Friday, April 11, 2008

Nilai Setitis Kefahaman

Alhamdulillah, wakalah penerangan sulung dari DPPWM akhirnya berjaya diterbitkan. Walaupun tidak segah mana, namun mengharapkan sedikit secubit mendoakan kesedaran dari warga Wangsa Maju. Impian kami, agar jiwa-jiwa di sini turut merasai nikmat kehidupan yang sebenar.

Dalam konteks kehidupan, saya percaya masing-masing mempunyai lingkaran kesedaran yang cukup luas, melangkau dari bumi Wangsa Maju, hatta jauh sehingga di luar bumi Malaysia. Keprihatinan kepada saudara Islam di Palestin, Iraq, Kashmir, jiran-jiran Thailand, Indonesia dan lain-lain. Namun kekangan yang wujud menyebabkan lingkaran tindakan mungkin hanya dapat dilaksana dalam keadaan yang cukup terhad. Namun dalam keterhadan ini, dimanfaat sebaik mungkin moga membenih satu tindakan dari KEFAHAMAN.

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berhujjah dalam mengutip KEFAHAMAN, walaupun Islam diyakini sebagai cara hidup dan aqidah yang tulen. Mencari hujjah dan KEFAHAMAN inilah asas kepada agama. Hujjah ini pula, tidak akan hidup tanpa akal yang waras, manakala akal yang waras hanya bagi mereka yang tidak gila dan sudah mencapai tahap kematangan berfikir, sekurang-kurangnya membezakan hal yang baik dan buruk. Bermula dari kita membuka mata, kita berhujjah dengan diri sendiri dalam membuat pilihan. “Hendak ke pejabat.. naik motor ke kereta.. hendak makan apa hari ini.. hendak belanja apa hari ini..” Andai sifir dan formula ini pun kita gunakan dalam sekecil-kecil perkara dalam kehidupan. Apatah lagi WAJIB dipertimbang dalam perkara-perkara yang lebih besar iaitu hal-hal kepimpinan.

KEFAHAMAN dan kesedaran inilah yang membentuk jatidiri ummat, menjadikan kita terus dalam perjuangan tidak kira dalam apa jua situasi. Tika mengalami kekalahan mahupun kemenangan, tika lemah mahupun kuat, tidak terpaksa mahupun bersemangat, tika kaya mahupun melarat. Tidak mudah mengubah pendirian saat tergugat, yang turut dibina atas dasar syariat.

Kehidupan dan tindakan yang berpunca dari KEFAHAMAN adalah kehidupan yang penuh dalam keadaan bersiap sedia dan mempunyai matlamat. Barulah perjuangan dirasai indah dan nikmat. Manakala sebaik-baik manusia yang FAHAM adalah meraka yang FAHAM kerana apa kita dijadikan, FAHAM apa tanggungjawab di alam dunia, FAHAM ke mana tempat kita dikembalikan.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada team pemuda yang diberi KEFAHAMAN dalam usia yang masih awal. Moga-moga dengan KEFAHAMAN ini Allah terus memberi bimbingan untuk terus berusaha memberi KEFAHAMAN kepada jiwa-jiwa lain. Bukan mendabik mengata diri yang terbaik, namun selamilah roh-roh dalam susuk tubuh yang masih merabai cahaya nikmat sebenar, mungkin saudara sedaging sendiri, mungkin ahli-ahli surau dan masjid yang sudah rasa ‘lega’ dengan kehadiran penuh ke surau dan masjid setiap hari, mungkin dari susuk tubuh yang pernah tersiksa mengandung, melahirkan dan membesarkan diri, tetangga yang nalurinya merintih agar diri disapa dan diajak sama merasai kebahgiaan hidup. Selami dan hayati jiwa-jiwa ini. Jadikan diri sebagai insan yang sentiasa bersedia untuk berusaha memberi KEFAHAMAN di mana jua dicampakkan.

“Ya Tuhanku, aku adalah anak panah dari panahan Islam. Maka Engkau panahlah aku ke arah mana yang Engkau Kehendaki”

0 comments: