Monday, July 28, 2008

Biar akal menutur sebelum mulut berbicara


Bagaimana nak bagi orang tak menyampah dengan kita?” saya menerima mesej yang cukup ringkas dari seorang teman.

Letakkan telinga kita pada telinga dia,” Saya membalas.

Bagaimana nak lahirkan perasaan tuh?” Balasnya kembali.

Biar akal menutur sebelum mulut berbicara..

Slot kami terhenti setelah beberapa kali saya dan dia berbalas mesej. Rindu saya pada beliau terkadang bagai turut sama dirasai. Saya cuba menyelami.. cuba menyulam kefahaman diri dengan perasaan beliau.


Dia bukan tidak mengerti, terkadang kami berseloroh. Namun, semenjak umur yang kian meningkat kami banyak berbincang perkara-perkara yang serius. Kami cukup rapat. Berbincang, bertukar pandangan dan terkadang memberikan motivasi yang terkadang naik turun.

Saya termenung seketika. Merenung jauh persoalan yang ditimbulkan teman.

Jarang dari kita dapat menuturkan akal sebelum mulut berbicara, lantas yang keluar adalah bicara-bicara yang tanpa disedari merobek perasaan teman-teman.. bicara-bicara yang mengguriskan hati. Bicara tarbiyyah yang terkadang tidak disadur hikmah.

Ramai hebat berbicara, namun bagaimana bicaranya? Adakah bicara yang menyentap jiwa manusia dari hati kecilnya yang turut menutur atau menjadi manusia yang kagum dengan kepetahan diri. Sedangkan hakikat hati menafikan apa yang dibicarakan. Manusia begini cukup celaka.

Namun, usah terlalu takut dari terus berbicara. Menafikan diri untuk berbicara kerana kekurangan ilmu. Bicaralah walau sepatah, kerana bicara itulah dakwah. Kerana manusia yang berakal, akan sentiasa mengambil perhatian atas apa yang dibicarakan. Moga lafaz-lafaz tidak sekadar menjadi pemanis telinga.

Hanya hati yang hidup dapat menghidupkan hati mati yang lain. Kegagalan untuk merubah manusia lain kerana hati-hati yang mendidik terkadang penuh dengan rasa keujuban pada diri. Merasakan diri cukup sempurna.. merasakan diri sebagai insan yang perfect lantas tidak pernah melihat kelemahan diri.

Bagi mereka yang sentiasa hidupnya dengan berbicara lidah mahupun bibit-bibit perkataan yang terpampang. Bicarakan sebagaimana yang dilafazkan. Amalkan sebelum bicara, kerana kata-kata yang dihambur dari diri yang beramal adalah kata-kata yang penuh dengan kefahaman. Bicara mereka yang beramal adalah lebih menyentuh jiwa dari bicara sang alim.


Biarlah akal menutur walau sesaat sebelum mulut kita dibuka. Kerana akal mungkin berkata, cukuplah senyummu mengganti bicara..


AbeJoesCorner@abejoes.blogspot.com

0 comments: