Monday, September 22, 2008

Al Quran- Perutusan Yang Kian Terabai

Saya hendak bangkitkan tiga persoalan

Para jemaah mula memberi perhatian.

Jarang benar saya memulakan tazkirah dan kuliah saya dengan cara mengejut sebegitu.

Persoalan pertama saya, ada seorang pesakit berjumpa dengan doktor. Kemudian dia diberikan slip setelah pemeriksaan dibuat, sebaik melangkah keluar dari bilik doktor tersebut. Kertas tersebut digulung-gulungkan.. diikat-ikat baik dan cantik kemudian diikat ke leher, atau mungkin menyangkakan tulisan yang dicatatkan oleh doktor tersebut adalah penawar baginya. Dia balik dan rebus minum air rebusan dari slip tadi. Agak-agak tuan, apa sakit orang tersebut?

Jemaah mula tersenyum.


Akal jemaah terus saya sogokkan dengan persoalan seterusnya.

Kes yang lebih kurang sama. Ada seorang pesakit yang terlantar di katil hospital. Di sebelahnya ada buku-buku panduan yang diberikan oleh pihak hospital untuk menjaga kesihatannya. Buku panduan tersebut menerangkan langkah yang harus dilakukan, perkara yang harus dia tinggalkan agar masalah dan penyakit dalam dirinya dapat diubati. Setiap hari dia membaca buku panduan tersebut dan menyimpan kembali dengan harapan dia dapat sembuh sebaik membaca tips-tips yang dinyatakan. Sedangkan dia tidak melaksanakan apa yang dicatat dalam buku tersebut. Malah lebih teruk dia melanggar apa yang tercatat samada sedar atau tidak. Tapi dia masih seronok membaca dengan harapan dapat sembuh dengan sekadar membaca panduan tersebut?”

Kali ini ada yang mula berkerut dahi. Saya memerhati reaksi secara perlahan.

Tidak cukup dengan kiasan tersebut. Akal mereka terus didesak.

Andai ahli jemaah semua mendapat satu surat. Menyedari hakikat surat tersebut penting kerana diyakini dengan melihat copnya. Melihat kelainan ayatnya dari bahasa yang digunakan. Melihat mereka yang menyerahkan surat tersebut dengan hormat. Namun bila dibuka dan cuba dibaca. Kita tidak memahami apa yang tertulis. Apa ikhtiar tuan puan semua? Gelisah bukan selagi apa yang ingin disampaikan masih tidak dapat difahami sepenuhnya?"

Jemaah mula mengangguk.

Bagi saya cukuplah persoalan itu saya bangkitkan pada malam tersebut.

Sebelum melangkah masuk. Ke surau sempat saya memerhatikan gelagat beberapa jemaah yang menunggu masuk isya’ dengan merokok secara berjamaah dipintu surau.

Moga-moga mereka masih ada” hati saya berdoa. Bukan memandang serong namun mengharapkan sedikit kefahaman yang dapat disuntik.


TARBIYYAH AL QURAN

Alhamdulillah, sebelum kuliah sempat saya membaca sedikit tulisan dari buku tulisan As Syahid Syed Qutb dan Abul A’la Al Maududi. Menyedari hakikat dan keutamaan yang harus diketengahkan. Saya mengambil pendekatan dari tulisan mereka yang penuh dengan roh penulisan.

Berkebetulan malam cuti umum bagi pekerja Selangor sempena nuzul Quran.

(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.
Al Baqarah:185

Cantik andai hari yang diperuntukkan sekurang sehari dalam setahun tersebut dapat diperuntukkan dengan merenung kembali suatu Surat dari Sang Pencipta.
Walau disentuh dan dibaca buat santapan jiwa setiap hari. Berapa ramai yang memandang dan merenung seketika perlakuan masing-masing terhadap Kitab diturunkan dari Yang Maha Penyayang.

Bila dibangkitkan persoalan pertama, secara spontan kita boleh mengkelaskan mereka-mereka yang bertindak sebegitu adalah gila dan tidak siuman. Menggunakan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya. Menggunakan Al- Quran bukan mengikut ketetapan yang telah sedia digariskan Allah. Tidak menyedari hakikat kezaliman yang dilakukan kepada Al-Quran sendiri.

Maka ramailah berkata;

Tuhlah, teruk betul mereka-mereka nie. Ada ke guna Al-Quran macam tuh.? Al Quran ini orang buat baca laa. Bukan buat tangkal, bukan untuk buat azimat. Ni guna buat halau Jin.. kena rasuk masa tuh baru kalut nak cari Al-Quran. Beli cantik-cantik frame buat hiasan. Tunggu gang-gang datang jenguk rumah.. bila nampak cantik masing-masing beli jugak buat hiasan..Teruk betul mereka ini. Bengong!!” marah benar nadanya.

Itulah nada kebanyakan kita. Nada ‘orang surau’ kepada orang luar yang tak reti baca Al-Quran tapi ‘NAK PAKAI’ juga Al-Quran mengikut kefahaman mereka. Maka lahirlah tindakan-tindakan yang jelas bercanggah dan menjerumuskan diri kepada murka Allah.

Kita sendiri marah bila hadiah kita salah digunakan oleh orang. Kita bagi baju orang buat lap lantai. Time ziarah tengok dia buat lap lantai..

Kita bagi periuk mahal-mahal, dia pakai buat tadah hujan je. Tak mengamuk kita.??

Andai dengan contoh sekecil itu, dengan suatu yang tak pasti lagi nilainya kita sudah mengamuk, namun pernah kita fikir perasaan Allah?? Kalau hendak diikutkan lebih layak lagi untuk Dia mengamuk dan mengazabkan mereka yang TIDAK TAHU GUNA Al-Quran dengan kehendak Dia. Kita berkelakuan zalim terhadap Al-Quran sebenarnya. Mereka yang sebegini hanya memerhati Al-Quran hanya pada ayat-ayat.. pada rupa luaran Al Quran semata-mata. Andai buruk dia akan beli Al-Quran baru dan terperosoklah Al- Quran buruk bersama-sama longgokan buku-buku lama. Itupun kalau simpan, kalau tidak terus dicampak ke dalam tempat buangan sampah. Pernah sekali saya terjumpa hiasan Aayatul Kursi berupa kipas hiasan yang telah lusuh dan putus-putus disebalik timbunan sampah. Hancur jiwa saya melihat hal sedemikian.

Andai semasa hidup tidak tahu untuk menghormati Al-Quran walau pada ayat-ayatnya. Jangan diharap Al- Quran yang akan menerangi kubur dan menyelamatkan kita diakhirat kelak. Apatah lagi menjadi sumber hidayah semasa udara masih mampu disedut.

Mereka yang seterusnya memilih jalan yang jauh lebih baik. Mereka menghormati Al- Quran, mereka membaca Al Quran setiap hari. Mereka bertadarrus di bulan puasa. Mereka mengikuti kelas-kelas tajwid dalam membetulkan bacaan mereka.

Alhamdulillah, bagus usaha-usaha mereka. Moga-moga Allah menerima amalan mereka. Moga Allah mengampunkan kesilapan-kesilapan mereka sebelum ini. Namun, usaha dan kefahaman mereka terhadap Al-Quran hanya berhenti sekadar itu sahaja. Cukup dengan membaca, bertadarrus dan mengikuti kelas tajwid. Sedangkan tiada sebarang usaha untuk mereka memahami tindakan yang harus mereka laksanakan selaras dengan ayat-ayat yang mereka baca.

Saya meraikan mereka yang istiqamah dengan tadarrus setiap malam, namun saya cadangkan agar amalan ini dia kena tambah sikit. Seelok-eloknya ambillah satu ayat yang dibaca untuk direnung dan diambil pengajaran. Hebat kita tadarrus 7..8.. helai.. 1..2.. juzuk setiap malam. Lepas habis tadarrus, kita rasa tenang. Hidupkan enjin motor pulang ke rumah.. lapang jiwa sambil memandu kereta dan motor.

Cuba tanya orang yang hayati lagu-lagu cinta.. irama dan alunan melodi menyebabkan jiwa mereka tenang. Kerana melodi-melodi tersebut menenangkan jiwa. Namun ketenangan mereka hanya bersifat sementara.

Ya.. jiwa kita tenang, kerana membaca Al Quran ia ibadah. Ibadah itu tindakan yang lahir dari jiwa dalam usaha mengingati Allah.. dan mengingati Allah itu melahirkan jiwa-jiwa yang tenang.

(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

Ar Ra’d : 28

Andai dalam keadaan masih belum faham sepenuhnya apa yang disampaikan Al-Quran mereka telah dicampakkkan ketenangan melalui bacaan apatah lagi bila mereka memahami dan melaksanakan hal-hal tersebut yang mampu dilihat dari buah-buah yang terhasil. Indahnya Al Quran bila isinya difahami, dihayati serta dilaksanakan. Andai dengan surat tadi kita berasakan penting untuk diketahui hajat yang ingin disampaikan oleh yang menghantarnya. Apatah lagi memahami hajat yang diketahui dan diyakini keagunganNya yang menghantar. Meyakini dan beriman dengan Sifat-sifatNya dalam mencabut keraguan terhadap perutusanNya.

Jiwa yang tenang tidak sekadar mengharap ketenangan disaat dirinya bertimpuh disamping Al-Quran semata-mata. Diri yang tenang tidak cukup baginya merasai ketenangan saat dirinya berada di bawah bangunan berkubah bulan bintang semata-mata. Dia mahukan suatu ketenangan di mana sahaja kakinya melangkah. Dia mahukan ketenangan saat kakinya melangkah ke rumah, tenang dengan suasana rumahnya yang ahlinya menurut kehendak Al Quran. Berpakaian dengan menurut yang digariskan Al Quran, makan minum mereka mengikut ketetapan Al Quran. Jiwa-jiwa mereka terus merindui ketenangan yang luar dari bumbung rumah mereka. Ketenangan di jalan raya dengan sikap-sikap pemandu yang sentiasa bersabar, ketenangan di pejabat yang sentiasa dibantu oleh teman-teman yang sentiasa menolongnya di saat sukar. Hatinya tidak tenteram dengan melihat jirannya yang masih menderita kelaparan, perutnya tidak berselera selagi terdapat anak-anak yatim yang masih tidak terbela. Jiwanya masih tidak tenang selagi ketenangan dalam dirinya tidak dirasai oleh setiap warga kampungnya.. jiwanya masih lagi berusaha untuk terus memberikan ketengangan kepada setiap susuk tubuh yang masih lagi merabai cahaya hidayah. Hatinya masih bertanya-tanya dan mendoakan ketenangan dan mengambil jalan-jalan tindakan dalam memastikan ketenteraman turut tersebar disekitarnya.

Ketenangan tersebut tidak dipendam buat dirinya dan keluarganya sahaja. Jiwanya meronta-ronta untuk melebar luaskan ketenangan tersebut. Ketenangan dari hasil-hasil tindakannya menurut Al-Quran yang dihayati bersama oleh setiap muslim disekitarnya. Memastikan setiap ayat-ayat yang dibisikkan Tuhannya sebagai temannya di setiap ceruk mana kakinya melangkah dan setiap sudut mana langit yang terus dijunjung.


AbeJoes@abejoes.blogspot.com

0 comments: