Friday, May 23, 2008

Tasawwur Tabiat 1



"Khusya Argham Seheteehe',
Phir Bi Yeh Chupp Re'he'teehe',
Ab Takh ke Sei Neina Janaa,

Zendegi Kia Ke'he'teehe.."

Lama untuk mengingat kembali lirik yang biasa bermain dibibir 9..10 tahun lepas. Berulang kali lidah mengulangi rangkap awal untuk recall lirik tersebut . Nyanyian sekadar untuk melengkapkan baris terakhir. Mungkin ramai yang masih meminati dan dapat meneka... namun tidak perlu risau untuk melihat betul atau tidak taipan lirik tersebut. Lirik lagu dari Filem Maan lakonan Amir Khan dan Manisha Koirala. Petugas kaunter perpustakaan, lama pening berfikir apa sebenar yang tercoret pada kertas kecil di belakang kad matrik sebaik diri mendapatkan meja pendaftaran . Berkerut-kerut dahinya cuba membaca apa sebenarnya yang tercatat penting yang terselit di belakang kad matrik tersebut.



Petang tadi teman sepejabat memainkan kembali santapan jiwa yang telah lama ditinggalkan. Sesekejap matanya menjeling kepadaku, aku tersenyum sendiri... faham maksud yang cuba disampaikan. Seakan-akan mengajak aku turut sama 'melayan' jiwa kami yang letih bekerja. Teman-teman sepejabat, staf.. menyanyi perlahan-lahan dalam lagu dengan lirik yang tenggelam timbul. Aku mendiamkan diri, andai diputar ke dua kali.. aku yakin lirik-lirik tersebut mungkin cair kembali.

"Lagu nie Udit Narayan nyanyi kan?" Soalan bagai menduga ilmu lamaku. Aku mengiakan sahaja. Cam benar aku dengan suara penyanyi yang pernah diminati dulu, suaranya memang dikagumi. Pertanyaan demi pertanyaan.. aku sekadar menjawab, namun bukan dalam istilah memberi keutamaan dan minat seperti dulu.

Dulu memang hebat, teman-teman kesepian memang terhibur saat lagu-lagu hindustan dinyanyikan. Masakan tidak, lidah ini cukup lancar memainkan satu persatu lagu, live dari hindustan celup. Bilik air tidak perlu diketuk untuk bertanyakan penghuni kerana tidak ada siapa yang berbakat sebegitu di Matrik selain aku dan saudara angkatku Ezral. Membesar di penghujung saat bersekolah agama dengan kemestian harian kami.

"Huh.. apa dia nie nyanyi. Tak kena 'makhraj' tuh," diri mula melontar komen sebaik penyanyi di kaca TV yang menyanyikan lagu hindustan yang kulihat agak tidak kena dengan 'tune' dan sebutan yang sepatutnya. Tidak pasti adakah itu bakat yang terpendam dengan jiwa melayu yang dikatakan dari keturunan golongan ini suatu ketika dulu, ataupun minat yang mendalam tika itu. Itulah penangan yang pasti sehingga diri layak menjadi juri tidak langsung. Bertukar lirik.. tape koleksi yang dibuat sendiri dan bermacam cara lagi untuk memenuhi minat dalam diri.

"Jobee kaa ya di humne..
wa daa kiyaa ka joo milke'..

Tuney hii jivan melayaa ka mere saveera..

Kia tumhe yaadhe hei?"...


Aku sengaja memainkan lagu nyanyian dari artis pujaan kami dahulu saat berYM dengan saudara sehobiku itu. Terus dibongkar balik semua lagu-lagu lama tersebut. Huh, hebat..

Masa berlalu, koleksi-koleksi lama dulu rasanya telah berkulat di rumah saudaraku. Alhamdulillah, dunia tersebut berjaya ditinggalkan walaupun pengaruhnya tidak sepenuhnya surut di negara sekarang. Cuma andai dulu hebat dengan cartanya di TV dan Radio.. filem-filem di pawagam. Namun sekarang mulai reda walau masih ada cerita-cerita yang dimainkan di peti televisyen dan pawagam.

"Huh.. demo suka jugak kat Syeikh Misyari?, kawe pun suka dengar dia ngaji" Terkedu dan gembira setelah lama jarang dapat berjumpa. Pelik setelah alunan bolly yang setia suatu ketika dulu mula berubah kepada alunan dari ayat-ayat suci.

"Kalu dia baca surah al-baqarah tuh, memang sedap betul dengar.." balas saudaraku. Alhamdulillah, mungkin kehadiran permata keluarga mula memberi kesedaran.



MENCABUT MINAT DIRI, PASAK KEHENDAK ILAHI

Keterlibatan dalam gerakan Jemaah banyak membimbing diri, sekurang-kurangnya terbit malu juga kepada teman andai naqib seorang yang minat hindustan. Apatah lagi teman-teman yang mengenali, tidur.. makan.. minum sekali. Saat usrah bercerita dengan hebat, namun hati menafikan hakikat. Berapa lama kita ingin berselindung di sebalik sifat-sifat sebegini??. Tidak dinafikan, namun alhamdulillah segala kekuatan dari Allah.

Minat tidak salah, minat itulah nafsu. Kerana tiada minat, tidak akan melahirkan semangat, tidak melahirkan kekuatan dalam tindakan, tidak melahirkan kesungguhan dalam pekerjaan. Ini natijah kepada nafsu tidak perlu dicantas.. sebaiknya dididik.

Bagaimana membimbing minat diri yang melahirkan tabiat. Begitulah membimbing nafsu dalam diri yang lebih terarah.

Menyoal diri, berapa lamakah diri terperangkap dalam gelodak nafsu yang melahirkan tabiat buat diri kita. 10 tahun??.. 15 tahun??.. 20 tahun??.. Bagaimana nafsu yang hebat melekat telah membentuk diri menjadi tabiat.

Dugaan yang dinyatakan di atas masih kecil bagiku, memang tidak dinafi akan jiwa yang kian menolak, juga mungkin hilang kerana peredaran zaman. Namun, meletakkan kesyukuran kepada Tuhan, yang mencorak denai-denai laluan buat hambaNya dalam menagih setitis nilai kehidupan.

MINAT & TABIAT

"Antara tanda keimanan kepada Allah ialah membuang kecenderungan diri dan meletakkan kehendak Ilahi," gemar diri mengulangi kenyataan itu dalam usrah kami.

Ayat yang cukup mudah, namun hakikat mencabut minat dalam diri untuk dipasak kehendak Ilahi agak sukar dalam melaksanakan. Apatah hendak mencabut naluri seorang pemuzik yang hidup minumnya.. tidur jaganya dengan muzik, diganti dengan kehendak Allah? Jiwa dan naluri yang disemat dan dipahat hingga cukup sukar untuk dipisahkan, kerana itulah sehingga terlafaz .."saya akan terus berjuang dalam dunia ini sehingga akhir hayat,"

"Huh.. jiwang karat laa dia nie"
"Apa daa rock, kasar-kasar bingit telinga dengar"


Dua minat yang bertentang, masing-masing dengan seleranya. Namun di mana yang terbaik. Itu belum dikeluarkan semua jenis kategori lagi, irama malaysia.. dangdut.. klasiknya..

Namun yang jelas, masing-masing berpegang dengan minatnya. Itulah kecenderungan yang wujud dari fitrah, namun tersalah arah. Namun siapakah yang paling benar di sini? Yang benar adalah menggunakan fitrah dengan kecenderungan kepada Allah. Tapi bolehkah kita?

Pejam mata dan renung kepada konteks yang lebih luas, minat yang dilahirkan tadi mungkin tidak dirasai silap selagi menjamin kepuasan hatinya... memenuhi 'fitrah'nya.

Tidak akan dirasai silap selagi perahu yang meluncur sekarang adalah didayung selari dengan kebatilan.

Teman, berusahalah untuk kita alihkan sedikit perahu iman yang dinaiki sekarang, cuba untuk berpaling dari arus kejahilan kita yang telah lama kita melayarinya. Memang lancar perahumu untuk mudik dengan arus begitu, terasa senang pelayaranmu... tidak terbuang tenagamu... tidak menitik peluhmu. Namun, sedikit kita memalingkan perahu, pasti awalnya menagih sedikit kudrat diri. Mula terasa hebatnya arus yang menolaknya untuk terus kembali ke mudik asal. Namun harus diingat, perahu keimanan mustahil akan bersetuju dengan arus kebatilan. Berusahalah untuk tidak hanyut bersama arus itu walau berat dirasa untuk memalingkan perahumu. Lebih tersiksa tika perahumu mula berhasil berpaling namun berat melawan arus. Saat itu, akan dikerah segala tenagamu, akan mula membenih peluh dari romamu. Namun teruskan dayungan itu... kerna walaupun perahumu tidak berganjak walau seinci lantaran kuatnya arus itu, sekurangnya menafikan arus itu untuk terus menghanyutkanmu.


[AbeJoesCorner - saizol@yahoo.com]

0 comments: