Thursday, July 31, 2008

Tasawwur Tabiat 3


Ana dulu tuan, dah berkali-kali cuba berhenti merokok. Mula-mula kerana ana bersukan, hanya bertahan beberapa bulan aja. Kali ke dua kerana bekas teman wanita, tuh pun hanya beberapa minggu sahaja,

Saya hanya menadah telinga, memikirkan hakikat ketagihan yang telah lama bermain di sudut pemikiran saya.

“Sekarang alhamdulillah, Allah menguatkan ana. Abang ana, seingat ana dah 20 tahun join tarekat tapi still tak dapat lawan lagi ketagihan merokok” beliau menambah cerita.

Saya diam..

Setuju.. ada benarnya.


Saya bukan menghina, saya amat menghormati golongan tarekat yang sentiasa berusaha bermuqarabah, mendekatkan diri kepada Allah. Andai mereka yang dalam usaha begitu dapat dicengkam, apatah lagi jiwa yang amat jarang memandang kesilapan diri.

Namun dalam jiwa saya lebih memikirkan hakikat ketagihan kelompok-kelompok ummat yang lebih kritikal dari program yang kami pernah laksanakan sebelum ini.

BAGAIMANA BERMULA

Menyedari hakikat dosa, adalah suatu cengkaman hebat yang memegang jiwa-jiwa manusia. Tiada apa yang mampu menyelamatkan cengkaman tersebut kecuali hidayah dan Taufiq Allah Azza Wajalla.

Tiada yang membentuk ketagihan diri kecuali bermula dari tabiat yang berpanjangan dan terus mencengkam. Melawannya bukan bermusuh dengan susuk tubuh manusia yang terasing, yang mampu dilarikan saat diri tidak tertahan. Namun ketagihan adalah diri, kerana itu melawan ketagihan adalah hakikat yang amat kuat kerana bertarung dengan nafsu yang mendiami.

Natijahnya, ada manusia yang mengambil pendekatan yang dipanggil MUJAHADAH dengan buah-buah taubat dan istiqfar yang terhasil, namun ada manusia yang PUTUS ASA yang sudah tidak tahan dengan nasib dirinya(tidak melihat Rahmat Allah kepadanya), mengambil tindakan yang melampau sehingga tergamak membunuh diri sebagai penyelesaian ‘terbaik’ bagi mengakhiri penyesalannya yang sering berulang. Namun lebih ramai yang terus dalam alam ketagihan, menikmati nikmat-nikmat dengan sisa hidup yang masih berbaki. Hal sebegini pernah saya jelaskan sebelum ini.

BERUSAHA UNTUK MEMAHAMI

Mungkin perbincangan ini agak kasar dan menggunakan bahasa yang agak tidak sesuai. Namun niat saya, untuk memberi kefahaman kepada semua.

Saya suka membahagikan kelompok manusia yang cenderung kepada lembah kemaksiatan ini kepada 2 kumpulan.

1. Mereka yang melakukan maksiat tanpa melalui susurgalur dan tingkat-tingkat yang menyebabkan dirinya dicengkam ketagihan maksiat.
2. Mereka yang melakukan dosa dan maksiat kerana melalui tingkat-tingkat tertentu yang membawa kepada satu bentuk KETAGIHAN dalam diri.

Hakikat kepada ke dua-dua perkara ini adalah sama iaitu

1. Kegagalan mereka untuk memahami Islam dengan sebenar dan beramal dengannya.
2. Bermula dengan faktor-faktor yang ‘menghampiri’ kepada maksiat itu sendiri.

Bezanya, kelompok pertama mungkin sebaik melakukan dosa mampu untuk kembali dan mengisafi kesilapan yang dilakukan. Namun kelompok ke dua terus dicengkam kesilapan yang sama. Terus menyesali diri namun masih gagal untuk keluar.


MEMAHAMI KETAGIHAN

Sebagaimana hakikat ketagihan, bukan bermula dalam tempoh sehari dua. Bermula dengan tempoh yang amat lama melalui fasa-fasa tertentu dan dalam berkembang biak, ia akan turut meratah sifat-sifat lain untuk turut sama menyertai kejahatan yang wujud dalam dirinya.

Apa maksudnya? Saya mengambil contoh jenayah rogol memandangkan banyak terjadi kebelakangan ini.

Sebagai contoh cuba kita renung dari situasi ini,

1. Hakikatnya mungkin bermula apabila seorang lelaki membelek naskah akhbar, sebaik menyelak beberapa muka, terpandang ia akan gambar wanita yang membangkitkan shawatnya.
Berhadapan dengan situasi ini, mereka yang beriman dalam diri, jantungnya akan berdegup-degup kerana imannya menyoal kembali diri.. Hati mula menegur – INI PERKARA SALAH!!
Sekarang terpulang kepadanya samada untuk meneruskan atau tidak. Dia tidak beristiqfar… meneruskan bacaan lantas terpandang lagi gambar seterusnya, ketika itu iman dalam diri terus menegur buat kali ke 2. Teguran iman melalui hati akan terus berlaku sehingga ‘signal’ dari hati terus hilang setiap kali dirinya memandang perkara tersebut.

Sekarang, satu tabiat iaitu memandang gambar wanita melalui akhbar telah bertapak dalam sanubarinya. Hatinya sudah tidak mempedulikan lagi perihal keburukan yang dilakukannya ini pada saat tersebut. Perlakuan yang dibuat atas dasar nafsu pada awalnya sudah mula menjadi santapan rohaninya sekarang. MELAKUKAN TANPA DESAKAN NAFSU, NAMUN DARI KEBIASAAN YANG SUDAH TIDAK MAMPU DITINGGALKAN.

Mula dirinya dengan kebiasaan itu, gambaran tersebut sekarang sudah tidak memberi kesan kepada diri. Melakukan hal sedemikian sudah tidak menjadi kesalahan.

2. Dia terus berjalan.. bertemu seorang teman, terpadang gambar-gambar yang menyaksikan wanita tanpa seurat benang. Jantungnya mula berdegup kencang, kerana dinding imannya masih menyekat dirinya dari melakukan hal perbuatan sebegini sebagaimana awalnya tadi. Membelek.. melihat gambar-gambar seterusnya… tanpa sebarang istiqfar.. hatinya mula terhibur.
Sekarang.. jiwanya selesa dengan perlakuannya.. Gambar-gambar porno menjadi penghibur diri. Tingkat pertama sudah menjadi pintu untuknya memasuki gerbang dosa yang ke dua.

3. Tabiat buruk dalam dirinya kian tebal. Sebarang suntikan iman sudah liat untuk melembutkan hatinya. Tidak cukup dengan hal sebelumnya, kini gambar-gambar bergerak (filem) mula menjadi sajian nafsunya yang lebih memuaskan. Wah!! Kali ini lagi seronok.. dirinya kembali ditegur dengan benih-benih peluh dari saki baki iman. Imannya mula bertarung menyelamatkan diri dari membiarkan empunya diri dari terus meningkatkan tahap tabiat rakusnya. Iman mula mengalah sebaik akal menjemput nafsu untuk menjadi pendamping.

Rantaian-rantaian ini akan terus berulang-ulang dan menjadi satu skrip yang sama dalam menenggelamkan manusia ke lembah yang lebih hina.

IMPLIKASI YANG TERJADI

Ulama ada menyebut;

“Keimanan adalah nur, yang akan memberikan kekuatan kepada diri, kemaksiatan adalah kegelapan yang akan memberikan kelemahan kepada diri”

“Bagi kebaikan itu, ada saudara-saudaranya dan bagi keburukan dan kemaksiatan juga ada saudara-saudaranya”

Hakikat kemaksiatan adalah suatu yang memabukkan. Suatu yang akan menghalang akal yang waras dalam tindakan. Malah kesan yang lebih teruk adalah AKAL MAKSIAT AKAN MENGUNDANG JIWA MAKSIAT YANG LAIN.

Saya bawakan contoh begini;
1. Si A, adalah seorang yang jiwanya telah dicengkam dengan MAKSIAT ZINA, TAPI;
2. Dia memandang MEMBUNUH itu sebagai satu DOSA, satu KESALAHAN, satu KEBURUKAN yang tidak harus dilakukan, dan
3. Dia juga memandang MINUM ARAK itu suatu yang tidak harus dilakukan. Dalam akalnya yang waras, dia akan memandang jijik dengan ARAK, hatta menyentuh botol arakpun dia tidak mahu.

Dalam keadaan ini, kita akan melihat bagaimana DOSA MEMBUNUH dan MINUM ARAK pada pandangan beliau adalah sama sebagaimana pandangan orang umum jika dosa tersebut dilakukan tanpa melibatkan DOSA-DOSA LAIN. Dengan kata lain, memandang DOSA BUNUH DAN MINUM ARAK SEMATA-MATA.

Kita terus memerhatikan kehidupan beliau yang seterusnya. Maka beliau membaca akhbar sebagaimana biasa..

Dibeleknya muka pertama, melihat kisah pembunuhan. Jiwanya tersentak, mulutnya mungkin mula mencela si pembunuh atau dia langsung tidak mengambil peduli kisah pembunuhan yang berlaku. Apa yang pasti, dia tidak berminat dengan kes-kes yang baginya sudah muak terpampang di dada akhbar setiap hari.

Dibeleknya muka ke dua, membaca iklan arak dengan buih-buih di botol dan gelas. Langsung tidak dipedulikan iklan tersebut yang hakikatnya bercanggah dengan nalurinya yang sememangnya membenci arak. Memarahi dan mencela mereka yang begitu berani meletakkan iklan secara terang-terangan dalam akhbar.

Di meneruskan pembacaannya.

Dibeleknya muka ke tiga, kisah “murid bawah umur di rogol dan di bunuh”. Matanya mula membaca satu persatu kisah tersebut. Tabiat ZINA dalam dirinya terangsang kerana berita yang dikaitkan mula menjentik jiwa nafsunya. Imiginasinya mula bermain, bagaimana hal kejadian tersebut sebagaimana diberitakan. Jiwanya mencari kepuasan disebalik kegersangan nafsu serakahnya. Satu nyawa yang diragut setelah dirogol sekarang tidak dipandang serius baginya. Perogol tersebut tidak dicela sebagaimana pembunuh, kerana hatinya bagai ‘meredhai’ hal yang dilakukan tersebut.

Dibeleknya muka seterusnya, iklan ARAK disiarkan lagi. Kali ini botol-botol arak dipegang oleh gadis-gadis cantik yang bagai tidak berpakaian. Iklan ditatap lama, matanya liar memandang susuk tubuh model tersebut. Syahwatnya dihidupkan kembali, tiada lagi celaan terhadap iklan arak sebagaimana iklan yang dilihat sebelum ini.

Sekarang, mungkin baru kita mengerti kenapa jijiknya satu maksiat. Ia berjangkit dan meratah jiwa-jiwa belas yang lain, ia mengalu-alukan saudaranya walau hanya dengan ‘redha’ walau bukannya mendiami dan menjadi tabiat dirinya. Andai dengan satu tabiat buruk mampu memberikan kesan yang sebegitu dahsyat. Bagaimana gamaknya dengan diri yang hebat dicengkam dengan bermacam-macam tabiat?

Sekarang jelas larangan Allah dengan larangan dari bertatih-tatih dengan jurang dosa melalui firmanNya;

"Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji (fahisyah) dan suatu jalan yang buruk." (Al-Isra': 32).

Ya Allah, selamatkan diri kami..
*Mohon maaf atas bahasa-bahasa yang kurang sesuai, menceritakan yang buruk biarlah terasa buruk sebagaimana buruknya perkara yang buruk.

AbeJoesCorner@abejoes.blogspot.com

1 comments:

bioshippaladin said...

terima kasih abe joe. anda memahami