Monday, May 12, 2008

Ibuku Kekasihku..

"Dalam hidup ana, selepas Allah dan Rasul. Ibu analah orang yang pertama, harap boleh terima benda ni" aku memberi penegasan seakan peringatan seawal taarufku. Hirarki Kekasih diri diperjelas seawal mungkin. Kenapa aku mendahului Ibu?? inilah hujjahku...


"Joe.. wat ghapo bawah rumah tuh?" terdengar suara memujuk aku memanggil keluar dari bawah rumah. Diriku yang masih kecil, belum mengerti sebarang ajakan pujukan, terus bermain-main dengan air yang menitis turun dari celah-celah papan rumahku. Biarpun ramai yang menegur, naluri anak kecil untuk bermain-main terus memuncak. Digalinya lubang.. gembira melihat air yang mula bertakung, hati terdetik keriangan.



"Ok.. ini pula sungai,"Aku mula membuat sungai rekaan melihat 'air tadahan' memenuhi kolam yang kubina tadi. 'Air hujan' dari celahan papan mula perlahan, menyebabkan kolam takungan dan sungai ciptaan tadi mulai kontang.

Puas bermain-main.. kaki mula melangkah. Sunyi sepi... Hati dijentik persoalan sebaik birai pintu mencium sepasang kaki kecil yang masih terpalit selut nipis.

"Kenapa kakak menangis?? Kenapa mek menangis," hati tertanya-tanya apabila melihat air mata mula membasahi pipi Ibu.Kalau teman-teman sepermainan, biasa juga ku lihat menangis. Kami bergaduh... berebut mainan...Tapi kali ini ibu yang menangis. Pelik.. tak pernah melihat Ibu menitiskan air mata sebelum ini.

Kekanda mula silih ganti mengucup dahi insan yang cukup rapat denganku sebelum ini. Suasana terus sepi. Aku biarkan diri, melihat satu 'majlis' yang belum pernah dialami sebelum ini.

Sebentar kepiluan terjawab, kolam mainan yang mula kontang di bawah rumah bagaikan memberi gambaran akan kegersangan kasih yang bakal wujud dalam rumah kami.

Baru aku mengerti, kenapa insan yang paling tabah aku kenali selama ini turut menitiskan air mata yang telah lama ditahan. Baru aku tahu, dari mana turunnya 'hujan' buat menakung kolam mainanku tadi.

Berpindah dari halaman, bagiku bermaksud bertukar taulan. Namun tidak bagi insan yang bernama ibu, jauh memikirkan mengenai makan minum kami... mengenangkan tempat meneduhkan diri.

Diri masih mentah, melangkah sekolah tidak seperti teman lain yang sudah mula mengenal huruf sebaik awal persekolahan.

"Joe.. belajar mmolek deh" pesan ringkas ibu sebaik diri memanjat basikal tua bapa saudara, berhimpit aku dan sepupu berkongsi tempat di belakang. walau dengan kudrat tua, bapa saudara tidak mengizinkan kami walau untuk menitiskan setitik peluh. Setinggi mana bukit... tidak diungkit, seberat mana beban... kepenatan ditahan. Tidak larat dilawan tinggi bukit.. basikal dituntun dengan kami tetap tidak mencecah tanah sehinggalah pagar sekolah menyambut kami.

Ibu terpaksa tebalkan muka sebaik anak-anak yang belum mengerti ingin mendapat hiburan. Menumpang rumah jiran untuk memuaskan hati kami.. peti TV kami bagaikan merajuk setelah kematian ayah. Ibu tetap setia menemani kami.

Beberapa hari kemudian, Sekali lagi hati Ibu terguris.. Ibu menangis. Aku terkebil-kebil apabila diri yang dalam keasyikan menonton tiba-tiba ditarik Ibu untuk segera pulang. Adik yang masih kecil menangis atas dukungan. Kali ini maruah keluarga dihina jiran lantaran kemiskinan. Hinaan kiasan hanya difahami oleh Ibu... biarlah kami tidak mendapat hiburan jangan maruah kami dipersendakan.

Tiada hiburan memberi lebih masa untuk pelajaran. Air mataku menitis perlahan, hari itu angka 'gabungan dua sifar' adalah perkara paling sukar bagiku. Ibu perlahan menghampiri setelah menyedari anaknya yang masih teresak-esak untuk menyiapkan asas ilmu hisab tersebut. Enggan tidur selagi amanah guru belum selesai. Tangan kasar Ibu mula menjamah batang pensen, terketar-ketar ibu cuba meniru contoh yang diberi. Tangan kasar penoreh getah cuba memenuhi ruang-ruang yang masih kosong untuk memujuk anak yang belum mengerti.

Selang beberapa hari... Kekanda pulang dengan baju yang kotor. Baran kekanda diwarisi arwah ayah, kali ini dia mengajar erti adab kepada beberapa teman yang menyakat dan menghina keluarga kami. Ibu menitiskan air mata lagi.. "Li belajar bersungguh-sungguh.. tunjuk nanti kat semua hok perli Li tuh,". Ibu membakar semangat.

Pernah sekali aku membawa diri setelah di'piat' kerana berendam lama di sungai. Senyap-senyap aku kemaskan beg dan beberapa helai baju. Dicapai basikal untuk membawa diri. Belum sampai sebatu musafir, hati terdetik... di mana aku hendak tidur.. hendak makan... siapa yang akan membelai belakang sebelum tidurku malam ini. Berpatah balik, terpaksa akur dalam marah kerana Ibu 'tidak menyayangi'. Tenang Ibu memujuk.

Dugaan demi dugaan menguatkan ikatan kami dan Ibu.

"Kalau susah-susah hidup tak payahlah sekolahkan anak-anak," Ibu mula menceritakan antara wasiat arwah ayah yang dilanggarnya setelah diriku dilihat sudah mula bercerita mengenai tanggungjawab. Resah jiwanya... Antara seorang isteri yang masih taat kepada suami yang telah meninggal ataupun melihat anak-anak terus meneguk kejahilan sepanjang hidup. Ibu nekad menyekolahkan kami. Bagi Ibu.. belajar itu yang utama. Bergenang air mata Ibu saat menceritakan wasiat yang diingkarinya. Aku terdiam sebentar, mengakui ramai yang menjadi mangsa begitu atas alasan kemiskinan. Tapi tidak bagi Ibu.

"Orang tak akan ungkit balik kisah dia senang dulu, tidak akan bercerita dia seronok tidur di katil yang besar.. tilam yang empuk. Yang orang akan ingat adalah kesusahan. Itulah dia modal sembang kemanisan," tazkirah ringkas aku kepada seluruh ahli keluarga. Jarang dapat kami berkumpul dan bersolat jemaah bersama. Aku mencuri kesempatan ini untuk memberi ingatan bersama.

Benar, kesusahan memberi banyak pengajaran. Mengajar erti ikatan. Hakikat dirasai sehingga ke generasi termuda kami, masing-masing sanggup berhimpit dan tidur bersusun di teratak buruk Ibu yang kian sarat di huni. Manis melihat tubuh-tubuh yang melentok-lentok saat titis-titis hujan dari atap bocor mula menitik.

Minggu lepas cuba bermanja setelah diri dirasai sedikit derita. Bukan tidak sanggup menanggung dugaan. Namun, meluahkan kesengsaraan kepada insan bernama Ibu bagaikan memberi kepuasan kepada diri. Cukuplah suara sebagai penawar memberi kekuatan.

"Joe balik nanti hujung bulan ni deh, kak yah kata tok sedaplah kalu tak dok belako" ibu berpesan sebaik kali aku menghubungi bertanya khabar. Aku faham, andai kekanda yang mempunyai perasaan begitu, lebih-lebih lagi jiwa seorang Ibu. Menghubungi Ibu petang ini, membangkitkan seribu ketenangan di hati.

Namun terkadang diri menyoal, Mungkin laranya yang lama masih belum hilang, menagih kasih sang anak yang jarang pulang. Mungkin masih terdapat baki-baki dan derita yang cuba disembunyi. Terkadang rasa bersalah membiarkan bonda seorang diri. Jarang benar anaknya ini cuba memahami... Adakah sama kesusahan membesarkan anak-anak di depan mata dalam hidup yang penuh derita, ataupun menanggung derita rindu anak-anakmu meskipun kepayahan hidupmu kian berlalu.

"Wahai Ibu.. Ampuni dosa kami yang banyak menitiskan air matamu dengan peragai dan gelagat kami sepanjang perjuanganmu membesarkan kami"

Anak kepada MEK DAH BINTI BEBAKAR,
Penoreh Getah, Kg Sungai Satan.

0 comments: