Saturday, February 16, 2008

Dia saudaraku..

Hari-hari sebaik pengumuman pilihanraya menggandakan lagi kerja-kerja pemuda. Jadual padat setiap malam menyukarkan aku untuk melapangkan waktu, namun alhamdulillah kerna Allah semakin memberi kekuatan berbanding tika kelapangan wujud sebelum ini.

Sebaik habis mesyuarat di pejabat Agong PAS, warga DPPWM meneruskan mesyuarat tidak langsung kami sambil meraikan teman-teman yang masih belum sempat menjamah hidangan sejak tengah hari lagi. Sambil menunggu teman-teman, aku didatangi seorang lelaki yang menggalas beg-beg kecil disisi.

"Saya mahu minta tolong, saya baru masuk Islam", sapa lelaki tersebut dari arah belakang. Aku merenung sejenak. Duit sekeping dua dalam dompet cukup untuk makan bersama teman-teman. Pantang aku walau makan bersama-sama namun mengharap teman-teman bayarkan. Paling tidak, biarlah ada barang sedikit dari tidak membayar langsung.

"Ini saya ada kad kalau tak percaya," beliau cuba meyakinkan diri sebaik melihat aku termenung. Termenung bukan kerana tidak sanggup menolong, namun cerita dalam usrah kami sebelum ini mula berputar dalam ceruk kepala. Baru-baru ini ada dibangkitkan cerita terdapat orang tertentu yang menyamar memeluk Islam sebagai jalan mudah mendapatkan wang. Habis dijajat dari sebuah surau ke surau lain andai taktik dirasakan mula dihidu.

Aku terdiam, memilih antara percaya atau tidak. Tuntutan untuk sumbangan pilihanraya turut mendesak. Setiap sen yang mengalir harus dihitung sekarang.

"Alhamdulillah... ini yang saya dapat bila masuk Islam," balasnya dengan suara dan aksi yang kecewa melihat aku masih belum menghulurkan wang kepadanya.

Perasaan resah dan gelisah mula menghimpit diri. Rasa bersalah mula menyelubungi walau wajah tenang menyorok keresahan. Sesekejap aku memalingkan muka kepada teman-teman yang masih menunggu korum yang belum mencukupi.

Lelaki itu berlalu dan duduk di kaki lima.. beberapa meter dariku.

"You jangan masuk Islamlah..," bias-bias kata yang aku dapat dengari. Menjerit-jerit kepada cina tua yang terpingga-pingga dari kejauhan.

"Huh.. nie dah makin teruk. Ya Allah.. apa orang nie dah cakap?," aku berdoa moga-moga katanya tidak didengari oleh lelaki tua tersebut. Jarak lelaki tua yang sedikit jauh mungkin membataskan pendengaran terhadap laungan lelaki itu. Benar-benar mula menguji dan melancarkan perang psikologi kepadaku.

Aku sedar, kata-kata tersebut ditujukan kepadaku. Andai tidak mana mungkin si cina bertutur melayu kepada si cina yang lain. Malah semua gelagat priskologi dimainkan betul-betul dihadapanku bagi membangkitkan rasa bersalah diri ini.

ceritanya tidak tamat sebegitu, terus dibaling kertas A4 yang dilipat-lipat. Bagaikan memberitahu kertas tersebut adalah surat pengislamannya. Tangannya mula menunjuk-nunjuk langit serta merungut atas takdir yang menimpa diri.

Seorang lelaki yang tidak tahu punca mula datang dan duduk berhampiran. Risau juga andai rungutannya mula mendatangkan fitnah kepada Islam. Lebih merisaukan kerana punca rungutan adalah kerana kesilapanku.

Teman mula bergerak menyebabkan aku turut sama mengikut rombongan dalam jiwa yang masih berat. Hati yang masih tertanya-tanya andai benar beliau telah Islam dan aku telah mengabaikan tanggungjawab terhadap saudara seagamaku. Fikiran terus dihujani pertanyaan dan jiwa bersalah yang mula menusuk.

Sebaik kami berhenti, aku mula bertanyakan pendapat teman-teman. Masing-masing dengan pelbagai pendapat, namun tertarik dengan satu persoalan yang ditimbulkan oleh salah seorang teman- Andai beliau memeluk Islam kerana ingin menipu untuk mendapatkan wang, lebih baik beliau memeluk Kristian yang lagi jelas kelebihan materialnya. Mungkin ini tips terbaik buat teman-teman.

Aku bersetuju, namun malam sudah larut untuk aku kembali. dalam diri yang hiba... hatiku mula diserang rasa berdosa.. diri mula berdoa.

"Ya Allah... andai benar lelaki tersebut adalah saudara SeIslamku, Kau ampunilah dosaku, berilah kerahmatan kepadanya, Mohon pertemukan aku dengannya kembali, untukku mengikis jiwa bersalah dalam diri.."

1 comments:

Anonymous said...

salam..tertarik dengan ceritani..kadang-kadang pihak kristian pun tanak apek tua tau abang..mereka pentingkan golongan rijal seperti Islam nak. sebab seorang pemuda lebih berharga dari seisi dunia, so..jangan termakan pujuk rayu sangat..
insyaAllah..beringat slalu