Saturday, January 26, 2008

Kisah Sang Musafir

"Memang sial aku ini" Hati syaitan mula berbicara setelah lama bas ditunggu-tunggu masih belum sampai.

Memang masa terasa agak lama hari itu, mentari yang kian terik makin membakar jiwa.

Memang pada hari lain aku berbasikal dari Pengkalan Chepa ke sekolahk. Stamina harian tiada masalah buatku untuk berbasikal 5..6.. kilometer sehala.

"Tidak, Allah tidak menjadikan hambanya dengan nasib sebegitu", pujuk hati iman.

Bila diingat kembali, terkadang rasa sayu bila diusia muda, jiwa iman masih dapat mendidik diri.

Bas mula singgah sebaik penafian itu dilafaz.

Tapi hampa, bas agak sendat. Mungkin insan lain ramai senasib denganku. Sememangnya aku lebih rela menunggu bas seterusnya dari bersesak-sesak sebegitu.

Masa semakin suntuk, bas seterusnya masih belum menjenguk.

"Huh.. rasanya memang sial betul aku ini" getus hati jahil seakaan memujuk diri mengakui nasib sendiri.

"Tidak, Allah tidak menjadikan hambanya dengan nasib sebegitu" pujukan hati kali ke dua menyelamatkan diri dari terus mengelamun dengan syak syaitan dari terus bertapak.

Alhamdulillah, bagai satu mentera ajaib setelah dua unkapan tersebut masing-masing bermain dalam kotak fikiran. Deruan enjin bas kedengaran dari selekoh ditepiku.

Yea.. bas sudah sampai.

Memang hari itu, hari terakhir persekolahan. Selesai kelas petang khamis aku terus mendapatkan teksi di Kota Bharu.

"Teksi ke Tanah Merah dah takde Dik", Pak Cik driver memberitahu.

"Tapi kalau nak balik ke Tanah Merah, bolehlah naik Keretapi di Pasir Mas", sambungnya.

Aku bersetuju, yang penting aku nak balik segera. Entah kena diri ini tidak dapat bersabar menunggu hari esok untuk pulang.

Sebaik teksi yang dinaiki berhenti di bandar persinggahan itu, aku terus meluru ke hentian bas seandainya masih terdapat bas yang berbaki ke destinasi.

Hampa.. perkhidmatan terakhir sudah tamat.

Aku meluru ke stesen keretapi, perasaan yang sama mula dirasai.

"Macam mana aku ini? Nak takkan nak tidur di sini?".. jiwa mula sebak sebaik melihat bandar yang sibuk namun tiada sebarang pengangkutan yang dapat aku temui.

"Kak.. saya kat Pasir Mas, tak tahu nak balik macam mana ni". Mata mula bergenang. Jiwa muda yang jarang bermusafir mula sebak disaat itu.

"Apa yang aku nak buat, sehari suntuk aku diuji olehMu"..Getus hati ini.

Diri mula berputus asa.

"Huh.. memang kali ni aku betul-betul sial, bas dah habis, pemandu teksi pula awal benar pulang ke rumah", bisik hati yang sudah mula kacau.

Aku mula menyusuri jalan, sambil beristiqfar diselang seli dengan bisikan syaitan yang kian kuat menusuk.

Sesekali kepala ditoleh ke belakang. Risau andai teksi yang berlalu terlepas pandang.

"Huh.. memang betul-betul sial". Bisikan jahat bagaikan sudah mula menguasai diri.

Senja itu mengingatkan aku dengan kampung, awan merah mengimbau rutinku pulang ke rumah untuk mandi. Bersiap dan berkemas diri untuk mengaji.

"Astaqfirullah... aku telah jauh mengelamun. Ampun aku Ya Allah, tiada sesiapa yang dicipta Engkau dengan nasib sebegitu", iman kembali membelai diri.

Sejurus aku toleh ke belakang, sebuah teksi singgah dan berhenti.

"Adik nak balik mana? Naiklah.. Pak Cik nak balik ke rumah di Tanah Merah"..

0 comments: