Friday, June 13, 2008

Nilai Sebiji Bola


"Ana nak kena balik dululah kalau tiada apa-apa," awal teman-teman seusrah membawa diri minggu ini.


Biasanya habis usrah ditangguhkan jam 12.00 malam. Namun, masih berbaki majoriti besar teman-teman di markaz menyambung usrah informal dalam 4..5.. group yang kecil dengan topik masing-masing. Berbincang isu-isu yang tidak sempat dihabiskan dan dilontarkan semasa usrah. Terkadang menjangkau lamanya sehingga 2 jam, tempoh yang hampir sama dengan masa perjalanan usrah kami.

"Ana nak kena 'qiam' lagi nanti," teman berseloroh dibalas gelak tawa sahabat lain.

Baru mengerti maksud teman tersebut. Bukan sedikit yang 'mengumpul pahala niat' seumpama itu, mengerjakan "sunnat awal tahajjud" sebelum "fardhu Euro 2008".

Bukan niat diri untuk memandang serong dengan kehadiran fenomena ini. Musim yang jarang dialami dan ditunggu untuk menyaksi kehebatan. Semangat yang lama melonjak, bila lagi ingin diluahkan sokongan andai bukan ini masanya. Memekik bersorak pada bulan dan hari lain saat jiwa lain nyenyak tidur mungkin mencetus kemarahan, namun inilah masanya... lesen sementara untuk berbuat demikian.

Bukan niat berceloteh lantaran diri yang selalu tersasar sepakan sehingga betis rakan menjadi ganti bola.

Bukan juga lantaran bola yang direbut dari kaki teman sepasukan sendiri akibat 'musuh' yang hanya dapat dicam dalam jarak 2 meter. Rabun mata tidak menghalang... asal ada bola membujur lalu. Misi yang aku fahami, sepak sahaja ke arah sasaran di pihak musuh. Itulah kefahaman bola bagi mereka yang kurang ilmu mengenainya.

Ketepikan dahulu persoalan mengenai agenda zionis dalam melalaikan manusia, satu hal yang tidak kurang penting untuk diperhatikan. Namun apakah falsafah dan ibrah yang mampu dikutip. Adakah sekadar dengan tidur yang nyenyak sebaik pasukan diminati mendominasi permainan dan mencatat kemenangan.

MATLAMAT DAN ATURAN

Dulu semasa belajar, kerap juga kami mengadakan perlawanan bola. Uslub yang rata-rata tempat masih digunapakai termasuklah setelah menyertai dewan pemuda wangsa maju. Berehat sementara sambil diselit-selit takzirah 5..6.. minit tika diri mengemis kembali hela nafas yang hilang tika bermain."Seronok bermain pasal kita bermain dengan peraturan, kita bermain ada matlamat" tazkirah ringkas mengajak teman-teman berfikir.

"Kalau kita bermain, kita mengejar matlamat untuk memasukkan bola ke gawang gol. Mengapa ketika hidup kita sering mengetepikan matlamat hidup?" diri yang juga terkadang tersasar matlamat mula menambah.

Benar, kita sering mengetepikan matlamat hidup. Andai dengan permainan sejam dua kita berusaha untuk mencapai matlamat dalam mencapai kepuasan, mengapa kita jarang menyandarkan kepada kehidupan di mana kaki bertapak, dunia yang luas dengan mehnah yang pelbagai, yang menjadi tapisan agar diri sentiasa menuju matlamat yang tidak tersasar. Apatah dengan tempoh masa yang lebih panjang.. kesan dan bahana dari tersasar matlamat yang bersifat kekal.

Permainan juga seronok dan lebih bermakna kerana adanya peraturan. Bagaimana pula gamak andai bermain tanpa sempadan had garisan membawa bola, "GOLmu GOLku jua", andai tidak berpuas dengan kaki digunanya tangan buat mengganti. Tidak ada pengadil yang menentu salah atau benar perlawanan, memberi nasihat dan amaran dengan 'kad kuning' sebelum diberikan 'kad merah' setelah melihat seorang itu melampau dari garis sempadan permainan. Namun, dari peraturanlah mewujudkan ranca yang pelbagai.. tindakan dan respon yang berbeza. Menjadikan 'permainan hidup' lebih bermakna. Maka, apakah hujjah bagi mereka yang menafikan hakikat 'peraturan' yang dikatakan mengokong kebebasan diri?


IMAN DAN NAFSU*

Fenomena ini turut menyaksikan bagaimana minat yang mendalam mengalahkan kelemahan diri yang lain. Kerana minat, mengantuk ditinggal bersendirian tanpa tuan di hamparan tidur. Cukuplah kita berdamping sejam dua, datanglah menjemput tika waktu kerja esok hari. Kerna minat, biarkan perut berkeroncong di siangnya kerna malam nanti baru tersedia habuanmu. Pilihan kena dibuat memandangkan kos hidup yang meningkat.
"Ana kalau nak kira niat tuh, dah boleh masuk syurga pakai pahala niat sahaja," penuh berisi kata-kata teman buat muhasabah diri. Faham benar maksudnya, bukan dalam istilah berbangga bagaimana fenomena ini mampu menghalau jauh mengantuk dari cengkaman yang menebal setiap hari. Ke mana merayaunya mengantuk saat nafsu bertapak dan kembali pulang sebaik wisel penamat memanggil.

"Kekuatan manusia pada tika manusia lain tidak mampu berjaga hanya kerana dua sebab, kekuatan iman dan nafsu. Ada kelompok manusia mampu untuk bangun malam bermunajat kepada Allah. Namun ada manusia juga mampu menonton perlawanan bola dalam menghadapi kelemahan mengantuk yang turut sama. Ada manusia mampu menggerakkan untuk beribadat dan ada kelompok turut mampu untuk menggoyang badan mengikut rentak dangdut mengisi malamnya, manusia mampu untuk merentasi bahaya lautan untuk menunjuk juga mampu andai itu arahan Tuhannya," itulah kemampuan manusia, menghadapi satu kelemahan yang sama dengan sandaran yang berbeza.


NILAI SEBIJI BOLA


Di mana nilai sebiji bola pada pandangan kita. Andai diukur dalam bentuk luaran dan kosnya, apa sangatlah nilai sebiji bola. Harga biasa mungkin puluhan ringgit, paling mahal mungkin ratusan.. mungkin juga ribuan.. namun mustahil rasanya sampai berjuta harga bagi sebiji bola tersebut.
Tapi disebabkan sebiji bola yang beberapa sen itulah, sebidang tanah yang berekar-ekar dipenuhi semak suatu ketika dahulu dilicinkan oleh berpuluh buah jentolak yang berharga ratusan ribu ringgit.
Sebab sebiji bolalah, berlori-lori tar dengan kontrak berjuta-juta ringgit terpaksa ditimbun bagi menjamin keselesaan para pengunjung.
Sebab sebiji bolalah, beribu buruh tempatan dan pendatang asing yang menggadai nyawanya menyeberang lautan menggerakkan tulang sendi mereka memikul batu-bata, meratakan simen-simen membina stuktur stadium yang berjutaan ringgit.
Sebab sebiji bolalah... menara-menara sportlight yang kukuh dibina menerangi segenap stadium. Sebab sebiji bolalah, mesin-mesin di kilang-kilang bangku bergerak tanpa henti dalam membekalkan puluhan kerusi yang jutaan ringgit nilainya.
Dan disebabkan sebiji bolalah, segenap manusia dari seluruh pelusuk dan ceruk tempat menggerakkan diri... menyewa hotel bagi yang jauh. Membeli baju.. membeli bendera-bendera sokongan, menghidupkan enjin-enjin kereta dan menggerakkan tulang empat kerat masing-masing untuk memandu ke stadium. Menempuh sesak dengan kesabaran.
Disebabkan sebiji bolalah, beratus gerai-gerai hebat dibangunkan sang peniaga buat mencari rezeki walau ajakan azan berkumandang.

Berapa sangatlah nilai sebiji bola andai dibandingkan dengan kemudahan lain yang jauh mahal daripadanya. Namun 'terpaksa' wujud dan ada bagi memenuhi 'nilai sebiji bola'.


Mengambil iktibar dari hal ini, apa nilainya seorang manusia.

Apa sangat manusia untuk dibandingkan sehingga Allah sanggup mencipta lautan dalam yang terhampar dan bukit berpasak dibumi, sedang kejadian hal tersebut jauh lebih besar.
Apa sangat manusia untuk dibandingkan dengan bulan yang melengkapi aturannya mengelilingi bumi yang tercipta untuk manusia.
Apa sangat manusia sehingga Allah mencipta planet-planet lain buat 'menemani' kesepian sang bumi.
Apa sangatlah manusia sehingga Allah mencipta matahari yang amat hebat ciptaannya. Saiz yang mustahil untuk dibandingkan dengan susuk tubuh manusia.
Apa sangatlah manusia sehingga Allah mencipta cakerawala yang tetap wujud dengan aturannya sebagai pelengkap walau manusia sendiri tidak mengetahui apa yang berlaku di sana. Andai difikir akan singkat manusia, kenapa Allah terus menjadikan batuan yang terapung di langit yang tidak pasti mampu atau tidak dicapai manusia.. mencipta bintang bintang yang bagai tiada guna kerana diluar pengetahuan dan capaian akal manusia.
Apa sangat manusia sehingga Allah mencipta alam yang sebegitu yang mustahil untuk dijadikan manusia yang cukup kerdil untuk dibandingkan.

Andai melihat sebiji bola dengan susuknya speranya. Namun mempunyai kesan yang cukup besar bila melihat NILAI yang berjaya dihasilkan dengan mempengaruhi kewujudan dan pergerakan perkara lain di sekitarnya. Kenapa tidak memikirkan.. di mana tersembunyi NILAI seorang manusia disebalik susuk tubuhnya. Hingga tercipta segala cakerawala.




*bukan ditujukan untuk semua nafsu, ayat digunakan untuk nafsu yang buruk bagi memudahkan perbincangan. - AbeJoes


[AbeJoesCorner-saizol@yahoo.com]





0 comments: