Saturday, January 26, 2008

Kita Adalah Khadam

Assalamualaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarokatuh ..

Salam Perjuangan Buat Sohabat dan Sohabiyyah Yang Dikasihi ..

Menghitung hari-hari mendatang, yang makin luput keimanan dan keyakinan manusia kepada ajaran Tuhan. Namun kita bersyukur, selepas Allah campakkan kita ke dunia dengan segala nikmatNya, tidak dengan title mereka yang ingkar kepadaNya. Namun diangkat sebagai pejuang agamaNya. Maka, sewajarnya pelantikan ini adalah satu kebanggaan bagi mereka yang berfikir..

lbarat, apabila seseorang itu menjadi khadam kepada seorang raja yang besar. Semestinya dia akan berbangga kerana dapat berkhidmat kepada manusia agong tersebut. Semestinya akan dijaja luas kepada mereka sekeliling akan hal dirinya itu. Nah!! Apatah lagi dengan diri kita, sebagai khadam kepada Tuhan Pencipta Alam. Semestinya kebanggaan yang maha tinggi dirasakan. Namun adakah cukup dengan kebanggaan tersebut, sedangkan tiap kali iman kita dijentik, kita tidak mengadu kepada empunya diri kita. Umpama khadam raja tadi, yang bermasalah, namun mengadu kepada orang lain untuk pertolongan. Semestinya raja akan murka kerana pasti dia rasakan manusia lain lebih mendapat kedudukan di hati khadamnya. Faham dan renung kedudukan kita sekarang ..

Sohabat dan Sohabiyyah Yang Dikasihi ..

Memahami hakikat di atas, kita merasakan bahawa khadam tersebut pasti akan berada dalam keadaan selamat kerana bekerja dengan raja yang mentadbir negeri. Mungkin dia merasakan jaminan keselamatan hidup kerana sentiasa dilindungi oleh tuannya. Dia terus dalam khayalannya, merasakan dirinyalah orang yang paling dekat dengan raja tersebut, yang paling mendapat perhatian di mata raja itu. Sedangkan bagi rakyat biasa, mungkin raja bersikap kurang peduli. Hatta segala pekerjaan yang diperintahkan oleh raja itu diambil sikap acuh tidak acuh, kerana merasakan bahawa mungkin kalau kesilapan dilakukan, dia senang memohon ampun kerana kedudukannya itu. Namun, bagaimana kiranya kita dalam perjuangan ini, adakah tercetus secebit rasa sebagaimana khadam tersebut. Terus hanyut tanpa melakukan sebarang usaha sebagaimana sepatutnya.

Khadam tersebut terus hanyut, tidak menyedari hakikat diri yang sebenarnya. Dilantik raja untuk membantu menguruskan negeri yang diperintah. Hilang terus sikap bena dan peduli dari hatinya, menjauh dengan khayalannya sebagai khadam raja yang terbaik. Sedang dia tidak menyedari bahana perbuatannya itu bakal menjahanamkan dirinya sendiri. Dia bakal dipecat oleh raja tersebut yang dirasakan masih ada orang yang lebih layak melakukan tugas tersebut. Begitu juga sebagai pejuang agama Allah yang agong ini, kita mungkin senasib dengan khadam tersebut andai sikap, perangai dan perbuatan kita mendekati perlakuannya. Adakah dapat dituduh tuhan yang memecat kita sebagai zalim!! Atau kita yang menzalimi diri-sendiri.

Sohabat dan Sohabiyyah Yang Dikasihi ..

Kita masih bertuah, kerana kaki ini masih dibenarkan Allah untuk berpijak dibumiNya walau diri terus berselaput dosa. Tangan ini masih dapat bergerak walau masih berpalit maksiat saban hati. Mulut terus dapat merasakan masam manis makanan, masih terus menyanyi riang, walau mulut yang dianugerahNya banyak memuji mahkluk berbanding yang memberi anugerah itu sendiri. Sungguh kurang ajar sebenamya, memuji orang lain sedangkan hadiah adalah dari pemberian orang lain. Sungguh biadap namanya andai batang tubuh yang diberi untuk mendaulat agamaNya namun hanya tiada usaha. Lebih biadap mengguna batang tubuh pemberianNya untuk melawan agamaNya.

Aduh!! Cukup terseksa diri ini. Bangunlah dari tidur.. bangun!bangun!! jangan kita tidur lantas nyeyak berdengkur. Kerana musuh-musuh Islam sedang berusaha memanaskan periuk-periuk mereka di dapur. Untuk dimasak Islam itu umpama nasi dan bubur. Bagi mengisi nafsu pengkhianat Islam yang rakus, tamak, zalim dan takbur. Ingat, usah kita menyesal di saat nafas berbaki ekor. Saat penyesalan yang bakal menyusur, jiwa pengkhianat masing-masing menutur:

" Wahai Tuhan, andai masa kiranya berundur,
segala perintahMu akan ku akur,
namun segala telah terlanjur,
aku mengutip dosaku yang bertabur,
Sedang syurga impianku kian samar dan kabur"


Kelana Mencari Erti.. Mengutip makna-makna kepada diri - Abe Joe

0 comments: