Friday, February 22, 2008

DPPWM @ PROTES

Beberapa hari ini, detik yang agak manis buat pemuda-pemuda Wangsa Maju. Sebaik menerima makluman dari Saudara Yuamri mengenai berita penangkapan beberapa teman dari Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju. Makluman yang memberi signal awal serta bakal mengubah perancangan dan tentatif kami semua di DPPWM pada hari tersebut.

Tidak semua sahabat dapat menghadiri perhimpunan aman anjuran PROTES di perkarangan KLCC itu. Perhimpunan pada 26 Januari tersebut dalam usaha memprotes kenaikan minyak yang bakal timbul. Namun berita yang tersebar menyebabkan teman yang masih bekerja mula tidak senang duduk, teman yang berprogram mula mengintai-intai peluang untuk segera pulang.

Dato' KP dihubungi, namun beliau masih pening membuat keputusan. Apa tindakan yang harus dilakukan. Memberi sokongan... mencari jalan... yang penting rakan-rakan harus dibebaskan. Keputusan segera diambil. Pemuda-pemuda diarahkan untuk berkumpul jam 8.30 malam di markaz utama kami. Sebaik solat isya', kami segera bertolak ke lokasi sementara - IPK Hang Tuah. Melengkapkan kontijen kami yang telah bersedia memberi semangat sejak siang tadi.

Senyap.. Tiada sebarang provokasi dan laungan untuk membebaskan teman-teman didengari. Hanya kelihatan mereka yang melukut berpaut pada pagar IPK serta sekumpulan insan yang enak bersandar di sisi kereta. Kami berkumpul, sebaik sedikit penjelasan oleh penerangan DPPWM. Kami bertekad untuk bersuara. Laungan membebaskan sahabat mula menarik perhatian orang ramai. Perlahan-lahan umat manusia tadi mula mendekati kelompok kami. Namun yang lebih menggembirakan kami, teman-teman dari dalam mula melambai-lambai setelah mendengar suara kami. Mereka di dalam gembira terkurung, jiwa kami diluar risau merundum. Risaukan keluarga terhadap teman-teman yang masih baru berjuang. Sokongan harus diteruskan, Che Det- Ketua Penerangan memberi arahan agar mesej-mesej sokongan terus dihantar sementara bateri teman-teman masih berbaki. Sahabat mula mengarang ayat-ayat semangat, kalimah-kalimah jihad mula berputar di kepala masing-masing. Rancak kami berbalas mesej, pagar IPK yang tidak sekukuh mana bukan penghalang buat kami. Letih berSMS, kami berborak telefon... Nada suara teman-teman membuktikan semangat mereka yang kian membara.

Larut malam bertukar pagi. Melihatkan keputusan yang muktamad buat hari pertama penahanan mereka. Hanya 10 tahanan yang setuju dilepaskan walau baki yang masih bertahan masih tiada ketetapan tuduhan. Bukan setakat kami yang bersengkang mata, namun bangunan bertingkat menyimpan rahsia beratus polis masih memerah otak jahat mereka bermesyuarat... berbincang.. mengharapkan elaun dari gaji-gaji buta untuk meneruskan permainan helah, memastikan sang benar dilihat bak pesalah.

Melihatkan pembakar semangat di luar yang masih belum berganjak, polis membuat keputusan menghubungi sekutu utama yang turut meletakkan ilah utama mereka adalah gaji-gaji bagi mengisi perut-perut nafsu....-FRU. Lagak bekerja bagai kerajaanlah yang memberi rezeki, Ilah yang mula tersasar dari ketetapan syahadah. Kedatangan mereka memang menolak tuah. Lain cuba disergah... lain yang parah lantaran kereta yang terbabas sebaik terkejut melihat trak-trak FRU yang diparking diselekoh pinggir jalan. Tiada pula trafik menyaman mereka yang tidak belajar undang-undang meletakkan kenderaan di kawasan yang membahayakan pengguna jalanraya lain yang turut membayar cukai jalan.

Kami terus pulang sebaik merasakan tiada sebarang perubahan dari keputusan yang telah dikeluarkan. Pulang kami hanya membezakan hamparan tidur, makan ..minum dan mandi kami... sedang jiwa masih basah bersama teman-teman tahanan. Program seterusnya yang dirancang awal terpaksa dibatalkan penyertaan lantaran diri yang dirasakan agak mustahil untuk diteruskan komitmen. Mohon maaf kepada Pemuda Negeri - Jauh di sudut hati tidak berniat untuk mengingkari, namun dalam keadaan sebegini.. teman-teman memerlukan kami.

Hari ke-2, Menyaksikan ulangan desakan yang sama- BEBASKAN RAKAN KAMI. Kali ini, perayu makin ramai dan dari bangsa pelbagai. DPPWM masih dengan kekuatan kontijen yang sama, menyertai kelompok yang sedia menggegar. Melaungkan pembebasan teman dari luar pagar penjara pudu yang masih utuh lantaran dibina disaat rasuah projek masih belum menular. Penyamar tidak berseragam menjelaskan lagi sifat munafiq serta memberanikan diri berkumpul di depan pagar, wajah-wajah tiada nur dirakam satu persatu menjadi umpatan. Walau banyak mata terpesir memerhati dalam keradangan.. hati mereka tetap keras sambil meminum air-air kotak yang diagihkan yang menjadi santapan mewah mereka. Mungkin mereka terus berani melakukan kerja sebegini lantaran merasakan dosa-dosa mereka bakal dikalahlah oleh pahala yang dipindahkan dari umpatan kami. Pagar penjara yang dibuka beberapa saat bagi membolehkan kenderaan keluar masuk diambil kesempatan untuk menjenguk teman-teman di dalam. Alhamdulillah.. tangan gagah teman melegakan hati kami. Lewat petang menjelang, namun tekak teman di dalam masih belum disapa santapan. Kutipan derma dilancar buat membeli barang sedikit sebanyak nasi buat mereka. Sahabat mengambil kesempatan menjadi sukarelawan semata-mata untuk bertemu mata dan melihat keadaan teman-teman.

Pembebasan mereka masih ditangguh walau tiada sebarang alasan dan tuduhan konkrit diputuskan. Hanya beberapa keputusan kecil yang dibuat, namun masih belum mencapai tahap yang diharapkan oleh kami semua. Proses terus dilewat-lewatkan sebagai tindakan menghalau kami diluar dari agar tidak terus memberikan sokongan. Menjelang maghrib, kami terpaksa meninggalkan teman-teman sebaik dimaklumkan pendakwaan akan dilakukan pada keesokan. Alhamdulillah.. 10 lagi tahanan dibebaskan disaat kami lena dibuai mimpi.

Hari ke-3 menyaksikan sokongan yang tidak berkurang, malah che Det dan Marzuki tetap setia mengiringi kenderaan yang membawa 'pesalah' untuk dibicarakan. Pendakwaan yang lewat berlangsung sememangnya memberi keputusan yang dijangka. Pembebasan dengan ikatjamin sebanyak RM 1,000.00 seorang. Walau keputusan sedia termaktub, namun menunggu saat-saat pembebasan suatu yang lama bagi kami. Pemuda makin bertambah, rasa rindu kian memuncak untuk memeluk teman-teman sebaik dibebaskan. Jam 7 petang, satu persatu dibebaskan... teman kami antara mereka yang akhir. Laungan takbir menyambut teman-teman, sebak mula dirasai sebaik susuk tubuh kami mula bertemu. Walau perkara yang sama bisa dilakukan setiap minggu dalam usrah kami, namun kami tidak sanggup merasai pelukan yang telah basi serta menunggu keesokan hari. Ingin merasai peluh-peluh perjuangan teman yang masih belum pudar... buat azimat kami diteruskan semangat perjuangan yang berkobar-kobar.

0 comments: