Saturday, February 2, 2008

Tanggungjawab Muslim- Kembalikan Hak Tubuh

By : Abe Joe

Maghrib tadi dilaksana dengan sedikit gangguan. Bukan bererti sebelum ini solatku cukup sempurna. Air mula menitis dari deria antara dua pipi menjejas fokus solatku. Batuk-batuk kecil mula berbunyi. Kepala mula berdenyut. Mata seakan menagih rehat. Asar tadi memang diri terasa kelainan. Sebaik hujan menguyupkan diri sepanjang perjalanan pulang dari program. Selang sebentar.. azan isya' kedengaran. sebaik membuka pintu, udara sejuk mula menusuk walau tiada sebarang angin bertiup. Hati digagahkan, namun terpaksa membuat pilihan samada memilih langkah-langkah kecil mengemis pahala sunnah ataupun meredah laju dalam menjauhi kedinginan. Dalam langkah, diri mula berdoa semoga setiap dosa diampun Yang Esa. Huh.. selsema rupanya. Memang selsema... ini perkara kecil dalam roda hidup manusia yang cukup lemah.

Beberapa minggu ini memang aku mula berfikir mengenai persoalan kesihatan diri. Melihatkan prestasi kerja yang mula merosot. Terkadang aku terpaksa berehat panjang di pejabat mengembalikan semangat yang kian berkurang.

Hari teman-teman seperjuangan ditahan dalam himpunan PROTES. Aku sempat memenuhi temujanji yang telah dibuat 2..3 hari sebelum itu. Membuat pemeriksaan kesihatan. Jarang aku bersetuju untuk tujuan sebegitu, namun atas sedikit kesedaran sesi tersebut cuba diselit dalam kesibukan program seharian.

"BMI.. ok lagi..." lafaz perunding membuatkan aku menarik nafas lega.

"Yang ini aliran darah ke jantung... yang ini jantung pam darah ke luar.. ini pula jumlah degupan jantung seminit".. perunding kesihatan memberi penjelasan sebaik nombor-nombor tercatat melihatkan keputusan yang sedikit tersasar dari 'benchmark' yang sepatutnya. Aku mula berdengus melihat sepintas lalu.

"Yang ini pula, lemak yang harus dikurangkan. Awak nie ada 9.5kg lemak tersembunyi," Kerisauan mula menggigit dalam penjelasan yang mengeletek. Muka tersenyum dan hati merenung.

Aku pulang, kerisauan terhadap kesihatan ditelan berita penahanan teman-teman.

"Ya Allah.. bagaimana aku ni," diri seakan menyesal apabila hak-hak badan mula dirasai terabai kembali. Mengadu bukan kerana tidak sanggup menanggung ujian ini. Alhamdulillah, sirah-sirah nabi mengingatkan keteguhan Baginda di saat menganggung penderitaan yang sama, malah lebih berat.

Aku mengeluh kerana sikap diri yang jarang memberi HAK KEPADA BADAN. Hak untuknya berehat, hak untuknya memastikan setiap lapis daging yang terbina dari makanan yang halal lagi berkhasiat. Alhamdulillah, ramai daripada kita yang menjaga hak yang halal. Namun bagaimana dengan berkhasiat..?

Kesian bila melihat pimpinan jemaah dan parti, cukup baik beliau menjaga makan minum. Namun terkadang 'diracun' oleh pengikut sendiri. Program yang terkadang penuh seharian tidak terlepas dari santapan wajib yang dihidang. Andai 3 kuliah dan ceramah... maka 3 kalilah juadah yang disentuh. Bukan tidak elok meraikan, namun terkadang jiwa pimpinan kalanya digoda bila saat bau semerbak kari kambing mula menjolok hidung. Tidak dimakan, terliuar juga.. lagipun tidak salah andai terliur. Makan pun sekadar 'test' aja... Namun dengan 'test' itulah yang terkadang membahanakan sengsara buat mereka. Saat ziarah tetamu bertandang bertanya sebab..jawabnya "Ana test sikiiiiiiit aja". Sempat lagi merapatkan jari telunjuk dengan ibu jari kanannya memberi isyarat.

Begitulah, namun sememangnya itulah punca yang berlaku kepada kita. Nafsu makan yang tidak terkawal. Aku tidak menyalahkan pimpinan. Tapi aku serta sahabat-sahabat yang belum faham. Perkara yang kecil menyebabkan kelancaran organisasi mula terjejas.

"Huh.. banyak betul tok guru hidang, habis aja ditambah," kami mula berbicara kekenyangan sebaik pulang menziarahi tok ayah sebuah madrasah di Kuala Selangor. Masih belum menyedari hakikat tok guru dalam meraikan tetamu.

Mentarbiyyah jiwa dengan nafsu makan cukup susah, namun itulah hakikatnya. Sebagaimana seekor kuda liar yang dijinakkan dengan makanan berhari-hari, begitulah jiwa ini yang saban hari meronta-ronta. Nafsu tidak boleh dibuang, kerana pemangkin ke arah tindakan.



Terkadang terfikir untuk membenihkan peluh-peluh dari roma-roma yang kian tersumbat. Dulu ada minatnya, permainan-permainan yang melibatkan tangan beranilah dicuba.

Mencuba permainan kaki, jawabnya kaki temanlah yang ditebas kakiku.
Terkadang teman ngilu bila tulang-tulang besi bekas asuhan seni silat dahulu menyapa 'keting' mereka. Dulu lompatan cukup disegani, maklumlah diri yang masih bergelar kenderaan ringan. Namun sekarang gamaknya memandu lorong kiri kala bermain.

Hati mula memberi tumpuan kembali, berfikir untuk berusaha memberi hak kepada diri. Kembali merenung alat-alat senaman yang dibeli disaat semangat memuncak. Moga-moga mereka tidak merajuk dengan diriku.

1 comments:

Anonymous said...

wah hebat sungguh cara kamu mendunk kan diri.. teringat masa zaman UiTM dulu ni, tapi kini tinggal kenangan . aku pun dah gemuk dan tak secergas dulu. begitulah manusia bila sampai ketika, masa akan meninggalkan kita dan beransur tua.