dirinya tidak berada dalam ketenangan.

Bagaimana sedih dan kecewa kita saat cinta yang diberi tidak berbalas. Namun bagaimana kita membalas cinta kita kepadaNya. Adakah cintaNya hanya 'bertepuk sebelah tangan' bila dinafikan oleh manusia yang jarang mengerti. Namun, harus ingat... bagaimana saat nanti, andai saat dijemput untuk berkasih denganNya dalam cinta kita yang pudar. Adakah tika itu, Dia akan sudi memberikan cintaNya lagi.


AbeJoes@abejoes.blogspot.com

0 comments: