Wednesday, April 23, 2008

Hakikat dalam memahami hakikat..

“Tengok matahari sekarang, ada fenomena pelik yang berlaku”, mesej ringkas yang diterima dari tunang  saya suatu masa dahulu.

Diri segera meluru keluar jendela pejabat, mengintai-intai mentari yang sedang terik memancar. Mata mula berpinar-pinar tika cuba mencari keajaiban yang bakal dikutip. Selari dengan jiwa manusia-manusia lain, hati mendesak untuk menyaksikan keganjilan dari normal kehidupan.

Segera dicapai plastik gelap pembalut toner printer yang sedia dilupus. Kali ini bulat mentari dapat jelas diperhati. “Apa yang pelik..” hati mula terdetik. Selang beberapa saat saya mendongak kembali. Mentari mula lari dari sudut asal dalam masa singkat. Terkadang seakan melihat bergerak ke kanan ke kiri. “Lajunya bergerak…” akal mula mencari maksud fenomena tersebut. Mengesahkan mesej yang diterima tadi.

“ana nampak matahari bergerak laju” aku membalas mesej.

“ada pelangi kat keliling matahari tuh” tunangku membalas kembali.

“Pelangi… mana ada pelangi dalam terik mentari macam ni” sedikit kecewa setelah ‘fenomena’ yang saya saksikan agak tersasar. Terasa bodoh sebentar apabila mata dan akal menafsir. Memang dirasa pelik andai laju benar mentari terik bergerak walau itulah hakikat pada saat tersebut. Mata mengiakan akal yang tidak lagi rasional saat diri disogok dengan berita fenomena pelik mula dimainkan. Usah salahkan mereka.

MENGUTIP KEAJAIBAN ALAM

Kejadian ini mengingatkan saya kepada hal yang pernah dibangkitkan oleh Ust Has (saifulislam) dalam artikelnya sebelum ini. Saya turut bersetuju dengan pandangan beliau melihatkan reaksi umat Islam sekarang yang lebih gemar ‘mendekatkan’ diri dengan Sang Pencipta dengan menyandarkan bukti kewujudanNya dari simbol-simbol dan tulisan. Malahan, memandang ‘fenomena’ juga turut boleh dimasukkan dalam kategori yang sama menurut saya.

Bukan niat untuk menafikan perkara tersebut, namun adalah dilihat sebagai suatu yang keterlaluan apabila semua benda yang dilihat seolah-olah dan sebolehnya ingin dibentuk dari perkataan ALLAH atau MUHAMMAD dalam ejaan jawinya. Bentuk muka bumi diperhati, peta diterbalikkan sehingga kajiannya berhasil menemui corak ALLAH. Ombak laut diperhati… diteliti lama dan berjaya menemui kalimah MUHAMMAD . Walau tidak cantik corak tulisannya, apa yang penting… gambar-gambar, peta, cahaya… dapat memenuhi dan MESTI berkesudahan dengan terbentuknya dua kalimah suci tersebut. Dengan satu niat yang cukup murni- Mendatangkan keyakinan kewujudan Sang Pencipta.

HAKIKAT DALAM MEMAHAMI HAKIKAT

Namun, apa yang ingin saya utarakan adalah..

Adakah tindakan bagi mengukuhkan hakikat kewujudanNya seMESTInya luar dari ‘normal biasa’??

Saya tidak menafikan niat murni ini, Namun yang harus lebih diteliti. Apakah pengisian disebalik ‘keajaiban’ ini?? Apakah kesinambungan dari keghairahan penemuan bukti seumpama ini?? Atau adakah sekadar melahirkan rasa taajub buat sesaat dua seterusnya gambar tersebut menjadi satu kebiasaan bagaikan kebiasaan kita melihat mentari yang terbit dan terbenam setiap hari.

Hakikatnya perkara-perkara yang BIASA dan LUAR BIASA adalah dariNya. Hanya kita yang terkadang tersilap memandang perkara-perkara sebegini seterusnya memecahkan tembok kebiasaan dan keluarbiasaan. Bukan apa.. kerana yang LUAR BIASA itu lebih gemar ditonton sebelum melepasi suatu level yang akhirnya menjadi suatu perkara yang biasa.

Perhatikan dua contoh mudah :

Situasi 1 : Orang buta yang tidak pernah melihat kemudian ditakdirkan melihat.

Situasi 2: Kita yang dikurniakan pancaindera melihat.

Atau

Situasi 3 : Melihat matahari yang terbit dan terbenam setiap hari

Situasi 4 : Melihat sebiji batu yang terapung di pamerkan dalam museum.

Apakah reaksi yang terhasil dari kesemua situasi tersebut??

Yang pasti orang buta yang ditakdirkan melihat pasti akan wujud kekagumannya terhadap alam yang dilihat.. melihat matahari.. bulan… bukit.. burung-burung yang terbang. Dengan pelbagai persoalan yang berputar melihat mentari yang mungkin jauh tersasar dari kotak imiganasi selama ini. Melihat burung yang membabar sayap.. bebas berterbangan. Bagaimana pula mereka yang dikurniakan sekian lama melihat hal-hal sebegini? Adakah perasaan sama berdetik..?

Dalam perbandingan seterusnya, saya yakin mungkin berduyung-duyung memasuki museum untuk melihat kepelikan pada sebiji batu yang terapung berbanding melihat matahari yang terbit dan terbenam setiap hari. Namun kenapa kepelikan tidak timbul kepada matahari yang saban hari timbul dan terbenam. Di mana hebatnya sebiji batu yang tiba-tiba terapung untuk diceritakan dan dibandingkan dengan sebuah matahari yang tidak jemu dengan arahanNya. Andai dibuat perbandingan saiznya… beratnya.. ‘kekuatannya’.. manfaatnya.. Namun pernahkan akal kita mempersoalkan perkara-perkara ‘normal’ yang berlaku setiap hari ini. Mungkin kepelikan bagi kita pada mentari adalah saat gerhana yang jarang-jrang berlaku… atau mungkin warnanya berubah kepada merah saga, ataupun menunggu keganjilan mentari terbit di ufuk Barat untuk mengutip iktibar.

TIDAK SALAH SAYANG..

Sahabat yang disayangi..

Saya tidak menafikan pendekatan ini. Tapi biarlah ada penerusan dalam ‘nilai kekaguman kepada Tuhan’ yang sentiasa mekar. Inilah yang dikatakan iman.

Yang lebih penting.. istilah KEKAGUMAN.. biarlah dengan hati bukan akal.

Memandang kekaguman dengan akal hanya bersifat sementara kerana yang belum pernah dilihat dan dirasakan logik. Di situlah tarikan dan ketundukan akal. Namun berapa lama bertahan andai logikal mula bertapak?

Memandang dengan hati, tidak akan menerima sekali-kali selagi masih belum bersedia sepenuhnya. Hati tidak memandang sesuatu samada biasa atau pelik… hati tidak melihat yang jarang berlaku ataupun kerap.. . hati tidak memandang samada besar mahupun kecil. Semua yang mendekatkan diri kepada Ilahi.. Pandanglah dan kagumlah… kerana kekaguman yang asli hanya lahir dari hati yang suci.



0 comments: