Sunday, September 14, 2008

Perkahwinan - Di Mana Terselit Keberkatan

Beberapa hari kebelakangan ini, hari-hari yang cukup meletihkan saya. Perkara yang bakal timbul semakin dekat, namun persediaan lebih mendesak.

Siang saya terpaksa berkampung di pejabat persatuan, persediaan untuk menyiapkan Buku Bajet persatuan sebaik Bajet 2009 dibentang PM Jumaat lepas– 29hb. Malam pertama Ramadhan yang diseronok disambut terpaksa saya lalui dalam keringat menyiapkan tugasan yang harus disiapkan pada malam tersebut. Berlari sebentar ke Masjid berhampiran untuk muqaddimah terawih tahun ini, kemudian kembali ke pejabat bersama teman menyiapkan tugasan membawa minda yang kian lesu. Beberapa kali saya terpaksa ‘take 5’ dengan melelapkan mata memandangkan dodoian zikir dan nasyid yang dimainkan gagal memainkan peranan namun fantasi khayalan lebih hebat tenggelamkan diri.

Pelanggan-pelanggan tidak boleh diketepikan. Fail-fail yang dikutip sudah lama tidak diusik. Mengusung pulang ke rumah. Hajatnya untuk disiapkan sebaik kerja-kerja jemaah selesai, Namun walau hati bersedia namun dua kelopak mata enggan untuk terus berjaga. Andai dikurnia mata dan akal, mungkin fail-fail tersebut sudah kenal jalan pergi dan pulang dari rumah ke pejabat.

Malam sebelum itu, Pemuda menganjurkan Ceramah Perdana di Tmn Melewar, buat menampung kos guaman teman-teman yang ditahan sebelum ini. Namun kerja-kerja promosi memaksa tulang empat kerat kami digerakkan hingga lewat pagi.


SYA’ABAN YANG BERKAT

Beberapa hari sebelum itu, saya terlewat untuk berjemaah subuh, terus mengejar masa mendengar baki kuliah yang masih bersisa. Kemudian berkesempatan untuk menyantap sarapan bersama beberapa sahabat.

Dia tengah pening tuh, keluarga dia nak buat juga 30 Sya’aban ni” balas seorang adik sebaik saya bertanyakan keadaan teman kami yang telah lama kelihatan. Pulang ke kampung menyiapkan persediaan perkahwinan.

Saya sedikit terkejut. Minggu lepas Naqib saya turut terkejut mendapat undangan pada tarikh yang sama.

“Bukan tidak boleh, tapi faham-fahamlah kenapa Makruh hukumnya berkahwin Sya’aban ini,” jelasnya.

Saya mengerti banyak yang beliau fikirkan. Mengapa Makruh hukumnya dengan dugaan alam baru dalam ‘Bulan diikat syaitan’ yang penuh ujian. Biarlah, mungkin mereka berkuasa menahan.

ADA ‘ONG’

Saya tidak memandang apa yang serong dan silap, Cuma dari kesesuaian sahaja pada tarikh tersebut. Takpelah,

Mungkin mengambil tempoh cuti ..
Semua keluarga dapat berhimpun..

Namun yang merisaukan, apabila sandaran tarikh perkahwinan disandarkan kepada faktor lain yang bukan sedikit, tapi tidak disedari bertentangan dengan aqidah murni yang difahami Islam sendiri

08.08.08

Memang ‘ONG’ katanya.

Saya tidak melihat dimana ‘ong’nya..

Adakah mudah diingat tarikh ulangtahun perkahwinan nanti?

08.08.09
08.08.10

Maka, semua harus disiapkan segera.

Pelamin macam mana…
Maskahwin dan Duit belanja harus dibereskan segera ni..
Baju pengantin nak kena siapkan juga..
Tok Kadi harus diconfirmkan segera, kalau tak memang full hari tu. Memang berkejar ke sana ke mari. Mungkin terus iktikaf dalam masjid dari Subuh sehingga Isya’

Huh.. Berjaya juga dilaksana… Yang letih bukannya bukan sekadar keluarga pengantin, bukan sekadar tok kadi.. jemputan pun letih dan termengah-mengah mengejar jemputan yang 3..4.. diterima hari yang sama.

Adakah itu yang dicari..

ADA APA DENGAN TEMPOH

Suatu hadis dari Abu Hurairah ra sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda:

"Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama. Sesiapa yang menghafalnya maka ia akan masuk syurga. Sesungguhnya Allah itu ganjil (tidak genap) dan menyukai perkara yang ganjil".

(Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi)

Hal utama dalam hadis tersebut menyandarkan kepada asma’ Allah serta memerlukan ulasan yang lebih terperinci berbanding makna luaran semata-mata. Saya tidak ingin menyentuh hal tersebut, namun memberi tumpuan kepada perkara yang turut diselit sedikit panduan dalam kehidupan seharian. Kena banyak hal-hal dalam sunnah Rasulullah mengaitkan perihal dalam sifat-sifat ganjil. Yang dimaksudkan dalam bilangannya dan perlakuannya sendiri.

Namun sandaran dalam menyentuh hakikat keutamaan.

Walaupun begitu, apakah sandaran 08.08.08 mempunyai asas yang amat kukuh dalam menghasilkan keputusan yang boleh disandarkan kepada agama sehingga masing-masing berlari untuk mengejar tarikh keramat tersebut.

Namun, juga satu kerugian juga bagi mereka yang telah selari dengan TEMPOH dan PERLAKSANAAN, bertepatan dengan kehendak Rasulullah sedangkan dia tidak menyedari jambatan sunnah yang senang dititinya. Menyedari tarikh yang dipilih adalah tempoh yang dipilih adalah masa terbaik, dengan faktor-faktor lain yang tidak bercanggah dengan sunnah Rasulullah namun tidak menyedari hakikatnya dia meniti di atas sunnah yang digalakkan Baginda Rasulullah. Meletakkan sunnah pada maksud perkahwinan semata-mata.

Cantiknya andai dia menyedari hakikat bulan pilihannya nya mengikut ketetapan Rasulullah..
Cantiknya andai dia menyedari perlaksanaannya adalah mengikut tuntutan Sunnah..

Namun tiada tercetus barang sedikit dalam hatinya.. “Aku laksanakan dalam mengikut sunnah Rasulullah”

Dengan kudratnya yang tidak lebih walau sedikit,
Dengan kos yang tidak bertambah walaupun sedikit..
Dengan peluh yang sama disukat.

Dia masih rugi kerana keGAGALan memahami sunnah tersebut.

Berapa banyak kerugian kita dalam menyedari hakikat kebaikan yang dilakukan.. namun gagal menyandarkan sebagai satu sunnah Rasulullah..


PERKARA AM YANG DISALAHFAHAM

“Sudah tanya keadaan dia pada hari tersebut?” saya bertanya.

Tanya apa..?” Teman bertanya kembali. Saya tidak pasti adakah dia buat-buat tidak faham atau sememang tidak memahami pertanyaan saya walaupun lenguk pertanyaan saya harus dapat dibacanya.

Adakah dia suci pada hari walimah nanti,”. Saya menambah.

Dahinya mula berkerut.

Persoalan itu yang dirasakan agak sensitif bagi pihak lelaki kepada perempuan. Mungkin bila ditanya dia akan dicop hanya nampak perkara ‘itu’ semata-mata. Sedangkan pertanyaan tersebut merupakan satu perkara yang sepatutnya menjadi satu perkara am dalam perancangan, namun telah disalahfaham.

TG Nuruddin Al Banjari Al Makki dalam kuliah haidnya suatu masa dahulu ada menyelitkan hal sebegini. Kegagalan ibu bapa bertanyakan anak perempuan mereka, adakah bakal pengantin perempuan tersebut suci atau tidak dalam tempoh pernikahan tersebut.

Memang perkara itu bukan syarat sah rukun dalam urusan pernikahan. Namun memandang lebih halus hikmahnya.

Hebat benar rancangannya, dengan tempahannya.. dengan kateringnya.. dengan hantaran yang pelbagai. Namun gagal memahami kondisi empunya diri sendiri.

Bukan apa, bimbang-bimbang andai ikatan suci bermula dengan sesuatu yang haram. Usah diakui hebat andai tidur sebelum ini tidak berteman, kemudian mempunyai teman yang sudah sah, namun MASIH TERHALANG.

Yang faham MUNGKIN dapat menahan diri, Alhamdulillah.
Bagaimana yang tiada kefahaman, segala imigasi mereka berdua sebelum ini.
Segala sembang-sembang fantasi mereka..

Maka berfatwalah, “Itu baru berdosa, yang penting sudah sah dan bukan berzina”. Maka bermulalah tirai perkahwinan dengan hal-hal yang dikeji. Bagaimana ingin meniti hari-hari seterusnya.

Hal ini mungkin terlepas pandang, namun yang pasti kegagalan ibubapa dalam berbicara hal-hal sebegini semenjak anaknya menempuh diri yang kian matang.


DI MANA BERMULA

Saya akui sekali lagi, saya bukan arif, apatah berpengalaman dalam hal ini. Samentelah saya juga masih belum menjejaki alam ini, insyaAllah dalam masa terdekat. Namun saya memandang kepada pengalaman pengalaman dari keberkatan 20 tahun dahulu.

Cuma bila dirungkai di mana bermulanya keberkatan?

Adakah sebaik lafaz ijab & qabul dilafazkan baru menjaga dan membuat perancangan dalam mencari keberkatan?

Atau..

Adakah di saat melayan tetamu makan.. menjawab soalan-soalan dan perancangan adalah mula keberkatan..

Atau..
Adakah sebaik kedua pasangan melangkah masuk ke rumah yang baru dihuni bersama baru melihat dan meneliti perkara-perkara keberkatan?

“Apa sandaran kamu?” seorang teman bertanya saya.

Cuba sedaya mungkin mengikut ketetapan Rasulullah, dan berusaha agar tidak calitkan sebarang perasaan orang tua” saya membalas ringkas.

Omong saya bukan atas buku yang dibaca, bicara saya melihat hal-hal dihadapan mata.

Siapa yang harus saya perhatikan kalau bukan yang terdekat. Memerhatikan saudara, mengutip sejarah mula disaat saya masih belum mengerti hingga melihat apa yang berlaku pada hari ini. Semuanya saya telusuri dan saya menyandarkan kepada respondan utama saya-BONDA.

Bonda bukannya orang yang tinggi ilmunya. Bukan juga hebat ibadahnya. Namun penderitaan yang ditanggung dalam sejarah hidupnya banyak mengajar ketabahan diri. Mengajarnya membuat keputusan yang lebih matang berbanding anak-anak.

“Yang ini .. kenapa agaknya jadi begini” hati saya bertanya.

“Owh.. awalnya begitu dengan ibu”.. saya menemui jawapan.

“Yang ini pula.. kenapa sedemikian hidupnya”, hati saya berbisik.

Saya mula mencuri masa berbicara dari hati ke hati dengan ibu.

“Oh itu kisahnya..,” saya menyedari puncanya.

Begitu seterusnya saya memerhati bagaimana corak kehidupan masing-masing. Namun kesannya tidaklah ketara, namun saya yakin itulah pilarnya.

Jiwa saya tersentak bila melihat kesan-kesan yang halus dan terselindung ini saat anak-anak menyatakan hasrat memulakan kehidupan baru. Yang mereka ingin penuhi adalah hasrat mereka namun jarang diambil peduli jiwa ibubapa.

Eh… ini sunnah Nabi. Calon ini pun dah bertepatan dengan kehendak Rasulullah, kenapa nak dihalang lagi?? Nak digalakkan terus dalam maksiat??” Pernah saya terdengar seorang ibu menyatakan kisahnya. Mungkin itu hujjah terbaik.

Tapi, adakah dengan ‘Hujjah Islamik’ sebegitu, lontaran terbaik dalam menyatakan hasrat diri.? Sedang si Ibu terus terdiam sebaik menyedarinya anaknya yang lebih alim, akur dengan kejahilan diri dihadapan kealiman seorang anak. Sedang jauh disudut hatinya terguris dalam keredhaan.

Terkadang, elok benar andai diperhati kenapa Allah cukup halus dan terperinci dalam menyatakan adab sang anak dengan orang tua.


Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia
[Al Isra’ : 23]




AbeJoes@AbeJoesCorner

1 comments:

Anonymous said...

Syukran jazilan atas tazkirah yang amat-amat membantu..
benar, keutamaan hukum halal dan haram dlm satu-satu perkara kian diabaikan oleh umat islam hari ini..
contohnya, seperti yang tersebut..
semoga allah memberikan kekuatan dan lebih ilham untuk menghasilkan tatapan yang bermanfaat.